Friday, April 5, 2013

Tanaman limau madu beri pulangan berbaloi

JERANTUT 1 April - Penanaman limau madu atau nama saintifiknya Citrus Sinensis banyak diusahakan petani di Hulu Tembeling, Jerantut berasaskan permintaan yang meningkat di pasaran tempatan.
Bertolak hakikat itulah, seorang petani Kampung Tempan, dekat sini, Adenan Nipah, 55, memajukan tanah seluas lapan hektar untuk tanaman limau madu dan sayur-sayuran.
Katanya, projek tanaman itu bermula pada 1994 sebagai percubaan awal walaupun harus bersaing dengan pasaran buah-buahan tempatan lain.
"Benih limau ini saya peroleh daripada Jabatan Pertanian yang turut memberi bimbingan dari aspek pengurusan tanaman dan ladang pada peringkat awal," katanya di Kampung Tempan, dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, sebanyak 700 anak benih limau itu disulam di kawasan tanah pinggir kampung tersebut yang sudah diteroka untuk dimajukan dengan projek berkenaan.
"Setelah tiga tahun bersusah payah menjaga tanaman ini, akhirnya membuahkan hasil pertama pada 1997 sehingga kini dan mendapat pasaran yang baik di pasar tani dan pusat pelancongan Taman Negara," ujarnya.
Tanaman itu, katanya, dijaga dengan rapi untuk mengelak pokok limau tersebut mati akibat serangan ulat, penyakit tanaman dan musuh lain iaitu babi hutan.
"Kini cuma sebanyak 600 batang pokok mengeluarkan buah antara 400 hingga 700 biji," katanya.
Katanya, sekilogram buah limau itu dijual dengan harga RM4 kepada pelawat di Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Pagi dan kawasan berdekatan.
Beliau berkata, pendapatan harian jualan buah limau mencecah antara RM80 hingga RM100 digunakan untuk belanja dapur, persekolahan, membeli baja dan racun serangga.
"Limau yang baru dipetik boleh dimakan begitu sahaja atau dapat bertahan beberapa hari untuk diperah menjadi jus yang manis," katanya.
Tambahnya, usaha itu akan diteruskan dengan memajukan tanah terbiar berdekatan rumah dengan tanaman limau dan buah naga yang boleh mengecapi pulangan lumayan sesuai dengan kudrat dalam usia emasnya.

Thursday, March 21, 2013

Tarikan buah naga

Tarikan buah naga

Usaha tanpa mengenal jemu membuahkan kejayaan buat Nam Hock Moi dengan bantuan Jabatan Pertanian.
HASILNYA, petani berkenaan Nam Hock Moi, 50, mampu tersenyum dengan kejayaan menanam buah naga atau juga dikenali sebagai pitahaya yang asalnya telah sedia ada di situ.

‘‘Saya mengusahakannya sejak April 2011 dengan menyewa daripada tuan punya tanah di sini,"ujarnya ketika ditemui bersama rombongan Jabatan Pertanian ke kawasan tersebut baru-baru ini.

Yang turut hadir dalam rombongan tersebut ialah Pegawai Pertanian Daerah Kuala Langat, Mohd. Fadzli Mohamad Yaacob dan Penolong Pegawai Pertanian Putrajaya, Roseli Mustapha.Banyak kelebihan apabila dia memulihkan kembali projek tanaman buah naga tersebut memandangkan Hock Moi mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian sebelum ini.

Anak jati Sepang itu pernah mengusahakan projek pertanian pada 1999 di Sepang dengan tanaman terung, timun dan kacang panjang.

Ketika itu itu Hock Moi mampu mengutip hasil terung semusim penanaman sehingga 500 tan dan timun sehingga lima tan, tetapi masalah harga oleh orang tengah menjadikannya ‘mangsa’ perniagaan.
Kerjanya pun tidak lagi begitu sukar kerana tiga atau empat bulan sekali akan berehat sebelum penanaman semula dilakukan.Kerana tidak berpuas hati dengan situasi tersebut, dia meninggalkan bidang pertanian pada 2005 dan beralih kepada kerjaya lain sebagai runner memproses permit pekerja asing.

Pada 2011, setelah mencongak untuk memilih bidang yang ingin diceburi selepas meninggalkan kerjaya baru tersebut, dia bertanyakan mengenai kawasan yang diusahakannya sekarang dan mendapat persetujuan membangunkannya semula.Pengalaman sebagai penanam sayur sebelum ini nampaknya membantu dan Hock Moi tidak kekok atau canggung berjemur di bawah panas matahari.Malah, dia lebih beruntung memandangkan tidak perlu bermula daripada peringkat paling awal kerana pokok telah sedia tertanam daripada pengusaha terdahulu.

Bagaimanapun, dalam mana-mana projek pertanian, pengusaha perlu menyediakan modal untuk menjalankan projek.Untuk tujuan itu, dia menyediakan RM120,000 bagi memulihkan semula projek tersebut.‘‘Untuk kerja-kerja memotong rumput sahaja, saya habiskan RM20,000," ujarnya sambil memberitahu dia berkongsi dengan rakannya mengusahakan projek berkenaan.

Dalam pada itu, dia memberitahu masalah utama penjagaan buah naga ialah virus perosak yang menyebabkan batang pokok mereput.Katanya, dia mampu menuai hasil kira-kira tiga tan setiap waktu tuaian yang dilalukan dua kali sebulan.Ketika ini harga ladang buah naga dijual pada RM4 sekilogram.Selain di RTB, dia turut mengusahakan tanaman yang sama di LBJ , Negeri Sembilan seluas tiga ekar (1.2 hektar).

Kelebihan teknik fertigasi

MEREKA yang berminat menceburi bidang pertanian tanaman bernilai tinggi pastinya ingin mendalami ilmu mengenainya.Bagaimanapun, ramai menghadapi masalah untuk mencari sumber sesuai untuk menimba pengetahuan dalam bidang tanaman yang kini popular sebagai fertigasi.

Oleh itu, Jabatan Pertanian menerusi Pusat Pertanian Telok Datok, Pejabat Pertanian Kuala Langat Banting, Selangor menawarkan kursus kaedah penanaman kepada mereka yang berminat.

''Pusat Pertanian ini dijadikan rujukan, tempat latihan dan menyediakan plot-plot tanaman contoh dan sering menerima pelawat yang ingin melihat sendiri bagaimana pertanian bernilai tinggi dijalankan,'' kata Pembantu Pertanian Kanan Pusat tersebut, Ramli Yahaya.Beliau berkata, kawasan tersebut merangkumi keluasan enam ekar yang menempatkan enam rumah fertigasi untuk tanaman tomato dan melon.

Beliau berkata, pusat tersebut telah berjaya menerima Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) yang diusahakan pada 2011 dan dianugerahkan secara rasmi pada tahun lepas.Dengan pengiktirafan tersebut, pengurusan pusat berkenaan boleh berbangga kerana berjaya melepasi kira-kira 160 kriteria yang dinilai.
Perkara tersebut termasuklah tidak menggunakan racun dan pengurusan persekitaran yang lestari.Malah, buah yang dihasilkan daripada projek tersebut perlu dianalisis di makmal bagi mengetahui tahap sisa racun dan kandungan logam berat

Analisis tersebut dijalankan di makmal jabatan berkenaan di Jalan Galagher , Kuala Lumpur.
Menurut Ramli, projek tanaman fertigasi pada dasarnya menguntungkan dan mendapat permintaan terutama mereka yang inginkan makanan bebas racun 

Harganya mungkin tinggi sedikit mungkin kerana kos pengeluaran agak tinggi.Bagi membina satu projek asas , infrastruktur yang diperlukan termasuk struktur pelindung hujan (SPH) atau bumbung biasa sebagai pelindung, paip besar daripada tangki fertigasi, paip kecil yang disambung kepada penitis.Penitis dimasukkan ke medium tanaman biasanya daripada cocoa peat yang memang pokok.Baja adan air dicampurkan bersama dalam tangki besar dan disalurkan ke pasu yang mengandungi medium tanaman menerusi paip atau saluran kecil.

Menurut Ramli, teknik fertigasi boleh digunakan pada banyak jenis tanaman khususnya yang berbuah tetapi lebih elok jika dipilih jenis yang bernilai tinggi.Di pusat tersebut, pihaknya menanam rock melon dan tomato varieti baccarat dan sering mendapat sambutan daripada masyarakat sekitar yang datang membelinya sebaik mengetahui projek di situ tiba waktu memungut hasil.Seorang pekerja, Muhammad Ruzaini Hasnan memberitahu, apabila tiba musim pokok mengeluarkan hasil, pekerja akan sibuk memetik buah setiap dua hari sekali.

''Setiap kali memetik buah, kami dapat mengutip sehingga 80 kilogram,'' katanya yang dibantu rakan Mohamad Al-Hafiz Sarlan. 

Dalam pada itu mereka yang berminat menyertai kursus berkaitan fertigasi di pusat tersebut boleh menghubungi Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat di talian 03-31814773.

Sebanyak lapan kursus dianjurkan untuk petani setiap tahun dan lapan lagi termasuk dua sesi lawatan untuk usahawan industri asas tani turut ditawarkan.Penganjur menyediakan antara 30 hingga 40 kuota setiap kursus.

Gila' berniaga sukar dibendung

Muhamad Yusof menyusun produk makanan keluaran syarikatnya di kilang mereka di Tumpat, Kelantan.
TERDAPAT banyak faktor kenapa Muhamad Yusof, 54, menceburi bidang perniagaan pemprosesan makanan yang beroperasi di Tumpat, Kelantan.

Satu daripadanya kerana minat berniaga sudah tertanam dalam jiwanya sejak 1980-an dan juga kerap menyertai kursus bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai penyelia ketika bersama Jabatan Pertanian, lama-kelamaan membutirkan minatnya dalam perniagaan.
Menurut beliau, pembabitannya bermula pada 1986 secara kecil-kecilan di hadapan rumahnya di Tendung, Pasir Mas, Kelantan dan pada masa sama masih menyertai kursus anjuran MARDI.

''Saya pilih bidang ini kerana pernah terlibat dengan banyak jenis perniagaan secara kecil-kecilan termasuk dalam jualan langsung selama enam bulan sejak awal 1980-an dan selepas itu berniaga alat besi seperti sabit, parang di pasar malam," ujarnya mengimbau bagaimana dunia perniagaan begitu dekat padanya.
Bagaimanapun, perniagaan jenis itu berdepan risiko besar kerana pelanggannya tidak ramai dan keuntungan sedikit.

Selepas itu, beralih kepada menjual bunga di pasar malam tetapi sekali lagi, dia tidak mampu bertahan kerana keuntungannya kecil, meskipun berkemampuan mengembangkan perniagaan tersebut dengan membuka nurseri.

Akhirnya Muhamad akur bahawa dia perlu mencari perniagaan yang mempunyai produk tahan lama dan itu mendorongnya memilih bidang pemakanan yang mana usaha awalnya itu dibantu oleh isteri, Hazizah Hamat.
Menariknya, dia bermula dengan modal kecil iaitu hanya RM100 dengan memberi mesin pengisar berharga RM40 manakala bakinya untuk bahan-bahan mentah seperti cili dan bawang .
Lebih menarik dia menggunakan dapur dua penunu dan kemudiannya bertukar kepada periuk besar untuk memasak ramuan atau adunan. 

''Ini harapan saya, masa mengacau adunan dalam periuk, saya minta kawan-kawan uji rasanya.
''Ketika itu pada tahun 1986 saya sering ke pasar tani untuk mengetahui apakah maklum balas pengunjung terhadap produk yang dikeluarkan iaitu sos pencicah, sis cili dan sos tomato," ujarnya yang kemudian bertukar bekas memasak daripada periuk kepada kawah. 

Setahun kemudian, dia mengorak langkah setapak lagi apabila mampu menggunakan label sendiri dan kejayaan itu lebih terserlah dengan kepada mesin hasil sumbangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 1990.

Dengan kejayaan itu, dia membesarkan operasinya ke Wakaf Baru Tumpat sejajar dengan peningkatan jumlah pengeluaran.

Kempen rangsangan lateks diperhebat

GOPENG 5 Mac - RISDA akan melaksanakan siri jelajah untuk memberi penerangan kepada para pekebun kecil mengenai Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional yang dilancarkan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Yusoff Dohab berkata, langkah itu wajar bagi membolehkan para pekebun kecil memahami manfaat hasil penggunaan bahan tersebut dalam meningkatkan hasil keluaran mereka.

"RISDA termasuk dari segi pengurusan dan pegawai-pegawainya telah membuat beberapa dasar untuk aspek pelaksanaan dengan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

"Penggunaan bahan rangsangan lateks ini adalah salah satu daripadanya. Oleh itu, kita perlu memberi penjelasan kepada mereka bahawa bahan ini mampu memberi manfaat besar dari aspek daya pengeluaran mereka," katanya selepas menghadiri majlis pertemuan dengan warga RISDA Zon Utara di sini hari ini.

Insentif yang dilaksanakan oleh RISDA itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 pekebun kecil di seluruh negara.

Menurut Yusoff berkata, walaupun penggunaan bahan rangsangan itu terbukti mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran, bilangan pekebun kecil yang menggunakan bahan tersebut masih sedikit kerana belum yakin dengan penggunaannya.

''Saya difahamkan RISDA mengisytiharkan jihad produktiviti kepada semua warga RISDA pada tahun ini agar matlamat hasil getah sebanyak 1,600 kilogram sehektar setahun dapat dicapai.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails