Malah, kita berbangga kerana ramai usahawan tani yang telah mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam Skim Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS Bumiputera, Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan kerajaan antara lainnya adalah memastikan sebahagian pelatih menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan.
Bagi mencapai KPI ini, Institut Keusahawanan Negara (Insken) memainkan peranan utama membimbing pelatih Institut Skill-Tech menjadi usahawan tani sebaik sahaja tamat latihan.
Menurut Pengarah Insken, Kamariah Yeop Abdullah, pihaknya telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan memantau skim berkenaan sejak diwujudkan pada tahun lalu.
Antara lain, Insken telah mensasarkan supaya sekurang-kurangnya 30 peratus pelatih Tahap 1 dan 2 akan memulakan perniagaan sebaik sahaja tamat latihan.
Bakinya akan menceburi perniagaan selepas tamat kursus lanjutan peringkat Diploma Kemahiran Malaysia.
''Bagi mencapai KPI tersebut, kami membantu Skill-Tech membimbing pelatih menggunakan modul yang disediakan Insken termasuk melatih tenaga pengajar mereka dalam pengurusan subjek Keusahawanan,'' katanya.
Berdasarkan pemantauan dan penyeliaan Insken , kami dapati Skill-Tech telah berjaya menanam minat yang mendalam pelatih terhadap pertanian secara komersial.
Maka tugas Insken adalah untuk memastikan pelatih ini dibimbing dengan asas pengurusan perniagaan. Latihan Industri (LI) pula mengukuhkan lagi minat dan kefahaman mereka terhadap perniagaan pertanian dan industri asas tani.''Pendekatan skill-Tech yang menekankan kemahiran LI dan jalinan kerjasama dengan banyak syarikat-syarikat berkaitan, memudahkan lagi proses pembentukan usahawan di kalangan pelatih,'' ujar beliau.
Selain menjadikan keusahawanan dan jatidiri sebagai latihan wajib pelatih Skill-Tech, Sijil Keusahawanan Insken telah dijadikan syarat wajib untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan seperti Mara dan Tekun.
''Oleh itu, mereka tidak perlu lagi untuk mengikuti kursus Latihan Pembangunan Usahawan (LPU) yang menjadi syarat Mara dan Tekun kepada bakal peminjam. Sebaliknya mereka layak memohon secara automatik selepas tamat latihan,'' tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, pihaknya bukan sahaja menggalakkan semua pelatih menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan, malah menasihatkan mereka yang berhasrat untuk bekerja supaya menjadikannya sebagai pilihan terakhir.
Bagi mencapai visi dan KPI yang ditetapkan Insken, Institut Skill-Tech memastikan semua pelatih sentiasa diterapkan dengan konsep TEA yang menjadi teras Skill-Tech.
Konsep TEA bermaksud setiap pelatih perlu mempunyai tiga kemahiran iaitu kemahiran teknikal (Technical Skill), Keusahawanan (Entreprenuership) dan Kemahiran menghadapi cabaran (Adversity Quotient).
''Kajian dan pengalaman kami menunjukkan bahawa tanpa keupayaan TEA, pelatih kami tidak akan menjadi usahawan seperti diharapkan,'' kata Nordin.
Jelas Nordin lagi, LI kedua akan menumpukan sepenuhnya persediaan perniagaan. Pelatih-pelatih yang sudah bersedia untuk membuka perniagaan akan memulakannya ketika LI kedua.
Pada masa ini juga, Skill-Tech sedang bekerjasama dengan Mara dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk mewujudkan inkubator usahawan tani ala Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), milik MOA Inc.