Saturday, November 28, 2009

Johor: Labur RM1j ceburi industri burung Walit

PONTIAN: Sejak tiga tahun lalu, Goo An Hoa membelanjakan lebih RM1 juta untuk membeli hartanah yang terbengkalai dan menjadikan rumah untuk burung Walit.

Walaupun pelaburan yang besar itu mempunyai risiko tinggi, ia tidak pernah menjadi batu penghalang kepadanya untuk menceburi industri yang baru bertapak di negara ini, tetapi diketahui membawa pulangan lumayan.

“Saya mengambil keputusan untuk membeli deretan tujuh rumah kedai di sekitar daerah yang setiap satunya bernilai RM240,000 dan menjadikannya rumah untuk burung Walit bagi mendapatkan sarangnya yang bernilai tinggi.

“Kini dalam tempoh tiga tahun, rumah itu sudah mampu menghasilkan antara enam hingga tujuh kilogram sarang burung Walit sebulan, ” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Goo menjangka jumlah penghasilan sarang burung Walit olehnya akan berlipat ganda jika semua rumah burung yang dibina itu dihuni sepenuhnya oleh burung itu yang hanya boleh didapati di rantau Asia Tenggara.

Berdasarkan harga pasaran, sarang burung Walit yang dihasil menggunakan air liur burung terbabit boleh mencapai harga antara RM3,000 hingga RM10,000 untuk satu kilogram.

Ia produk yang mempunyai nilai tinggi di pasaran, sekali gus menjelaskan lagi mengenai ‘kegilaan’ warga negara ini terhadap industri penghasilan sarang burung Walit.

Kini, rumah burung Walit boleh ditemui dengan mudah di setiap bandar negara ini.

"Ia (sarang burung Walit) boleh diibaratkan sebagai berlian," kata Goo sambil menambah, dia turut melengkapi rumah burung miliknya dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera bagi mengelak ia dicuri.

Goo berkata, pada ketika ini ada banyak kes kecurian sarang burung Walit berikutan harga produk itu yang tinggi di pasaran.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Industri Sarang Burung Johor Bahar, Delon Wong pula berkata, pada ketika ini Johor menghasilkan antara 2 dan 2.5 tan sarang burung Walit sebulan untuk pasaran.

Delon berkata, jumlah itu masih jauh daripada mencukupi untuk menampung permintaan besar terutama daripada pengguna produk terbabit di negara China, pasaran terbesar bagi industri sarang burung.

Selain Malaysia yang hanya menghasilkan 10 peratus keseluruhan sarang burung untuk pasaran, 10 peratus lagi produk itu dihasilkan oleh Thailand, manakala selebihnya (80 peratus) pula dikeluarkan oleh Indonesia, katanya.

"Ia (pengeluaran sarang burung Walit) masih tidak cukup untuk menampung permintaan pasaran. Bayangkan permintaan seluruh dunia itu hanya ditampung oleh pengeluaran di Malaysia, Thailand dan Indonesia," katanya.

Penyelidik, Dr Tan Boon Siong, berkata khasiat kesihatan sarang burung itu sudah terbukti secara klinikal menerusi pelbagai jenis ujian makmal dilakukannya dengan kerjasama universiti tempatan.

Antaranya, kata beliau ujian menunjukkan sarang burung Walit itu mengandungi bahan dikenali sebagai Epidermal Growth Factor (EGF) yang boleh merangsang pertumbuhan sel-sel dan amat berkesan memerangi penyakit barah.

Selain itu, pemakanan sarang burung Walit itu juga membawa kesan positif terhadap kecantikan kulit, memperlahankan proses penuaan dan mengubati batuk, kata Tan. - Bernama

Johor: Sedili dibangun sebagai kawasan pertanian organik

AYER HITAM: Kerajaan negeri melaksana beberapa pendekatan yang dapat membantu membangun dan mempertingkatkan pengeluaran pelbagai hasil pertanian, termasuk bahan makanan di Johor.

Langkah itu membangunkan kawasan seluas lebih 2,000 hektar di Sedili, Kota Tinggi, sebagai kawasan pertanian organik.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pihaknya turut memperkenalkan amalan pertanian berasaskan kultur tisu yang dapat meningkatkan kualiti serta produktiviti petani. Katanya, semua pihak sedia maklum bahawa aktiviti pertanian terutama perladangan kelapa sawit dan getah menjadi nadi serta faktor penting dalam pembangunan ekonomi Johor.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri turut memberi penekanan dan perhatian terhadap kegiatan pengeluaran bahan makanan dengan mewujudkan kawasan pertanian berskala besar.

"Malah, kita turut mengambil beberapa pendekatan lain seperti membuka kawasan pertanian baru dan memperkenalkan kaedah pertanian terkini, bagi membangunkan sektor pertanian berasaskan pengeluaran bahan makanan di Johor.

"Tumpuan juga diberi terhadap beberapa aktiviti pertanian lain seperti ternakan ayam dan ikan air tawar bagi membantu usaha berkenaan," katanya selepas merasmikan Ekspo Agro Johor 2009 sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Johor di PPMAH, di sini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Ali Hassan, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abdul Latiff Yusoff dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi.

Abdul Ghani berkata, kawasan di Sedili itu yang dulunya dikenali sebagai Lembah Bio Desaru, menumpukan kegiatannya terhadap pertanian organik dan bioteknologi.

Malah, katanya, kerajaan turut menubuhkan sebuah makmal yang memberi tumpuan terhadap pembangunan tisu kultur, bagi meningkatkan keupayaan dan penggunaan teknologi berkaitan di PPMAH.

Sementara itu, Aziz berkata, ibu bapa wajar membawa anak mereka ke ekspo yang berakhir pada 25 November ini, untuk melihat dan mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan industri pertanian di Johor.

"Terlalu banyak maklumat yang boleh kita peroleh dan pelajari, termasuk menentukan hala tuju kerjaya seseorang pada ekspo julung kali dan bakal dijadikan acara tahunan ini.

"Industri pertanian berkembang dengan pesat dan maklumat diperoleh itu dapat membantu seseorang lebih bersedia menghadapi cabaran lebih getir pada masa depan," katanya.

sumber:Berita Harian

Johor: Ternak lembu lepas bersara ATM

MUAR: Bermula dengan menternak tiga anak lembu iaitu seekor jantan dan dua betina, seorang bekas Penyelia Pemilihan Pegawai Kadet berpangkat Pegawai Waran 2 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Shamsuddin Rais, 52, kini memiliki kira-kira 100 lembu dalam tempoh enam tahun.

Katanya, beliau mula menternak lembu secara kecilan pada 2003, selepas lima tahun bersara daripada ATM pada 1998, bertujuan mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah.

Bagaimanapun, katanya, minatnya bercambah selepas mendapati ternakannya itu semakin serasi dengannya dan menambah bilangan haiwan ternakan itu dari setahun hingga ke setahun.



“Kini jumlah ternakan melebihi 100 ekor, selepas sebahagiannya dijual pada kadar RM1,900 hingga RM2,000 seekor apabila haiwan itu berusia dua tahun.

“Sebahagian besar ternakan saya baka tempatan yang membiak dalam ladang kelapa sawit di Kampung Batu 10, Paya Panjang, Jalan Muar-Pagoh, dekat Bukit Pasir, Muar,” katanya, ketika ditemui di ladang ternakannya.

Shamsuddin berkata, beliau berusaha membiakkan ternakan itu dengan baka import dari Australia yang bersaiz besar dalam usaha menghasilkan bekalan daging yang lebih banyak berbanding dengan baka tempatan.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu kurang berhasil apabila 30 baka import dibawa masuk pada awal Januari lalu, 26 daripadanya mati dipercayai kesan daripada perubahan cuaca yang menyebabkannya tidak mampu bertahan lama berbanding dengan baka tempatan.

“Antara punca yang menyebabkan lembu baka Australia itu mudah mati disebabkan keadaan ladang ternakan yang berbukit serta berlumpur dan becak apabila hujan, selain suhu panas.

“Saya percaya faktor cuaca turut menyebabkan haiwan import itu tidak mampu hidup lama selain sering terjatuh ketika menuruni tanah yang sedikit curam dalam ladang ternakan,” katanya berasal dari Kampung Sungai Renggam, Panchor, di sini.

Shamsuddin berkata, beliau bersedia membekalkan lembu untuk majlis korban untuk Aidiladha, namun tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum Aidiladha.
Sumber:Berita Harian

Sunday, November 15, 2009

Ternakan ketutu potensi berkembang


MELAKA: Aktiviti ternakan ikan jenis ketutu dan arowana di negeri ini mempunyai potensi untuk berkembang berikutan mempunyai pasaran baik terutama bagi tujuan eksport, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.

Beliau berkata, ternakan ikan ketutu misalnya boleh mencecah sehingga RM80 sekilogram, manakala ikan hiasan arowana pula mampu mencapai harga sehingga RM5,000 seekor bergantung kepada saiz dan jenis.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada masyarakat di negeri ini terutama yang berminat atau sedang bergiat dengan aktiviti penternakan ikan, supaya mengambil peluang untuk membabitkan diri dalam bidang berkenaan.

"Mereka yang berminat khususnya golongan muda sangat digalakkan untuk menceburi bidang penternakan ini kerana ia memberi peluang besar untuk berkembang, termasuk bagi tujuan eksport," katanya selepas meninjau tapak ternakan ikan ketutu dan arowana di Tiang Dua, dekat sini, kelmarin.

Beliau menghabiskan masa kira-kira sejam meninjau projek berkenaan bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin dan beberapa pegawai kanan Jabatan Perikanan negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Hidhir berkata, ikan hiasan arowana yang diternak di negeri ini lazimnya dieksport ke beberapa negara Asia Timur seperti Taiwan, Korea, China dan Eropah, berdasarkan permintaan semasa.

"Selain dapat memperkasakan industri ini, ternakan ikan ketutu dan ikan hiasan arowana ini juga dapat menarik minat pelancong untuk datang berkunjung ke tempat ternakan ikan ini apabila datang ke Melaka," katanya

Tuesday, November 10, 2009

Unimas cipta mesin petik lada hitam


Mohammad Shahril Osman menunjukkan cara memandu mesin memetik lada hitam semasa pameran Pecipta di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tanaman lada hitam biasanya ditanam di kawasan lereng bukit menyukarkan tugas-tugas memetik buahnya.

Biasanya pekerja perlu menggunakan tangga yang diangkut setiap kali memetik lada hitam di pokok yang berbentuk kon dan ditanam kawasan bukit yang tinggi.

Tinggi pokok di antara empat hingga enam meter dan lebat dengan daun merumitkan lagi tugasan memetik.

Justeru Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kerjasama Lembaga Lada Malaysia (MPB) menjalankan kajian menghasilkan prototaip mesin memetik lada hitam.

Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Unimas, Mohammad Shahril Osman berkata, kajian bermula apabila melihat majoriti pekerja ladang lada hitam terdiri daripada warga emas dan pekerja asing.

"Dengan adanya mesin memetik lada hitam, kami berharap tugasan memetik lebih mudah dan menarik lebih ramai generasi muda bergiat dalam pertanian," katanya semasa ditemui di pameran Pecipta di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada menghasilkan mekanisme yang boleh memetik lada hitam dengan lebih mudah dan mesra pengguna.

Mohammad Shahril berkata, projek berkenaan adalah untuk mencipta dan membina serta membangunkan fabrikasi prototaip mesin memetik buah lada hitam.

"Pada mesin menuai berkenaan kami membina casis bagi meletakkan peralatan mekanikal kenderaan seperti tayar, badan, motor elektrik dan lengan menuai.

"Lengan menuai yang mempunyai gunting di hujungnya dan boleh ditanggalkan terletak di bahagian belakang mesin memetik," jelas beliau.

Protaip mesin memetik, jelas Mohammad Shahril boleh digunakan di kawasan rata dan sedikit berbukit.

Buat masa ini Unimas menggunakan tenaga elektrik bagi menjalankan mesin berkenaan bagi mengurangkan pencemaran.

Mesin berkenaan bukan saja hanya memetik lada hitam tetapi juga sebagai mesin rumput serta menyembur racun perosak.

Selepas ujian prototaip di kawasan ladang lada hitam, Unimas akan meningkatkan lagi prototaipnya dengan beberapa ciri lain.

Mohammad Shahril berkata, buat masa ini mesin memetik lada hitam akan digunakan di ladang MPB sebelum dikomersialkan.

Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails