Tuesday, May 18, 2010

Ladang kontrak FAMA bantu usahawan


PROGRAM Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P) kini diperluas ke ladang-ladang sayur dan buah di Cameron Highlands.


BANCIAN menunjukkan terdapat lebih kurang 5,000 petani mengusahakan tanaman sayur-sayuran di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.

Melihat daripada sudut positif, keadaan itu tentu sahaja mampu meningkatkan pengeluaran produk sayur berkualiti secara lebih produktif.

Namun, bagi pengusaha-pengusaha di sini, mereka sering berhadapan dengan beberapa masalah seperti kekurangan ruang pasaran selain penetapan harga yang tidak menentu.

Menyelami permasalahan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah bekerjasama dengan pengusaha-pengusaha berkenaan menerusi Program Ladang Kontrak.

Menerusinya, FAMA akan membeli produk-produk sayur untuk dipasarkan ke peringkat domestik dan antarabangsa dengan harga yang lebih tetap dan stabil.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Sahbani Saimin, bukan setakat peluang pasaran, malah pihaknya turut menawarkan pelbagai lagi kelebihan seperti latihan dan pemindahan teknologi.

''Projek ini turut digerakkan bersama beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian yang menawarkan latihan sementara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula menyumbang pemindahan teknologi.

''Tujuannya adalah untuk membantu para petani meningkatkan pengetahuan dalam aktiviti penanaman agar dapat mengeluarkan hasil yang berkualiti dan seterusnya menembusi pasaran global,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Ladang Kontrak di antara FAMA dan 60 pengusaha ladang sayur-sayuran di Cameron Highlands baru-baru ini.

Sahbani memberitahu, buat permulaan, FAMA

bercadang mengeksport sayur-sayuran dari Cameron Highlands ke Singapura dengan tumpuan kepada beberapa komoditi utama seperti kubis, tomato dan limau cameron.

Di samping itu, pihak FAMA juga kini sedang giat melaksanakan program pemantauan menerusi sistem ladang kontrak elektronik (e-ladang kontrak).

''Pendaftaran sistem ini memerlukan para pengusaha memberikan maklumat berkaitan ladang mereka seperti jenis tanaman, nama pengeluar, tarikh dikeluarkan, jumlah pengeluaran dan sebagainya,'' jelasnya.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan tag label dan kain rentang program Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P) kepada para petani sebagai simbolik pelaksanaan sistem itu di Cameron Highlands.

''Sebenarnya 3P telah dilancarkan sejak tahun 2008 lagi dan kini kita sedang menjalankan proses mendidik serta meningkatkan kefahaman petani-petani sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2011.

''Sistem ini bertujuan memastikan semua komoditi pertanian digred dan dibungkus mengikut teknik yang betul selain dilabel dengan maklumat produk secara terperinci.

''Sekarang ini pelangggan amat mengambil berat tentang kualiti dan keselamatan serta sumber produk yang dijual.

''Cara itu juga secara tidak langsung akan dapat mempromosikan ladang mereka kepada pelanggan,'' jelasnya.

Dalam perkembangan sama, FAMA turut melantik seramai 15 penanam sayur di Cameron Highlands yang akan bertindak sebagai pengusaha contoh dengan mengaplikasikan sistem itu secara menyeluruh di ladang masing-masing.

Usaha meningkatkan kesedaran terhadap pelaksanaan 3P juga dijalankan menerusi operasi sekatan jalan raya di beberapa lokasi laluan keluar produk sayuran dari ladang.

Antara kawasan yang dipilih adalah seperti di daerah Lojing iaitu di sempadan negeri Kelantan dan Pahang selain di Tapah dan juga Simpang Pulai, Perak.

Dengan adanya sistem 3P, ia akan dapat memudahkan aktiviti pasaran sayur-sayuran bermula dari ladang sehingga melalui pemborong, pengedar, peruncit, pengeksport dan akhir sekali kepada pelanggan.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails