Saturday, May 16, 2009

ECER tembusi pasaran halal United Kingdom

KUALA LUMPUR 15 Mei - Empat usahawan produk halal dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menembusi pasaran halal United Kingdom (UK) yang pesat berkembang.

Syarikat itu - Muslim Best Food Industries, GTHerb Industries, Maduria Industries dan RMZ Marketing - sedang meneroka pasaran produk makanan dan minuman di UK melalui Malaysia Trading House (MTH) yang beroperasi di London, kata Sektretariat ECER dalam kenyataannya di sini hari ini.

MTH, yang ditubuhkan oleh Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita), merupakan satu pusat perdagangan sehenti yang menawarkan pelbagai produk halal berkualiti dari Malaysia.

"Pasaran halal UK menawarkan peluang tinggi kepada para pengusaha Malaysia kerana lebih ramai pengguna Islam dan bukan Islam membeli produk halal dari pasar raya dan kedai yang lain," kata Pengerusi Komita, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Bagi memenuhi permintaan mendapatkan produk halal yang kian meningkat, Sheikh Ahmad berkata, MTH di UK menyediakan platform bagi para usahawan tempatan untuk menembusi dan meneroka pasaran UK dan Eropah.

"Menerusi inisiatif ini, kami berhasrat menjadi pasar raya halal terkemuka di London dan Eropah," katanya.

MTH, yang terletak dalam Borough di kawasan daerah tengah London, mempromosikan produk dari 52 buah syarikat Malaysia, yang menawarkan rangkaian produk makanan halal dan kecantikan hinggalah kepada barangan rumah dan kraftangan.

Pasaran halal UK bernilai kira-kira 2.8 bilion pound (RM15 bilion).

UK mempunyai kira-kira 2.0 juta penduduk Islam tetapi menurut Lembaga Keselamatan Makanan UK, terdapat kira-kira 6.0 juta pengguna makanan halal di seluruh negara itu.

Menurut Sheikh Ahmad, Komita turut merancang membuka pusat perdagangan yang sama di Casablanca, Maghribi, Vietnam dan Kemboja.

Di bawah pelan induk ECER - Pasir Mas dan Pengkalan Chepa di Kelantan, Chendering di Terengganu dan Gambang di Pahang - telah dikenal pasti untuk pembangunan taman halal.
Sumber:Utusan Malaysia

Thursday, May 7, 2009

Ribuan ikan mati, tujuh penternak rugi RM150,000

Kejadian dikatakan berpunca air sungai dicemari racun


SUNGAI PETANI: Tujuh penternak ikan dalam sangkar di Sungai Batu Lintang di sini mengalami kerugian lebih RM150,000 apabila ribuan ikan yang diternak ditemui mati, pagi kelmarin.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pencemaran air sungai berkenaan berikutan air mengandungi racun yang dilepaskan dari sawah padi di sekitar kawasan itu.Kematian pelbagai jenis ikan, termasuk siakap putih dan merah, jenahak, kerapu, gerut-gerut dan timun itu disedari kira-kira jam 11 pagi apabila penternak terbabit yang pergi ke sangkar ikan mendapati ternakan mereka mati dan terapung.

Kebanyakan ikan terbabit yang sudah mencecah berat antara 300 gram dan enam kilogram setiap seekor itu sudah sedia untuk dipasarkan.

Penternak, Mohd Farizal Anuar, 19, berkata apabila tiba di sangkar, dia terkejut apabila mendapati ribuan ikan dalam 15 sangkarnya yang sudah matang mati dan berbau busuk.

"Setiap sangkar ada kira-kira 300 ekor ikan dan hanya menunggu masa untuk dijual dan ada sangkar lain pula mempunyai anak yang baru diternak beberapa bulan lalu.

"Semua ternakan saya mati dan kerugian lebih RM80,000," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Farizal berkata, ada antara ikan itu sudah ditempah oleh beberapa pengusaha restoran di negeri ini.

Seorang lagi penternak, Sobri Mohamad, 52, berkata ini kali pertama mereka menghadapi masalah itu sejak menjalankan kegiatan di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sebelum ini kami terjejas sedikit saja ketika dilanda tsunami pada 2004 tetapi kejadian keracunan kali ini lebih buruk.

"Kami berharap pihak yang berkaitan dapat membantu mengatasi masalah ini bagi memastikan ia tidak berulang kerana ia merugikan penternak," katanya.

Sobri berkata, beliau percaya kejadian itu berpunca daripada masalah keracunan dari air sawah yang dilepaskan petani di kawasan sekitar menyebabkan air sungai tercemar.

Katanya, beliau sudah melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan lanjut.

Beliau juga berharap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atau Jabatan Perikanan dapat membantu membekalkan benih ikan bagi membolehkan mereka meneruskan kegiatan itu.

Sumber: Berita Harian

Borhan buru impian jadi pengeluar benih ikan berjaya

Bekas kakitangan awam pernah rugi kerana cetek pengetahuan


KUALA LIPIS: Pepatah Melayu 'kalau tidak dipecahkan ruyung, bagaimana hendak dapatkan sagunya' menjadi pegangan kepada kepada bekas kakitangan awam untuk menceburi bidang penternakan ikan kelisa emas (Scleropages Formosus) dan kelah merah ( Tor Tambroides) bagi menghasil benih ikan.

Minat Borhan Sulong, 45, untuk menyertai bidang berkenaan timbul selepas mengikuti kursus menternak ikan kelisa anjuran Jabatan Perikanan termasuk melawat kolam ikan berkenaan di Perak, tahun lalu.


Malah, beliau berkata, ternakan itu yang berpotensi memberi pulangan pendapatan lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit turut mendorong beliau untuk berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Walaupun masih dianggap baru dengan pengalaman tidak sampai setahun bukan menjadi penghalang kepada bapa kepada tiga anak itu yang bercita-cita mahu mahu menjadi pengeluar benih ikan kelisa dan kelah terbesar dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Dengan bantuan pegawai Jabatan Perikanan negeri, saya mula mengorak langkah dengan menimba ilmu pengetahuan menerusi bengkel, kursus, membaca daripada buku, internet dan mendapatkan input daripada rakan-rakan yang lebih berpengalaman.

"Selepas melihat kejayaan dengan pendapatan yang lumayan yang diperoleh rakan lain yang sudah bergiat dalam ternakan ikan ini, saya menanam nekad dan bercita-cita menceburi sektor tersebut untuk berkongsi kejayaan dengan mereka," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Borhan berkata, beliau memulakan perniagaannya secara berperingkat dengan membeli 20 ekor induk dua ikan berkenaan dan lebih 60 ekor anak ikan berumur antara dua bulan hingga tiga tahun.

Katanya, harga induk dan anak kelisa bergantung kepada spesies, induk berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 seekor, sementara anak harganya antara RM450 hingga RM1,500 seekor.

"Kerana cetek pengalaman, pada peringkat awal pembabitan dalam bidang ini saya terpaksa menanggung kerugian apabila lebih 50 ekor anak kelisa mati disebabkan faktor kebersihan dan suhu air termasuk kecuaian.

"Namun, ia tidak melunturkan semangat dan menganggap ia sebagai cabaran dan pengalaman paling berharga yang tidak mungkin dapat dinilai dengan wang ringgit," katanya yang menetap di Taman Desa Kenari, di sini.

Berkat kesungguhannya, beliau kini menyewa tanah berkeluasan 1.21 hektar yang menempatkan satu kolam ternakan di Kuala Kangsar, Perak.

Katanya, kolam itu boleh memuatkan 20 induk kelisa dan berjaya memiliki 20 anak ikan yang sama selepas tiga bulan memeliharanya.

"Semua anak kelisa berkenaan ditempatkan dalam satu akuarium di bilik khas di rumahnya, sementara 45 ekor induk kelah pelbagai saiz diletakkan dalam kolam simen.

Borhan berkata, kos menguruskan ikan kelisa dan kelah tidak terlalu membebankan, dia hanya mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1,200 sebulan untuk membeli makanan.

"Kos membeli ikan kelisa dan kelah dewasa yang mencecah sehingga RM50,000 seekor menyebabkan tidak semua yang mampu memilikinya.

"Untuk mengelak ikan mati, saya kini menggunakan dua pekerja tetap bagi melakukan tugas menukar air kolam, memastikan suhu yang betul, kadar kepekatan dan keasidan air dan kebersihan persekitaran kolam," katanya yang kini dalam proses membina 15 kolam induk di tanah yang disewanya bagi tujuan itu di Kuala Kangsar.

Sumber: Berita Harian

3 pasar tani kutip hasil RM245,650 dalam 3 bulan

TEMERLOH Peniaga di Pasar Tani Paya Luas, Lurah Semantan dan Kuala Krau di sini mencatatkan pendapatan penjualan hasil tani sebanyak RM 245,650 dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding hanya RM 342,670 sepanjang tahun lalu.


Pengawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Daerah Temerloh, Abd Razak Abd Karim berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa faktor yang mampu menjadi daya tarikan pengguna berbelanja di pasar tani di daerah ini.

"Peningkatan hasil jualan peniaga di pasar tani berikutan pengguna tidak sukar mendapatkan barangan keperluan selain gerai yang menarik dan teratur disediakan Fama.

"Selain itu, penjualan barangan keperluan berkualiti turut menjadi pendorong kepada pengguna berbelanja di pasar tani yang diadakan setiap Jumaat di Paya Luas bermula jam 3 petang dan Khamis di Kuala Krau bermula 8 pagi.

"Memandangkan prestasi pencapaian peniaga semakin bertambah baik, Fama memberi galakan serta khidmat nasihat kepada peniaga supaya menjalankan kegiatan mereka dengan lebih bersistematik untuk menarik ramai pelanggan," katanya kepada Berita Harian di sini semalam.

Abd Razak berkata kerajaan akan membelanjakan lebih RM55,000 bagi menaiktarafkan kemudahan pusat perniagaan Pasar Tani di Kuala Krau, Lurah Semantan dan Paya Luas.

Katanya, kemudahan seperti kawasan perniagaan berturap, memperluaskan kawasan operasi perniagaan bagi memberi peluang lebih ramai peniaga menjalankan kegiatan perniagaan serta menyediakan gerai yang menarik.

Beliau berkata usaha itu dilakukan bagi memastikan kegawatan ekonomi dunia tidak memberi kesan terhadap peniaga kecil terutama di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menaruh keyakinan hasil jualan peniaga di pasar tani akan mencatatkan peningkatan pada masa akan datang.

Usaha majukan Dungun jadi hab makanan laut

Industri perikanan di daerah ini berpotensi dikomersialkan


KUALA TERENGGANU: Dungun akan dibangunkan sebagai hab makanan laut bagi tujuan komersial sdan pelancongan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berikutan lokasi dan kedudukan daerah itu selain faktor perikanan yang menjadi satu daripada industri terpenting di daerah itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata selain itu cadangan membangunkan Dungun sebagai hab makanan laut juga adalah disebabkan lokasinya yang terletak di sepanjang koridor pembangunan dan mudah diakses."Faktor ini juga didorong oleh akses mudah ke bandar berkenaan dari Lembah Klang apabila siapnya jaringan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa II nanti," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICC) Terengganu dan merasmikan Pejabat Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Mesyuarat itu dihadiri 10 ahli jawatankuasa yang dipengerusikan Ahmad serta dianggotai pelbagai wakil dari agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ahmad berkata, pembangunan Dungun sebagai hab makanan laut adalah kerana ia mempunyai potensi yang cukup besar untuk dibangunkan dan dikembangkan selain faktor industri perikanan yang kini cukup berkembang di situ.

Katanya, sebagai kawasan nelayan, lokasi Dungun juga sangat bersesuaian dan langkah itu dilaksanakan bagi menampung keperluan dan permintaan yang begitu tinggi terutama di kalangan pelancong terhadap industri makanan laut.

"Produk makanan laut yang dihasilkan di negeri ini sebelum ini memang tidak mencukupi dan kita pembangunan dalam menjadikan Dungun sebagai hab makanan laut diharap dapat membantu memacu industri itu yang kini mendapat permintaan yang cukup menggalakkan," katanya.

Ditanya mengenai perkara yang dibincangkan pada mesyuarat pertama membabitkan jawatankuasa itu, Ahmad berkata empat perkara dibincangkan antaranya projek pembangunan yang sudah di bangunkan di wilayah ECER, penubuhan pusat hentian setempat, projek membabitkan pembangunan infrastruktur serta turut membimcangkan kaedah yang boleh digunakan dalam membangunkan tanah rezab Melayu yang terdapat di Terengganu.

Sumber: Berita Harian

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails