MENJEJAKKAN kaki ke ladang anggur seluas 500 ekar ini, bagaikan
berada di sebuah taman fantasi ala Belanda. Ia begitu mendamaikan.
Bukan sahaja bau harum bunga-bungaan menggoda jiwa dan perasaan
tetapi kehijauan alam semula jadi di sekitar Silverlake membuatkan hati
benar-benar terpaut.
Buat seketika, lupakan sebentar cuaca panas di Thailand yang mencecah
sehingga 42 darjah Celcius. Ini kerana suasana romantis yang menyerap
di segenap sudut ladang anggur ini, dapat dirasai.
Silverlake menjadi sebuah taman anggur yang begitu indah sekali hingga menjadi tarikan utama pelancong di Pattaya.
Menariknya, jika dilihat di sekeliling ladang anggur ini, ia bagaikan
satu taman tema yang diwujudkan khusus untuk penggambaran filem.
Ini tidak mustahil kerana Silverlake dibuka atas inisiatif seorang
pelakon ternama negara gajah putih itu, Supansa Nuangphirom, yang cukup
gah sekitar tahun 1980-an.Bahkan, ladang anggur ini seringkali menjadi pilihan penerbit drama
dan filem sebagai lokasi penggambaran, antaranya, sinetron popular, Soot Saneha, banyak membantu mengangkat Silverlake ke mata dunia.
Apatah lagi kedudukannya begitu strategik, yang mana pengunjung akan
disambut dengan pantulan emas bersinar-sinar dari bukit Khao Chi Chan.Dicatatkan sebagai ukiran terbesar di dunia setakat ini, cenuram
bukit Khao Chi Chan ini meriah dengan ukiran patung Buddha pada
ketinggian 109 meter dan 70 meter lebar.
Uniknya, ukiran itu dibuat dengan pantulan laser sempena sambutan
ke-50 tahun raja Thailand, Raja Bhumibol menggambarkan imej patung
Buddha dalam gaya Pang Man Wichai atau dikenali Phrawarachabopit.Tidak cukup dengan itu, Silverlake juga mempunyai daya tarikan
tersendiri sekalipun ladang anggurnya tidak mengeluarkan buah sepanjang
tahun.
Malah, ketika rombongan Agrochallenge International Thailand 2012
mengunjungi ladang ini, buah anggur baru sahaja dipetik tetapi ia tetap
penuh dengan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu melihat
sendiri keindahan taman anggur ini.
Pengunjung juga boleh mendapatkan produk Silverlake seperti biskut,
jus, jem, pai anggur, jeli dan kismis yang dijual di gerai berhampiran.
Jika anda bertuah, mungkin berpeluang menikmati anggur segar yang
dipetik dari ladang.
Jika dilihat di sekeliling ladang anggur ini, masih terdapat beberapa
penambahbaikan sedang dijalankan bagi memberi lebih banyak tarikan
kepada pengunjung.
Bagi mereka yang ingin menginap di taman penuh romantik ini, terdapat
10 jenis calet disediakan mengikut keperluan masing-masing sama ada
bercuti bersama keluarga atau berehat di hujung minggu dengan
rakan-rakan.
Menariknya, calet ini yang dikenali sebagai Movie House dibina
dengan sentuhan rumah Inggeris berwarna putih dan berlatarbelakangkan
bukit Khao Chi Chan. Ia mempunyai kemudahan lengkap seperti wi-fi, peti
ais, taman comel di hadapan rumah dan juga pengangkutan kepada
pengunjung.
Ladang anggur Silverlake adalah salah satu destinasi lawatan
Agrochallenge International Thailand 2012 ke Bangkok dan Pattaya,
Thailand untuk meninjau dengan lebih dekat lagi pembangunan
agropelancongan di Pattaya.
Program yang disertai 60 peserta ini memasuki kali keempat dianjurkan
Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) dan Jabatan Pertanian dengan
kerjasama Rakyat Travel Sdn. Bhd.
Secara umum, Pattaya bukan sahaja dikenali dengan hiburan malam yang
begitu meriah, tetapi mempunyai tarikan tersendiri seperti keindahan
pantai dan pulau serta beberapa pusat rekreasi seperti taman buaya,
taman orkid dan taman hidupan dasar laut yang menawarkan akuarium
bertaraf dunia.
Tidak lupa juga, Pattaya mempunyai tempat-tempat bersejarah yang juga boleh dicatatkan di dalam diari pelancongan anda.
No comments:
Post a Comment