Tuesday, December 15, 2009

50 ladang integrasi setiap DUN

MUAR 15 Dis. - Kerajaan negeri Johor menyasar untuk mewujudkan 50 ladang integrasi bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan pekebun kecil menjana pendapatan tambahan menerusi aktiviti penternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Aziz Kaprawi berkata, buat ketika ini, sebanyak 375 peserta terlibat dalam program ladang berkenaan di seluruh negeri ini dan ia menerima sambutan yang amat menggalakkan.

"Sasaran kerajaan negeri adalah satu DUN; 50 ladang integrasi dan ini adalah satu pendekatan yang dapat meningkatkan taraf hidup golongan peladang serta pekebun kecil.

"Secara asasnya, akan ada dua aktiviti yang dapat memberi pendapatan iaitu hasil daripada tanaman serta ternakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Timbang Stor Risda Sri Tanjung di Bakri di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengarah Risda Johor, Meor Zamnis Meor Hassan serta Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bakri, Datuk Saipolbahari Suib.

Menurut Aziz, program ladang integrasi yang dilaksanakan diyakini dapat meningkatkan pengeluaran sumber makanan di negeri ini selain menggalakkan penggunaan kawasan ladang dan kebun secara optimum.

"Program ini merupakan kerjasama bersepadu antara Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar serta Jabatan Perikanan.

"Dengan ini, golongan pekebun kecil boleh mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menjalankan aktiviti penternakan kambing, ayam serta ikan air tawar," katanya.

Menurutnya lagi, program berkenaan juga dapat bersifat serampang dua mata kerana kerana apa jua bahan buangan daripada tanaman dapat diproses untuk dijadikan makanan ternakan.

Sementara itu, jelas Aziz, Pusat Timbang Stor Risda Sri Tanjung akan dijadikan projek perintis dalam program pengagihan secara terus baja Risda kepada golongan pekebun kecil.

"Kami menjangkakan langkah seperti ini akan mengeratkan lagi kerjasama antara Risda dengan golongan pekebun serta Koperasi Pekebun Kecil bagi setiap aktiviti daripada penanaman sehingga pengutipan hasil," katanya.

Sumber:utusan malaysia

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails