Saturday, November 28, 2009

Johor: Labur RM1j ceburi industri burung Walit

PONTIAN: Sejak tiga tahun lalu, Goo An Hoa membelanjakan lebih RM1 juta untuk membeli hartanah yang terbengkalai dan menjadikan rumah untuk burung Walit.

Walaupun pelaburan yang besar itu mempunyai risiko tinggi, ia tidak pernah menjadi batu penghalang kepadanya untuk menceburi industri yang baru bertapak di negara ini, tetapi diketahui membawa pulangan lumayan.

“Saya mengambil keputusan untuk membeli deretan tujuh rumah kedai di sekitar daerah yang setiap satunya bernilai RM240,000 dan menjadikannya rumah untuk burung Walit bagi mendapatkan sarangnya yang bernilai tinggi.

“Kini dalam tempoh tiga tahun, rumah itu sudah mampu menghasilkan antara enam hingga tujuh kilogram sarang burung Walit sebulan, ” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Goo menjangka jumlah penghasilan sarang burung Walit olehnya akan berlipat ganda jika semua rumah burung yang dibina itu dihuni sepenuhnya oleh burung itu yang hanya boleh didapati di rantau Asia Tenggara.

Berdasarkan harga pasaran, sarang burung Walit yang dihasil menggunakan air liur burung terbabit boleh mencapai harga antara RM3,000 hingga RM10,000 untuk satu kilogram.

Ia produk yang mempunyai nilai tinggi di pasaran, sekali gus menjelaskan lagi mengenai ‘kegilaan’ warga negara ini terhadap industri penghasilan sarang burung Walit.

Kini, rumah burung Walit boleh ditemui dengan mudah di setiap bandar negara ini.

"Ia (sarang burung Walit) boleh diibaratkan sebagai berlian," kata Goo sambil menambah, dia turut melengkapi rumah burung miliknya dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera bagi mengelak ia dicuri.

Goo berkata, pada ketika ini ada banyak kes kecurian sarang burung Walit berikutan harga produk itu yang tinggi di pasaran.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Industri Sarang Burung Johor Bahar, Delon Wong pula berkata, pada ketika ini Johor menghasilkan antara 2 dan 2.5 tan sarang burung Walit sebulan untuk pasaran.

Delon berkata, jumlah itu masih jauh daripada mencukupi untuk menampung permintaan besar terutama daripada pengguna produk terbabit di negara China, pasaran terbesar bagi industri sarang burung.

Selain Malaysia yang hanya menghasilkan 10 peratus keseluruhan sarang burung untuk pasaran, 10 peratus lagi produk itu dihasilkan oleh Thailand, manakala selebihnya (80 peratus) pula dikeluarkan oleh Indonesia, katanya.

"Ia (pengeluaran sarang burung Walit) masih tidak cukup untuk menampung permintaan pasaran. Bayangkan permintaan seluruh dunia itu hanya ditampung oleh pengeluaran di Malaysia, Thailand dan Indonesia," katanya.

Penyelidik, Dr Tan Boon Siong, berkata khasiat kesihatan sarang burung itu sudah terbukti secara klinikal menerusi pelbagai jenis ujian makmal dilakukannya dengan kerjasama universiti tempatan.

Antaranya, kata beliau ujian menunjukkan sarang burung Walit itu mengandungi bahan dikenali sebagai Epidermal Growth Factor (EGF) yang boleh merangsang pertumbuhan sel-sel dan amat berkesan memerangi penyakit barah.

Selain itu, pemakanan sarang burung Walit itu juga membawa kesan positif terhadap kecantikan kulit, memperlahankan proses penuaan dan mengubati batuk, kata Tan. - Bernama

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails