Tuesday, May 18, 2010

Arnab Bukit Kapar


Pengalaman sukar mencari seekor arnab untuk seorang pensyarah, memberi idea kepada dua sahabat untuk menternak haiwan tersebut.

"Saya pernah dikatakan gila kerana tinggal dalam kawasan hutan seorang diri hampir enam bulan.

"Namun kini, saya bangga kerana usaha yang dilakukan membuahkan hasil dan mereka yang menyangka saya gila juga mula membuka mata."

Demikian cerita Endali Putra Ibrahim, 23, ketika ditanya antara pengalaman awal yang tidak boleh dilupakan untuk menjadikan pusat ternakan arnab, Rabbit World Agro itu satu kenyataan.

Endali yang mengusahakan pusat ternakan itu bersama rakan karibnya, Herman Amanah, 31, sebenarnya tidak mempunyai kemahiran atau pengetahuan mengenai selok-belok penjagaan arnab.

Namun, benarlah kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan kemahuan yang ada, dua rakan karib itu sudah mempunyai lebih daripada 700 ekor arnab yang dipelihara di kawasan seluas 0.8 hektar di Jalan Setia Jaya, Bukit Kapar, Klang, Selangor Darul Ehsan.

"Saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mempunyai kelulusan peringkat sijil dalam jurusan pendawaian elektrik dari Institut Kemahiran Yayasan Selangor, Kuala Selangor.

"Namun, itu bukan penghalang untuk saya menglibatkan diri dalam dunia perniagaan, tambahan pula saya mempunyai rakan karib yang bijak mencari peluang baru dalam dunia penuh mencabar ini," katanya kepada Kosmo!.

Bercerita sejarah awal, rakannya, Herman memberitahu, dia mula mencari maklumat mengenai cara-cara penjagaan arnab di Internet, selain di Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Putrajaya dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Herman memiliki diploma dalam jurusan Kejuruteraan Awam dari Kolej EDI. Dia yang turut berkecimpung dalam perniagaan lain seperti kontraktor dan pembekal barangan berkata, perniagaan yang dijalankan itu membuatkannya sering masuk dan keluar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Katanya, dari situlah segala-galanya bermula.

"Seorang pensyarah di universiti itu minta saya carikan seekor arnab untuk dibuat kajian dan dari situ, baru saya tahu betapa susahnya untuk mendapatkan arnab.

"Bayangkan di Selangor, hanya ada seorang penternak arnab iaitu di Semenyih. Dari situ juga, saya dan Endali nekad untuk belajar cara-cara menternak arnab. Kami membayar sebanyak kira-kira RM1,200 seorang bagi kos yuran pembelajaran selama empat hari tiga malam," katanya.

Inilah hasilnya. Menurut Herman, daripada sejumlah 60 ekor arnab yang dibeli pada harga RM250 seekor pada Jun tahun lalu, kini mereka berjaya membiak arnab tersebut sehingga mencecah lebih daripada 700 ekor. Kesemua arnab itu dipelihara di lima buah kandang yang dibina di tanah milik keluarga Endali.

Rakan karib ini mengakui, moto Pertanian satu Perniagaan yang dipromosikan kerajaan turut mendorong mereka terjun ke dalam bidang tersebut.

"Mereka yang ingin mencari pelbagai jenis arnab seperti angora, lion head, felmish giant, hot tot, black & white New Zealand dan English Sport, boleh datang ke pusat ternakan ini," kata Herman.

Bagaimanapun, kedua-dua anak muda kelahiran Selangor itu mengakui mereka perlu bekerja keras dan tidak boleh cepat berasa puas hati dengan pencapaian yang ada setakat ini.

Menurut Herman, ini kerana jumlah arnab yang diternak mereka setakat ini belum cukup untuk menampung pasaran di peringkat nasional.

"Bagi pasaran tempatan, kami tidak menghadapi masalah kerana kebiasaannya orang membeli arnab dalam kuantiti yang sedikit, selain menjualnya sebagai haiwan peliharaan di pasar-pasar sekitar Selangor," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menghubungi Rabbit World Agro, anda boleh menghubungi Endali Putra di talian 012-340 1782 atau menerusi e-mel ke rabbit.world@yahoo.com

- KOSMO!

2 comments:

gula gula besi said...

btul k arnab you beli rm250 seekor untuk 60 ekor, mahalnya, arnab apa tu? belajar ternak arnab dimana?

Khairul said...

Betul..

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails