Wednesday, July 29, 2009

Enaknya rebung masak lemak ikan kurau

MERSING 29 Julai - Sebut sahaja gulai atau sayur rebung, sudah pasti ia mampu membuka selera anda kerana keenakannya.

Lebih menyelerakan sekiranya rebung yang digunakan adalah rebung buluh madu yang lebih sedap dan lembut berbanding rebung biasa.

Seorang penduduk Felda Tenggaruh 3, Madun Hamid, 52, berkata, rasa rebung buluh madu memang istimewa berbanding rebung buluh biasa.

''Di samping boleh dimasak dalam pelbagai rasa sama ada lemak, gulai dan kerabu, rebung buluh madu juga lembut dan halus jika dibandingkan dengan rebung biasa.

''Kalau dah rasa makan rebung buluh madu, keluarga kami tak pandang rebung biasa," katanya.

Gatonah Tumiran, 49, pula berkata, sejak ada rebung buluh madu dia kerap memasaknya berikutan semua ahli keluarganya menyukai sayuran itu.

''Dulu kalau nak makan rebung, kita terpaksa buang miang, tapi kini cuma patahkan daripada rumpun buluh itu dan kemudian disiang macam kita potong lobak merah atau timun, cukup mudah.

''Saya cukup seronok bila tengok, suami, Karimon Karjo dan anak-anak bila ada lauk rebung madu masak lemak dicampur ikan kurau, mereka akan makan bertambah-tambah lebih daripada biasa," katanya.

Begitu juga dengan ibu muda, Rosidah Isamil, 33, kerap membeli rebung madu yang dijual di pasar-pasar.

''Rasanya lebih sedap daripada rebung biasa. Di samping itu saya juga dapat perkenalkan rebung dan sayuran rebung kepada anak-anak saya yang tidak tahu rupa bentuk pokoknya," katanya.

Menurut ibu kepada empat orang anak itu, kini sudah sampai masanya bagi semua pihaknya khususnya individu mengetahui keunikan buluh madu sebagai tanaman atau dijadikan lauk-pauk.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails