PUTRAJAYA 31 Mei – Selepas berjaya menembusi pasaran China untuk mengeksport buah durian, Malaysia akan terus menerokai pasaran negara itu dengan memperkenalkan buah nangka madu pula.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah berkata, buat permulaan Malaysia akan menyertai dua pameran yang akan diadakan di Naning dan Beijing.
Katanya, melalui kedua-dua pameran itu Malaysia akan diberi peluang untuk mempromosikan buah- buahan tropika tempatan.
“Baru-baru ini ketika pegawai dari Beijing datang, mereka dibawa melawat ke ladang nangka di Gemas dan mereka sangat tertarik dengan kemanisan buah tersebut.
“Lalu mereka mengajak kita untuk buat pameran di sana iaitu di Naning pada November ini manakala di Beijing pula dijangka pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar Dipacu Pasaran Dalam Sektor Agro Makanan di sini hari ini.
Turut hadir menteri berkenaan, Datuk Seri Noh Omar.
Selain itu, Mohd. Hashim berkata, kerajaan juga akan memasuki pasaran di Timur Tengah bagi memasarkan buah-buahan tempatan.
“Di sana permintaan untuk buah- buahan seperti nangka, nenas dan tebu sangat tinggi kerana mereka sukakan buah yang segar,” katanya.
Sementara itu, Noh berkata, bagi memastikan produk pertanian tempatan terus mendapat permintaan yang tinggi di pasaran, kerajaan akan menggalakkan petani menanam produk pertanian mengikut kehendak pasaran.
Katanya, kerajaan bersedia membantu syarikat-syarikat swasta yang terlibat dari segi teknikal, pembiayaan dan nasihat.
Sumber:utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment