Monday, August 25, 2008

Jurutera terpaut ikan ketutu - Utusan Online


IKAN ketutu selesa tinggal dalam `rumah kondo’ menunggu mangsa ikan kecil yang berenang di hadapannya.


Kepakaran dalam bidang profesional masing-masing mendorong golongan tersebut memanfaatkan apa yang mereka miliki untuk diaplikasi dalam bidang pertanian.

Ketika pertanian telah mula mendapat sambutan, golongan profesional seperti akauntan, peguam, malah jurutera sekali pun tidak mahu ketinggalan merebut peluang untuk memanfaatkan kemahiran mereka dalam bidang tersebut.

Golongan jurutera sebagai contoh, sama ada awam, mekanikal, kimia atau jentera - berpendapat mereka boleh mengaplikasikan apa yang dipelajari untuk ‘memudahkan lagi’ industri pertanian.

Contoh terdekat boleh di ambil ialah bagaimana Adrian Yeoh, berkelulusan dalam bidang kejuruteraan awam dari Universiti Central Oklahoma, Amerika Syarikat (AS), memulakan kerjaya sebagai jurutera binaan.

Beliau bagaimanapun tidak betah bertugas sebagai jurutera yang disifatkannya penuh dengan tekanan.

Pada masa yang sama, Adrian berjinak-jinak dengan teknologi maklumat dengan melayari Internet atas tujuan mencari bidang-bidang lain yang boleh diceburi.

Beliau tidak mengambil masa lama, sebaliknya dalam tempoh dua tahun, Adrian menjalankan kajian mengenai bidang pertanian dan komoditi termasuk akuakultur dan kelapa sawit.

Setelah membanding pelbagai jenis industri, hati Adrian terpaut dengan akuakultur yang menurut katanya menguntungkan dibanding dengan bidang pertanian lain.

Bidang perikanan, menurut kata Andrian, mempunyai banyak potensi memandangkan ia merupakan sumber protein utama.

Mengkaji pelbagai jenis ikan air tawar yang berpotensi termasuk keli, tilapia, kelah dan ikan ketutu, Andrian meneliti lebih lanjut mengenai pemakanan, kelakuan dan pasaran setiap jenis ikan.

“Menerusi pelbagai kajian yang dijalankan, saya mendapati ikan pemangsa ini lebih mudah diselenggarakan berbanding ikan lain.

“Ikan pemangsa yang hanya duduk diam ini mudah diternak jika kita tahu mengenai kelakuannya,” katanya.

Beliau yang juga pengarah VCA Aquafarm Sdn. Bhd., bertanggungjawab membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ikan ketutu.

Kajian yang memakan masa lima tahun, membantu beliau menternak ikan ketutu dengan lebih sistematik dengan reka bentuk kolam yang sesuai untuk tumbesaran ikan.

Rekaan kolam yang mengambil masa lima tahun untuk disiapkan menggunakan kolam gentian kaca yang tahan sehingga 30 tahun.

“Saya lebih gemar menggunakan gentian kaca kerana ia lebih tahan lasak dan boleh diselenggara dengan mudah jika pecah atau bocor,” katanya yang membelanjakan lebih RM1 juta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Adrian juga mereka bentuk penapis kolam dengan 12 lapisan bagi memudahkan penternak menukar air hanya dua tahun sekali.

Kolam yang sebesar empat kali lapan kaki ini boleh menampung sehingga 300 ekor ikan ketutu pada satu-satu masa.

Adrian berkata, ikan ketutu cepat membesar jika mendapat pemakanan yang mencukupi.

“Bagi memudahkan ikan mendapatkan makanan yang mencukupi saya telah mendirikan ‘kondo’ bagi kediaman ikan,” katanya yang mereka bentuk kolam ternakan yang murah serta mudah alih.

‘Kondo’ yang disusun berhampiran bukan saja sebagai tempat berehat ikan ketutu tetapi juga membolehkan ikan mendapatkan makanan dengan mudah.

Ikan ketutu lebih senang berehat dalam ‘kondo’ yang disediakan dan hanya akan makan jika anak-anak ikan berhampiran dengannya.

“Setiap rumah boleh memuatkan seekor atau dua ekor ikan dengan jarak antara kondo yang agak dekat.

“Oleh kerana ikan ketutu adalah ikan yang pemalas, tinggal di ‘kondo’ akan memudahkannya mendapatkan makanan,” katanya.

Biasanya anak-anak ikan yang berenang di sekeliling akan mudah untuk dijadikan mangsa ikan ketutu.

Disebabkan ikan ketutu tinggal di kawasan dasar lombong, tasik atau sungai yang gelap, Adrian menyediakan habitat yang lebih kurang sama.

“Biasanya pada siang hari, saya akan membiarkan persekitaran agak gelap dengan menutup semua pintu dan tingkap.

“Ketika itu ikan ketutu akan lebih cergas mencari makanan dan tumbesaran akan menjadi lebih cepat,” katanya.

Lebih menarik Adrian berjaya mengurangkan penggunaan antibiotik pada ikan dengan menggantikannya dengan rawatan alternatif.

“Di sini saya menggunakan teknologi ultra lembayung (UV) untuk membasmi kuman sehingga 99.9 peratus,” katanya yang telah mempatenkan semua rekaannya.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, Adrian mendapati ikan ketutu merupakan antara ikan komersial yang mendapat permintaan dan harga yang tinggi.

“Saya sendiri tidak dapat memenuhi permintaan ikan ketutu di dalam negara terutama semasa Tahun Baru Cina dan musim perkahwinan yang biasanya semasa cuti sekolah.

“Permintaan ikan ketutu di luar negara seperti Hong Kong, Taiwan, China manakala negara seperti Jerman, Libya dan Kanada mempunyai potensi pasaran yang besar,” katanya.

Sentiasa memandang ke hadapan Adrian sedang menjalankan R&D bagi proses ternakan ikan yang menepati HACCP untuk memudahkan pengeksportan keluar negara terutama di negara-negara Eropah.

(Petikan dari Utusan Online)

Tidak kesal ceburi akuakultur - Utusan Online


KOLAM gentian kaca lengkap dengan 12 lapisan penapis membolehkan ikan diselenggara dengan mudah.


Mengambil keputusan untuk berhenti secara sukarela dua tahun lalu sebagai jurutera di sebuah syarikat penerbangan negara, Mansor Abu Bakar tidak pernah menyesal.

Malah beliau berasa bertuah kerana dapat berbakti dalam bidang akuakultur yang telah menjadi minatnya sejak dulu.

“Saya rasa lebih elok saya meletakkan jawatan bagi memberikan peluang kepada generasi muda seperti siswazah menganggur,” katanya yang telah makan gaji selama 30 tahun.

Sebelum mengambil keputusan mengenai bidang akuakultur yang menjadi pilihannya, Mansor menjalankan banyak penyelidikan mengenai ternakan ikan.

Beliau banyak menjalankan kajian mengenai potensi pertanian termasuk, keli, lintah dan cacing sebelum memilih ikan ketutu.

“Saya melayari Internet mengenai ternakan ikan bukan saja mengenai penjagaan, kelakuan, pemakanan tetapi juga pasaran serta potensi industri hiliran.

“Tinjauan permintaan dan pasaran ikan amat penting bagi mengelakkan lambakan ikan yang boleh menyebabkan penternak gulung tikar,” katanya.

Terpikat dengan permintaan dan harga ikan ketutu yang begitu tinggi serta kos pengeluaran yang rendah, Mansor mula mengikuti kursus anjuran VCA Aquafarm Sdn Bhd di Shah Alam Selangor.

Memelihara ikan ketutu tidak memerlukan kos yang tinggi memandangkan ikan pemangsa akan memakan anak ikan yang berada di dalam kolam gentian kaca.

“Penternak boleh menjimatkan kos dengan menangkap anak-anak ikan di parit, kolam atau lombong.

“Anak ikan akan dilepaskan dalam kolam gentian kaca dan hanya perlu ditambah jika bilangannya berkurangan,” katanya.

Mansor berkata, ini boleh mengurangkan kos makanan seperti palet ikan yang semakin tinggi setiap hari.

Beliau juga tidak meninjau ikannya setiap hari kerana makanan ikan dalam bentuk anak ikan telah tersedia.

Terpesona dengan kaedah moden dan rekaan bentuk terkini kolam ikan ketutu yang dihasilkan oleh Pengarahnya Adrian Yeoh, Mansor mula mengikat perjanjian perladangan kontrak dengan mereka.

Memulakan penternakan ikan ketutu sejak April lalu, kini Mansor telah menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsinya Amirulhadi Zubir.

Buat masa ini Mansor menyewa sebuah rumah kedai dengan keluasan 22 kaki x 50 kaki bagi menempatkan 21 kolam gentian kaca.

“Setiap kolam yang lengkap dengan 12 sistem penapis dan kondo ikan boleh memuatkan sehingga 300 ekor ikan ketutu.

“Setelah melihat kepada potensi pasaran, saya akan membesarkan lagi usaha penternakan ikan ketutu,” katanya.

Mansor menambah mereka yang berminat dengan industri pertanian, ternakan mahu pun akuakultur agar berusaha bersungguh-sungguh.

Pada masa yang sama, Mansor dengan kerjasama VCA Aquafarm menganjurkan beberapa siri kursus ternakan pelbagai jenis ikan bermula dengan kursus asas sehingga pembiakan dan rawatan penyakit.

“Kami telah mula sejak Jun dan akan meneruskan usaha bergantung kepada permintaan,” katanya sambil mengharapkan penglibatan generasi muda.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ikan ketutu atau mengikuti kursus ternakan ikan ketutu boleh menghubungi Mansor Abu Bakar di talian 019-2329800 atau e-mel: abman_rover@yahoo.com

(Petikan dari Utusan Online)

Thursday, July 31, 2008

Sistem Peribact untuk ternakan udang


Ujian dalam makmal menunjukkan air yang dipenuhi Peribact (kiri) berbanding tanpa Peribact.


Keperluan sumber perikanan negara perlu dipertingkatkan lagi sesuai dengan fungsinya sebagai antara pembekal utama sumber protein.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pengeluaran perikanan disasarkan sebanyak 2 juta tan metrik dengan tumpuan kepada bidang akuakultur dengan sasaran sebanyak 600,000 tan metrik.

Menjelang tahun tersebut, sasaran pengeluaran beberapa komoditi utama akuakultur ialah air tawar sebanyak 200,000 tan metrik, udang laut (150,000), ikan laut (120,000), kerang-kerangan (130,000).

Selain itu, beberapa komoditi lain seperti ikan hiasan disasarkan pengeluarannya sebanyak 860 juta ekor dan rumpai laut sebanyak 128,100 tan metrik.

Dengan tumpuan tersebut, industri pengeluaran akuakultur berdepan dengan cabaran besar untuk meningkatkan pengeluaran, apatah lagi adanya masalah baru, stok sumber laut akan kehabisan kerana masalah lain antaranya pencemaran dan habitat yang diganggu.

Industri akuakultur bagaimanapun menghadapi masalah antaranya, kekurangan benih yang berkualiti, kemerosotan mutu air dan pemakanan di samping pengurusan yang tidak mementingkan penjagaan alam sekitar.

Seorang penyelidik dalam bidang akuakultur tempatan, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff menawarkan satu kaedah yang boleh dimanfaatkan oleh pengusaha akuakultur.

Kaedah tersebut diperkenalkan dalam satu sistem penjagaan kualiti air terutama tangki untuk penetasan udang iaitu membersihkan air daripada masalah keracunan kandungan ammonia dan nitrit yang tinggi.

“Kita dapati masalah di kolam penetasan udang disebabkan oleh benih udang berkualiti rendah, penyakit dan dan kadar hidup juga rendah antara 30 dan 40 peratus.

“Mengapakah ini berlaku,?'' soalnya yang juga pakar dalam penyelidikan ekologi akuatik, kualiti air dan pengurusan sistem akuakultur.

Masalah tersebut menurut beliau disebabkan antaranya air yang tercemar disebabkan bahan beracun seperti ammonia, pemakanan bermutu rendah dan penggunaan antibiotik

Oleh itu, bagi mengatasinya, ia memerlukan pendekatan baru yang mementingkan pengurusan sistem yang mapan dan mementingkan penggunaan bahan organik.

Justeru, menerusi penyelidikan yang dijalankan melibatkan beliau dan beberapa saintis serta pelajar sejak enam tahu lalu melibatkan geran dari Tumpuan Penyelidikan dalam Bidang Keutamaan (IRPA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu, dan juga Direktorat Bioteknologi Kebangsaan (NBD) hampir RM1 juta.

Fatimah yang juga Pengarah Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata, penyelidikan tersebut dinamakan Kompleks Peribact memanfaatkan perifiton sejenis mikroalga yang digabungkan dengan bakteria kompleks yang dipencilkan di negara ini.

Mikroalga tersebut yang menjadikan makanan anak udang selain menyingkirkan ammonia daripada air ternakan tangki.

Bakteria dan mikroalga tersebut pula kaya dengan kandungan protein dan Omega- 3 yang tinggi untuk dijadikan makanan udang.

Kelebihan-kelebihan tersebut memberikan harapan baru kepada bidang akuakultur atau ternak air, yang diharap dapat mendorong lebih ramai pengusaha menceburkan diri.

Ini kerana, penggunaan sistem tersebut tidak semestinya memerlukan pengusaha yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang sains dan teknikal sebaliknya mereka hanya perlu mematuhi kaedah penggunaan yang disyorkan.

Oleh itu, pengusaha tidak perlu menukar air ternakan di pusat penetasan setiap hari untuk membuang sumber pencemaran seperti ammonia dan nitrit dan ini mengurangkan kos tenaga buruh.

Selain itu, penukaran air yang terlalu kerap mendedahkan ternakan kolam kepada pencemaran dan penyakit yang dibawa oleh air berkenaan.

Satu set Peribact mempunyai set botol Peribact Osci, Peribact -Diat, campuran bakteria and medium kultur

Kaedah penggunaan:
- Kulturkan Peribact -Ocsi (guna panel sebagai substrat) dan Perbact Diat (guna rings sebagai substrat ) di dalam bekas yang berlainan dengan menggunakan medium kultur yang disediakan sehingga perifiton tumbuh di atas panel dan 'rings (mengambil masa lebih kurang tujuh hari).
- Masukkan penal dalam tangki Peribact Osci dan rings dalam Peribact Diat. Masukkan air untuk kultur, bakteria dan stok larva udang. Pasangkan lampu dan pam untuk mula operasi kultur.

Peribact tersebut bukan sahaja mudah digunakan tetapi juga berkesan untuk membersihkan air.

Tambahan pula menurut Fatimah, penggunaan alga berkenaan dapat mengurangkan pergantungan kepada artemia iaitu sejenis makanan hidup yang diimport untuk makanan larva atau anak ikan.

Tambahan pula katanya, artemia dianggap tidak sesuai kerana saiznya agak besar untuk makanan larva udang yang kecil.

“Dengan menggunakan Kompleks Peribact ini, kita dapati kepekatan ammonia dalam air ternakan larva rendah hampir sifar,” ujarnya.

Malah, kadar kematian larva udang juga berkurangan dengan kadar hidup ditingkatkan.

Dengan ujian kepada stres iaitu menggunakan saliniti (kemasinan) air yang berbeza, anak udang dapat bertahan menunjukkan ia kuat, sekali gus mengelakkan kematian apabila dipindahkan ke dalam kolam pembesaran.

“Inilah penemuan kita dan saya percaya teknologi yang menggunakan bahan organik untuk pengurusan mutu air dan meningkatkan hasil udang merupakan yang pertama di dunia,” ujar Fatimah lagi.

Beliau berkata, produk tersebut sedang proses untuk dipasarkan kepada pengusaha akuakultur yang berminat untuk meningkatkan pengeluaran udang.


Nangka yang sampai di tempat pengumpulan akan dikupas dan diambil ulasnya sebelum dibungkus.


RAMAI yang gemar memakan nangka tetapi masalah buahnya yang besar dan kulitnya yang tebal ditambah dengan getahnya yang melekit, kadang kala merencatkan selera penggemar buah tersebut untuk menikmatinya.

Dengan gaya hidup yang ringkas dan pantas, tidak ramai yang akan menghabiskan masa hanya untuk mengupas dan membersihkan buah nangka.

Biasanya perubahan mutu akan berlaku melibatkan warna, bau dan tekstur jika nangka yang telah dibuka tidak disimpan dengan betul.

Ini kerana proses metabolisme masih berlaku pada ulas nangka yang menyebabkan perubahan pada bau, warna dan zat makanan.

Pengawalan kadar metabolisme amat penting bagi mengekalkan mutu ulas-ulas nangka semasa penyimpanan.

Justeru Pengawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Latifah Mohd. Nor menjalankan kajian bagi penjualan nangka dalam bentuk ulas yang sedia dimakan.

“Kaedah pemprosesan minimum membolehkan kita menikmati nangka dengan mudah tanpa menjejaskan mutu, kesegaran dan paling penting tanpa getahnya.

“Kaedah ini akan memudahkan kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual nangka mengendalikan buah tersebut,” katanya semasa ditemui, baru-baru ini.

Menerusi kaedah pemprosesan minimum, nangka terbaik akan dipilih daripada ladang-ladang seluruh negara.

Latifah berkata, buah nangka yang telah matang secara komersial iaitu 70 peratus dituai kerana nangka merupakan buah ‘climatic’ yang masih menjalani proses hidup yang berterusan semasa dibungkus.

Buah nangka yang sampai dari ladang ke kilang akan dibersihkan dan dibasuh dengan merendamnya dalam cecair klorin sebanyak 100 bahagian per sejuta (ppm) selama 10 minit bagi membuang segala mikrob yang ada.

Selepas itu, gas dimasukkan ke dalam peti sejuk pada suhu 10 darjah Celsius (C) bagi mengurangkan getahnya.

“Kemudian buah nangka tadi akan dibelah dan diasingkan ulas-ulas daripada kulit serta jerami.

“Ulas-ulas yang telah diasingkan kemudian dibungkus menggunakan bekas plastik propilena yang boleh dibeli di kedai menjual barangan plastik,” katanya.

Bekas propilena digunakan bagi memudahkannya disusun secara bertingkat dan dapat menjimatkan ruang.

Selain bekas propilena, dulang polisterin boleh digunakan dan dibalut dengan filem regang polivinal klorida (PVC).

Masalahnya, kata Latifah, dulang polisterin tidak boleh disusun secara bertingkat kerana akan menyebabkan kecederaan kepada ulas nangka.

Selain itu, kehilangan berat dan bau boleh berlaku bagi ulas nangka yang dibungkus menggunakan filem regang kerana cirinya yang memudahkan pergerakan gas dan air.

“Selepas dibungkus, ulas nangka perlu disimpan dalam kotak penebat yang dilapisi dengan thermal freeze yang berfungsi mengekalkan suhu rendah dalam kotak.

“Perubahan mutu ulas nangka yang disimpan bergantung kepada perubahan suhu thermal freeze,” katanya.

Mutu akan berubah lebih cepat jika kotak penebat diletakkan pada suhu tinggi kerana thermal freeze akan cepat cair.

Ulas nangka tahan disimpan selama tiga hari pada suhu bilik atau persekitaran biasa dan boleh tahan lebih lama jika disimpan pada suhu rendah misalnya seminggu pada suhu 10 darjah C dan tiga minggu pada 2 darjah C.

Latifah berkata, inovasi berkenaan telah dikomersialkan dan digunakan oleh tiga buah syarikat tempatan untuk mengeksport ulas nangka keluar negara iaitu South Fruits (M) Sdn Bhd., SJ Premium Fruits Sdn. Bhd. dan sebuah syarikat milik Victor J. Francis bagi pasaran ke Dubai, Singapura, Hong Kong, Eropah dan Australia.

Malah inovasi pemprosesan nangka secara minimum ini juga berjaya memikat para juri mengondol pingat emas semasa Pameran Innovasi British (Bis2007) di Alexandra Palace di London.

Inovasi ini juga merupakan pemenang Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Antara Sektor Awam Dengan Sektor Swasta 2007 (AIPB 2007).

Nilai nutrisi cendawan bagi tujuan perubatan


Selain berkhasiat, cendawan tiram kelabu (Pleurotus sajor-caju) kini semakin popular untuk dijadikan sajian makanan di kalangan masyarakat tempatan.


JIKA dahulu tidak ramai yang menggemari cendawan kecuali mereka yang tinggal di pedalaman tetapi masakan cendawan kini semakin digemari dengan dihidangkan pelbagai jenis masakan.Bagaimanapun, selain daripada rasanya yang sedap, tidak ramai daripada kita yang benar-benar mengetahui khasiat daripada tumbuhan ini terutama dari segi perubatan.

Berdasarkan kajian oleh Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), cendawan sememangnya mempunyai banyak khasiat dan nilai perubatan seperti:

Auricularia sp (Telinga kera /Jeli hitam)Membantu merawat gangguan kardiovaskular dengan

lmencairkan darah beku,

lmengawal atur tekanan darah,

lmerendahkan tahap kolesterol dan lipid,

lagen antioksida, melindungi DNA dan

lmembantu mengurangkan berat badan.

Schizophyllum commune (Cendawan kukur)lMengandungi Schizophyllan iaitu bahan dalam ubat antitumor dan kanser.

lMembantu meningkatkan sistem imuniti tubuh;

lanti-radangan,

lanti bakteria,

lanti parasit dan

lmelindungi hati.

Lentinus edodes (Shiitake) lMengandungi Lentinan iaitu bahan yang terdapat dalam ubat anti kanser. Ia juga digunakan sebagai terapi imuniti bagi kanser paru-paru, usus, serviks dan payu dara.

lDikatakan mampu membantu merencat pertumbuhan semula kanser.

lMembantu meningkatkan sistem imuniti tubuh dengan merangsang limfosit dan makrofaj agen melawan bakteria, virus, sel tumor dan toksin.

Flammulina velutipes (Jarum emas)lMerupakan agen toksik kepada sel tumor.

lMeningkatkan sistem imuniti tubuh serta menghalang jangkitan kulat dan virus.

lAgen anti radangan.

lAktiviti pelindung gen - menghalang kerosakan DNA.

Agarcius braslllensis (Cendawan butang)lMembantu merencatkan pertumbuhan tumor.

lMembantu mengawal atur tekanan darah.

lMembantu Merawat gastrik.

Ganoderma sp. (Ling zhi)lMembantu menghalang dan merawat kanser.

lMeningkatkan meningkatkan sistem imuniti dari segi;

lanti alahan,

lanti radangan,

lanti viral,

lanti bakteria dan

lanti oksida.

lMelegakan serta merawat paru-paru yang berpunca dari serangan lelah (asma) dan masalah pernafasan.

lMelindungi hati dengan meningkatkan proses detosifikasi.

Hericum erinaceum (Cendawan bunga kubis)lMembantu merangsang faktor pertumbuhan saraf serta berpotensi untuk membantu merawat penyakit saraf seperti dementia , trauma saraf akibat strok dan juga penyakit Alzheimer.

lMembantu menguatkan otot, gerakbalas motor dan fungsi kognitif.

lLektin - mampu membantu merencat pengumpulan darah merah.

lMembantu merawat ulser perut.

lMembantu meningkatkan sistem imuniti.

Pleurotus cystidiosus (abalone); Pleurotus flabellatus (tiram merah jambu); Pleurotus citrinopileatus (tiram kuning); Pleurotus florida (tiram putih) dan Pleurotus sajor-caju (tiram kelabu)lMengawal atur darah, anti thrombotik, merendahkan tekanan darah, mengurangkan kandungan glukosa dan lipid.

lMeningkatkan sistem imuniti bagi melawan jangkitan vierus dan bakteria.

lMenghalang pertumbuhan tumor.

lAgen anti oksida dan melindungi faktor genetik.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails