Thursday, September 24, 2009

Perluas industri sarang burung walet di kampung

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memperluaskan industri sarang burung walet ke kampung bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha Bumiputera menceburi industri itu.

Ketua Pengarah JPV, Datuk Abd Aziz Jamaluddin, berkata pihaknya percaya industri itu boleh berkembang di kawasan kampung kerana ia mempunyai pelbagai sumber makanan untuk burung itu seperti tanaman dan dusun buah-buahan.

“Jika boleh kami hendak melihat lebih ramai Bumiputera terbabit dalam industri burung walet ini,” katanya selepas meninjau perusahaan burung walit di Kampung Pengkalan Berangan, di Marang, Terengganu, semalam.

Abd Aziz berkata, ketika ini, terdapat 200,000 pengusaha burung walet di seluruh negara dengan nilai pengeluaran mencecah RM1 bilion setahun.

Beliau berkata, daripada jumlah besar itu, hanya lapan peratus mewakili pengusaha Bumiputera.

- Bernama

Wednesday, September 23, 2009

Varieti Kacang Tanah Baru Margenta


Satu lagi tanaman alternatif bagi petani kawasan tanah bris

Dalam usaha untuk mencari tanaman alternatif kepada tembakau bagi kawasan tanah bris, MARDI telah mengenal pasti satu varieti baru kacang tanah yang diberi nama Margenta. Varieti ini telah bangunkan melalui penilaian setempat dan telah terbukti mempunyai potensi hasil yang tinggi di tanah bris dan sesuai dijadikan salah satu tanaman singkat masa yang dapat ditanam secara giliran dengan jagung manis dan keledek bagi menggantikan tembakau. Varieti ini telah dibawa masuk dari ICRISAT (International Crop Research Institute for the Semi Arid Tropics), India. Penilaian prestasi dan pembangunan amalan agronomi bagi varieti ini telah dijalankan semenjak tahun 2002 oleh pegawai penyelidik Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri, Stesen MARDI Telong, Puan Zaharah Ariffin dan En. Yahaya Hussain dengan bantuan penyelidik-penyelidik dari Pusat Mekanisasi & Automasi dan Pusat Teknologi Makanan MARDI.


Ladang kacang tanah Margenta di MARDI Telong

Sifat lenggai & biji kacang tanah Margenta

Kelebihan utama varieti Margenta ini berbanding dengan varieti kacang tanah yang ditanam pada masa ini ialah hasil yang lebih tinggi, tahan kepada penyakit karat dan bintik daun dan kualiti lenggai dan biji yang lebih baik. Potensi hasil lenggai kering adalah melebihi 3.5 t/ha. Lenggai yang dihasilkan adalah lebih besar dan seragam dengan peratus lenggai berbiji dua adalah melebihi 80%. Ciri ini sangat diperlukan oleh pengilang dalam penghasilan produk makanan snek seperti kacang panggang dan Menglembu.

Kacang tanah boleh digunakan sebagai ramuan dalam pelbagai masakan dan kuih muih. Selain daripada direbus atau digoreng, kacang tanah Margenta sesuai untuk diproses menjadikan produk snek seperti kacang rebus kering ala Menglembu, coklat berkacang, bepang kacang, kacang goreng bersalut, rempeyek dan juga kuah sate dalam uncang sebagai sajian makan bersama sate, nasi himpit dan gado-gado. Produk-produk ini sesuai dimakan oleh semua lapisan masyarakat dan digemari oleh masyarakat Malaysia dan berpotensi untuk dieksport ke luarnegara.

Varieti Margenta ini telah sempurna dilancarkan oleh Y.B. Datuk Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, di Stesen Penyelidikan MARDI Telong, Bachok, Kelantan pada 16 Ogos 2009. Dalam ucapan pelancaran tersebut Y.B. Datuk Rohani menyarankan supaya lebih ramai petani menanam varieti ini kerana varieti ini sangat sesuai untuk tanah bris. Selain daripada itu, kacang tanah juga boleh dijadikan tanaman pilihan yang baik bagi sistem tanaman integrasi atau perladangan campur kerana sisa baki tanaman (batang dan daun) sesuai dijadikan sumber makanan ternakan yang berkhasiat sama ada dalam bentuk segar atau setelah diproses menjadi silaj.

Friday, September 11, 2009

Kerisik Ucu dikomersialkan


AFIDAH Kamaruddin menggoreng kelapa parut di rumahnya di Bandar Putra Kulai, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 9 Sept. - Sejak zaman dahulu, kerisik merupakan makanan popular yang sering digunakan sebagai perencah tambahan dalam masakan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Cuba bayangkan masakan rendang atau laksa Johor tidak dimasukkan sedikit kerisik. Aduhai, memang kurang 'rasa' dan boleh menghilangkan selera seseorang untuk menikmati masakan itu dengan sepuas-puasnya.

Hakikatnya, kerisik cukup terkenal untuk menambah rasa sedap masakan, memekatkan masakan selain menambah aroma yang menyelerakan.

Secara tradisinya, kerisik yang dihasilkan daripada kelapa parut tua dilakukan oleh golongan wanita dan remaja perempuan.

Maka tidak hairan jika ramai yang pernah mendengar gurauan orang tua mengatakan lelaki yang ingin mencari calon isteri perlu memilih wanita yang pandai membuat kerisik.

Kata gurauan itu menggambarkan calon isteri pasti rajin di dapur kerana proses membuat kerisik bukan kerja yang mudah.

Ia mengambil masa yang lama apabila kelapa perlu diparut terlebih dahulu sebelum digoreng tanpa minyak di dalam kuali.

Kini, cara membuat kerisik dihasilkan mengikut peredaran zaman apabila mengikut cara moden yang menggunakan alat pengisar dan bukan lagi lesung batu.

Afidah Kamaruddin, 41, kini mengkomersialkan kerisik dengan memasarkan secara sambilan di rumahnya di Bandar Putra Kulai di sini.

Ibu kepada empat orang anak itu menjalankan perusahaan yang jarang-jarang dilakukan golongan wanita lain di negara ini dalam usaha memelihara kesinambungan makanan tradisional itu agar tidak pupus ditelan zaman.

Dikenali dengan nama Kerisik Ucu, suri rumah sepenuh masa itu memasarkan produk tersebut menerusi rantaian pemasaran yang dilakukan adik-beradik dan rakan-rakan sejak 1997.

"Kerisik boleh diumpamakan makanan yang tidak pupus zaman kerana kepentingannya dalam menambah kesedapan sesuatu masakan.

"Justeru, saya berharap Kerisik Ucu mampu menjadi pewaris bahan perencah utama makanan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Afidah memberitahu, mampu bertahan lama hingga tempoh satu tahun apabila disimpan dalam peti sejuk merupakan keistimewaan Kerisik Ucu.

Selain itu, ia mempunyai bau yang lebih wangi kerana menggunakan kelapa laut dari Batu Pahat yang memiliki santan pekat.

Katanya, proses penghasilan kerisik pula menggunakan bahan yang bermutu dan tiada bahan pengawet tiruan.

"Proses membuat kerisik bermula apabila kelapa yang diparut digoreng di dalam kuali selama satu jam setengah.

"Selepas kelapa parut itu garing dan menghasilkan aroma yang sedap, ia dibiarkan sejuk seketika sebelum dikisarkan hingga mengeluarkan minyak dan akhirnya menjadi kerisik," katanya.

Pada kebiasaannya, proses melakukan kerisik dijalankan pada waktu malam dan menggunakan 10 biji kelapa untuk menghasilkan tiga bekas besar kerisik," katanya yang dibantu suami tersayang, Roslin Mustaffa.

Afidah berkata, satu bekas besar kerisik dijual dengan harga RM8, manakala bekas kecil RM4.50

Katanya, permintaan terhadap Kerisik Ucu meningkat ketika menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri, manakala pada hari biasa bergantung kepada permintaan pelanggan.

Ibu yang memiliki sepasang anak kembar lelaki itu memberitahu, para pelanggan utamanya terdiri daripada peniaga restoran dan golongan wanita yang bekerja.

Ditanya mengapa memilih kerisik sebagai sumber pendapatan tambahan, Afidah berkata, kesukaran mendapatkan makanan itu di pasaran mendorongnya tampil menyediakan perkhidmatan itu.

Afidah menyimpan cita-cita besar agar suatu hari nanti dia dapat membuka sebuah bengkel memproses kerisik sendiri untuk meningkatkan kuantiti pengeluarannya.

Selain Kerisik Ucu, dia turut memasarkan produk makanan sejuk beku seperti karipap dan cucur badak.

Afidah boleh dihubungi di talian 013-7698934 atau 07-5990810.

Timur: Petani perlu daftar Fama

Program ladang kontrak permudah agensi pasar hasil keledek


KOTA BHARU: Petani yang menanam keledek sekitar Bachok dan Pasir Puteh, diminta mendaftarkan nama mereka dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan bagi menyertai program ladang kontrak yang dapat menjamin pasaran hasil tanaman kontang itu.

Pengarah Fama negeri, Mamat Yunus, berkata ketika ini, kira-kira 100 petani menyertai program ladang kontrak untuk membolehkan hasil tanaman mereka dipasarkan Fama setiap musim tuaian.

Katanya, Fama percaya ramai lagi petani sekitar Bachok dan Pasir Puteh menanam keledek sebagai tanaman gantian kepada tembakau itu berikutan sebelum ini pasarannya begitu baik dan meluas.

"Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini terutama ketika Ramadan, sambutan terhadap keledek menurun, manakala pengeluaran hasilnya meningkat berikutan penyertaan petani terhadap tanaman gantian tembakau itu semakin ramai.

"Saya nasihatkan petani yang belum berdaftar dengan Fama supaya segera berbuat demikian kerana kita akan bekerjasama dengan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini yang akan memproses keledek itu sebagai jus minuman atau kordial," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan Berita Harian, berhubung keresahan lebih 500 keluarga petani sekitar Bachok yang menanam keledek ekoran kejatuhan harga hasil tanaman itu yang merudum daripada RM1.40 pada April kepada 40 sen ketika ini.

Mamat berkata, Fama mengakui harga pasaran keledek yang dikeluarkan petani ketika ini merosot berikutan kurangnya sambutan di kalangan pengusaha kuih muih yang menumpukan terhadap penjualan kuih tradisional sempena Ramadan.

"Apabila perbincangan dengan pengilang berjaya, kita boleh membekalkan keledek kepada mereka dalam kuantiti banyak yang kita raih daripada petani kerana ia memerlukan antara 10 hingga 14 tan keledek sehari sebelum diproses menjadi puri," katanya.

“Ketika Fama membeli keledek daripada petani pada harga 80 sen sekilogram sebelum ini, petani yang menyertai program ini mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 hingga RM4,000 semusim tanaman," katanya.

Sumber:Berita HArian

Waiz Kashifi puas ceburi pertanian


Waiz Kashifi menunjukkan pokok cilinya yang setinggi 12 kaki.


MEMPUNYAI pendapatan tetap sebagai juruteknik di bahagian pembangunan dan kajian Power Train, Proton selama 17 tahun belum dapat memberi kepuasan kepada Waiz Kashifi Abdul Rauf, 34 tahun.

Jiwa lelaki ini nampaknya lebih cenderung ke arah pertanian, mendorongnya berhenti kerja.

Namun demikian, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang automotif tidak dipersia-siakan apabila dia membawa ilmu tersebut ke dalam bidang pertanian.

''Dengan penggunaan teknologi seperti yang terdapat dalam sistem automotif, bdang pertanian dapat dipertingkatkan,'' katanya bersemangat semasa ditemui di kebun kajiannya di Tabika Kemas, Seksyen 17, Shah Alam yang dijadikannya tempat latihan para belia dalam bidang pertanian.

Waiz Kashifi yang mengakui mempunyai sedikit pengetahuan dalam asas pertanian ketika itu sanggup mencuri masa mempelajari tentang pertanian ketika dihantar berkursus di luar negara oleh syarikatnya bekerja waktu itu.

''Apabila dihantar bertugas di luar negara seperti Australia, Sweden dan sebagainya, saya akan mengambil cuti untuk melawat ladang-ladang pertanian di sana.

''Saya tertarik dengan teknologi yang mereka gunakan dan ingin mempelajari agar disesuaikan dengan negara kita,'' katanya yang pernah ke Jepun pada 2004 untuk mempelajari bidang biologi.

Di kebun, kajian ini yang hanya sebesar sekangkang kera atau pun sebesar kawasan tepi rumah teres biasa, Waiz Kashifi dilihat sibuk mengajar seramai kira-kira 20 orang belia daripada seluruh negara mengenai kaedah penanaman yang dapat memberikan hasil yang di luar jangkaan.

Lebih menarik ialah melihat sepohon pokok cili merah yang setinggi 12 kaki dan menjulang tingginya.

Pokok cili yang lebat berbuah ini menjadi tarikan sesiapa sahaja yang ke situ. Jika ingin memetik buahnya, terpaksalah anda berdiri di atas kerusi.

Selain cili tinggi itu, terdapat banyak lagi tanaman seperti cili api, rock melon, tomato, kobis, peria, limau nipis, limau kasturi, mangga, cili benggala dan pokok sayur kambas yang telah berusia lapan bulan namun masih berbuah lebat.

Menurutnya lagi, di kebun itu, belia yang datang belajar di situ akan diajar cara membuat baja, penggunaan enzim, penguraian mikro, kaedah tanaman cara sihat dan sebagainya.

''Pada masa ini terdapat seramai 60 orang pelajar daripada sekitar Selangor yang belajar di sini. Selain belia, ramai juga warga emas yang belajar di sini.

''Di sini kami mengamalkan sikap hak bersama yang mana masalah akan dikongsi bersama. Contohnya ladang adalah milik belia sementara saya mengajar mereka daripada segi teknikal.

''Selain itu adalah penting mempelajari keperluan pokok dan kita yang menanam boleh menentukan atau merancang hasil yang diingini seperti sebatang pokok cili boleh berbuah sehingga empat kilogram. Sebab itu di sini ada pokok paling tinggi dan paling rendah kerana kita boleh menentukannya.

''Di sini juga saya merawat pokok-pokok sakit yang dihantar oleh pelanggan seperti pokok anggur, cili dan sebagainya. Setelah pokok-pokok itu subur, pemiliknya akan datang mengambilnya semula,'' katanya yang banyak mendapat jemputan mengajar di seluruh negara termasuk daripada institusi pengajian tinggi awam.

Katanya lagi, apa yang dilakukannya ini adalah untuk membantu belia dalam bidang pertanian agar mereka memperoleh pendapatan lumayan.

Cuma apa yang diharapkan agar usaha mereka ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails