Sunday, November 15, 2009

Ternakan ketutu potensi berkembang


MELAKA: Aktiviti ternakan ikan jenis ketutu dan arowana di negeri ini mempunyai potensi untuk berkembang berikutan mempunyai pasaran baik terutama bagi tujuan eksport, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.

Beliau berkata, ternakan ikan ketutu misalnya boleh mencecah sehingga RM80 sekilogram, manakala ikan hiasan arowana pula mampu mencapai harga sehingga RM5,000 seekor bergantung kepada saiz dan jenis.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada masyarakat di negeri ini terutama yang berminat atau sedang bergiat dengan aktiviti penternakan ikan, supaya mengambil peluang untuk membabitkan diri dalam bidang berkenaan.

"Mereka yang berminat khususnya golongan muda sangat digalakkan untuk menceburi bidang penternakan ini kerana ia memberi peluang besar untuk berkembang, termasuk bagi tujuan eksport," katanya selepas meninjau tapak ternakan ikan ketutu dan arowana di Tiang Dua, dekat sini, kelmarin.

Beliau menghabiskan masa kira-kira sejam meninjau projek berkenaan bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin dan beberapa pegawai kanan Jabatan Perikanan negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Hidhir berkata, ikan hiasan arowana yang diternak di negeri ini lazimnya dieksport ke beberapa negara Asia Timur seperti Taiwan, Korea, China dan Eropah, berdasarkan permintaan semasa.

"Selain dapat memperkasakan industri ini, ternakan ikan ketutu dan ikan hiasan arowana ini juga dapat menarik minat pelancong untuk datang berkunjung ke tempat ternakan ikan ini apabila datang ke Melaka," katanya

Tuesday, November 10, 2009

Unimas cipta mesin petik lada hitam


Mohammad Shahril Osman menunjukkan cara memandu mesin memetik lada hitam semasa pameran Pecipta di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tanaman lada hitam biasanya ditanam di kawasan lereng bukit menyukarkan tugas-tugas memetik buahnya.

Biasanya pekerja perlu menggunakan tangga yang diangkut setiap kali memetik lada hitam di pokok yang berbentuk kon dan ditanam kawasan bukit yang tinggi.

Tinggi pokok di antara empat hingga enam meter dan lebat dengan daun merumitkan lagi tugasan memetik.

Justeru Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kerjasama Lembaga Lada Malaysia (MPB) menjalankan kajian menghasilkan prototaip mesin memetik lada hitam.

Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Unimas, Mohammad Shahril Osman berkata, kajian bermula apabila melihat majoriti pekerja ladang lada hitam terdiri daripada warga emas dan pekerja asing.

"Dengan adanya mesin memetik lada hitam, kami berharap tugasan memetik lebih mudah dan menarik lebih ramai generasi muda bergiat dalam pertanian," katanya semasa ditemui di pameran Pecipta di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada menghasilkan mekanisme yang boleh memetik lada hitam dengan lebih mudah dan mesra pengguna.

Mohammad Shahril berkata, projek berkenaan adalah untuk mencipta dan membina serta membangunkan fabrikasi prototaip mesin memetik buah lada hitam.

"Pada mesin menuai berkenaan kami membina casis bagi meletakkan peralatan mekanikal kenderaan seperti tayar, badan, motor elektrik dan lengan menuai.

"Lengan menuai yang mempunyai gunting di hujungnya dan boleh ditanggalkan terletak di bahagian belakang mesin memetik," jelas beliau.

Protaip mesin memetik, jelas Mohammad Shahril boleh digunakan di kawasan rata dan sedikit berbukit.

Buat masa ini Unimas menggunakan tenaga elektrik bagi menjalankan mesin berkenaan bagi mengurangkan pencemaran.

Mesin berkenaan bukan saja hanya memetik lada hitam tetapi juga sebagai mesin rumput serta menyembur racun perosak.

Selepas ujian prototaip di kawasan ladang lada hitam, Unimas akan meningkatkan lagi prototaipnya dengan beberapa ciri lain.

Mohammad Shahril berkata, buat masa ini mesin memetik lada hitam akan digunakan di ladang MPB sebelum dikomersialkan.

Sumber:Utusan Malaysia

Tuesday, November 3, 2009

Herba tempatan ke Arab Saudi

Bahra Establishment jadi pengedar tunggal

MALAYSIAN Herbal Corporation Sdn Bhd (MHC), anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MiGHT), menjalin kerjasama dengan Bahra Establishment (K.S.A) bagi memasarkan produk herba tempatan di Arab Saudi.

Menerusi kerjasama berkenaan, Bahra Establishment, firma yang diperbadankan di Jeddah itu turut dilantik sebagai pengedar tunggal produk di bawah jenama Herbal Shoppe, bagi menembusi pasaran lain, termasuk negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Pengurus Besar MHC, Zainal Azman Abu Kasim, berkata selain membantu memasarkan produk herba tempatan, firma itu juga dilantik membantu MHC membuka kiosk Herbal Shoppe.

Kiosk berkenaan adalah platform khas yang diwujudkan MHC bagi menyediakan ruang untuk memasarkan produk pengusaha herba tempatan, di beberapa bandar raya lain di Asia Barat.

Sebagai permulaan, katanya, Bahra Establishment akan membawa masuk beberapa produk herba tempatan yang dipasarkan menerusi kiosk Herbal Shoppe untuk dipamerkan di ruang pameran Dubai International Halal Expo pada 10 dan 11 November ini.

“Syarikat itu turut akan membawa masuk produk herba Malaysia untuk dipasarkan di beberapa kedai yang dilesenkan kerajaan Arab Saudi bagi menjual produk berasaskan herba luar, selain membantu MHC membuka kiosk Herbal Shoppe di Bandaraya Jeddah, seawal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili MHC memeterai memorandum persefahaman dengan Bahra Establishment yang diwakili pengerusinya, Dr Mohammad M.J. Nader, di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis itu disaksikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Shafei Abdullah.

Zainal berkata, penubuhan kiosk Herbal Shoppe di pasaran Asia Barat, yang bakal ditempatkan di kebanyakan pusat beli belah terkemuka itu, bertujuan memperkenalkan konsep baru pemasaran produk herba Malaysia.

Katanya, usaha membuka lebih banyak Herbal Shoppe di pasaran luar juga bertujuan membantu mempromosikan lagi produk herba keluaran tempatan yang diusahakan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, sebelum ini, PKS yang mengusahakan produk herba tempatan agak sukar menjual dan memasarkan produk keluaran mereka, menyebabkan industri berkenaan yang mula berkembang sejak beberapa tahun lalu berada dalam suasana kurang memuaskan.

“Apabila MHC ditubuhkan, kami diberi tanggungjawab dalam memastikan usaha PKS herba ini tercapai, iaitu bermula dari peringkat awal hingga ke pemasaran,” katanya.

Selain Asia Barat, Kiosk Herbal Shoppe yang diwujudkan bagi menyediakan alternatif kepada pengusaha untuk memasarkan produk mereka tanpa perlu membuat bayaran penyenaraian yang tidak munasabah, juga sudah dibuka di Bangladesh, Indonesia dan Brunei.

Sumber:Berita Harian

Johor: Sungai Sedili pusat udang

Lokasi sesuai program aktiviti akuakultur secara komersial

TANJUNG SEDILI: Kawasan lembah tepian Sungai Sedili Kecil di sini yang menerima bekalan air laut masin dan payau berpotensi diperluaskan untuk aktiviti akuakultur terutama penternakan udang yang akan mewujudkan peluang pekerjaan.

Johor Corporation (JCorp) melalui Skim Pemilikan Ekuiti Pengurus-Usahawan (Spepu) yang diperkenalkan pada 2000 menawarkan 36 peratus saham kepada pekerja dengan tertubuhnya syarikat Aquapreneur Sdn Bhd (AQSB).

Konsep keusahawanan itu berjaya menjurus kepada penubuhan sebuah lagi syarikat pengusaha akuakultur iaitu Rajaudang Aquaculture Sdn Bhd (RASB).

Pengurus Besar RASB, Zulman Shariff berkata, di bawah naungan SPEPU JCorp, AQSB dan RASB, sejumlah 172 kolam udang diusahakan iaitu 60 buah di pinggir Kampung Sedili Kecil dan 112 kolam di Kampung Belukar Durian di sini.

Katanya, pada awalnya, pihaknya mengusahakan ternakan udang harimau tetapi kemudian beralih kepada penternakan udang putih.

Beliau berkata, syarikat akuakultur di bawah naungan JCorp ini mampu menghasilkan pengeluaran sebanyak 950 tan metrik udang putih pada tahun ini dengan jualan melebihi RM12 juta.

Katanya, hasil pengeluaran itu dijual bagi pasaran tempatan dan eksport terutama Singapura dan Eropah.

“Permintaan yang agak konsisten buat masa ini memberikan keyakinan kepada syarikat ini untuk meluaskan operasinya untuk membina lagi sebanyak 50 buah kolam penternakan pada tahun hadapan dan menjadikan keseluruhan jumlahnya 222 buah kolam,” katanya.

Beliau berkata, industri akuakultur di pinggir dua kampung tradisional di situ juga menawarkan peluang perniagaan dan kerja kepada penduduk tempatan.

Katanya, sebahagian keuntungan yang diperoleh syarikat diagihkan dalam bentuk sumbangan kebajikan dan aktiviti penduduk kampung, surau dan sekolah di situ.

Menjelang Aidilfitri lalu, seramai 51 orang penduduk dari golongan keluarga kurang mampu di sini menerima hamper barangan makanan dan duit raya manakala tiga ekor lembu disembelih dengan dagingnya diagihkan kepada penduduk sekitar.

abah&Sarawak: 4 nelayan sertai projek ikan dalam sangkar

Pendapatan RM18 sehari, peserta dapat belajar kaedah penternakan teknologi moden


PULAU BANGGI (KUDAT): Empat nelayan yang dipilih sebagai peserta projek penternakan ikan dalam sangkar di bawah projek Agropolitan Banggi, di sini menemui sinar baru dalam hidup mereka sejak menyertai program berkenaan, Ogos lalu.

Dengan memerah keringat di bawah panas terik matahari, mereka kini mampu tersenyum dengan pendapatan tetap bulanan berbanding memperjudikan nasib pada mata kail ketika mencari rezeki sebagai nelayan sebelum ini.


Berpandukan khidmat nasihat Jabatan Perikanan, mereka gigih mengusahakan 20 sangkar ikan yang dibina melalui peruntukan Program Lonjakan Mega Luar Bandar (PLMB) berkonsepkan Agropolitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di pulau ini yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

Tinjauan Berita Harian di kawasan projek berkenaan di Kampung Timbang Dayang, di sini semalam mendapati daripada 140 sangkar ikan yang sudah siap dibina, 20 daripadanya sudah dipenuhi ikan jenahak Taiwan, jenahak tempatan, jenahak hijau, kerapu harimau dan sunuk.

Sebanyak 20 sangkar berkenaan bertujuan sebagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum penternakan pelbagai jenis ikan diperluas ke 120 sangkar yang lain.

Abdul Baril Amang, 30, yang menjadi peserta projek Agropolitan Banggi sejak Ogos lalu, berkata beliau bersyukur kerana diberi peluang menyertai projek berkenaan selepas berpuluh-puluh tahun menyara keluarga dengan hanya bergantung harapan kepada hasil tangkapan ikan di laut.

"Sejak kecil hingga dewasa sampailah saya berumah tangga, tiada kerja lain yang saya boleh buat selain menjadi nelayan. Hasil tangkapan tidak menentu. Kadang-kadang ada ikan, kadang-kadang langsung tiada.

"Sekarang saya menikmati gaji RM18 sehari. Tugas memberi makan kepada ikan dan memastikan tiada masalah pembiakan ikan membolehkan saya belajar mengenai kaedah penternakan ikan dengan menggunakan teknologi moden," katanya.

Aman Siamang, 30, Asniri Imiltu, 33, dan Saodi Abas, 35, yang turut menyertai projek berkenaan juga berjanji tidak akan mempersia-siakan kepercayaan diberikan KKLW memilih mereka sebagai peserta projek berkenaan.

Bagi Aman, bukan mudah untuk dipilih sebagai peserta projek berkenaan dan peluang itu tidak akan dilepaskan begitu saja tanpa memulangkan kembali kepercayaan itu kepada kerajaan.

"Insya-Allah, saya akan memastikan ikan dalam sangkar membiak dengan baik tanpa penyakit atau perkara lain yang boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan," katanya.

Setiap jenis ikan harus dipastikan membesar dengan sempurna sebelum mencapai berat yang melayakkannya dijual.

Bagi ikan jenis sunuk, ia harus mencapai berat antara 600 hingga 800 gram seekor sebelum dijual manakala ikan jenis lain antara 800 gram hingga satu kilogram.

Dengan tempoh pembesaran sembilan bulan, ikan berkenaan diberi makanan ikan tamban dua kali sehari, selain makanan tambahan lain.

Bagi Asniri, projek berkenaan bukan setakat meringankan bebannya membesarkan enam anak, malah mendidik beliau sentiasa komited kepada tugas demi kejayaan projek berkenaan manakala bagi Saodi, tugas membesarkan sembilan anak menjadi lebih ringan dengan memiliki pendapatan tetap bulanan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails