KERAJAAN negeri akan memastikan semua tanah terbiar di Perlis dibangunkan, terutama tanah stok yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk tujuan pembangunan.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa ketika menjawab soalan lisan Khairi Hasan (BN-Mata Ayer) berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPS) mengenal pasti tujuh lokasi tanah stok yang berpotensi dibangunkan.
Beliau berkata, selain 25 hektar tanah di Batu 8 di Beseri dan Bukit Jernih yang akan dibangunkan sebagai tanah pertanian, kerajaan negeri turut mengenal pasti projek berskala besar, bagi memastikan usaha menjana pembangunan ekonomi negeri berjalan rancak.
"Antaranya, pembangunan Taman Teknologi Pauh dengan keluasan 31 hektar di Pauh, Bandar Baru Padang Besar dengan keluasan 14 hektar di bandar sempadan serta 19 hektar lagi tanah di Sungai Batu Pahat untuk kegunaan Pusat Benih Sime Darby yang akan dimajukan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
"Buat masa sekarang, stok tanah di Perlis mencukupi bagi merancang pembangunan projek akan datang," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Penguatkuasaan negeri, Mat Rawi Kassim ketika menjawab soalan Dr Por Choo Chor (BN-Indera Kayangan), berkata peratusan tanah terbiar di negeri ini adalah terlalu kecil, terutama di sekitar kawasan Perlis utara, kerana keseluruhan tanah kerajaan yang boleh diusaha untuk bercucuk tanam sudah diteroka sejak berpuluh tahun dulu.Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian sedang meneliti tanah yang disimpan untuk dimajukan. Sebagai contoh, Jabatan Pertanian kini mengusahakan tanah di Sungai Batu Pahat selatan dan Batu Bertangkup Selatan.
"Bagi tanah individu terbiar, satu inisiatif diambil untuk menjalankan aktiviti pertanian seperti tanaman mempelam dan serai paha ayam. Antara kawasan terbabit adalah Titi Tinggi dan Alor Ara.
"Selain bidang pertanian, cadangan turut dibuka untuk sebarang projek daripada pihak swasta termasuk untuk menyediakan taman tema air seperti di Bukit Merah di Perak atau Sunway Lagoon di Selangor.
"Apa pun, usaha mewujudkan taman tema sedemikian memerlukan belanja yang besar baik dari segi pembinaan atau operasi. Tambahan pula dengan penduduk Perlis yang tidak melebihi 250,000 orang, projek sedemikian dilihat masih tidak diperlukan," katanya.