Wednesday, December 23, 2009

Penduduk pelajari teknik penyembelihan


KAJANG – Penduduk sekitar Taman Jasmin dekat sini diberikan pendedahan baru berkaitan teknik penyembelihan yang betul melalui ‘Kursus Penyembelihan Siri 1 2009’.

Yang Dipertua Badan Kebajikan dan Khairat Kematian (BKKK) Taman Jasmin, Datuk Mohamed Zain Zakaria berkata, kursus diadakan bertujuan memberi pendedahan pertama kepada ahli kariah dan BKKK serta penduduk sekitar.

“Melalui kursus ini maka peserta dapat memahami dan mempelajari teknik serta penyelenggaraan penyembelihan dengan cara yang betul, mengikut hukum syarak, halal dan toyibban.

“Kursus diadakan secara teori dan praktikal di mana kefahaman dapat diberikan dengan lebih jelas lagi dan sebanyak 40 ayam serta dua ekor kambing telah diberikan untuk tujuan latihan secara praktikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Mohamed Zain berkata, salah satu syarat penyertaan adalah setiap peserta dikehendaki melakukan praktikal penyembelihan seekor ayam kampung sebagai syarat utama penyertaan mereka.

Beliau berkata, selepas menyertai kursus penyembelihan ini maka penduduk akan lebih yakin untuk melakukan penyembelihan dengan sendirinya tanpa rasa ragu dan kursus sebegini berkemungkinan akan diadakan secara berkala iaitu setahun sekali.

“Penyertaan daripada penduduk sekitar disasarkan hanya seramai 30 orang tetapi kini ia telah melebihi daripada angka itu dan penyertaan amat memberangsangkan malah peserta berpuas hati dengan kursus penyembelihan yang diadakan,” katanya.

Menurutnya, kursus anjuran bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan BKKK Taman Jasmin itu diadakan pekarangan Surau Taman Jasmin dan Dewan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kafa Integrasi Taman Jasmin.

Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Halal, Jais, Ahmad Solihin Maryakon dan beliau telah merasmikan kursus penyembelihan itu.

Sumber:Sinar Harian

Tuesday, December 15, 2009

Syarat tanah subur




Penggunaan media berasaskan gambut elak tanah jadi padat dan keras

SESIAPA saja boleh menanam pokok. Bagaimanapun, ramai tidak tahu bagaimana mahu memastikan pokok yang ditanam terus hidup dan subur.

Bagi kebanyakan kes, ramai yang tidak menjaga pokok yang ditanam, termasuk menyelenggara, memangkas dan menggalakkan pertumbuhan pokok dan menjejaskan pertumbuhannya.


Tidak kurang yang beranggapan, memadailah untuk menyuburkan pokok dengan meletakkan baja yang bersesuaian, selain air dan sinaran matahari yang mencukupi mengikut kesesuaian pokok.

Hakikatnya, ada banyak masalah lain yang menyebabkan pokok tidak subur atau mampu hidup lama. Kebiasaannya, masalah yang sering dihadapi pokok yang menyebabkannya tidak subur ialah kehadiran rumput rumpai yang tidak diingini, iaitu pokok terpaksa bersaing untuk mendapatkan nutrien dengan rumput berkenaan.

Selain itu, timbul masalah penyusutan media tanaman menyebabkan akar kurang produktif dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan pokok.



Dalam sesetengah kes pula, tanah menjadi terlalu padat dan menjadi keras. Ini menyebabkan berlaku takungan air serta masalah pengudaraan. Jika tanda-tanda berkenaan wujud, maka pokok akan kekurangan nutrien dan memerlukan proses membaikpulih tanah.

Salah satu cara mudah membaik pulih tanah ialah dengan menggunakan penyubur tanah berasaskan gambut. Caranya adalah seperti berikut:

1. Cabut rumput rampai pada sekeliling pokok. Seeloknya lakukan pemangkasan terlebih dulu. Pangkas dahan mati dan yang berpenyakit.

2. Taburkan penyubur tanah berasaskan gambut setebal 2.54 hingga 5.08 sentimeter (satu hingga dua inci). Jangan bimbang jika ia terlebih kerana ia seratus peratus organik dan tidak mengandungi sebarang najis binatang.


3. Gemburkan saja atau sekadar gaulkan. Pastikan tidak mencederakan akar. Seterusnya siram air secukupnya.

Fakta Tanah Gambut

  • Di Malaysia, kebanyakan tanah gambut mengandungi 90 peratus bahan organik di dalamnya seperti sisa pereputan kayu, daun, akar dan batang pokok, selain mengandungi mineral yang biasa dijumpai dalam tanah lain.

  • Tanah gambut juga dikatakan mampu menyerap, menapis air dan ia dikatakan menjadi takungan karbon yang amat besar kuantitinya serta mempunyai kepentingan ekonomi untuk sektor pertanian dan penanaman pokok hiasan.

  • Dalam keadaan semula jadi, tanah gambut di negara ini mengandungi bahan pereputan kayu, dari akar, daun hingga ranting pokok. Ini menyebabkan air sentiasa bertakung di permukaan tanah dan melambatkan pereputan.

  • Bagi petani, tanah gambut digelar sebagai tanah hitam kerana warnanya lebih hitam dan berbeza dengan jenis tanah lainnya. Tanah gambut umumnya dalam bidang botani disebut peat, namun ia mempunyai pelbagai gelaran lain mengikut negara.

  • Di Amerika Utara, gambut disebut sebagai fen, manakala di Kanada dikenali sebagai musked. Di Russia dan Amerika Syarikat pula dirujuk sebagai bog, Finland (mire) dan di Jerman (moor).

    Info:
    Rencana ini disediakan Peat Organic (M) Sdn Bhd, pengeluar tanah gambut Peatgro. Hubungi mereka di www.peatorganic.com atau telefon 03-61208727 / 03-61208728 (faksimili)
  • Biak pokok

    Disediakan oleh Abdul Rahim Rashid, Peat Organic (M) Sdn Bhd



    Ada pelbagai cara menanam pokok, namun ramai yang tidak tahu caranya. Ikuti tunjuk ajar pakar hortikultur Abdul Rahim Rashid menanam melalui keratan batang

    PADA keluaran lalu saya menulis berkenaan penggunaan bahan dapur sebagai racun serangga yang lebih selamat, mudah dan murah. Kali ini saya akan menerangkan mengenai cara pembiakan pokok untuk penggemar landskap kediaman.

    Mungkin ada sesetengah orang lebih mudah membeli pokok daripada nurseri bunga, tetapi pada pendapat saya, kepuasan akan lebih didapati sekiranya kita sendiri menjalankan pembiakan pokok dan seterusnya melihat pokok berkenaan membesar. Terdapat banyak kaedah yang digunakan antaranya secara keratan terdiri dari keratan batang serta keratan daun.


    Jenis keratan dahan
  • Keratan kayu keras
  • Keratan kayu sederhana keras
  • Keratan hijau
  • Keratan herba

    Keratan daun
  • Helai daun
  • Lenturan Udara
  • Tangkai daun
  • Kepingan daun
  • Mengerat urat
  • Ruas daun
  • Tunas daun

    Pada minggu ini, saya akan hanya menerangkan kaedah pembiakan vegetative secara keratan dahan untuk kayu keras, kayu sederhana dan kayu hijau.
    Gambar kiri, anak benih yang baik menghasilkan pokok subur. Gambar kanan, menyemai pokok perlukan tanah yang baik.

    Alat dan bahan:
    1. Pisau cantuman
    2. Gunting atau pemangkas
    3. Media perakaran - Peatgro
    4. Penggalak akar
    5. Penyembur kabus
    6. Plastik lutsinar
    7. Tali pengikatl
    8. Bekas
    9. Pengcukil (dibber)
    10. Jaring
    11. Sudip tanah.

    PERHATIAN
    Bahan - bahan tanaman yang diguna hendaklah matang, sihat, segar dan tidak berpenyakit. Gunakan Peatgro sebagai media perakaran dan percambahan yang lebih efektif.

    Langkah keratan kayu keras

    1.Kerat dahan pokok 30 sentimeter memanjang


    2. Buang daun - daun di bahagian pangkal dahan

    3. Potong serong di bawah ruas dahan tentukan potongan bersih dan licin

    4. Letakkan pangkal dahan dengan penggalak akar

    5. Buat lubang di media perakaran

    6. Masukkan keratan kira-kira 1/3 daripada panjang keratan

    7. Padatkan tanah di sekeliling keratan. Bagi keratan kayu sederhana dan kayu hijau, langkah-langkah adalah seperti di atas.

    8. Lazimnya kesemua keratan kayu keras, sederhana dan hijau akan berakar dan mengeluar pucuk baru dalam tempoh 8 hingga 12 minggu.

    9. Keratan yang berakar boleh dialih ke dalam pasu.

    Pada kali ini juga terdapat jenis keratan yang lebih mudah untuk dipraktikkan iaitu Keratan BentukTumit ( heeled cuttings ) . Keratan yang berbentuk seperti tumit biasanya boleh di gunakan pada semua jenis kayu dengan memisahkan anak tunas baru dengan batang induknya. Sangat sesuai di gunakan untuk pokok yang sukar untuk mengeluarkan akar seperti jenis conifer, juniper atau thuja.

    Langkah-langkah keratan bentuk tumit adalah seperti berikut:

    1. Pegang batang pokok tunggal antara ibu jari dan jari telunjuk. Secara perlahan-lahan, tarik /siat keluar anak tunas baru.

    2. Menggunakan pisau lipat yang tajam, buat sedikit keratan pada tapak tumit. Kemudian sapukan dengan penggalak akar/hormone.

    3. Tetapkan kedudukan tunas di dalam media penanaman. Buat lubang, masukkan keratan dan seterusnya tutup lubang dan padatkan. Lakukan penyiraman.

    Info: Kompos tanah pasuan
    Ciri-ciri kompos yang ideal dan berkualiti

    1. Tekstur - gembur, peroi dan rongga
    a. Mudah akar-akar menjalar dan mencengkam.
    b. Memberi pengudaraan - O2
    c. Penyerapan air yang baik.
    d. Mempunyai saliran yang baik

    2. Nutrien-nutrien - yang mencukupi dan seimbang kepada semua peringkat tumbesaran pokok.

    3. Setiap bahan mempunyai fungsi yang tertentu

    4. Bebas daripada segala patogen dan bahan toksik.

    5. Bebas daripada najis-najis haiwan.

    6. Bahan-bahan - murah dan senang di dapati.

    7. Cara mencampur - mudah dan senang


    Info: Hantarkan soalan serta pertanyaan kepada Peat Organic (M) Sdn. Bhd di telefon 03-61208727 atau kunjungi laman web www.peatorganic.com.

  • Tanaman Anggur Sendayan




    Diusahakan dua sahabat yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian

    JIKA selama ini, rakyat negara ini membeli anggur yang diimport dari luar negara, tidak lama lagi Malaysia boleh berbangga dengan label Anggur Sendayan Valley atau Lembah Sendayan.

    Tiada siapa sangka Sendayan dekat Seremban, Negeri Sembilan, mempunyai ladang anggur yang dinamakan 'Sendayan Valley'.

    Ladang anggur yang dimajukan A-Winn Corporation Sdn Bhd sejak hampir dua tahun lalu diusahakan dua sahabat, Azrul Nazim Abd Azam, 35, sebagai Pengarah Urusan dan Arthur Baumann, 49, sebagai Pengarah Eksekutif.

    Menarik untuk mengetahui kisah di sebalik pembukaan ladang ini kerana Azrul Nazim dan Arthur tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian. Berbekalkan minat, mereka tekad mengusahakan ladang anggur di Sendayan.

    Azrul Nazim berkata, pertama kali melihat tanaman anggur ialah ketika melawat Thailand beberapa tahun lalu menyebabkannya kagum dengan kesungguhan petani negara itu mengusahakan anggur.

    Azrul dan Arthur berbincang mengenai hasil ladang mereka.

    "Ketika itu, saya belum terfikir untuk mengusahakan ladang anggur. Apabila pulang ke Malaysia, saya berhasrat menceburi bidang pertanian dan kemudian terfikir untuk mengusahakan ladang anggur," katanya.

    Bagi Azrul Nazim, menanam anggur ialah suatu cabaran kerana tidak semua orang boleh buat, tetapi memberikan kepuasan kepadanya.

    Bermula pada 2007, sebanyak RM6 juta dilaburkan untuk projek ini yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pembiayaan kewangan Agro Bank. Walaupun seluas kira-kira 20 hektar, hanya 10 hektar dimajukan dan bakinya digunakan awal tahun depan.

    Beliau berkata, percubaan peringkat awal mengecewakan kerana 4,000 daripada 10,000 pokok yang ditanam mati menyebabkan hanya 6,000 pokok yang tinggal hingga sekarang.

    Ladang anggur Sendayan Valley yang diusahakan Azrul dan Arthur membuahkan hasil yang memuaskan dan bakal destinasi agropelancongan terkemuka negara.

    Katanya, empat jenis anggur ditanam di ladang itu, iaitu Black Opal, White Malaga, Shiraz dan Black Pearl dengan setiap jenis ditanam antara 1,000 hingga 2,000 pokok.

    Bagaimanapun, katanya ladang itu turut ditanam bidara, nona, jambu dan mangga, tetapi tumpuan utama ialah anggur.

    Azrul Nazim mengakui anggur sesuai ditanam di negara kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun.

    "Ramai orang tidak tahu anggur ada dua jenis. Pertama, anggur yang sesuai ditanam di kawasan iklim sejuk dan kedua, di kawasan panas seperti Malaysia.

    "Ini tidak menjadi persoalan kerana yang paling penting ialah penjagaan rapi kerana anggur mudah mati dan juga mudah hidup," katanya.

    Beliau berkata, anggur Sendayan Valley sudah empat kali dituai, tetapi rasanya belum mencapai piawaian ditetapkan, manakala tuaian akan datang dijangka selepas Aidilfitri ini sebanyak tiga hingga empat tan yang dijangka lebih manis dan setanding anggur import.

    Katanya, tuaian besar-besaran antara 30 hingga 50 tan dijangka pada April tahun depan dan boleh dijual di pasaran tempatan.

    Sementara itu Arthur berkata, setakat ini mereka merancang untuk memasarkan anggur Sendayan Valley untuk pasaran tempatan.

    "Saya harap dengan anggur Sendayan Valley, kita tidak lagi perlu bergantung kepada anggur import dan pengguna mempunyai pilihan sama ada mahu anggur import atau Sendayan Valley. Sudah tentu, harga anggur tempatan dijangka berpatutan," katanya.

    Arthur berkata, Sendayan Valley akan meningkatkan pengeluaran anggur, tetapi masih dalam proses penyelidikan untuk mendapat anggur terbaik.

    Selain itu, katanya mereka berhasrat menjadikan Sendayan Vallley sebagai antara destinasi agro pelancongan terkemuka di negara ini, terutama dengan lokasi yang hanya kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    "Kami akan menaik taraf ladang ini untuk menarik pengunjung datang berehat di sini sambil menikmati buah-buahan dan memperkenalkan Negeri Sembilan sebagai pengeluar anggur tempatan terkemuka di Malaysia," katanya.

    Guna pekerja pakar dari Thailand

    CUACA panas dan kelembapan tinggi serta hujan lebat sepanjang tahun adalah antara cabaran getir yang dihadapi Azrul Nazim Abd Nazam dan Arthur Baumann bagi memastikan tanaman anggur di Sendayan Valley menjadi.

    Anggur memang rumit ditanam kerana memerlukan penjagaan dan pembajaan secukupnya, selain sensitif terhadap hujan lebat dan angin kencang.

    Pokok anggur yang memanjat bergantung kepada tiang khas mudah rosak jika terkena hujan lebat atau dilanda angin kuat.

    Cabaran alam ini menyebabkan daripada 10,000 pokok yang ditanam pada peringkat awal, hanya tinggal 6,000 pokok berikutan cuaca tidak menentu.

    Bagaimanapun, dua sahabat ini tidak mengalah dan meneruskan usaha mereka hingga hari ini.

    Menyedari kesukaran yang bakal dihadapi, mereka mendapatkan kepakaran dua pekerja dari Thailand yang berpengalaman menanam anggur.

    Azrul Nazim berkata, pembajaan perlu dilakukan dengan tepat kerana jika berlebihan boleh merosakkan pokok, manakala baja yang digunakan ialah campuran organik.

    Katanya, walaupun penanaman pokok anggur rumit, Sendayan Valley menggunakan teknologi biasa seperti tanaman lain.

    "Hasil tuaian pertama dibuang kerana pokok baru menyebabkan anggur tidak manis. Hanya tuaian kedua, baru boleh dimakan kerana pokok matang dan rasa lebih manis," katanya.

    Beliau berkata, dahan anggur juga perlu dipangkas dari semasa ke semasa bagi merehatkan pokok, berbanding di negara iklim sejuk yang dibantu alam semula jadi, iaitu proses hibernasi (pokok seperti tidur) pada musim sejuk.

    Namun, katanya proses memangkas dahan perlu kerap dibuat kerana dahan baru cepat tumbuh, manakala pokok disiram dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan kemudian waktu petang sebelum senja.

    Azrul Nazim berkata, tidak banyak perbezaan di antara anggur di kawasan panas dan sejuk, malah anggur kawasan panas lebih segar kerana ditanam di sini.

    Katanya, benih diambil dari Thailand kerana negara itu lebih maju dalam penanaman anggur yang bukan saja dijual di negara itu, malah dieksport.

    "Anggur boleh dituai selepas 10 atau 11 bulan, tetapi masalah lain ialah burung cukup suka anggur yang manis dan sering datang 'bermain' di ladang ini, terutama ketika buah mula membesar dan masak. Untuk mengatasi masalah ini, jerat dipasang untuk menakutkan burung," katanya.

    50 ladang integrasi setiap DUN

    MUAR 15 Dis. - Kerajaan negeri Johor menyasar untuk mewujudkan 50 ladang integrasi bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan pekebun kecil menjana pendapatan tambahan menerusi aktiviti penternakan.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Aziz Kaprawi berkata, buat ketika ini, sebanyak 375 peserta terlibat dalam program ladang berkenaan di seluruh negeri ini dan ia menerima sambutan yang amat menggalakkan.

    "Sasaran kerajaan negeri adalah satu DUN; 50 ladang integrasi dan ini adalah satu pendekatan yang dapat meningkatkan taraf hidup golongan peladang serta pekebun kecil.

    "Secara asasnya, akan ada dua aktiviti yang dapat memberi pendapatan iaitu hasil daripada tanaman serta ternakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Timbang Stor Risda Sri Tanjung di Bakri di sini hari ini.

    Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengarah Risda Johor, Meor Zamnis Meor Hassan serta Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bakri, Datuk Saipolbahari Suib.

    Menurut Aziz, program ladang integrasi yang dilaksanakan diyakini dapat meningkatkan pengeluaran sumber makanan di negeri ini selain menggalakkan penggunaan kawasan ladang dan kebun secara optimum.

    "Program ini merupakan kerjasama bersepadu antara Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar serta Jabatan Perikanan.

    "Dengan ini, golongan pekebun kecil boleh mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menjalankan aktiviti penternakan kambing, ayam serta ikan air tawar," katanya.

    Menurutnya lagi, program berkenaan juga dapat bersifat serampang dua mata kerana kerana apa jua bahan buangan daripada tanaman dapat diproses untuk dijadikan makanan ternakan.

    Sementara itu, jelas Aziz, Pusat Timbang Stor Risda Sri Tanjung akan dijadikan projek perintis dalam program pengagihan secara terus baja Risda kepada golongan pekebun kecil.

    "Kami menjangkakan langkah seperti ini akan mengeratkan lagi kerjasama antara Risda dengan golongan pekebun serta Koperasi Pekebun Kecil bagi setiap aktiviti daripada penanaman sehingga pengutipan hasil," katanya.

    Sumber:utusan malaysia

    Cari Maklumat anda di sini

    Google
     
    Related Posts with Thumbnails