MUSIM kemarau akan mengeringkan rumput manakala banjir akan
menyebabkan kematian kebanyakan jenis rumput. Untuk menunggu rumput
kembali tumbuh pasti memakan masa.
Bagi penternak yang memiliki ladang pastura atau padang ragut hanya
sekangkang kera pastinya masalah tersebut akan bertambah parah.
Oleh yang demikian, penggunaan silaj makanan atau penyimpanan foraj
sedang giat diperkenalkan kerana menyedari penternak-penternak masa kini
menghadapi masalah untuk menyediakan rumput yang bermutu dan mencukupi
sepanjang tahun.
Antara agensi kerajaan yang giat menjalankan kajian serta penyimpanan
silaj tersebut adalah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MARDI), Muadzam Shah, Pahang yang diterajui oleh Pegawai
Penyelidik Kanannya, Mohd. Nasir Abdul.
Menurut beliau, beberapa kajian telah dijalankan bagi menentukan
teknologi yang sesuai untuk penyimpanan foraj di kalangan
penternak-penternak kecil di Malaysia.
"Silaj ditakrif sebagai hasil yang terbentuk apabila tanaman foder
yang tinggi kandungan airnya seperti rumput dan jagung, diracik dan
diperam dalam struktur kedap udara yang dinamakan silo (tong plastik).
"Keperluan air di dalam bekas kedap air ini adalah antara 65 hingga
75 peratus dan saiz racikan pula adalah tiga hingga 15 sentimeter (sm),"
katanya ketika ditemui di MARDI, Stesyen Muadzam, Pahang baru-baru ini.
Tambahnya, tumbuhan jenis rerumput seperti napier, jagung, rumput
gajah, purple guinea mudah diperolehi serta ditanam di negara ini.
Untuk menghasilkan silaj, rumput terlebih dahulu diracik dan
dimasukkan ke dalam silo bersama gula merah bagi mempercepatkan proses
penapaian dan pemeraman.
Bahan tersebut akan diperam selama 21 hari dan dikatakan silaj yang dihasilkan tidak akan rosak selagi silo tidak dibuka.
Ujar Mohd. Nasir, silaj yang baik memiliki ciri-ciri pH (tahap
kemasaman) kurang daripada 4.5 dan kandungan asid laktiknya pula adalah
tiga hingga 13 peratus.
Kandungan asid butiriknya pula perlu kurang daripada 0.2 peratus.
Setelah diperam sekian lama, silaj akan bertukar warna daripada hijau
kepada hijau kekuningan atau hijau keperangan serta mengeluarkan aroma
yang wangi.
Bagi tahap kelembapannya pula, silaj berada di dalam keadaan lembap
sederhana dan tidak terdapat lelehan serta tidak melekit jika digenggam
kuat.
Untuk pemerhatian yang lebih mudah, silaj yang bagus adalah produk yang disukai oleh haiwan ternakan.
Ini bermakna semakin silaj yang dihasilkan digemari haiwan ternakan
anda, itu bermakna silaj yang dihasilkan berada di dalam keadaan yang
baik.
Antara perkara yang perlu dititik beratkan semasa memproses silaj
adalah, pekerja perlu memastikan bahan yang diracik dimampatkan dengan
padat ke dalam silo.
Hal demikian bagi mengelakkan terdapatnya kandungan udara berlebihan yang dipercayai akan merosakkan proses pemeraman.
Penternak boleh menggunakan pemampat silaj bagi melakukan proses
pemampatan atau pun dengan hanya memijak sehingga bahan yang diracik
menjadi padat.
Semasa proses pemampatan, silaj akan dicampurkan bersama gula merah
yang telah dicairkan sebanyak satu kilogram (kg) bagi sebuah silo.
Proses dilakukan sebanyak dua hingga lapisan silaj sehingga silo dipenuhkan.
Seterusnya, mulut silo perlu dilapik dengan plastik sebelum ditutup bagi memastikan silo benar-benar kedap udara.
Berat sebiji tong yang berisi silaj kadang kala mampu mencecah 60
hingga 80 kilogram mengikut kepadatan serta bahan foder yang digunakan.
Setelah 21 hari diperam, silaj sudah boleh dibuka dan diberikan kepada haiwan ternakan sebagai makanan tambahan mahupun utama.
Semasa proses pemeraman perubahan bahan kepada produk tertentu dalam silaj akan berlaku.
Secara amnya, karbohidrat dalam bahan yang diperam ditukarkan menjadi asid laktik atau asetik.
Proses penukaran dilakukan oleh bakteria anaerobik dengan bantuan haba yang dihasilkan oleh sel tanaman yang masih hidup.
Asid-asid yang dikeluarkan, terutamanya asid laktik akan merendahkan
pH dan ini menyebabkan proses biokimia yang terjadi pada bahan silaj
terhenti.
Dengan itu, bahan yang diperam akan dapat disimpan dengan baik malah kualiti pemakanannya juga dikekalkan.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam penghasilan silaj, Mohd. Nasir berkata, kualiti bahan perlu dititik beratkan.
Malah, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencipta kaedah memproses
serta 'ramuan' yang tepat bagi memastikan silaj yang dihasilkan mampu
mengekalkan kuantiti kumpulan protein antara 14 hingga 18 peratus.
Mengekalkan kesuburan bahan mentah juga turut dititik beratkan
seperti pembajaan kawasan penanaman rumput bagi memastikan stok tumbuhan
tersebut sentiasa mencukupi selain berkualiti tinggi.
Selain penggunaan tong plastik sebagai silo, penyelidik MARDI itu
juga turut mencipta silo yang dikenali sebagai silosil daripada binaan
konkrit.
Silosil konkrit yang dihasilkan dikatakan mampu menampung pengeluaran silaj sehingga 20 tan untuk setiap pengeluaran.
Keupayaan menghasilkan silaj dalam skala yang lebih besar merupakan
kejayaan yang baik namun dilihat tidak praktikal bagi penternak
kecil-kecilan. - ASHRIQ FAHMY AHMAD
No comments:
Post a Comment