Saturday, June 25, 2011

Taman Sabah pergiat penyelidikan rusa

Oleh HASLIN GAFFOR



TAMAN-TAMAN Sabah (TTS) mengorak langkah dalam aktiviti penyelidikan pengurusan hidupan liar di dalam kawasan Taman Kinabalu melalui pembukaan Kebun Rusa di Substesen Serinsim di Kota Marudu, Sabah.

Kebun seluas dua hektar itu dipagar, dilengkapi dengan kemudahan Rumah Gelap, alat penimbang, ruang pengasingan dan kelong.

Rumah Gelap itu digunakan bagi menenangkan rusa ketika para penyelidik melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas ternakan berkenaan.

Ia membolehkan kebun rusa ini berpotensi dijadikan model sebagai pusat kajian bagi rusa merangkumi kajian pembiakan, pemakanan, penyakit, kelakuan, pemilihan habitat, kadar tumbesar dan jangka hayat haiwan.

Kebun itu dibangunkan sejak 2005 tetapi hanya beroperasi dengan siapnya rumah gelap itu yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Dr. Joachim Gunsalam baru-baru ini.

Kebun Tropika di stesen Poring adalah ladang rusa pertama TTS yang dibuka pada 1988 bermula dengan dua ekor rusa yang diperoleh daripada penduduk berhampiran Taman Kinabalu dan sumbangan daripada Jabatan Hidupan Liar.

Dari tahun ke tahun, bilangan rusa yang ada meningkat kepada 24 ekor hasil kejayaan pembiakan spesies berkenaan.

Bagaimanapun keluasan kebun itu gagal menampung jumlah rusa yang ada kerana seekor rusa memerlukan kawasan mengikut nisbah 1 ekor: 0.4 hektar (seekar).

TTS mengambil inisiatif dengan membuka Kebun Rusa Serinsim dengan keluasan yang lebih lebas dan mampu menampung keperluan rusa sepenuhnya untuk mengembang biak.

Dr Joachim menyifatkan usaha yang diambil untuk membuka Kebun Rusa Serinsim akan menjadi model penting yang berfungsi sebagai pusat kajian dan organisasi yang turut serta dalam program pemuliharaan hidupan liar yang aktif di negeri ini.

''Ia sekali gus akan dapat menjana pendapatan TTS dan akan memberi peluang sosio ekonomi kepada penduduk tempatan Serinsim," katanya yang ditemui selepas merasmikan kemudahan Rumah Gelap itu.

Selain menjalankan fungsi sebagai pusat penyelidikan dan penyelamatan rusa dan haiwan mamalia lain, pembukaan ladang rusa Serinsim akan menjadikannya sebagai sebuah pusat pelancongan sesuai dengan lokasinya dalam kawasan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia.

Dalam pada itu, usaha translokasi rusa dari kebun tropika di Poring ke kebun rusa Serinsim di sini dilakukan selama tiga hari bermula 21 Mac lalu.

Rusa berkenaan dipindahkan dalam dua kumpulan.

Kumpulan pertama melibatkan 11 ekor rusa, yang dikurung dalam kandang khas dan dibawa menggunakan lori pada pukul 4 petang untuk mengelak tekanan kepada rusa serta cuaca panas dan tiba di Serinsim di sini pada pukul 11 malam.

Sepanjang perjalanan, petugas TTS yang mengendalikan translokasi itu memantau rapi keadaan rusa berkenaan dan usaha mereka berjaya dengan kesemua rusa yang dipindahkan itu berada dalam keadaan sihat sebelum dilepaskan di kebun rusa Serinsim.

Kumpulan kedua melibatkan sembilan ekor rusa dan lima ekor akan dibiarkan di kebun tropika Poring untuk mengembangbiak spesies berkenaan.

Pegawai Penyelidik Zoologi TTS Fred Tuh Yit Yu berkata, program translokasi rusa itu adalah sebahagian daripada aktiviti penyelidikan dalam pengurusan hidupan liar di kawasan taman di bawah jagaan TTS.

Katanya, program translokasi tidak terhad kepada aktiviti memindahkan haiwan yang mempunyai konflik dengan manusia seperti kera tetapi aktiviti ini juga merangkumi pemindahan spesies yang mempunyai populasi dan kepadatan yang tinggi di sesuatu lokasi taman.

''Program translokasi ini akan dijadikan sebagai pelantar latihan dalam kalangan petugas yang terlibat mengendalikan hidupan liar terutama haiwan besar seperti rusa," katanya.

Beliau berkata, translokasi rusa ini untuk memudahkan penjagaan kesihatan haiwan itu terutama mengawal kutu dan cacing.

Pembukaan kebun rusa dan rumah gelap, di substesen Serinsim, bakal menjadikan ia sebagai satu lagi produk pelancongan bagi TTS terutama di daerah ini.

Substesen itu terletak di Kampung Serinsim, kira-kira 38 kilometer dari Kota Marudu dan berada pada ketinggian 192 meter dari paras laut menjadikannya sebuah kawasan hutan hujan tropika tanah pamah.

Uniknya substesen ini, ia berhampiran dengan pertemuan dua batang sungai iaitu sungai Serinsim dan sungai Kanarom yang mengalir dari dalam kawasan Taman Kinabalu dan mengalir keluar ke Teluk Marudu.

Pada masa ini, terdapat beberapa kemudahan penginapan disediakan untuk pengunjung seperti asrama yang boleh memuatkan 21 orang pada satu-satu masa, tiga buah calet masing-masing untuk enam orang dan tapak perkhemahan.

Di sekitar kawasan Serinsim terdapat enam tempat menarik yang boleh dikunjungi iaitu puncak gunung Nambuyukong yang mempunyai ketinggian 1,681 meter (5,515 kaki) dari paras laut, Batu Lebah yang bersaiz seperti sebuah rumah, Gua Kelawar, Air Terjun Misumpak, Makam Sigunting sebuah kubur lama milik pahlawan tempatan dan Makam Orang Tinggi (Gambaliu).

Sub tesen Serinsim adalah antara enam substesen TTS di dalam Taman Kinabalu, lima lagi terletak di Mata Air Panas Poring dan Monggis (Ranau), Mesilau (Kundasang), Nalapak (Kota Marudu) dan Sayap (Kota Belud).


Sumber:utusan malaysia



Wednesday, June 1, 2011

Nangka madu pula masuki China

PUTRAJAYA 31 Mei – Selepas berjaya menembusi pasaran China untuk mengeksport buah durian, Malaysia akan terus menerokai pasaran negara itu dengan memperkenalkan buah nangka madu pula.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah berkata, buat permulaan Malaysia akan menyertai dua pameran yang akan diadakan di Naning dan Beijing.

Katanya, melalui kedua-dua pameran itu Malaysia akan diberi peluang untuk mempromosikan buah- buahan tropika tempatan.

“Baru-baru ini ketika pegawai dari Beijing datang, mereka dibawa melawat ke ladang nangka di Gemas dan mereka sangat tertarik dengan kemanisan buah tersebut.

“Lalu mereka mengajak kita untuk buat pameran di sana iaitu di Naning pada November ini manakala di Beijing pula dijangka pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar Dipacu Pasaran Dalam Sektor Agro Makanan di sini hari ini.

Turut hadir menteri berkenaan, Datuk Seri Noh Omar.

Selain itu, Mohd. Hashim berkata, kerajaan juga akan memasuki pasaran di Timur Tengah bagi memasarkan buah-buahan tempatan.

“Di sana permintaan untuk buah- buahan seperti nangka, nenas dan tebu sangat tinggi kerana mereka sukakan buah yang segar,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata, bagi memastikan produk pertanian tempatan terus mendapat permintaan yang tinggi di pasaran, kerajaan akan menggalakkan petani menanam produk pertanian mengikut kehendak pasaran.

Katanya, kerajaan bersedia membantu syarikat-syarikat swasta yang terlibat dari segi teknikal, pembiayaan dan nasihat.

Sumber:utusan Malaysia

RM4 juta sebulan nilai eksport durian ke China

PUTRAJAYA 31 Mei - Eksport buah durian sejuk beku ke China pada Julai ini dijangka bernilai hampir RM4 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (gambar) berkata, untuk penghantaran pertama itu sebanyak empat buah kontena akan digunakan.

Menurut beliau, buah durian itu kemudian akan dieksport seminggu sekali dalam kuantiti yang sama.

"Penghantaran empat kotena seminggu itu akan diuruskan oleh kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Tetapi jika ada pihak swasta yang berminat, kita tiada halangan untuk bekerjasama dan sedia membantu," katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar Dipacu Pasaran Dalam Sektor Agro Makanan di sini hari ini.

Noh menambah, kerajaan juga akan menetapkan harga durian sejuk beku yang akan dieksport ke China supaya harganya selaras dengan pengeksport swasta yang lain.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengelakkan persaingan dan manipulasi harga sesama sendiri sehingga boleh menjejaskan eksport produk itu.

"Saya berharap syarikat dari Malaysia yang mengeksport durian segar itu tidak bersaing sesama sendiri sebaliknya cuba saling bantu-membantu.

"Justeru, dalam masa terdekat ini kita akan aturkan satu perbincangan dengan pihak swasta supaya menjual buah itu dengan menggunakan satu harga saja," ujar beliau.

Selain itu, Noh berkata, kerajaan juga mendapat kebenaran untuk mengeksport buah durian ke Korea Selatan selain China.

"Kerajaan sudah buka ruang ke sana dan dari segi protokol kita sudah selesaikan.

"Sekarang menjadi tugas syarikat swasta pula untuk merebut peluang memasuki pasaran Korea Selatan bagi mengeksport buah durian," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan harga durian akan melonjak naik di pasaran tempatan, Noh berkata, situasi tersebut perlu dilihat secara positif kerana ia baik kepada petani dan sektor pertanian negara.

"Bila barang pertanian naik yang akan untung nanti ialah petani dan dalam masa yang sama juga dapat mengurangkan lambakan buah-buahan tempatan," katanya.

Sumber:utusan malaysia

Potensi madu kelulut


sarang kelulut yang terdiri daripada madu di dalam kantung-kantung kecil berwarna jernih, propolis dan debunga dalam kantung kuning .


SEGALA yang diciptakan Allah sudah pasti tiada yang sia-sia. Antara ciptaanNya yang amat istimewa adalah lebah. Sesungguhnya lebah diletakkan pada kedudukan amat penting berbanding serangga lain.

Tidak hairan jika satu surah di dalam al-Quran dinamakan An-Nahl bererti lebah berdasarkan firman Allah dalam ayat 68 dan 69 ertinya: "Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia."

"Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan."

Madu berasal daripada sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia.

Khasiat madu sebagaimana disampaikan al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan.

Sehingga kini kajian hanya menjurus kepada lebah madu dalam Genus Apis seperti Apis melifera dan Apis dorsata yang menyengat.

Manakala lebah tidak menyengat atau kelulut dalam genus Trigona memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan ditinggalkan.

Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.

Kajian dijalankan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan negara mempunyai kepelbagaian kelulut paling banyak berbanding negara Asia lain.

Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Strategik, Mohd Fahimee Jaafar berkata, di Semenanjung Malaysia saja terdapat 29 spesies kelulut manakala jumlah spesies di Sabah dan Sarawak tidak dapat ditentukan.

"Di MARDI saja terdapat 15 spesies dan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu besar, sederhana dan kecil," katanya.

Kajian Mohd. Fahimee banyak dibantu oleh Pembantu Penyelidik, Hamdan Sipon yang telah menjalankan kajian kelulut selama lebih 10 tahun.

Fahimee berkata, usaha pemuliharaan spesies kelulut di lapangan giat dijalankan di MARDI bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.

Kelulut biasanya terdapat di hutan dan bersarang pada batang kayu yang telah ditebang.

"Beberapa sarang direka di ladang di Serdang bertujuan memanipulasi koloni bagi pendebungaan beberapa spesies buah-buahan serta buah-buahan dengan bunga kecil dan penghasilan madu.

"Kepelbagaian kelulut boleh dilihat menerusi bentuk sarang," katanya.

Koloni kelulut di MARDI diletakkan di ladang durian, belimbing dan longan sebagai agen pendebungaan yang berjaya.

"Misalnya ladang durian yang mempunyai koloni kelulut menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa berbuah tidak mengira musim," katanya.

Lebih istimewa, lebah kelulut mudah mendebungakan bunga bersaiz kecil yang tidak boleh dilakukan lebah madu.

Bagi tujuan komersial, koloni kelulut diletakkan dalam kotak yang boleh memuatkan 1,000 hingga 2,000 ekor.

"Dalam masa sebulan hasil kelulut sudah boleh dituai dalam bentuk madu, debunga dan propolis dan pengambilan madu lebih mudah kerana kelulut tiada sengat," katanya.

Kelebihan kelulut adalah madunya boleh diambil setiap bulan apabila kotak sarang telah penuh dan madu berada di dalam kantung-kantung kecil.

Setakat ini madu kelulut belum lagi dikomersialkan kerana masih ramai tidak mengetahui kelebihan kelulut.

"Sama seperti lebah madu, kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti antioksidan yang tinggi.

"Madu kelulut rasanya agak masam berbanding madu biasa dan warnanya lebih cerah," katanya.

Madu kelulut lebih mahal dibandingkan dengan madu lebah biasa kerana kurang di pasaran.

Produk propolis berwarna kehitaman dikumpulkan oleh kelulut pekerja iaitu resin pokok yang dicampurkan dengan air liur serta makanan seperti debunga dan bunga.

Bahan propolis digunakan untuk melapisi bahagian dalam sarang bagi mengekalkan keadaan steril kerana anak kelulut amat sensitif dengan virus, kulat dan serangga perosak.

Propolis boleh berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang yang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam kosmetik, krim dan tablet.

Kelulut mudah diuruskan kerana tidak seperti lebah madu yang sering hilang, tidak tinggal di sarang serta mudah diserang penyakit.

Justeru, kajian mendalam mengenai produk kelulut perlu dijalankan bagi membolehkannya dikomersialkan pada masa hadapan.

sumber:utusan malaysia

Kehebatan madu tualang terserlah

SEJAK turun temurun manusia mengetahui bahawa madu merupakan antara penawar terbaik bagi pelbagai jenis penyakit, malah kehebatan madu turut dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran dan melalui Rasulnya, Nabi Muhammad S.A.W.

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis madu bergantung kepada jenis lebah dan tempat ia membiak sama ada bersarang atau dipelihara.

Antara madu lebah yang begitu terkenal di negara ini adalah madu lebah tualang.

Ia dinamakan sedemikian kerana lebah tersebut bersarang di pohon tualang atau nama saintifiknya Koompassia excelsa. Ketinggian pokok tualang biasanya melebihi pohon-pohon lain di dalam hutan.

Lebah memilih pohon tersebut untuk bersarang pastinya atas tujuan keselamatan. Namun sebab sebenar ia amat meminati pohon tersebut tidak diketahui sehingga kini.

Di Kedah, antara agensi kerajaan yang menjalankan proses pengumpulan dan pemasaran madu tualang secara besar-besaran adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurut Pegawai Penyelidik FAMA Daerah Padang Terap, Kedah, Azmi Ishak, beliau membeli madu yang diambil oleh pengumpul madu tempatan.

"Dahulu pengumpul madu menjual madu secara kecil-kecilan malah madu diletakkan dalam botol kaca dan dijaja ditepi-tepi jalan.

"Jadi bagi membantu golongan tersebut memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan kami di pihak FAMA tampil membantu," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada peringkat awal produk madu lebah yang dihasilkan adalah sebagai produk percubaan untuk menembusi ruang pasaran bagi membantu pengumpul madu di sekitar daerah Padang Terap, Sik dan Baling.

Namun kini produk tersebut semakin mendapat tempat di kalangan pengguna dan permintaan terhadapnya semakin meningkat.

Oleh yang demikian pengumpul tidak lagi perlu bersusah payah menjaja madu mereka. Malah, ia boleh terus dijual kepada pusat pengumpulan madu lebah FAMA.

Di sini, madu yang telah dikumpulkan oleh pengumpul tempatan dapat dijual pada kadar harga yang lebih tinggi berbanding dijaja di tepi jalan.

Malah, madu lebah yang dikumpulkan juga akan diproses bagi tujuan penambahbaikan dan cara pembungkusannya juga adalah lebih baik.

Produk madu FAMA lebih dikenali sebagai Madu Lebah AgroMas, memperolehi sumbernya dari kawasan hutan Tasik Pedu di daerah Padang Terap, hutan Tasik Ulu Muda di daerah Sik dan kawasan hutan di daerah Baling dan Gunung Jerai.

Lebah hutan atau dikenali sebagai Apis Dosata merupakan penghasil utama madu di kawasan tersebut.

Bagi setiap pohon tualang terdapat hampir 30 hingga 80 sarang lebah.

Aktiviti pengumpulan madu lebah paling aktif adalah di kawasan hutan Tasik Pedu dan Tasik Ulu Muda.

Di sana, terdapat hampir 100 orang pengumpul madu lebah yang beroperasi secara tradisional iaitu dengan cara memanjat pohon tualang untuk mengambil madu.

Pengumpul madu ini juga biasanya bergerak dalam kumpulan seramai lima hingga 10 orang yang biasanya di anggotai oleh ahli keluarga sendiri.

Malah, pohon tualang yang memiliki sarang lebah itu juga dimiliki kumpulan tertentu dan kebanyakannya diwarisi daripada ahli keluarga terdahulu yang turut melakukan pekerjaan mengumpul madu.

Kebanyakan pengumpul madu ini menjalankan aktiviti tersebut sebagai pekerjaan sampingan dan aktif mengumpul madu pada bulan Disember sehingga Mei.

Dipercayai dalam jangka masa tersebut adalah musim bunga bagi pohon-pohon di hutan di sekitar Kedah dan Pahang.

Walaupun pekerjaan mengumpul madu mengundang risiko yang berbahaya, namun hasil yang diperolehi agak lumayan menyebabkan pengumpul sanggup melakukannya.

Kebiasaannya pengumpul madu akan menyediakan peralatan seperti jamung daripada akar kayu, bekas menadah madu serta beberapa lagi alatan semasa proses mengambil madu dilakukan.

Menurut petua mereka, pengumpulan madu akan dilakukan pada waktu malam ketika bulan gelap mengikut kiraan kalendar Islam iaitu pada 23 haribulan sehingga 7 haribulan pada setiap (Disember hingga Mei) tahun.

Bagi FAMA yang bertindak sebagai orang tengah, mereka juga turut menyediakan beberapa peralatan bertujuan memudahkan proses penambahbaikan dan pembungkusan.

Malah di pusat tersebut, FAMA turut menyediakan khidmat ujian ketulenan madu untuk pihak yang memerlukan khidmat tersebut.

Pusat itu juga bertindak seperti pusat sehenti bagi produk madu tualang dan menjalankan aktiviti bermula daripada proses penelitian ketulenan madu, pembelian, pemprosesan, pembungkusan dan akhirnya pemasaran.

Madu lebah asli biasanya akan melalui kerja pembersihan dan penapisan sebelum dimasukkan ke dalam mesin khas bagi tujuan penyejatan peratusan air dalam madu.

Menurut Azmi, proses penyejatan air tersebut memakan masa lapan hingga 16 jam dan mampu mengurangkan satu hingga dua peratus kandungan air.

"Madu yang telah siap diproses kemudiannya akan melalui proses penapisan dan pembersihan kali kedua sebelum dibotolkan.

"Setelah itu, ia akan dibungkus di rumah pembungkusan sebelum dipasarkan," jelasnya.

Produk madu lebah tualang ini bukan sahaja mendapat permintaan yang tinggi dari dalam negara malah ia turut menembusi pasaran luar negara.

Berikutan pembungkusan madu tualang ini yang kini semakin cantik, produk ini juga turut dijadikan sebagai hadiah oleh pembesar negara kepada pembesar negara luar yang datang mengunjungi Malaysia.

sumber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails