Thursday, April 23, 2009

'Rasa macam sotong, ayam goreng'

KUANTAN 23 April - ''Sedap rasanya macam sotong kalau buat sup atau rasa ayam goreng," itulah antara komen yang diberi oleh penggemar kulat tahun yang ditemui di Jalan Kuantan-Gambang dan ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir di sini baru-baru ini.

Seorang remaja, Azlinda Anuar, 23, dari Pekan berkata, dia yang sememangnya menggemari cendawan terutama cendawan goreng tidak menyangka kulat tahun yang juga dari tumbuhan cendawan begitu enak rasanya.

''Semalam kebetulan bapa saya lalu di sini dan ternampak orang menjual kulat tahun dan membelinya untuk makan malam.

''Disebabkan tak puas makan semalam, hari ini saya datang semula untuk membelinya dalam jumlah yang lebih banyak," katanya ketika ditemui di sebuah gerai di Jalan Gambang-Kuantan.

Tambahnya, kulat tahun yang dibelinya telah kembang dan nampak begitu segar berbanding yang bapanya beli sebelum ini kerana pada masa bapanya beli, kulat tahun itu belum kembang sepenuhnya.

''Saya harap rasanya lebih sedap berbanding semalam," ujarnya yang merancang untuk membuat sup pada kulat yang dibelinya.

Seorang peneroka, Ahmad Bahari, 50, pula berkata, setiap tahun sejak zaman kanak-kanak lagi, dia sering menunggu ketibaan bulan Mac untuk menikmati kulat tahun.

''Sejak dulu lagi saya akan lihat kulat tahun ini akan tumbuh di kawasan yang sama di lorong-lorong ladang kelapa sawit.''Bukannya apa, tetapi rasa teruja apabila dapat cabut sendiri kulat ini dan boleh pilih sebanyak mana pun sama ada yang kembang atau yang baru berputik," jelasnya.
Katanya, kulat tahun ini akan bertambah sedap sekiranya ia semakin mekar berkembang berbanding yang baru berputik.''Jika selepas lima hari kita tak kutip, tumbuhan ini akan hancur dengan sendirinya. Oleh yang demikian saya akan mengambil peluang ini dengan mengutip sebanyak mungkin selagi terdaya dan memberi kepada jiran-jiran," ujarnya.

Sementara itu, bagi seorang lagi peneroka, Abdul Jabar Abdul Wahab, 45, dalam keadaan hujan yang tidak menentu pada masa sekarang menyebabkan kulat ini hanya mampu hidup dalam beberapa hari sahaja.

''Dulu, apabila tiba sahaja musimnya kita boleh kutip kulat tahun ini dalam tempoh lebih daripada seminggu.''Bagaimanapun, sekarang hanya mampu bertahan dalam masa lima hari," jelasnya.Tambahnya, keluarganya amat menggemari kulat tahun ini kerana rasanya lebih manis berbanding cendawan biasa.''Anak-anak saya cakap rasanya macam sotong," ujarnya yang akan menyajikan hidangan ini dalam bentuk sup.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails