Thursday, September 24, 2009

Dua Felda Dipilih Sebagai Gedung Makanan Negara Untuk Pisang

GUA MUSANG, (Bernama) -- Felda memilih Rancangan Tanah Ciku Satu dan Perasu sebagai pusat melaksanakan projek gedung makanan negara membabitkan tanaman pisang Jelai Berangan secara komersial, kata Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang, Abd Malib Abd Rani.

Beliau berkata projek berkenaan akan dimulakan selepas Oktober depan membabitkan 210 peneroka, 140 peserta Rancangan Tanah Ciku Satu dan 70 peserta Perasu.

Beliau berkata, Felda akan melatih peneroka berkenaan untuk melahirkan usaha berjaya dalam bidang tanaman pisang itu kerana ia mampu memberi pulangan lumayan.

"Cadangan ini adalah idea Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak yang mahu peneroka ada pendapatan sampingan menerusi tanaman berkenaan," katanya pada majlis penyampaian bonus raya Peneroka Felda di Perkarangan Masjid Rancangan Tanah Felda Ciku Satu, dekat sini Rabu.

Penyerahan Bonus Raya itu dilakukan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Abd Malib berkata, kerajaan mengambil berat mengenai pundapatan peneroka dan merancang banyak kerja sampingan untuk mereka usahakan dan mampu menampung perbelanjaan.

Katanya, dua rancangan tanah itu juga sekarang ini terbabit dengan program tanam semula ladang sawit dan kesempatan itu diambll untuk memajukan 800 hektar tanah bagi tanaman pisang.

"Ia tidak akan menjejaskan program tanam semula sawit kerana tanaman pisang boleh diusahakan di lorong kawasan ladang berkenaan.

"Hanya tidak sampai enam bulan mereka akan menerima hasil pisang dan apa yang kita harapkan hasilnya lebih bermutu bagi memenuhi permintaan di pasaran," katanya.

Beliau berkata, Felda akan membimbing mereka untuk berjaya dan banyak lagi kawasan tanah rancangan Felda yang boleh dimajukan sendiri peneroka untuk menambahkan pendapatan.

-- BERNAMA

Siswazah UPM Ceburi Pertanian Komersial

TUMPAT - Menyedari akan potensi besar sektor pertanian, seorang siswazah bidang Bioindustri, Universiti Putra Malaysia, sanggup memberanikan diri menceburi sektor pertanian untuk muncul sebagai seorang petani komersial. Azizi Awang, 35 tahun dari Kampung Bendang Luas, Tumpat kini mengusahakan tanaman pisang jenis berangan di atas tanah yang disewa seluas 8.4 hektar dengan bantuan empat pekerja.

Projek itu dilaksanakan dalam beberapa fasa di mana fasa pertama sebanyak 4,000 pokok telah ditanam sejak Mac lalu dengan modal permulaan sebanyak RM 40,000 dan dijangka akan mengeluarkan hasil dalam tempoh 9 bulan.

Bagi fasa kedua pula, sebanyak 4,000 pokok lagi akan ditanam tidak lama lagi. Segala ilmu yang dipelajari semasa menuntut di UPM dan pengalaman bekerja selama 3 tahun dalam sektor pertanian dan penternakan dengan sebuah syarikat swasta di Sarawak telah digunakan sepenuhnya bagi menjayakan projek tersebut.

Kesungguhan beliau dalam sektor ini telah mendapat perhatian daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bunga Raya yang telah menjadikan beliau sebagai usahawan bimbingan PPK itu bagi membolehkannya muncul sebagai usahawan tani berjaya pada masa depan.


Pengurus Besar PPK berkenaan, En. Zulkifli Salleh menjelaskan, pihak PPK akan membantu beliau dalam bentuk kredit input pertanian selain memohon bantuan dan pinjaman daripada KADA agar projek tanaman pisang ini dapat diperluaskanlagi pada masa akan datang.

Jambu Pak Cu ke pasar raya


JAMBU Pak Cu 916 Sdn Bhd, perintis perniagaan jambu potong secara komersial yang kini sudah mempunyai 468 cawangan di seluruh negara melangkah setapak lagi apabila akan memasuki pasar raya di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Pengarah Urusannya, Ishak Abdul (Pak Cu), berkata sejak 1982 lagi dia sudah mula berniaga jambu potong dan walaupun bermula secara kecil-kecilan kini dia mampu memberi peluang kepada orang lain untuk memperoleh pendapatan sampingan.

Katanya, berikutan sambutan menggalakkan terhadap produk makanan berasaskan jambu berkenaan dia menyasarkan lebih banyak cawangan yang akan dibuka akhir tahun ini.

“Peluang perniagaan kios jambu batu potong terbuka kepada sesiapa saja yang berminat lebih-lebih lagi mereka yang menganggur kerana selain dapat menjana pendapatan lumayan sekali gus memperoleh ilmu perniagaan.

“Potensi untuk berjaya dalam perniagaan ini sangat besar jika tahu caranya dan diusahakan dengan jujur, malah ada yang mampu mencatatkan jualan RM300 sehingga RM1,500 sehari,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, selain cuba menembusi pasaran pasar raya, syarikat Jambu Pak Cu 916 turut mengajar mereka menguruskan perniagaan tepi jalan supaya berjaya dan mampu memperoleh pendapatan tetap mencecah ribuan ringgit.

Fokus pasaran Jambu Pak Cu 916 ini bukan saja di Semenanjung Malaysia tetapi menurut Pak Cu, pihaknya akan memasuki pasaran di Sabah dan Sarawak jika ada permintaan di sana.

Jambu Pak Cu 916 mengalu-alukan orang ramai atau pengusaha yang ingin mengembangkan perniagaan dengan membuka jualan jambu jenama berkenaan kerana ia mampu menjana pendapatan keluarga.

Pakej perniagaan yang ditawarkan oleh Jambu Pak Cu 916 berharga RM2,200 merangkumi kios, set payung dan pelbagai kelengkapan lain selain diberi bimbingan dan latihan usahawan.

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

Fama buka 5 pasar tani baru

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Perak akan mewujudkan lima pasar tani baru di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri bagi memenuhi kehendak pengguna serta membantu meningkatkan taraf hidup pengusaha hasil tani tempatan, menjelang akhir tahun ini.

Lokasi baru itu di Kuala Kangsar, Kampar, Changkat Jering, Manjung dan Parit Buntar selain tiga yang baru dilancarkan baru- baru ini iaitu di Taman Perpaduan (Ipoh) selain Kampung Gajah dan Pokok Assam (Taiping).

Ahli Lembaga Pengarah Fama, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata secara keseluruhan, 17 pasar tani aktif beroperasi di negeri ini sejak 1985 sehingga Julai lalu membabitkan 723 peserta.

Beliau berkata, nilai keseluruhan jualan yang dicatatkan sejak ia mula dibuka 24 tahun lalu mencecah RM159 juta dengan tahun lalu saja ia mencapai angka jualan RM12 juta.

“Bagi Januari hingga Julai tahun ini pula, nilai jualan sudah pun mencapai RM7.3 juta dan ia adalah angka cukup memberangsangkan.

“Kami berharap penubuhan pasar tani baru itu akan membantu meningkatkan nilai jualan keseluruhan apabila semuanya dapat beroperasi sepenuhnya kelak,” katanya.

Katanya, pembukaan lebih banyak pasar tani bukan saja memberi sumber pendapatan tambahan kepada pengusaha hasil tani malah, ia juga mampu menjana ekonomi di negeri.

Selain pasar tani, Fama Perak turut mewujudkan program pembangunan usahawan lain seperti Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) membabitkan 41 unit dengan 32 peserta dan empat Kedai Rakyat (12 peserta).

Program berkenaan sehingga kini mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7 juta setiap tahun.

Katanya, semua program dirancang dan dilaksanakan oleh Fama bertujuan meningkatkan pembangunan usahawan dan menambahkan pendapatan peserta.

Perluas industri sarang burung walet di kampung

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memperluaskan industri sarang burung walet ke kampung bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha Bumiputera menceburi industri itu.

Ketua Pengarah JPV, Datuk Abd Aziz Jamaluddin, berkata pihaknya percaya industri itu boleh berkembang di kawasan kampung kerana ia mempunyai pelbagai sumber makanan untuk burung itu seperti tanaman dan dusun buah-buahan.

“Jika boleh kami hendak melihat lebih ramai Bumiputera terbabit dalam industri burung walet ini,” katanya selepas meninjau perusahaan burung walit di Kampung Pengkalan Berangan, di Marang, Terengganu, semalam.

Abd Aziz berkata, ketika ini, terdapat 200,000 pengusaha burung walet di seluruh negara dengan nilai pengeluaran mencecah RM1 bilion setahun.

Beliau berkata, daripada jumlah besar itu, hanya lapan peratus mewakili pengusaha Bumiputera.

- Bernama

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails