SELALUNYA apabila wanita bercakap tentang baja ialah hanya untuk digunakan bagi menyuburkan bunga-bungaan yang mereka tanam.
Tetapi lain pula dengan Mahanom Salamon, 40, yang menjadikan baja sebahagian daripada hidupnya.
Malah beliau mungkin merupakan satu-satunya wanita di negara ini yang menceburkan diri dalam industri pengeluaran baja.
Malah, beliau mengambil langkah berani untuk berkecimpung dalam industri yang didominasi lelaki dan konglomerat besar itu disebabkan rasa kecewa.
Katanya, sama seperti wanita lain, dia yang sebelum ini bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta gemar bercucuk tanam.
Tetapi seringkali kecewa apabila apa yang ditanam itu tidak menjadi.
Dari situ beliau mula melayari Internet untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik sehingga dipertemukan oleh sahabatnya dengan seorang pakar perunding tentang baja SA Bio-Mass dari Vietnam.
"Bermula dari situ, saya sendiri menggunakan baja tersebut dan mendapati hasil yang sangat memuaskan," katanya.
Dari situ kata Mahanom, dia menyedari akan potensi baja tersebut jika dipasarkan di negara ini.
"Lagi pula, ia merupakan produk berasaskan alam semulajadi yang bebas daripada bahan kimia tetapi mampu memberi hasil sehingga dua kali ganda dan dapat digunakan untuk semua tanaman," katanya ketika ditemui di kilang pembungkusan baja syarikatnya di Taman Industri Sri Sulong, Parit Sulong, Johor, baru-baru ini.
Kini Mahanom merupakan Ketua Pengarah Eksekutif SA Bio-Mass Trading, syarikat pengedar tunggal baja SA Bio-Mass hasil teknologi Eropah yang 100 peratus bebas kimia.
Syarikatnya kini mengedarkan kira-kira 2,000 tan baja mesra alam tersebut setahun ke seluruh negara.
Beliau memberitahu, Bio-Mass adalah baja bebas kimia dihasilkan daripada lebihan bahan mentah yang dikeluarkan oleh kilang dan industri pemprosesan makanan manusia dan ternakan.
Antaranya lebihan daging atau ayam yang dihasilkan dari kilang pengeluar kiub pati, gula, hampas, soya, beras dan jagung.
Berbanding baja organik, Bio-Mass tidak mengandungi najis haiwan.
Bahan-bahan tersebut melalui beberapa proses pemecahan, pemeringkatan dan penapisan menggunakan tekonologi tercanggih dari Eropah sehingga terhasilnya nutrien tanaman untuk kegunaan semua jenis peringkat tanaman dan ladang.
Sementara itu, Mahanom berkata, keluarga amat memahami kesibukan dirinya menguruskan perniagaan sehingga jarang berada di rumah. Malah mereka turut memberi sokongan kepadanya.
"Saya jarang berada di rumah mahupun di pejabat. Sebaliknya selalu menjelajah seluruh negara untuk mempromosi dan memasarkan produk syarikat.
"Bagaimanapun hubungan saya dan keluarga tetap rapat. Kami saling memahami dan menyayangi. Apa yang penting pengurusan masa iaitu bagaimana menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga," katanya yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.
Mahanom mempunyai tiga orang anak berusia antara lapan hingga 15 tahun. Jika dirinya dikenali sebagai wanita baja, anak keduanya, Farisya Fatin Faisal, 11, pula digelar 'budak hantu' kerana telah membintangi tiga buah filem berunsurkan hantu iaitu Santau, Ngangkung dan Sumpahan Kum Kum.
Katanya, Farisya juga tidak kekok mengikutinya menyertai karnival atau ekspo bagi mempromosikan produk syarikat jika tidak sibuk dengan penggambaran dan waktu persekolahan.
Sumber:Utusan malaysia
No comments:
Post a Comment