Tuesday, November 13, 2012

Ladang Anggur di Silverlake, Thailand

Sebuah ladang anggur di Silverlake  berlatarbelakangkan bukit. 


MENJEJAKKAN kaki ke ladang anggur seluas 500 ekar ini, bagaikan berada di sebuah taman fantasi ala Belanda. Ia begitu mendamaikan. 

Bukan sahaja bau harum bunga-bungaan menggoda jiwa dan perasaan tetapi kehijauan alam semula jadi di sekitar Silverlake membuatkan hati benar-benar terpaut. 

Buat seketika, lupakan sebentar cuaca panas di Thailand yang mencecah sehingga 42 darjah Celcius. Ini kerana suasana romantis yang menyerap di segenap sudut ladang anggur ini, dapat dirasai.

Silverlake menjadi sebuah taman anggur yang begitu indah sekali hingga menjadi tarikan utama pelancong di Pattaya. 

Menariknya, jika dilihat di sekeliling ladang anggur ini, ia bagaikan satu taman tema yang diwujudkan khusus untuk penggambaran filem. 

Ini tidak mustahil kerana Silverlake dibuka atas inisiatif seorang pelakon ternama negara gajah putih itu, Supansa Nuangphirom, yang cukup gah sekitar tahun 1980-an.Bahkan, ladang anggur ini seringkali menjadi pilihan penerbit drama dan filem sebagai lokasi penggambaran, antaranya, sinetron popular, Soot Saneha, banyak membantu mengangkat Silverlake ke mata dunia. 

Apatah lagi kedudukannya begitu strategik, yang mana pengunjung akan disambut dengan pantulan emas bersinar-sinar dari bukit Khao Chi Chan.Dicatatkan sebagai ukiran terbesar di dunia setakat ini, cenuram bukit Khao Chi Chan ini meriah dengan ukiran patung Buddha pada ketinggian 109 meter dan 70 meter lebar. 

Uniknya, ukiran itu dibuat dengan pantulan laser sempena sambutan ke-50 tahun raja Thailand, Raja Bhumibol menggambarkan imej patung Buddha dalam gaya Pang Man Wichai atau dikenali Phrawarachabopit.Tidak cukup dengan itu, Silverlake juga mempunyai daya tarikan tersendiri sekalipun ladang anggurnya tidak mengeluarkan buah sepanjang tahun. 

Malah, ketika rombongan Agrochallenge International Thailand 2012 mengunjungi ladang ini, buah anggur baru sahaja dipetik tetapi ia tetap penuh dengan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu melihat sendiri keindahan taman anggur ini.

Pengunjung juga boleh mendapatkan produk Silverlake seperti biskut, jus, jem, pai anggur, jeli dan kismis yang dijual di gerai berhampiran. Jika anda bertuah, mungkin berpeluang menikmati anggur segar yang dipetik dari ladang. 

Jika dilihat di sekeliling ladang anggur ini, masih terdapat beberapa penambahbaikan sedang dijalankan bagi memberi lebih banyak tarikan kepada pengunjung. 

Bagi mereka yang ingin menginap di taman penuh romantik ini, terdapat 10 jenis calet disediakan mengikut keperluan masing-masing sama ada bercuti bersama keluarga atau berehat di hujung minggu dengan rakan-rakan. 

Menariknya, calet ini yang dikenali sebagai Movie House dibina dengan sentuhan rumah Inggeris berwarna putih dan berlatarbelakangkan bukit Khao Chi Chan. Ia mempunyai kemudahan lengkap seperti wi-fi, peti ais, taman comel di hadapan rumah dan juga pengangkutan kepada pengunjung. 

Ladang anggur Silverlake adalah salah satu destinasi lawatan Agrochallenge International Thailand 2012 ke Bangkok dan Pattaya, Thailand untuk meninjau dengan lebih dekat lagi pembangunan agropelancongan di Pattaya.

Program yang disertai 60 peserta ini memasuki kali keempat dianjurkan Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) dan Jabatan Pertanian dengan kerjasama Rakyat Travel Sdn. Bhd.

Secara umum, Pattaya bukan sahaja dikenali dengan hiburan malam yang begitu meriah, tetapi mempunyai tarikan tersendiri seperti keindahan pantai dan pulau serta beberapa pusat rekreasi seperti taman buaya, taman orkid dan taman hidupan dasar laut yang menawarkan akuarium bertaraf dunia. 

Tidak lupa juga, Pattaya mempunyai tempat-tempat bersejarah yang juga boleh dicatatkan di dalam diari pelancongan anda.

Tuesday, October 30, 2012

Ternak ikan mahal dalam kolam simen


Projek ternak ikan mahal dalam kolam simen raih hasil lumayan

SPESIES ikan kelah atau nama saintifiknya, ‘tor tambroides’, sememangnya cukup terkenal di kalangan kaki pancing hingga ada yang beranggapan, kejayaan memperoleh ikan yang hidup dalam habitat tersendiri di lokasi terpencil hulu sungai itu, ibarat baru lulus lesen sebagai pemancing tegar.

Penternakan Ikan Kelah mampu menjana pendapatan lumayan di sektor perikanan negara Kesukaran mendapatkannya membuatkan harganya melambung tinggi, mencecah ratusan ringgit bagi ikan dewasa dan peluang menikmati masakan ikan kelah yang dianggap sebagai raja ikan sungai itu, bagaikan berdepan dengan hidangan makanan eksotik.

Ini kerana harga ikan kelah yang diborong mati dijual pada harga RM80 sekilogram, manakala yang dihidup dijual pada harga RM150. Malah, ikan kelah untuk hiasan boleh mencapai harga antara RM500 hingga RM1,000 sekilogram.

Ahmad mengembangkan minatnya memelihara ikan kelah sebagai sumber pendapatan sampingan yang lumayan.PELUANG PERNIAGAAN: Ahmad mengembangkan minatnya memelihara ikan kelah sebagai sumber pendapatan sampingan yang lumayan. Namun, di sebalik kesukaran memperoleh ikan kelah dan pada masa sama ia adalah spesies dilindungi Akta Hidupan Liar dan Taman Negara, seorang warga emas dari Kampung Tualang Kudong, Labok dekat Machang, Ahmad Abdul Rahman, 58, membuktikan potensi ikan terbabit diternak dan menjana ekonomi penduduk luar bandar.

Bermula dengan minat melihat ikan kelah yang dipelihara dalam akuarium di rumah, Ahmad mengembang minatnya itu sebagai sumber pendapatan sampingan yang lumayan apabila berjaya menternak anak ikan kelah dalam kolam simen berdekatan rumahnya.

“Ketika ini, saya mempunyai empat kolam simen yang menempatkan lebih 14,000 anak ikan kelah, dan semuanya sudah ditempah oleh pemborong dari seluruh negara, untuk dipasarkan sebagai ikan hiasan atau diternak oleh mereka yang berminat.

“Selain daripada dua spesies, ia mempunyai tiga warna iaitu kelah merah, biru dan perak, tetapi kelah biru dan merah mempunyai nilai lebih tinggi kerana kecantikan warna sisiknya,” katanya.

Beliau berkata, kelah mencapai tahap matang selepas empat tahun dengan harga boleh mencecah ratusan ringgit seekor dan induk kelah mampu mencapai tumbesarannya 30 kilogram seekor dalam tempoh lebih panjang.

Ahmad berkata, sebelum menceburi ternakan kelah, beliau pernah mengusahakan ternakan ikan keli dalam kolam simen tetapi terpaksa menghentikan usaha itu kerana faktor penyelenggaraan.

“Ternakan ikan keli dalam kolam simen memerlukan penyelenggaraan yang kerap kerana airnya akan menghasilkan bau kurang menyenangkan jika dibiar lama, berbanding ikan kelah yang mampu mengekalkan kejernihan air tanpa mengeluarkan bau seperti ikan keli.

“Anak ikan kelah memerlukan keadaan air kolam yang dingin sebagai habitat yang membantu mempercepatkan tumbesarannya. Berikutan itu, keadaan kolam dilindungi daripada terkena panas terik secara langsung bagi mengurangkan kepanasan terhadap air,” katanya.

Beliau berkata, penjagaan anak ikan kelah bukan sesuatu yang rumit tetapi semua anak ikan yang diperoleh dari sekitar Sungai Kelantan terutama di kawasan hulu.

Difahamkan, untuk tujuan itu, khidmat beberapa penduduk Orang Asli digunakan dalam usaha menjaring anak ikan kelah yang dikesan dalam sungai sekitar Gua Musang dan Kuala Krai, Hulu Kelantan.

Berbekalkan lampu suluh, usaha itu dibuat pada waktu malam dengan berumpankan anak kerengga atau kelkatu yang ditabur bagi menarik perhatian anak kelah ke permukaan air sebelum diperangkap dalam jaring.

Ahmad berkata, anak ikan yang baru diperoleh dari habitat liar itu, akan ditempatkan dalam sebuah kolam transit untuk usaha mengenal pasti tahap kesihatannya sebelum dipindahkan ke kolam induk untuk jagaan sehingga dibeli pemborong.

Beliau berkata, ikan kelah yang tidak sihat akan mempunyai tanda atau tompok keputihan pada badan dengan selera makannya juga akan menurun.

Katanya, selain disediakan makanan palet, anak ikan kelah cukup menggemari buah kelapa sawit yang hanya perlu direndam sebelum dipenyekkan dan diberi makan kepada anak ikan kelah yang mengerumuninya dalam masa singkat. Selain buah sawit, anak ikan kelah turut menggemari buah ara, ubi kayu serta daun kangkung.

“Minat kelah kepada buah sawit itu juga menyebabkan pemancing yang memburu kelah sering mengggunakan umpan itu ketika memancing di habitatnya,” katanya yang mampu memperoleh jualan sehingga RM40,000 apabila semua anak kelahnya yang berada kolam dibeli pemborong.

Setakat ini, usaha pembenihan ikan kelah belum mampu dilakukan mereka kerana ikan terbabit bertelur di celah kawasan berbatu dan air terjun, menyebabkan beliau perlu membina keadaan menyerupai habitat semula jadi ikan terbabit bagi menjayakan usaha yang sedang direncanakan itu.

Anak Ahmad, Fadhil Nurhadi, 21, yang menyokong usaha bapanya itu berhasrat untuk memajukan lagi ternakan anak ikan kelah dalam jangka panjang dengan menambah bilangan kolam bagi menempatkan anak ikan kelah terbabit untuk membolehkan mereka meningkatkan tumbesarannya.

Katanya, mereka juga berhasrat menternak ikan ketutu atau ubi yang turut mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran dengan harga yang tinggi. Usaha keluarga terbabit menternak ikan kelah boleh diikuti menerusi laman sesawang, Ikan Kelah.Com.

FAKTA

Ikan kelah
Nama saintifik 2 spesies Kelah, ‘tor tambroides’ dan ‘tor Douronensis’.
* Dikenali sebagai Empurau dan Semah di Sarawak, Pelian di Sabah.
* Ukuran anak ikan 4 hingga 5 sentimeter dijual RM6 hingga RM8 seekor.
* Matang dalam tempoh empat tahun.
* Induk kelah mampu capai berat 30 kilogram.

Wednesday, October 10, 2012

FDI halal Malaysia lepasi RM1b

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Malaysia telah melepasi sasaran RM1 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri halal hanya dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Pada tahun lalu, FDI dalam industri halal berjumlah RM1 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industri Development Corporation Sdn. Bhd.(HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, FDI dalam industri halal dicatatkan sebanyak RM1.1 bilion.

Katanya, pencapaian memberangsangkan itu disokong oleh insentif daripada kerajaan termasuk pengecualian cukai barangan pembuatan yang dibawa ke Taman Industri Halal di seluruh negara.

"Pada masa ini, kami mempunyai sebanyak 19 buah Taman Industri Halal di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Fiesta Halal Malaysia (Halfest 2012) di sini hari ini.Majlis itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad.

Tambah Jamil, satu lagi faktor penyumbang kepada prestasi memberangsangkan FDI industri halal di negara ini adalah kerana Malaysia merupakan pengeluar dan pembekal ramuan halal terbesar di dunia.

Katanya, ramuan halal di negara ini adalah menyeluruh iaitu dalam produk makanan, produk farmaseutikal dan lain-lain.

Tambah Jamil, jumlah eksport halal di Malaysia juga meningkat bagi separuh pertama tahun ini iaitu RM16.6 bilion.

Manakala, pada tahun lalu, beliau berkata, eksport halal Malaysia adalah RM35.4 bilion.

"Eksport halal terbesar dari Malaysia setakat ini adalah China," ujarnya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121011/ek_01/FDI-halal-Malaysia-lepasi-RM1b#ixzz28xUF00qB

Monday, September 3, 2012

Tanaman anggur di sg siput, Perak


PANDUAN MENANAM PETAI DAN JERING



PETAI DAN JERING

Petai (Parkia speciosas Hassk.) dan Jering (Pithecellobium lobatum Senth.) adalah jenis tanaman dari keluarga Legumino-sae.  Biji petai dan jering amat digemari sebagai makanan ulam.  Petai mengandungi banyak zat terutama vitamin A, C dan zat galian.  Zat pemakanan pada jering adalah kalsiam dan besi.  Petai dan jering boleh dibuat rendang, direbus, masakan sambal tumis, acar dan jeruk. 
Di segi kesihatan, khasiat kedua jenis ulam ini dikatakan boleh mengubati penyakit kencing manis.

PETAI

Petai berupa pohon yang tingginya antara 5-25 m.  Daunnya jenis berselang, bipinata dengan anak-anak daun yang kecil.  Kepala bunga berbentuk bebola di hujung julaian tangkai yang panjangnya 20-45 cm.  Setiap kepala bunga menghasilkan beberapa buah petai.  Setiap buah mengandungi 10-18 biji petai berkulit tipis dan berbau menusuk.  Biji petai yang digunakan mempunyai kulit buah yang berwarna hijau ketika matang.  Kulit petai tua bertukar menjadi perang atau hitam.
JERING
Jering berupa pohon yang tingginya mencapai 10-26 m.  Daunnya bersirip ganda dua.  Anak-anak daun muda berwarna ungu-coklat.  Bunganya berumbai tumbuh pada ketiak-ketiak daun yang sudah gugur.  Buahnya berupa lenggai berbentuk pipeh dan berbelit berwarna ungu tua.  Lenggai berisi 5-7 biji yang mempunyai kulit ari tipis berwarna coklat mengkilap.
Kesesuaian iklim dan tanah
Petai dan jering boleh ditanam di tanah rendah hingga dataran tanah yang tinggi 1,500 m daripada paras laut. Iklim kawasan yang cukup lembap dan panas adalah sesuai untuk pertumbuhan pokok yang subur.
Tanah mestilah mempunyai saliran yang baik.  Tanah jenis peroi dalam terutamanya di kawasan cerun sedikit adalah paling baik.  Tanah gembur, tanah liat berpasir atau liat peroi juga didapati sesuai.
Penanaman
·         Menyedia anak benih

Petai dan jering ditanam daripada biji.  Sebanyak 3-4 biji benih ditanam di dalam beg plastik berukuran 15 cm x 25 cm.  Hanya pilih satu anak benih yang subur sahaja selepas percambahan. 

Campuran tanah di dalam beg plastik mengandungi 2 bahagian pasir, 1 bahagian baja asli reput dan 1 bahagian tanah lapisan atas.

Berikan naungan daripada cahaya matahari terik dengan menggunakan daun kelapa pada peringkat permulaan menanam.  Kurangkan lindungan berperingkat-peringkat sehingga ditanam ke ladang.  Anak benih ditanam di ladang apabila lebih kurang 15-20 cm tinggi.
 
·         Jarak tanaman dan cara menanam

Jarak tanaman yang sesuai ialah 15 m x 15 m atau 20 m x 20 m empat segi sama (jaraknya lebih rapat untuk tanah yang kurang subur). 
Pancang dan gali lubang sebesar 30 cm x 30 cm x 30 cm dan campurkan tahi lembu dan baja seperti rock phosphate.
Tanam pokok pada awal musim hujan.  Buang beg plastik sebelum menanam pokok.  Selepas menanam, padatkan tanah di sekeliling pokok dan ikatkan pada kayu sokongan.
PENJAGAAN
  • Membaja

    Pokok petai dan jering boleh dibaja dengan baja dagangan ataupun baja organik.
     
  • Baja Dagangan

    Dua jenis baja yang diperlukan ialah baja tumbesar dan baja buah

    Baja Tumbesar : N:P205:K20 (14:14:14)  atau N:P205:K20: Mg0 (15:15:6:4)
    Baja Untuk Buah :  N:P205:K20: Mg0 (12:12:17:2)
Tabur baja bertompok-tompok atau ke dalam parit kecil di sekeliling sudut pokok dan gaulkan ke dalam tanah.
Syor pembajaan
Untuk Pokok (tahun)
Jenis Baja
Kadar Pembajaan
(kg/pokok/tahun)
Masa
1
Tumbesar
0.5
3 bulan sekali terutama pada awal musim hujan.
2
Tumbesar
0.1
3 bulan sekali terutama pada awal musim hujan.
3
Tumbesar
2.0
2-3 kali setahun terutama pada awal musim hujan
4
Tumbesar
3.0
2-3 kali setahun terutama pada awal musim hujan
7
Untuk buah
6.0
1/2 bulan selepas musim buah.
8-10
Untuk buah
7.0

11-14
Untuk buah
8.0

15
Untuk buah
9.0
1/2 bulan sebelum berbunga
 
·         Baja Asli

Baja tahi lembu dan tahi kambing amat sesuai digunakan sebagai baja asli.  Baja-baja ini hendaklah dilonggokkan kira-kira 0.6 m - 0.9 m dari pangkal pokok.  Kadar ialah lebih kurang 4 pungkis sepokok, setiap 6 bulan sekali.  Baja-baja ini janganlah ditabur kerna akan menjadi cepat kering dan kurang berkesan.
 
Mengawal Rumpai
Apabila pokok masih muda, rumpai di keliling pokok boleh dikawal dengan mencangkul atau mencabut dengan tangan.  Rumpai diantara pokok dan di keliling pokok yang lebih matang boleh dikawal dengan semburan paraquat sebanyak 20-25 c.c./4.5 liter air.  Buatkan sungkupan dengan daun-daun dan rumpai kering.
Mengawal Musuh dan Penyakit
Pokok petai biasanya diserang oleh ulat-ulat pengorek batang pada peringkat tumbesarannya.  Sebagai kawalan, kebersihan kebun hendaklah dijaga.  Semburan racun seperti trichlorphon atau gamma BHC 0.1% bahan aktif boleh digunakan untuk serangan yang teruk.
MEMUNGUT HASIL
Pokok petai menghasilkan buah selepas 5-10 tahun ditanam dan jering mula berbuah selepas 10-15 tahun ditanam.  Kutip buah daripada dahan tinggi dengan menggunakan kacip bergalah.  Potong tangkal buah serta rantingnya sekali sepanjang 25 cm.  Buang daun-daun dan ikat buah-buah dengan tangkainya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails