KUALA LUMPUR 27 Julai - Persatuan Insurans Kebangsaan (NIAM) memperkenalkan produk insurans baru iaitu insurans khas untuk penternak komersial tempatan yang dinamakan Tani Malaysia.
Tani Malaysia akan dimulakan perkhidmatannya pada September depan dan ia dijayakan oleh sebuah konsortium yang dianggotai 10 ejen insurans dan takaful.
Syarikat-syarikat yang terlibat dalam konsortium tersebut adalah Tani Management (M) Sdn. Bhd., Malaysia Reinsurance Berhad., Labuan Reinsurance (L) Ltd., Malaysia Reinsurance Berhad dan MUI Continental Insurance Berhad.
Turut serta ialah Oriental Capital Assurance Berhad, Progressive Insurance Berhad, RHB Insurance Berhad, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. dan Uni Asia General Insurans Berhad.
Presidennya, Koh Heng Kong berkata, produk tersebut adalah satu permulaan yang baik kerana berjaya menarik minat 10 ejen insurans tempatan dan takaful.
Produk tersebut, menurut beliau, mampu memberi faedah kepada penternak komersial yang selama ini berhadapan dengan pelbagai risiko bencana dan kemalangan.
''Produk ini memberi perlindungan sepenuhnya kepada para penternak yang mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman dan ternakan.
''Ia sesuai dengan keadaan iklim di negara ini yang tidak menentu termasuk kejadian seperti kebakaran, tanah runtuh dan banjir,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
NIAM pernah mencadangkan usul projek perintis seperti Tani Malaysia pada 2002 yang sepatutnya ditaja oleh kerajaan iaitu Skim Insurans Kekurangan Hasil Padi, namun, skim itu tidak diluluskan.
Sehingga kini, NIAM mempunyai 32 ahli berdaftar termasuk 15 syarikat insurans am, lima syarikat insurans komposit, empat syarikat insurans nyawa, empat syarikat takaful dan empat lagi merupakan syarikat diinsurankan semula.
Heng Kong menambah, sebelum memikirkan produk Tani Malaysia, NIAM sudah menjalankan kajian dan penyelidikan selama enam tahun dengan mengambil pengalaman-pengalaman lalu.
Katanya, selepas membuat persediaan selama dua tahun, pihaknya bersedia untuk melancarkan produk berkenaan.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan NIAM, Heng Kong menambah, pihaknya mahu memperluaskan perlindungan insurans kepada sektor ternakan ayam, itik dan akuakultur.
dari Utusan Online
No comments:
Post a Comment