Wednesday, October 2, 2013

Baka ayam kampung terbaik


Azlina Azma Ismail Affendee menunjukkan seekor ayam kampung hasil penyelidikannya di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang.

 


MARDI bercadang mengeluarkan 10,000 ekor ayam kampung seminggu bagi menampung permintaan.
Gallus gallus adalah nama saintifik bagi ayam hutan merah, Gallus varius untuk ayam hutan hijau, Gallus sonneratii untuk ayam hutan kelabu dan Gallus lafatetii untuk ayam hutan Ceylon atau Sri Lanka.
Namun bagi kebanyakan daripada kita semuanya ialah ayam kampung yang secara mudahnya baka ayam tempatan berwarna perang balung merah, badan tegap dan dibiar berkeliaran atau lepas bebas.
Ayam pedaging dan penelur yang diternak secara komersial serta besar-besaran kini adalah berasal daripada spesies ayam hutan merah.
Berbanding ayam pedaging dan penelur komersial, ayam kampung tidak menjalani proses pembiakbakaan yang sistematik walaupun berasal dari ayam hutan merah.
 
Proses pembiakbakaan yang tidak terkawal serta sistematik telah menghasilkan ayam kampung pada hari ini yang mempunyai pelbagai ciri fizikal yang berbeza dari seekor ke seekor walaupun dalam kelompok reban yang sama.
Industri penternakan ayam sama ada untuk pedaging atau penelur telah pun mencapai tahap sara diri (SSL), tetapi bilangan ternakan ayam kampung masih lagi dalam jumlah yang kecil iaitu kurang dari lima peratus sahaja.
Bilangan yang terhad, berserta tempoh penternakan yang lama (12 minggu minimum), ditambah dengan prestasi pertumbuhan yang kurang memuaskan menyumbang kepada harganya agak mahal di pasaran.
Ayam kampung bukan sahaja diternak sebagai sumber pendapatan penternak, tetapi juga untuk sajian-sajian istimewa selain untuk memenuhi masa lapang atau hobi.
Permintaan yang tidak pernah putus terhadap daging ayam kampung menyebabkan bekalan berkurangan.
Ini mendorong orang ramai untuk melibatkan diri dalam penternakan ayam kampung secara komersial.
Namun masalah bekalan anak ayam kampung berumur sehari menjadi penghalang kepada usaha-usaha penternak itu.
Menyedari permasalahan tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung.
Usaha menambakbaik baka ayam kampung telah dimulakan seawal tahun 2000 di Ibupejabat MARDI, Serdang, Selangor.
Ayam kampung jantan telah dikahwinkan dengan ayam Sasso betina yang dibawa masuk dari Perancis untuk menghasilkan ayam kampung terpilih MARDI.
 
Kemudahan inkubator untuk penetasan telur yang terdapat di Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI Muadzam Shah.
Ayam kampung terpilih itu mempunyai ciri-ciri seperti ayam kampung.
Tetapi dengan prestasi pertumbuhan mirip kepada ayam pedaging menyebabkan ia kurang diterima ramai sebagai ayam kampung.
Projek pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung telah diteruskan pada 2008 di bawah geran penyelidikan Sciencefund Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM200,000.
Itu untuk menghasilkan ayam kampung yang seragam daripada segi saiz badan, bulu, rupa dan pertumbuhan serta peneluran yang lebih baik berbanding ayam kampung asli.
Pegawai Penyelidik MARDI di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang, Azlina Azma Ismail Affendee berkata, untuk tujuan tersebut, pasukan beliau telah mendapatkan kumpulan ayam kampung daripada beberapa kawasan iaitu di utara, selatan dan tengah tanah Semenanjung Malaysia.
Berat ayam kampung MARDI yang diternak secara teratur dengan pemberian makanan komersial yang seimbang mampu mencapai 1.5 kilogram (kg) bagi jantan dan 1.3 kg bagi ayam betina pada umur 12 minggu dan telurnya menetas selepas 21 hari.

Anggur pemangkin pelancongan Perlis

 


BERADA di ladang anggur dan memetik sendiri buahnya bagaikan berada di negara beriklim subtropika atau sederhana sejuk merupakan pengalaman yang sungguh menyeronokkan.
Anda mahukan pengalaman mengujakan itu? Taman Anggur Perlis merupakan destinasi yang tepat untuk dikunjungi bersama-sama keluarga.
Taman yang berlatar belakangkan banjaran Nakawan itu terletak di Pusat Pertanian Bukit Bintang II, iaitu kira-kira 10 kilometer dari bandar Kangar.
Taman itu merupakan lawatan sambil belajar yang sesuai untuk di kunjungi bersama ahli keluarga.
Dibangunkan pada tahun 2005 secara perladangan berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar (ha), pada mulanya dan sehingga tahun 2012 Taman Anggur Perlis telah mencapai keluasan kira-kira 10 hektar.
Pada mulanya, anggur ditanam di Pusat Pertanian Bukit Temiang sebagai plot kajian antara Jabatan Pertanian melalui Projek Pertanian Bersepadu (IADP) Negeri Perlis dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1987.
Antara jenis yang telah dikenalpasti sesuai ditanam di Perlis adalah IAC, black queen, black opal, dan new white malaga.
Di Malaysia, Perlis merupakan antara negeri yang terkehadapan dalam penanaman anggur kerana keadaan cuaca yang sesuai dengan sifat semulajadi pokok anggur iaitu memerlukan musim kemarau yang panjang antara tiga hingga empat bulan untuk menggalakkannya berbunga dan berbuah.
Taman Anggur Perlis mula di buka kepada pengunjung pada Julai 2011. Sehingga Disember tahun lalu telah menerima 35,000 pengunjung dari dalam dan luar negara seperti kedutaan Bangladesh dan Indonesia.
Taman itu telah berjaya menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Perlis yang mana Jabatan Pertanian telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menyelia dan menguruskannya.
Sebaik melangkah ke taman itu, pengunjung akan diberikan penerangan oleh pegawai bertugas mengenai kaedah penanaman anggur, penjagaan, jenis-jenis anggur yang ditanam sehingga proses penuaian dilaksanakan.
Pelbagai maklumat menarik berkenaan anggur seperti khasiat dan jenis anggur yang ditanam turut disediakan untuk rujukan pengunjung.
Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri peringkat pengeluaran buah anggur. Dari peringkat pembungaan, peringkat matang, hingga tempoh penuaian iaitu selepas 120 hari dari tempoh berbunga.
Bagi mereka yang ingin mencuba menanam sendiri anggur di laman rumah sebagai landskap kediaman, boleh mendapatkan anak pokok anggur dengan harga RM15 bagi setiap pokok.
Di samping itu, pengunjung juga dapat bergambar bersama-sama keluarga seolah-olah berada di negara Eropah tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk ke sana.
Taman Anggur Perlis merupakan destinasi pelancongan bersama keluarga yang menarik kerana berhampiran dengan pusat-pusat rekreasi lain seperti Taman Ular, Taman Herba dan kawasan reksreasi Bukit Ayer.
Taman anggur berkenaan dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali pada hari Isnin.
Pengunjung dikenakan bayaran serendah RM1 bagi kanak-kanak dan RM3 bagi orang dewasa.
Pengunjung juga boleh membeli buah anggur segar yang di jual dengan harga RM20 sekilogram.
Bagi yang berminat ke Taman Anggur Perlis ini boleh berhubung terus dengan Jabatan Pertanian Negeri Perlis menerusi talian 04-9770433.

Khasiat madu lebah kelulut

 


Norlezah Baharom menyedut madu kelulut dari sarang dengan mengunakan mesin penyedut di ladang di Lanchang, Pahang,
Ramai yang menganggap lebah kelulut tidak mampu mengeluarkan madu dengan banyak menerusi kaedah penternakan biasa.
Bagaimanapun, teknologi penternakan lebah kelulut yang diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya meningkatkan pengeluaran madu spesies lebah tersebut.
Kelulut merupakan antara spesies lebah yang tidak menyengat, menjadikan serangga tersebut mudah dikendalikan berbanding lebah madu biasa.
Hal demikian turut diakui pengusaha madu kelulut, Trigona Bee, Norlezah Baharom yang berjaya menternak lebah kelulut untuk mendapatkan madu serta propolis serangga tersebut.
Jelasnya, madu serta propolis lebah kelulut memiliki khasiat yang lebih baik berbanding lebah biasa.
"Sebelum ini saya mengusahakan ternakan lebah madu, namun setelah mendapati khasiat madu kelulut lebih baik maka saya bertukar kepada penternakan lebah jenis ini.
"Hasil daripada kerjasama, teknologi serta khidmat nasihat MARDI saya mampu memperolehi hampir dua kilogram (kg) madu daripada satu-satu koloni lebah kelulut," katanya.
Ujar Norlezah, jika menggunakan kaedah biasa adalah amat sukar untuk memperolehi madu kelulut sebanyak itu.
Norlezah mula berjinak-jinak dengan perusahaan madu kelulut hanyalah sebagai hobi. Namun setelah menerima permintaan yang tinggi dari kalangan ahli keluarga serta rakan-rakan akhirnya beliau mula mengusahakan madu lebah kelulut dengan lebih serius.
Berbekalkan pengalaman menternak lebah madu juga sebagai hobi sejak tahun 1997, akhirnya pada tahun 2005 Norlezah mendaftarkan perniagaannya menerusi bantuan serta khidmat nasihat MARDI.
Kini, permintaan madu lebah kelulut yang diternak olehnya mampu mencecah 100 botol sebulan menjadikan Norlezah tidak 'menang tangan'.
Bercerita mengenai lebah kelulut, katanya menerusi maklumat yang diperoleh daripada MARDI, sehingga kini hampir 33 spesies serangga tersebut telah dikenal pasti terdapat di Malaysia.
Lebah kelulut merupakan agen penting untuk proses pendebungaan di kawasan tropika, sub-tropika dan di bahagian-bahagian tertentu dunia.
Menurut kajian yang dijalankan di seluruh dunia, terdapat hampir 150 spesies lebah kelulut antaranya Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan pelbagai lagi.
Antara negara yang dikenal pasti mempunyai lebah kelulut adalah Indonesia (37 spesies), Thailand (20 spesis), Myanmar (9 spesies), Vietnam (8 spesies), India (3 spesies), Taiwan (1 spesies) dan di Malaysia.
Lebah kelulut memiliki koloni yang besar dengan organisasi sosial yang sangat kompleks berbanding dengan lebah madu.
Senibina sarang lebah kelulut juga berbeza-beza mengikut spesies tertentu di mana ada sesetengahnya suka bersarang di dalam tanah, di dalam kayu sehinggalah di celah-celah belahan batu.
Sikap tersebut menunjukkan bahawa lebah kelulut memiliki perilaku yang kompleks menjadikan serangga tersebut sukar untuk diternak.
Malah, artikel ilmiah mahupun kajian mengenai lebah kelulut jarang ditemui kerana masih ramai yang tidak berminat untuk mengkajinya.
Kajian MARDI juga menunjukkan madu lebah kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik yang berguna untuk manusia.
Asid p-coumaric sebagai contoh mengandungi bahan antioksidan yang tertinggi dan dipercayai mampu mengurangkan risiko kanser perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamin (karsinogen) diikuti asid protokatechuik dan asid vanilik.
Manakala asid fenilpropionik, sejenis bahan utama madu kelulut juga dikatakan mampu mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2) yang menyebabkan pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar.
Bahan tersebut juga berkesan dalam menurunkan tahap kolestrol dalam plasma darah, hati juga mengurangkan trigliserida dalam darah.
Jelas Norlezah, kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu kelulut telah menyebabkan permintaan terhadapnya meningkat naik.
"Jika di peringkat awal masyarakat masih kurang tertarik kerana produk ini juga kurang di pasaran.
"Kini, permintaan madu kelulut diterima dari seluruh negara malah tidak ketinggalan pengguna dari luar negara seperti Timur Tengah," katanya.
Selain menghasilkan madu, lebah kelulut juga turut digunakan untuk meningkatkan hasil produk pertanian berasaskan buah kerana lebah kelulut merupakan agen pendebungaan utama kepada tumbuh-tumbuhan.

Wednesday, August 14, 2013

Tauke Musang King

Teks dan gambar Ramli Ibrahim
Kebiasaannya hanya golo­ngan lelaki mengusahakan dusun durian tetapi Tina Chong, 47, dari Kampung Pulai, dekat Gua Musang, Kelantan, membuktikan mampu mengusahakan dusun durian Musang King hingga memperoleh hasil lumayan.
Musang King atau durian Kunyit bukan saja terkenal di pasaran tempatan tetapi menembusi pasaran luar negara termasuk Singapura, Hong Kong dan China.

Ketika berusia 20 tahun, Tina mengusahakan dusun durian di kawasan seluas lapan hektar selepas gagal dalam bidang lain yang diusahakan.

Dia tekad pulang ke kampung untuk melupakan kisah pahit dan usahanya membuahkan hasil apabila dusun durian Musang King yang diusahakannya menjadi sebutan ramai.

Dia banyak menimba ilmu mengenai tanaman itu daripada rakan petani di Raub, Pahang dan Jabatan Pertanian Gua Musang sehingga muncul pengusaha wanita Kelantan pertama mengeluarkan durian Musang King.

“Pada mulanya saya hanya menanam beberapa jenis durian termasuk benih Bangkok dari Thailand selain durian kunyit. Apabila mengeluarkan jenama baru durian Musang King, saya terus melakukan pe­nyatuan benih kepada semua pokok.

“Kini, saya menanam 600 pokok durian sejak ia dimulakan pada 1987 dan mengeluarkan hasil 10 tahun kemudian,” katanya.

Menurutnya, jika 15 tahun lalu hasil duriannya sekitar 10,000 biji semusim, kini pengeluarannya bertambah kepada 30,000 biji dan berbuah dua kali setahun.

Tina terus menimba ilmu mempelajari teknik penanaman durian Musang King dan hasilnya tanaman itu berbuah dua kali setahun.

Pernah pokok duriannya tumbang dilanda ribut, mati dan diserang penyakit, namun dia tetap tabah.

“Dalam apa saja pekerjaan, pasti ada cabaran tetapi saya sudah biasa, malah menganggap durian Musang King mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.

Tina berkata, 300 daripada 600 pokok durian Musang King miliknya itu mula mengeluarkan hasil.

Setiap pokok durian itu berbuah antara 100 hingga 200 biji dan sejak akhir bulan lalu, dia dapat mengutip 200 biji sehari atau 1,000 biji sehari dalam tempoh sebulan lagi.

Dia mengakui terpaksa berada di dusun durian siang dan malam untuk mengawasi pokok miliknya termasuk memanjat pokok bagi mengikat buah durian.

“Ia bagi mengelak durian rosak apabila jatuh ke tanah hingga harganya jatuh akibat tidak bermutu.

“Pada saya kualiti buah perlu dijaga untuk memastikan pengguna mendapat apa yang dibayar,” katanya.

Harga durian terbabit masih kekal RM25 ­sekilogram dan lebih tinggi jika dieksport ke negara luar.

“Tidak sangka durian Musang King yang saya cipta itu terkenal hingga ke merata tempat, selain ada juga pengusaha cuba meniru apa yang saya lakukan itu,” katanya.

­Setiap musim durian, dia tidak menang tangan menerima tempahan daripada pemborong luar Kelantan.

Dia turut menerima dua anugerah wanita pertama menghasilkan durian Musang King di negara ini iaitu sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) dan MAHA 2012.

Bubu beri pulangan lumayan

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Pengalaman menyertai kumpulan nelayan menangkap udang kara menggunakan bubu berdekatan Sungai Musoh, Pengerang, Johor, begitu terkesan kepada penulis.
Betapa tabahnya mereka mencari rezeki menangkap udang bernilai tinggi di persekitaran perairan Johor. Inilah pengalaman penulis ketika menyertai Kembara Media 2013 anjuran Jabatan Perikanan, baru-baru ini.
Program itu meng­insafkan penulis kerana mereka mencari rezeki yang kadangkala tanpa memikirkan diri sendiri.

Perjalanan dari Hotel JA Resident, Johor Bahru, ke Jeti Sungai Rengit mengambil masa kira-kira sejam sebelum disambut pegawai dan kakitangan Pejabat Perikanan Daerah Pengerang.
FotoBUBU yang digunakan untuk menangkap udang kara.

Berbekalkan sebotol air mineral, roti sandwich dan sebuah topi, kami menaiki bot kecil sebelum dipindahkan ke bot nelayan lebih besar.

Ketika kami tiba, air surut dan bot yang memuat­kan 10 penumpang bergerak perlahan-lahan ke lokasi penangkapan udang kara di tengah laut.

Aktiviti mencari udang kara bukan tugas mudah kerana nelayan perlu mencari lokasi strategik, lubuk hidupan laut itu.

Udang kara gemar ikan, justeru, umpan ikan segar akan disang­kutkan pada mata kail dalam bubu.

Jika ada udang kara tersangkut, maka pendapatan nelayan pasti lumayan.

Ada masa-masa tertentu setiap nelayan mampu mendaratkan kira-kira tiga hing­ga empat kilogram udang kara yang boleh dijual kepada orang tengah sekitar RM80 sekilogram.

Tidak hairan jika pendapatan nelayan udang kara mencecah ribuan ringgit jika tangkapan mereka banyak.

Udang kara atau lobster atau nama saintifik­nya, panulirus versicolor mendapat permintaan tinggi terutama dalam kala­ngan pe­ngusaha hotel dan restoran makanan laut.

Setiap set hidangan udang kara boleh mencecah antara RM250 hingga RM300 berikutan permintaan yang tinggi berbanding penawarannya yang rendah.

Nelayan akan mening­galkan bubu untuk tempoh masa tertentu sebelum ditenggelamkan ke dasar laut. Ia ditandakan dengan pelampung me­ngikut warna.

Projek membina bubu ini dimulakan pada 2003 sebelum peralatan itu diperbaharui untuk memudahkan penangkapan udang kara dengan lebih efektif, selektif dan mesra sumber.

Hasil percubaan dilaksanakan di Kampung Su­ngai Musoh mendapati bubu dapat menangkap udang dengan kuantiti lebih tinggi berbanding peng­gunaan peralatan tradisional dikenali bintoh.

Dengan kos pembuatan­nya sekitar RM80 hingga RM90 se­unit, bubu udang kara dapat memberikan pulangan tinggi, selain menjimatkan masa operasi, kawasan operasi lebih luas dan nelayan boleh mengusahakan perkakas perikanan lain.

Secara purata, nelayan boleh memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Pengenalan inovasi ini menarik minat 50 bot yang membabitkan 100 nelayan berpangkalan di jeti nelayan Sungai Musoh menggunakan teknik ini.

Terdapat dua teknik penggunaan bubu iaitu tek­nik hanyut dengan bubu diletak tanpa menggunakan sauh dan diangkat apabila air laut pasang penuh.

Teknik kedua menggunakan sauh iaitu bubu diperam dan diangkat setiap kali air laut pasang penuh.

Kedua-dua teknik itu menggunakan umpan dan setiap bot mempunyai sehingga 30 unit bubu dengan kawasan penang­kapan sekitar lima batu nautika.

Harga udang kara dijual mengikut kualiti. Gred A membabitkan 200 gram ke atas berharga RM80 hingga RM100 sekilogram, Gred B pula 190 gram hingga 100 gram (RM60 hingga RM80 sekilogram) dan Gred C dengan 100 gram ke bawah (RM30 hingga RM50).

Setiap bot nelayan boleh mendaratkan tiga hing­ga 20 udang kara sehari.

Di Malaysia, nelayan masih bergantung kepada benih daripada sumber liar berbanding pembiakan di pusat penternakan.

Namun, Taiwan, Singapura, India dan Vietnam sudah lama mengamalkan kaedah pembangunan akuakultur.
Sumber:Harian Metro

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails