Saturday, March 3, 2012

Tips tanam ubi keladi

UBI keladi dengan nama saintifik Colocasia esculenta dari keluarga Araceae merupakan tanaman tropika dan dipercayai berasal dari kawasan lembah di Malaysia dan ditanam di India pada 5000 tahun sebelum Masehi sebelum dibawa ke Mesir. Pokok keladi mempunyai daun yang lebar berbentuk hati dengan saiz yang pelbagai. Sesetengah spesies keladi mengeluarkan sulur yang menjalar. Di negara seperti Fiji, ubi keladi dijadikan sumber makanan utama.

Keladi tidak boleh dimakan mentah dan dianggap beracun kerana kandungan calcium oxalate di dalamnya. Ia selamat untuk dimakan setelah direbus atau direndam dalam air semalaman.Di Malaysia ubi keladi dijadikan makanan manusia dan ternakan.

Isi atau ubi keladi boleh digoreng, direbus, dibuat kuih muih dan juga bubur sementara batang dan sulur beberapa jenis keladi boleh dijadikan sayuran. Pengeluar utama keladi adalah negeri Johor.Ubi keladi mengandungi karbohidrat yang tinggi di samping zat-zat galian yang lain.

Jenis-jenis keladi
Terdapat lebih daripada 35 kultivar keladi yang berbeza dan umumnya keladi dibahagi kepada dua kumpulan utama iaitu:
* Keladi jenis eddoe iaitu ubinya kecil dan dikelilingi oleh ubi-ubi sisi yang sempurna bentuknya dikenali sebagai Colocasia esculenta var. antiquorum.
* Keladi jenis dasheen iaitu keladi yang mempunyai ubi yang besar dan terdapat kelompok ubi sisi yang kecil dipanggil Colocasia esculenta var. esculenta.

Keperluan tanaman keladi
n Ubi keladi boleh hidup dalam julat suhu 270 - 300C.
* Taburan hujan melebihi 100 sm/tahun.
* Ubi keladi sesuai pada tanah lom berpasir dan tidak bertakung air dan juga tanah gambut.
* pH tanah yang sesuai adalah 4.5 hingga 7.

Penanaman
Penyediaan tanah
* Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.
* Jika tanah terlalu berasid, pengapuran perlu untuk menaikkan pH.
* Keladi boleh ditanam sama ada di atas batas atau tanpa batas.

Bahan tanaman dan jarak tanaman
* Benih keladi diperoleh dari sulur atau anak pokok yang berumur lebih kurang dua bulan dengan garis pusat tiga sentimeter.
* Pucuk anak benih keladi dipotong dan tinggalkan batang atau tangkai daun keladi sepanjang 30 sentimeter.
* Jarak antara pokok adalah 45 sentimeter dan antara barisan ialah 120 sentimeter.
* Penyiraman perlu pada peringkat awal pertumbuhan pokok terutama jika cuaca kering.

Pembajaan

* Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.
* Kadar pembajaan yang biasa adalah 60N:50P2O5:100K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.
* Baja diberi selepas 3-4 minggu ubi keladi ditanam.
 
Pengawalan rumpai
* Merumpai dijalankan semasa pokok membesar iaitu tiga minggu selepas ditanam.
* Kawalan rumpai boleh secara manual atau menggunakan racun rumpai.
* Semasa merumpai secara manual, tanah akan dikambus ke pangkal perdu pokok selepas sulur keladi dibuang.
* Sulur yang tidak diperlukan dibuang untuk memastikan tumbesaran pokok induk lebih sempurna.
 
Kawalan perosak dan penyakit
 
* Musuh ubi keladi adalah serangga seperti ulat dan belalang. Ulat Hippotion celerio akan memakan daun keladi hingga ke tangkainya. Kawalan yang disyorkan adalah dengan mengutip ulat perosak ini dan dimusnahkan.
* Belalang menyerang dengan memakan daun keladi yang menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Kawalan dengan menggunakan racun serangga sekiranya serangan terlalu teruk.
* Penyakit hawar daun oleh Phytophthora colocasia dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik dan membuang dan musnahkan pokok yang diserang.
* Penyakit reput umbisi oleh Sclerotium rolfsii juga boleh dikawal dengan amalan kultura seperti giliran tanaman dan musnahkan pokok yang dijangkiti.

Pemungutan hasil

* Hasil ubi keladi boleh dikutip selepas tujuh hingga 12 bulan ditanam bergantung kepada jenis dan penjagaannya dimana saiz ubi keladi ini telah sesuai untuk dipasarkan.

* Anggaran hasil adalah antara 6-12 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi keladi

Sumber:utusan malaysia

Tuesday, February 7, 2012

Hasil susu segar terbaik

SUSU lembu merupakan minuman berkhasiat yang dikenali di seluruh dunia selain merupakan sumber vitamin yang diperlukan untuk tumbesaran manusia.

Bermula dengan susu segar, pelbagai produk tenusu seperti krim, mentega, dadih, aiskrim, keju, yogurt dan sebagainya dapat dihasilkan untuk kegunaan masyarakat.

Namun bukan mudah untuk menghasilkan susu lembu yang berkualiti kerana faktor pemakanan sebenarnya mempengaruhi susu yang akan dihasilkan oleh lembu tenusu.

Selain itu, harga makanan lembu yang semakin tinggi juga menjadi beban dan penghalang kepada penternak lembu tenusu bagi menghasilkan susu lembu yang berkualiti.

Lawatan pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pakar-pakar pemakanan Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLM) ke ladang lembu tenusu di Bedong, Kedah berjaya membuka minda penternak lembu tenusu agar terus berusaha menghasilkan susu segar yang berkualiti untuk dibekalkan kepada pengguna.

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Komoditi Ternakan JPV, Dr. Siti Salmiyah Tahir berkata, lawatan ke ladang-ladang lembu tenusu bertujuan mendapatkan maklumat dan cara pemakanan lembu yang betul untuk diajar kepada penternak.

"Harga makanan lembu dipasaran memang mahal jadi penternak meminta kerajaan menaikkan harga susu segar namun jika dibandingkan dengan negara lain, harga susu segar dari ladang di negara kita adalah yang tertinggi (sekitar AS$0.58 seliter).

"Sebab itu, pihak kami turun padang bertemu dengan penternak lembu tenusu bagi memberi maklumat bagaimana untuk mengurangkan kos makanan ternakan jika tahu cara membuat rumusan makanan yang betul kepada lembu yang diternak," katanya.

Menurutnya, di setiap negeri terdapat pelbagai jenis tumbuhan yang boleh dijadikan makanan tambahan untuk lembu tenusu selain makanan dalam bentuk pallet.

"Rumput napier menjadi pilihan utama penternak untuk diberikan kepada lembu mereka. Namun masalah kekurangan tanah pula menjadi halangan untuk penternak menanam rumput di kawasan ladang mereka.

"Oleh sebab itu, pihak kami sedang mencari jenis-jenis makanan lain yang boleh diberikan kepada lembu tenusu kerana di setiap negeri ada makanan yang berbeza boleh diberikan kepada lembu tenusu bagi memastikan susu yang dihasilkan berkualiti," jelasnya.

Selain itu, Dr. Siti Salmiyah berkata, sejak tahun lalu, pihaknya telah memperkenalkan sistem pengiraan khasiat makanan yang menggunakan kaedah rekod Individual Cow Recording and Analysis System (ICRAS) untuk memudahkan penternak membuat pengiraan khasiat makanan yang mereka berikan kepada lembu-lembu masing-masing.

Katanya, peladang hanya perlu memasukkan data-data tertentu dan sistem itu akan membuat pengiraan khasiat makanan yang diberikan kepada haiwan secara automatik.

Dengan cara itu, peladang tahu makanan apakah yang patut diberikan kepada haiwan ternakan mereka untuk menambah pengeluaran susu.

Tambah Dr. Siti Salmiyah, kebanyakan penternak lembu tenusu di negara ini tidak mempunyai rekod khusus untuk mencatatkan maklumat mengenai lembu ternakan mereka.

"Apabila rekod kesihatan lembu ini tiada, sukar bagi pihak JPV membantu penternak jika lembu-lembu mereka mengalami masalah kesihatan.

"Oleh itu, kami amat menggalakkan penternak menggunakan ICRAS untuk merekodkan data-data penting seperti jumlah pengeluaran susu, kadar pembiakan dan rawatan kesihatan yang telah diberikan kepada lembu mereka," jelasnya.

Sementara itu, penternak lembu tenusu, Ramlan Bakar, 44 berkata, lawatan oleh pihak JPV dan DLM ke ladang lembu tenusu yang diusahakannnya sejak tahun 2008 itu amat bermakna kerana banyak ilmu baru berkaitan soal penjagaan lembu dan cara-cara menghasilkan susu lembu yang berkualiti dipelajari.

"Sekarang saya ada 19 ekor lembu susu dan empat ekor lembu menghasilkan susu segar setiap hari untuk dijual kepada pelanggan tetap yang akan datang mengambil susu di ladang.

"Setiap hari sekurang-kurangnya 30 liter susu segar dapat dihasilkan dan saya memang bercadang untuk menambah bilangan lembu yang diternak di ladang yang seluas 1.6 hektar ini," katanya.

Ramlan yang merupakan pesara tentera memberitahu, semua lembunya dibiarkan bebas meragut di ladang kelapa sawit bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Selain meragut diladang kelapa sawit, lembu-lembunya juga diberikan dedak dua kali sehari malah rumput napier juga ditanam berhampiran ladang tersebut untuk memastikan lembu-lembu yang dibela mendapat khasiat yang cukup.

"Saya berharap kerjasama yang terjalin antara pihak JPV dan penternak-penternak lembu susu tidak terhenti setakat ini sahaja kerana kami amat memerlukan bantuan untuk menambah ilmu dalam bidang penjagaan lembu susu.

"Banyak lagi yang perlu kami pelajari untuk berjaya dalam bidang ini dan kami juga mahu menghasilkan susu segar yang berkualiti kepada pengguna," tambahnya.
Sumber:Utusan Malaysia 

Kecewa dorong Mahanom jual baja

SELALUNYA apabila wanita bercakap tentang baja ialah hanya untuk digunakan bagi menyuburkan bunga-bungaan yang mereka tanam.

Tetapi lain pula dengan Mahanom Salamon, 40, yang menjadikan baja sebahagian daripada hidupnya.

Malah beliau mungkin merupakan satu-satunya wanita di negara ini yang menceburkan diri dalam industri pengeluaran baja.

Malah, beliau mengambil langkah berani untuk berkecimpung dalam industri yang didominasi lelaki dan konglomerat besar itu disebabkan rasa kecewa.

Katanya, sama seperti wanita lain, dia yang sebelum ini bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta gemar bercucuk tanam.

Tetapi seringkali kecewa apabila apa yang ditanam itu tidak menjadi.

Dari situ beliau mula melayari Internet untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik sehingga dipertemukan oleh sahabatnya dengan seorang pakar perunding tentang baja SA Bio-Mass dari Vietnam.

"Bermula dari situ, saya sendiri menggunakan baja tersebut dan mendapati hasil yang sangat memuaskan," katanya.

Dari situ kata Mahanom, dia menyedari akan potensi baja tersebut jika dipasarkan di negara ini.

"Lagi pula, ia merupakan produk berasaskan alam semulajadi yang bebas daripada bahan kimia tetapi mampu memberi hasil sehingga dua kali ganda dan dapat digunakan untuk semua tanaman," katanya ketika ditemui di kilang pembungkusan baja syarikatnya di Taman Industri Sri Sulong, Parit Sulong, Johor, baru-baru ini.

Kini Mahanom merupakan Ketua Pengarah Eksekutif SA Bio-Mass Trading, syarikat pengedar tunggal baja SA Bio-Mass hasil teknologi Eropah yang 100 peratus bebas kimia.

Syarikatnya kini mengedarkan kira-kira 2,000 tan baja mesra alam tersebut setahun ke seluruh negara.

Beliau memberitahu, Bio-Mass adalah baja bebas kimia dihasilkan daripada lebihan bahan mentah yang dikeluarkan oleh kilang dan industri pemprosesan makanan manusia dan ternakan.

Antaranya lebihan daging atau ayam yang dihasilkan dari kilang pengeluar kiub pati, gula, hampas, soya, beras dan jagung.

Berbanding baja organik, Bio-Mass tidak mengandungi najis haiwan.

Bahan-bahan tersebut melalui beberapa proses pemecahan, pemeringkatan dan penapisan menggunakan tekonologi tercanggih dari Eropah sehingga terhasilnya nutrien tanaman untuk kegunaan semua jenis peringkat tanaman dan ladang.

Sementara itu, Mahanom berkata, keluarga amat memahami kesibukan dirinya menguruskan perniagaan sehingga jarang berada di rumah. Malah mereka turut memberi sokongan kepadanya.

"Saya jarang berada di rumah mahupun di pejabat. Sebaliknya selalu menjelajah seluruh negara untuk mempromosi dan memasarkan produk syarikat.

"Bagaimanapun hubungan saya dan keluarga tetap rapat. Kami saling memahami dan menyayangi. Apa yang penting pengurusan masa iaitu bagaimana menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga," katanya yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Mahanom mempunyai tiga orang anak berusia antara lapan hingga 15 tahun. Jika dirinya dikenali sebagai wanita baja, anak keduanya, Farisya Fatin Faisal, 11, pula digelar 'budak hantu' kerana telah membintangi tiga buah filem berunsurkan hantu iaitu Santau, Ngangkung dan Sumpahan Kum Kum.

Katanya, Farisya juga tidak kekok mengikutinya menyertai karnival atau ekspo bagi mempromosikan produk syarikat jika tidak sibuk dengan penggambaran dan waktu persekolahan.

Sumber:Utusan malaysia 

Monday, December 5, 2011

Asparagus tanaman bernilai tinggi




ASPARAGUS merupakan antara sayur yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Biasanya ia ditanam secara komersial oleh para pengusaha dan jarang di tanam secara kecil-kecilan.
Namun, bagi yang gemar berkebun boleh mencuba untuk menanam asparagus di kawasan rumah mereka.
Penyediaan kawasan
Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.
Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan. Lebar batas satu meter, tinggi antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialan 0.6- 1.0 meter.
Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5 dan 6.5, jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan. Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah.
Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.
Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.
Penanaman dan penjagaan
Biji benih perlu disemai dalam polibeg hitam yang sesuai dengan menggunakan media tanah campuran tiga bahagian tanah atas: Dua bahagian bahan organik: Satu bahagian pasir dan ditambah ½ bahagian sabut kelapa.
Letak satu atau dua biji benih dalam polibeg dan biji benih akan bercambah antara tujuh dan 14 hari dan anak benih dibiarkan selama antara lapan dan 10 minggu ditapak semaian.
Ia perlu disiram setiap hari dan sekurangnya 50 peratus teduhan.
Rumpun asparagus yang berumur lebih setahun boleh dibelah dan dipindahkan sebagai bahan tanaman. Pastikan tunas sulur subur dan mempunyai akar yang mencukupi. Tanam tunas sulur secepat mungkin. Pendedahan kepada cahaya matahari dan angin akan menjejaskan pertumbuhan tunas sulur.
Jarak tanaman yang sesuai ialah satu meter antara barisan pokok dan penanaman sebaris didalam batas adalah sesuai bagi asparagus kerana memudahkan pengurusan tanaman.
Kawalan rumpai
Pengawalan rumpai penting untuk menjamin hasil yang tinggi. Kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.
Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu
Pembajaan
Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar. Tetapi ia bergantung pada kesesuaian tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman,masa dan cara pembajaan .
Pembajaan dibuat antara tiga dan empat minggu selepas mengubah anak benih ke ladang, penggunaan baja organik 8: 8:8: (80-100 gm/rumpun diselangkan dengan baja NPK biru 12:12:17 (50-80 gm/rumpun) adalah disyorkan dan ditambah bila rumpun membesar.
Ia ditabur keliling tanaman dengan jarak 15-20 sm dari rumpun tanaman dan dikambus bagi mengelakkan larut resap ke udara. Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan baja kimia dengan baja organik.
Pemangkasan
Proses pemulihan dilakukan supaya keseimbangan bilangan batang dan daun yang cukup untuk aktiviti fotosintesis serta kegunaan pembesaran selepas melalui aktiviti kutipan hasil.
Program pemulihan memerlukan antara dua dan tiga bulan dan tinggalkan tiga dan empat pokok matang setiap rumpun.
Asparagus perlu dicantas tiga atau empat kali setahun mengikut kesesuaian pokok. Semua pokok matang perlu dicantas di paras tanah dan tinggalkan sulur baru yang dipotong sebagai hasil segar dan yang tidak sesuai biarkan ia membesar.
Perosak dan penyakit
Serangan penyakit layu pucuk (Fusarium sp) menyebabkan pucuk muda hitam ,layu dan terus kering. Serangan kulat Puccinia asparagi menyebabkan tanda bintik hitam atau merah pada batang dan daun.
Penyakit ini dikawal dengan memotong dan musnahkan bahagian yang diserang atau dibuat semburan racun kulat yang sesuai.
Ulat ratus (Spodoptera sp) yang menyerang bahagian pucuk dan dahan dan ulat pangkas memakan bahagian pucuk dan daun,jika serangan serius lakukan semburan menggunakan racun yang sesuai.
Penuaian hasil
Hasil pertama boleh dituai selepas lapan hingga 10 bulan ditanam. Aparagus boleh dituai dalam bentuk tunas putih atau tunas hijau .
Asparagus hijau dimakan segar dan yang putih ditinkan. Bagi mendapatkan asparagus putih rumpun ditimbus tanah dan tunas akan membesar dalam tanah.
Kutipan hasil akan bermula selepas proses cantasan dilakukan,bagi satu musim tempoh kutipan hasil antara satu dan dua bulan. Sulur muda dipotong dengan pisau tajam di bawah paras tanah,elakkan kecederaan sulur muda lain.
Sulur berukuran 15-17 sm sahaja yang dituai. Kelewatan dituai menyebabkan sulur panjang meruncing, berserabut dan hujung sulur akan berkembang menjadi daun. Tuaian hasil antara 25 dan 30 kg seminggu sehektar boleh didapati dan boleh mencapai tiga atau lima tan sehektar/tahun.
Asparagus digred mengikut garis pusat dan panjang rebung, warna, kerapuhan, kesegaran, tahap kecederaan dan serangan penyakit. Ia boleh bertahan selama dua hingga tiga minggu jika disimpan dlam suhu 0-2 darjah celsius.

Sumber:utusan malaysia

Sulur muda asparagus dikutip sebagai sayuran yang berkhasiat dan bernilai tinggi.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails