Sunday, April 19, 2009

15 Hektar Pokok Jarak Ditanam Sebagai Projek R&D

SETIU, 27 Mac (Bernama)-- Lembaga Tembakau Negara (LTN) negeri Terengganu telah mengusahakan tanah seluas 15 hektar bagi projek percubaan tanaman pokok jarak pagar (Jatropha Curcas) bertempat di Taman Industri Tani Terengganu (TITT) di Rhu Tapai, Merang dekat sini.

Pengarah LTN Terengganu/Pahang Mohd Fakri Mohd Noor berkata, projek tersebut dimulakan pada 2006 dan 2007 dengan percubaan di atas tanah seluas lima hektar di bawah program penyelidikan dan pembangunan (R&D) LTN.

"Bagi peringkat pertama LTN cuba menanam sebanyak 3,000 pokok manakala bagi peringkat kedua sebanyak 13,570 pokok antaranya untuk mengetahui kesesuaian tanaman itu di atas tanah bris dengan menggunakan kaedah penanaman bijih benih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika membuat lawatan bersama beberapa pegawai LTN ke ladang pokok jarak pagar dan jarak api (Jatropha Gossyfilpolia) di TITT Rhu Tapai dekat sini hari ini yang didapati hidup subur dan sesuai untuk memaksimumkan penggunaan tanah bris yang terbiar di kawasan berkenaan.

Mohd Fakri berkata, pada 2008 dan 2009 seluas 10 hektar lagi pokok jarak berskala besar, ditanam menggunakan keratan di mana kajian menunjukkan semaian keratan pada batang lebih ekonomik kerana tidak memerlukan rumah semaian.

Beliau berkata, pada Januari lalu, pihaknya cuba menanam 100 pokok jarak pagar dan jarak api secara bersilang (hibrid asal) untuk menghasilkan satu varieti baru yang mempunyai buah yang lebih besar.

"Penanaman pokok jarak pagar dan jarak api secara bersilang dilakukan untuk menghasilkan saiz buah yang lebih besar bagi meningkatkan kadar perahan minyak sehingga 35 peratus berbanding hanya 33 peratus perahan minyak bagi setiap biji pada masa kini," katanya.

Mohd Fakri berkata, pokok jarak bukan lagi sekadar tumbuhan biasa yang ditanam untuk mencantikkan kawasan, tetapi pokok tumbuhan liar itu menghasilkan penemuan yang mempunyai nilai tinggi sebagai bahan api bio atau biofuel.

Selain menghasilkan biodisesel, katanya, pokok liar yang tumbuh melata itu yang mempunyai ketinggian satu hingga tujuh meter, juga boleh menghasilkan baja organik, bahan membuat sabun, kosmetik dan ubatan-ubatan.

Beliau berkata setelah penanaman percubaan dan segala kajian dibuat menunjukkan hasil yang baik, seramai 93 petani di bawah projek pembangunan rakyat termiskin (PPRT) di sini akan menyertai projek penanamannya secara besar-besaran bagi meningkatkan pendapatan sara hidup mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails