Thursday, May 7, 2009

Ribuan ikan mati, tujuh penternak rugi RM150,000

Kejadian dikatakan berpunca air sungai dicemari racun


SUNGAI PETANI: Tujuh penternak ikan dalam sangkar di Sungai Batu Lintang di sini mengalami kerugian lebih RM150,000 apabila ribuan ikan yang diternak ditemui mati, pagi kelmarin.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pencemaran air sungai berkenaan berikutan air mengandungi racun yang dilepaskan dari sawah padi di sekitar kawasan itu.Kematian pelbagai jenis ikan, termasuk siakap putih dan merah, jenahak, kerapu, gerut-gerut dan timun itu disedari kira-kira jam 11 pagi apabila penternak terbabit yang pergi ke sangkar ikan mendapati ternakan mereka mati dan terapung.

Kebanyakan ikan terbabit yang sudah mencecah berat antara 300 gram dan enam kilogram setiap seekor itu sudah sedia untuk dipasarkan.

Penternak, Mohd Farizal Anuar, 19, berkata apabila tiba di sangkar, dia terkejut apabila mendapati ribuan ikan dalam 15 sangkarnya yang sudah matang mati dan berbau busuk.

"Setiap sangkar ada kira-kira 300 ekor ikan dan hanya menunggu masa untuk dijual dan ada sangkar lain pula mempunyai anak yang baru diternak beberapa bulan lalu.

"Semua ternakan saya mati dan kerugian lebih RM80,000," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Farizal berkata, ada antara ikan itu sudah ditempah oleh beberapa pengusaha restoran di negeri ini.

Seorang lagi penternak, Sobri Mohamad, 52, berkata ini kali pertama mereka menghadapi masalah itu sejak menjalankan kegiatan di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sebelum ini kami terjejas sedikit saja ketika dilanda tsunami pada 2004 tetapi kejadian keracunan kali ini lebih buruk.

"Kami berharap pihak yang berkaitan dapat membantu mengatasi masalah ini bagi memastikan ia tidak berulang kerana ia merugikan penternak," katanya.

Sobri berkata, beliau percaya kejadian itu berpunca daripada masalah keracunan dari air sawah yang dilepaskan petani di kawasan sekitar menyebabkan air sungai tercemar.

Katanya, beliau sudah melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan lanjut.

Beliau juga berharap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atau Jabatan Perikanan dapat membantu membekalkan benih ikan bagi membolehkan mereka meneruskan kegiatan itu.

Sumber: Berita Harian

1 comment:

Global Excellent Marketing Sdn.Bhd (GEM) www.gemsb.com said...

Direktori / Forum Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia - http://gem.socialgo.com

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails