Tuesday, May 18, 2010

Arnab Bukit Kapar


Pengalaman sukar mencari seekor arnab untuk seorang pensyarah, memberi idea kepada dua sahabat untuk menternak haiwan tersebut.

"Saya pernah dikatakan gila kerana tinggal dalam kawasan hutan seorang diri hampir enam bulan.

"Namun kini, saya bangga kerana usaha yang dilakukan membuahkan hasil dan mereka yang menyangka saya gila juga mula membuka mata."

Demikian cerita Endali Putra Ibrahim, 23, ketika ditanya antara pengalaman awal yang tidak boleh dilupakan untuk menjadikan pusat ternakan arnab, Rabbit World Agro itu satu kenyataan.

Endali yang mengusahakan pusat ternakan itu bersama rakan karibnya, Herman Amanah, 31, sebenarnya tidak mempunyai kemahiran atau pengetahuan mengenai selok-belok penjagaan arnab.

Namun, benarlah kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan kemahuan yang ada, dua rakan karib itu sudah mempunyai lebih daripada 700 ekor arnab yang dipelihara di kawasan seluas 0.8 hektar di Jalan Setia Jaya, Bukit Kapar, Klang, Selangor Darul Ehsan.

"Saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mempunyai kelulusan peringkat sijil dalam jurusan pendawaian elektrik dari Institut Kemahiran Yayasan Selangor, Kuala Selangor.

"Namun, itu bukan penghalang untuk saya menglibatkan diri dalam dunia perniagaan, tambahan pula saya mempunyai rakan karib yang bijak mencari peluang baru dalam dunia penuh mencabar ini," katanya kepada Kosmo!.

Bercerita sejarah awal, rakannya, Herman memberitahu, dia mula mencari maklumat mengenai cara-cara penjagaan arnab di Internet, selain di Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Putrajaya dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Herman memiliki diploma dalam jurusan Kejuruteraan Awam dari Kolej EDI. Dia yang turut berkecimpung dalam perniagaan lain seperti kontraktor dan pembekal barangan berkata, perniagaan yang dijalankan itu membuatkannya sering masuk dan keluar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Katanya, dari situlah segala-galanya bermula.

"Seorang pensyarah di universiti itu minta saya carikan seekor arnab untuk dibuat kajian dan dari situ, baru saya tahu betapa susahnya untuk mendapatkan arnab.

"Bayangkan di Selangor, hanya ada seorang penternak arnab iaitu di Semenyih. Dari situ juga, saya dan Endali nekad untuk belajar cara-cara menternak arnab. Kami membayar sebanyak kira-kira RM1,200 seorang bagi kos yuran pembelajaran selama empat hari tiga malam," katanya.

Inilah hasilnya. Menurut Herman, daripada sejumlah 60 ekor arnab yang dibeli pada harga RM250 seekor pada Jun tahun lalu, kini mereka berjaya membiak arnab tersebut sehingga mencecah lebih daripada 700 ekor. Kesemua arnab itu dipelihara di lima buah kandang yang dibina di tanah milik keluarga Endali.

Rakan karib ini mengakui, moto Pertanian satu Perniagaan yang dipromosikan kerajaan turut mendorong mereka terjun ke dalam bidang tersebut.

"Mereka yang ingin mencari pelbagai jenis arnab seperti angora, lion head, felmish giant, hot tot, black & white New Zealand dan English Sport, boleh datang ke pusat ternakan ini," kata Herman.

Bagaimanapun, kedua-dua anak muda kelahiran Selangor itu mengakui mereka perlu bekerja keras dan tidak boleh cepat berasa puas hati dengan pencapaian yang ada setakat ini.

Menurut Herman, ini kerana jumlah arnab yang diternak mereka setakat ini belum cukup untuk menampung pasaran di peringkat nasional.

"Bagi pasaran tempatan, kami tidak menghadapi masalah kerana kebiasaannya orang membeli arnab dalam kuantiti yang sedikit, selain menjualnya sebagai haiwan peliharaan di pasar-pasar sekitar Selangor," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menghubungi Rabbit World Agro, anda boleh menghubungi Endali Putra di talian 012-340 1782 atau menerusi e-mel ke rabbit.world@yahoo.com

- KOSMO!

POKOK NEEM

Dalam perubatan tradisional, semambu banyak digunakan sebagai salah satu bahan utama formula pembersihan darah.

SEMAMBU biasanya digunakan untuk menangani masalah kesihatan mengikut sistem perubatan India kuno, Ayurveda.


TERKENAL dengan jolokan 'farmasi desa' di India, pokok neem atau semambu adalah tumbuhan ajaib yang membekalkan 1,001 kegunaannya.

Ketahanan tumbuhan ini terhadap persekitaran baik dari aspek cuaca mahupun keadaan tanah adalah testimoni kepada vitaliti pokok semambu.

Walaupun semambu dipercayai telah wujud lebih 2,000 tahun lalu, sesetengah data mendedahkan penggunaan neem secara selamat dan berkesan di kalangan masyarakat India telah bermula sejak 5,000 tahun lalu.

Semambu atau nama botaninya Azadirachta indica, biasanya digunakan untuk menangani sejumlah masalah kesihatan mengikut sistem perubatan India kuno, Ayurveda.

Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (Ujian Percubaan Klinikal dan Perkhidmatan Perubatan), The Himalaya Drug Company, Dr. Pralhad Sadashiv Patki berkata, setiap bahagian pokok semambu yang memberi manfaat kesihatan turut tercatat dalam laporan-laporan perubatan Ayurveda.

"Dalam perubatan tradisional, semambu banyak digunakan sebagai salah satu bahan utama formula pembersihan darah dan melegakan masalah berkaitan diabetes.

"Sebenarnya, salah satu kegunaan semambu paling popular adalah mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi. Di India, daun dan ranting semambu digunakan sejak beribu tahun lamanya oleh masyarakat tempatan untuk memberus gigi dan membersihkan gusi bagi memperoleh kesihatan oral," katanya pada pelancaran semula produk Himalaya berasaskan semambu di ibu negara, baru-baru ini.

Menurutnya, bukti klinikal dan hasil penemuan awal telah menyokong manfaat luar biasa semambu khasnya bahagian kulit, daun dan minyak neem.

Sambil memberitahu terdapat antara 10 hingga 20 juta batang pokok semambu di India, beliau berkata, kesemua bahagian pokok semambu termasuk bunga, benih, buah, akar dan kulit telah digunakan dalam rawatan melegakan keradangan, jangkitan, demam panas, penyakit kulit dan penyakit gigi.

Namun, ciri-ciri antibakteria dan juga kesan antikarsinogenik daun semambu telah mempopularkan penggunaannya untuk masalah kulit seperti jerawat yang biasa dialami oleh golongan muda.

Keberkesanan semambu terhadap masalah kulit yang serius seperti ekzema, psoriasis dan kaki atlet juga telah diperakui kerana kemampuannya menyingkirkan toksik dalam darah.

"Pokok semambu tumbuh di kebanyakan tempat di India dan Afrika. Malah di China, kanak-kanak yang mengalami demam campak akan diminta tidur di atas daun semambu bagi melegakan masalah tersebut," jelasnya yang berasal dari India.


BUNGA SEMAMBU


Bagaimanakah semambu bertindak ke atas masalah kulit?

Apabila semambu memasuki tubuh, ia akan meredakan lebihan kandungan gula dalam badan yang menjadi punca kepada kebanyakan masalah kulit.

Data-data perubatan kuno seperti Sushrita Sanhita menunjukkan, keupayaan semambu menghalang pergandaan virus menerusi gabungan dengan sel-sel kulit. Sekatan yang yang berlaku pada pertumbuhan virus memberi ciri-ciri germisid dan antialahan kepada semambu.

Sains perubatan moden kini turut mengkaji potensi kegunaan semambu dalam bidang perubatan. Malah, kajian terkini menunjukkan semambu bukan sahaja mampu menangani semua jenis masalah jangkitan kulat, malah turut dimanfaatkan oleh pesakit yang mengalami keresahan, obesiti dan pelbagai kesakitan lain.

Beliau yang yakin dengan masa hadapan produk-produk berasaskan herba berkata, Himalaya akan terus memastikan setiap produk herba yang diperkenalkan bebas bahan-bahan racun, plumbum mahupun bahan logam berat yang bertoksik.

Herba-herba yang digunakan dalam produk Himalaya berasal khas dari kaki gunung Himalaya di India dan ladang-ladang eksklusif yang diusahakan oleh petani-petani tempatan.

neem
Daun Neem lebih dikenali dengan panggilan daun semambu, atau nama saintifiknya Azadirachta indica merupakan pohon yang kaya dengan unsur-unsur semula jadi yang digunakan dalam perubatan Ayurveda.
Rupanya unik dengan tepi daunnya bergerigi jelas dan agak tajam. Di bahagian atas daun kelihatan jalinan uratnya yang lebih jelas dengan berwarna sedikit kekuningan. Ia juga mempunyai buah serta bunga yang berbau harum dan banyak ditemui di tepi-tepi jalan sebagai tanaman hiasan.
Bermula daripada akar, ranting, daun, bunga, buah dan bijinya mempunyai khasiat dan keistimewaan yang pelbagai.Ia telah digunakan secara tradisional untuk merawat keradangan, jangkitan, demam, penyakit kulit dan masalah gigi sejak dahulu lagi. Malah, daun mambu yang bersifat antiserangga juga boleh digunakan untuk mengelak serangan serangga pada tanaman.

Memanfaatkan khasiat pohon Neem (pokok semambu, Laksamana)

KEMAJUAN sains dan teknologi kini membuka ruang seluas-luasnya dalam penghasilan pelbagai produk kesihatan dan kecantikan berasaskan bahan-bahan semula jadi khususnya penggunaan herba dan ramuan tradisional yang sememangnya terkenal dengan khasiatnya yang luar biasa.

Tidak ketinggalan, jenama produk kecantikan dan kesihatan terkenal, Himalaya Herbal Healthcare turut menawarkan alternatif baru dalam rawatan penjagaan kulit dengan pelancaran semula rangkaian produk Acne Neem yang dirumus menggunakan seratus peratus Herba Aktif iaitu daripada pohon Neem.

Pohon Neem lebih dikenali dengan panggilan pokok semambu, Laksamana atau nama saintifiknya Azadirachta indica merupakan pohon yang kaya dengan unsur-unsur semula jadi yang digunakan dalam perubatan Ayurveda sejak lebih 2,000 tahun lamanya. Rupanya unik dengan tepi daunnya bergerigi jelas dan agak tajam. Di bahagian atas daun kelihatan jalinan uratnya yang lebih jelas dengan berwarna sedikit kekuningan. Ia juga mempunyai buah serta bunga yang berbau harum dan boleh ditemui di tepi-tepi jalan.

Bagaimanapun, di India pokok ajaib ini ditanam dan dikomersialkan serta dibuat penyelidikan bagi mengekalkan keasliannya. Bermula daripada akar, ranting, daun, bunga, buah dan bijinya mempunyai khasiat dan keistimewaan yang pelbagai. Ia telah digunakan secara tradisional untuk merawat keradangan, jangkitan, demam, penyakit kulit dan masalah gigi sejak dahulu lagi. Malah, daun mambu yang bersifat antiserangga juga boleh digunakan untuk mengelak serangan serangga pada tanaman.

Hasil kajian oleh Himalaya Drug Company di India membuktikan daun Neem dan elemen-elemennya memiliki unsur-unsur anti radang, anti bakteria, anti oksida dan anti karsinogenik. Unsur-unsur ini amat mujarab untuk membantu mengatasi masalah kulit seperti jerawat dan berkesan untuk menghindarkan kerosakan kulit yang disebabkan oleh radikal bebas.

Ketua Perkhidmatan Perubatan & Percubaan Klinikal, Pusat Penyelidikan & Pembangunan, The Himalaya Drug Company di India, Dr. Pralhad S Patki berkata, Neem disyorkan untuk merawat masalah kulit. Unsur-unsurnya yang antibakteria sangat berkesan untuk melawan kebanyakan masalah epidermis seterusnya memelihara kesihatan kulit.

Justeru, rangkaian produk Acne Herba Neem dari Himalaya yang terdiri daripada pembersih Neem Foaming Face dengan Neem dan Kunyit, Neem Face Pack dengan Neem dan kunyit, krim A-N-P mengandungi nimbidin, iaitu salah satu unsur aktif Azadirachta indica yang membantu melegakan keradangan.

Manakala untuk pembersihan dalam tubuh, Neem yang ditampilkan berbentuk kapsul, Neem Capsules dipercayai mempunyai unsur antibakteria, antikulat dan dapat mengurangkan toksin dalam darah sangat ideal untuk mengubati kulit yang berjerawat dan alahan. Produk berkenaan dipasarkan oleh Embun Elit Sdn. Bhd. dan boleh didapati di pasaran dengan lingkungan harga RM21.90 hingga RM39.90.

Sumber:Blog Harizmry.blogspot.com

Bekalan buah, sayur sedia ke TEMAN


Sahbani Saimin meninjau ladang tanaman anggur di Lojing, Gua Musang, Kelantan.


MULA dirangka sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), Terminal Makanan Negara (TEMAN) merupakan satu lagi projek mega di bawah penyelenggaraan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Kewujudannya bakal bertindak sebagai pusat sehenti bagi operasi pengumpulan, pembungkusan dan pengedaran terbesar untuk hasil-hasil pertanian serta makanan ke pasar raya dan pusat-pusat jualan di seluruh negara.

Dengan matlamat menyediakan ruang pasaran lebih cekap untuk petani menjual produk mereka, kompleks pemborongan itu dijangka menjadi hab makanan serantau pertama di Asia Tenggara menjelang Disember ini.

Bagi tujuan itu, FAMA merancang membangunkan TEMAN di dua lokasi iaitu di Simpang Pulai, Ipoh dengan jangkaan operasi bermula Julai ini selain di Kota Bharu pada Oktober tahun ini.

Antara produk tumpuan yang bakal diuruskan TEMAN adalah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging, ayam, ikan, bunga, ikan hiasan serta barangan industri kecil dan sederhana (IKS).

Bagi memberi nilai tambah kepada projek itu, pengendalian TEMAN juga akan dilengkapi dengan prasarana dan infrastruktur moden bagi memudahkan hubungan antara pengeluar, pembekal dan pengguna.

Setiap aktiviti di terminal itu akan diselenggara menggunakan kaedah pengurusan berkomputer bagi memantau perjalanan perniagaan secara menyeluruh.

Kewujudan sistem itu juga menawarkan pelbagai kelebihan lain seperti transaksi yang lebih telus, sumber maklumat yang tepat dan terkini, dapat membantu petani merancang pengeluaran serta penetapan harga yang lebih stabil.

Kaedah itu turut membenarkan pengguna mengetahui serta mengenalpasti sumber setiap produk-produk itu diperolehi.

Apa yang lebih menarik, TEMAN turut disediakan dalam persekitaran yang bersih sekali gus menjamin keselamatan produk-produk dan sesuai untuk dimakan oleh pengguna.

Menerusinya juga, masa penghantaran produk-produk akan menjadi lebih pendek kerana lokasi terminal yang terletak berhampiran dengan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Selain tapak operasi TEMAN, FAMA kini sedang giat menjalankan pelbagai persiapan rapi bagi memastikan aktiviti kompleks itu akan berjalan dengan lancar.

Antaranya seperti mencari sumber bekalan bagi produk pertanian melalui pakatan strategik dengan pengeluar-pengeluar di seluruh negara.

Salah satu lokasi yang telah dikenal pasti adalah Cameron Highlands di mana FAMA telah menjalankan kerjasama secara ladang kontrak dengan pengusaha-pengusaha di sana.

Usahasama itu dilihat dapat membantu petani merancang pengeluaran dan pemasaran produk mereka secara lebih sistematik sebelum dihantar ke TEMAN.

Bagi meninjau persiapan para petani dan pengusaha, baru-baru ini, FAMA telah membawa rombongan media menyertai lawatan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunannya, Sahbani Saimin ke ladang buah-buahan dan sayur-sayuran di Cameron Highlands.

Menurut Sahbani, memandangkan operasi TEMAN bakal bermula, pihaknya kini sedang giat memantau pengusaha-pengusaha produk pertanian agar mengeluarkan hasil berkualiti dan mengikut garis panduan yang ditetapkan FAMA.

''Lawatan ini bertujuan meninjau kawasan ladang untuk melihat operasi tanaman produk-produk pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang akan dibekalkan ke TEMAN.

''Kita ingin melihat persiapan dan persediaan pengusaha-pengusaha ini,'' katanya yang turut melancarkan program Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P) serta menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) memasarkan produk sayur-sayuran Cameron Highlands pada lawatan empat hari itu.

Antara lokasi yang dilawati adalah ladang sayur, ladang strawberi dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Ladang kontrak FAMA bantu usahawan


PROGRAM Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P) kini diperluas ke ladang-ladang sayur dan buah di Cameron Highlands.


BANCIAN menunjukkan terdapat lebih kurang 5,000 petani mengusahakan tanaman sayur-sayuran di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.

Melihat daripada sudut positif, keadaan itu tentu sahaja mampu meningkatkan pengeluaran produk sayur berkualiti secara lebih produktif.

Namun, bagi pengusaha-pengusaha di sini, mereka sering berhadapan dengan beberapa masalah seperti kekurangan ruang pasaran selain penetapan harga yang tidak menentu.

Menyelami permasalahan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah bekerjasama dengan pengusaha-pengusaha berkenaan menerusi Program Ladang Kontrak.

Menerusinya, FAMA akan membeli produk-produk sayur untuk dipasarkan ke peringkat domestik dan antarabangsa dengan harga yang lebih tetap dan stabil.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Sahbani Saimin, bukan setakat peluang pasaran, malah pihaknya turut menawarkan pelbagai lagi kelebihan seperti latihan dan pemindahan teknologi.

''Projek ini turut digerakkan bersama beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian yang menawarkan latihan sementara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula menyumbang pemindahan teknologi.

''Tujuannya adalah untuk membantu para petani meningkatkan pengetahuan dalam aktiviti penanaman agar dapat mengeluarkan hasil yang berkualiti dan seterusnya menembusi pasaran global,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Ladang Kontrak di antara FAMA dan 60 pengusaha ladang sayur-sayuran di Cameron Highlands baru-baru ini.

Sahbani memberitahu, buat permulaan, FAMA

bercadang mengeksport sayur-sayuran dari Cameron Highlands ke Singapura dengan tumpuan kepada beberapa komoditi utama seperti kubis, tomato dan limau cameron.

Di samping itu, pihak FAMA juga kini sedang giat melaksanakan program pemantauan menerusi sistem ladang kontrak elektronik (e-ladang kontrak).

''Pendaftaran sistem ini memerlukan para pengusaha memberikan maklumat berkaitan ladang mereka seperti jenis tanaman, nama pengeluar, tarikh dikeluarkan, jumlah pengeluaran dan sebagainya,'' jelasnya.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan tag label dan kain rentang program Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P) kepada para petani sebagai simbolik pelaksanaan sistem itu di Cameron Highlands.

''Sebenarnya 3P telah dilancarkan sejak tahun 2008 lagi dan kini kita sedang menjalankan proses mendidik serta meningkatkan kefahaman petani-petani sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2011.

''Sistem ini bertujuan memastikan semua komoditi pertanian digred dan dibungkus mengikut teknik yang betul selain dilabel dengan maklumat produk secara terperinci.

''Sekarang ini pelangggan amat mengambil berat tentang kualiti dan keselamatan serta sumber produk yang dijual.

''Cara itu juga secara tidak langsung akan dapat mempromosikan ladang mereka kepada pelanggan,'' jelasnya.

Dalam perkembangan sama, FAMA turut melantik seramai 15 penanam sayur di Cameron Highlands yang akan bertindak sebagai pengusaha contoh dengan mengaplikasikan sistem itu secara menyeluruh di ladang masing-masing.

Usaha meningkatkan kesedaran terhadap pelaksanaan 3P juga dijalankan menerusi operasi sekatan jalan raya di beberapa lokasi laluan keluar produk sayuran dari ladang.

Antara kawasan yang dipilih adalah seperti di daerah Lojing iaitu di sempadan negeri Kelantan dan Pahang selain di Tapah dan juga Simpang Pulai, Perak.

Dengan adanya sistem 3P, ia akan dapat memudahkan aktiviti pasaran sayur-sayuran bermula dari ladang sehingga melalui pemborong, pengedar, peruncit, pengeksport dan akhir sekali kepada pelanggan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails