PULAU BANGGI (KUDAT): Empat nelayan yang dipilih sebagai peserta projek penternakan ikan dalam sangkar di bawah projek Agropolitan Banggi, di sini menemui sinar baru dalam hidup mereka sejak menyertai program berkenaan, Ogos lalu.
Dengan memerah keringat di bawah panas terik matahari, mereka kini mampu tersenyum dengan pendapatan tetap bulanan berbanding memperjudikan nasib pada mata kail ketika mencari rezeki sebagai nelayan sebelum ini.
Berpandukan khidmat nasihat Jabatan Perikanan, mereka gigih mengusahakan 20 sangkar ikan yang dibina melalui peruntukan Program Lonjakan Mega Luar Bandar (PLMB) berkonsepkan Agropolitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di pulau ini yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.
Tinjauan Berita Harian di kawasan projek berkenaan di Kampung Timbang Dayang, di sini semalam mendapati daripada 140 sangkar ikan yang sudah siap dibina, 20 daripadanya sudah dipenuhi ikan jenahak Taiwan, jenahak tempatan, jenahak hijau, kerapu harimau dan sunuk.
Sebanyak 20 sangkar berkenaan bertujuan sebagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum penternakan pelbagai jenis ikan diperluas ke 120 sangkar yang lain.
Abdul Baril Amang, 30, yang menjadi peserta projek Agropolitan Banggi sejak Ogos lalu, berkata beliau bersyukur kerana diberi peluang menyertai projek berkenaan selepas berpuluh-puluh tahun menyara keluarga dengan hanya bergantung harapan kepada hasil tangkapan ikan di laut.
"Sejak kecil hingga dewasa sampailah saya berumah tangga, tiada kerja lain yang saya boleh buat selain menjadi nelayan. Hasil tangkapan tidak menentu. Kadang-kadang ada ikan, kadang-kadang langsung tiada.
"Sekarang saya menikmati gaji RM18 sehari. Tugas memberi makan kepada ikan dan memastikan tiada masalah pembiakan ikan membolehkan saya belajar mengenai kaedah penternakan ikan dengan menggunakan teknologi moden," katanya.
Aman Siamang, 30, Asniri Imiltu, 33, dan Saodi Abas, 35, yang turut menyertai projek berkenaan juga berjanji tidak akan mempersia-siakan kepercayaan diberikan KKLW memilih mereka sebagai peserta projek berkenaan.
Bagi Aman, bukan mudah untuk dipilih sebagai peserta projek berkenaan dan peluang itu tidak akan dilepaskan begitu saja tanpa memulangkan kembali kepercayaan itu kepada kerajaan.
"Insya-Allah, saya akan memastikan ikan dalam sangkar membiak dengan baik tanpa penyakit atau perkara lain yang boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan," katanya.
Setiap jenis ikan harus dipastikan membesar dengan sempurna sebelum mencapai berat yang melayakkannya dijual.
Bagi ikan jenis sunuk, ia harus mencapai berat antara 600 hingga 800 gram seekor sebelum dijual manakala ikan jenis lain antara 800 gram hingga satu kilogram.
Dengan tempoh pembesaran sembilan bulan, ikan berkenaan diberi makanan ikan tamban dua kali sehari, selain makanan tambahan lain.
Bagi Asniri, projek berkenaan bukan setakat meringankan bebannya membesarkan enam anak, malah mendidik beliau sentiasa komited kepada tugas demi kejayaan projek berkenaan manakala bagi Saodi, tugas membesarkan sembilan anak menjadi lebih ringan dengan memiliki pendapatan tetap bulanan.
No comments:
Post a Comment