Wednesday, April 29, 2009

Memanfaatkan khasiat pohon Neem

KEMAJUAN sains dan teknologi kini membuka ruang seluas-luasnya dalam penghasilan pelbagai produk kesihatan dan kecantikan berasaskan bahan-bahan semula jadi khususnya penggunaan herba dan ramuan tradisional yang sememangnya terkenal dengan khasiatnya yang luar biasa.

Tidak ketinggalan, jenama produk kecantikan dan kesihatan terkenal, Himalaya Herbal Healthcare turut menawarkan alternatif baru dalam rawatan penjagaan kulit dengan pelancaran semula rangkaian produk Acne Neem yang dirumus menggunakan seratus peratus Herba Aktif iaitu daripada pohon Neem.

Pohon Neem lebih dikenali dengan panggilan pokok semambu, Laksamana atau nama saintifiknya Azadirachta indica merupakan pohon yang kaya dengan unsur-unsur semula jadi yang digunakan dalam perubatan Ayurveda sejak lebih 2,000 tahun lamanya. Rupanya unik dengan tepi daunnya bergerigi jelas dan agak tajam. Di bahagian atas daun kelihatan jalinan uratnya yang lebih jelas dengan berwarna sedikit kekuningan. Ia juga mempunyai buah serta bunga yang berbau harum dan boleh ditemui di tepi-tepi jalan.

Bagaimanapun, di India pokok ajaib ini ditanam dan dikomersialkan serta dibuat penyelidikan bagi mengekalkan keasliannya. Bermula daripada akar, ranting, daun, bunga, buah dan bijinya mempunyai khasiat dan keistimewaan yang pelbagai. Ia telah digunakan secara tradisional untuk merawat keradangan, jangkitan, demam, penyakit kulit dan masalah gigi sejak dahulu lagi. Malah, daun mambu yang bersifat antiserangga juga boleh digunakan untuk mengelak serangan serangga pada tanaman.

Hasil kajian oleh Himalaya Drug Company di India membuktikan daun Neem dan elemen-elemennya memiliki unsur-unsur anti radang, anti bakteria, anti oksida dan anti karsinogenik. Unsur-unsur ini amat mujarab untuk membantu mengatasi masalah kulit seperti jerawat dan berkesan untuk menghindarkan kerosakan kulit yang disebabkan oleh radikal bebas.

Ketua Perkhidmatan Perubatan & Percubaan Klinikal, Pusat Penyelidikan & Pembangunan, The Himalaya Drug Company di India, Dr. Pralhad S Patki berkata, Neem disyorkan untuk merawat masalah kulit. Unsur-unsurnya yang antibakteria sangat berkesan untuk melawan kebanyakan masalah epidermis seterusnya memelihara kesihatan kulit.

Justeru, rangkaian produk Acne Herba Neem dari Himalaya yang terdiri daripada pembersih Neem Foaming Face dengan Neem dan Kunyit, Neem Face Pack dengan Neem dan kunyit, krim A-N-P mengandungi nimbidin, iaitu salah satu unsur aktif Azadirachta indica yang membantu melegakan keradangan.

Manakala untuk pembersihan dalam tubuh, Neem yang ditampilkan berbentuk kapsul, Neem Capsules dipercayai mempunyai unsur antibakteria, antikulat dan dapat mengurangkan toksin dalam darah sangat ideal untuk mengubati kulit yang berjerawat dan alahan. Produk berkenaan dipasarkan oleh Embun Elit Sdn. Bhd. dan boleh didapati di pasaran dengan lingkungan harga RM21.90 hingga RM39.90.

Di samping itu, jenama yang terkenal dengan produk berteraskan herba ini turut melancarkan kempen amal ‘Neem Tree For Charity’ yang bertemakan Pohon Ajaib Neem. Kempen ini akan dianjurkan di kedai-kedai Himalaya terpilih di Mid Valley, 1 Utama dan Suria KLCC. Pelanggan berpeluang untuk membawa pulang pohon Neem pada harga minimum RM10 dengan sebarang pembelian produk Neem dari Himalaya. Kempen ini akan bermula dari 13 Mac lalu hingga 13 April ini dan semua kutipan jualan akan disalurkan kepada Shelter One Charity Home.

TEKNIK PENYEDIAAN SILAJ JAGUNG

Silaj jagung ialah sejenis makanan alternatif yang murah bagi ternakan lembu dan biri-biri. Ia dibuat daripada sisa-sisa tanaman jagung manis seperti batang, daun dan putik jagung.

Pengeluaran dan penggunaan silaj jagung dapat mengurangkan perbelanjaan membeli bahan makanan ternakan seperti Palm Kernel Concentrate dan sangat sesuai dalam perladangan intergrasi seperti menternak lembu cara fidlot dengan menanam jagung manis.

Dari segi kandungan nutrien, silaj mengandungi protin mentah dan 'metabolizable energy' setanding dengan rumput lain (kandungan nutrien bagi sisa tanaman jagung manis dikutip hasil 75 hari selepas ditanam berbanding dengan rumput P. purpureum yang dikutip pada waktu yang sama).

Peralatan untuk membuat silaj jagung

Untuk memungut sisa pokok jagung manis di ladang, ia boleh dilakukan secara manual atau mengguna jentera seperti forage harvester dan treler. Sisa-sisa pokok jagung perlu dihancurkan atau dicincang halus mengguna mesin shredder untuk membungkus sisa tanaman jagung yang telah dihancurkan, alat-alat yang diperlukan ialah seperti berikut:-

1.Beg plastik polletilina hitam berukuran 213 cm x 275 cm (84" x 108"),
tebal 0.18 mm dan muatan 600 kg.
2.Rangka kayu berukuran 113 cm lebar empat segi x 122 cm tinggi.
3.Tali atau tiub basikal untuk mengikat.

Tempat untuk menyusun dan menyimpan beg silaj hendaklah dekat dengan kandang lembu supaya senang diambil untuk diberi makan kepada lembu setiap hari.

Teknik membuat silaj jagung

1.Pokok-pokok jagung dipotong pada umur 75 hari selepas menanam dan dikumpulkan. Pastikan pokok jagung tidak kering di ladang supaya kandungan kelembapan batang jagung dapat dikekalkan. Batang jagung dipotong dan diangkat secara manual dan dihancurkan dengan mesin shredder atau dipotong dan dihancurkan dengan mesin forage haverster, kemudian diangkut dengan treler.

2.Pokok jagung yang telah dihancurkan dimasukkan ke dalam beg plastik yang diletakkan pada rangka kayu mudahalih yang mudah dipasang dan mudah dibuka.

3.Pokok jagung yang telah dihancur ini dipadatkan dengan cara memijak untuk mengurangkan ruang udara di dalam beg.

4.Selepas beg plastik diisi dengan penuh, beg diikatkan dengan tali atau tiub plastik dengan sempurna dan disimpan sekurang-kurangnya 30 hari dalam keadaan tanpa oksigen.

5.Pastikan beg plastik tidak berlubang bagi mengelakkan udara masuk dan ini boleh menyebabkan silaj rosak dan menjadi kompos. Silaj boleh disimpan lama selagi udara tidak masuk. Setiap kali beg pembungkus silaj dibuka, udara yang terdapat dalam perlu dikeluarkan dengan menekan beg sebelum diikat.

Hasil silaj jagung

Satu hektar jagung manis boleh mengeluarkan 15-20 metrik tan silaj semusim pada kelembapan 70%. Jumlah tersebut dapat menampung sebanyak 10 ekor lembu bagi tempoh dua hingga tiga bulan. Berat silaj yang harus dibekalkan kepada seekor lembu setiap hari ialah 10% daripada berat badan. Pemakanan daripada silaj biasa ditambah dengan PKC tetapi kurang daripada biasa, iaitu 3% daripada berat badan.

Kos pengeluaran silaj

Kos pengeluaran silaj dengan menggunakan beg plastik hitam polietilena ialah RM43.00 setan atau 43 sen sekilogram.

Thursday, April 23, 2009

'Rasa macam sotong, ayam goreng'

KUANTAN 23 April - ''Sedap rasanya macam sotong kalau buat sup atau rasa ayam goreng," itulah antara komen yang diberi oleh penggemar kulat tahun yang ditemui di Jalan Kuantan-Gambang dan ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir di sini baru-baru ini.

Seorang remaja, Azlinda Anuar, 23, dari Pekan berkata, dia yang sememangnya menggemari cendawan terutama cendawan goreng tidak menyangka kulat tahun yang juga dari tumbuhan cendawan begitu enak rasanya.

''Semalam kebetulan bapa saya lalu di sini dan ternampak orang menjual kulat tahun dan membelinya untuk makan malam.

''Disebabkan tak puas makan semalam, hari ini saya datang semula untuk membelinya dalam jumlah yang lebih banyak," katanya ketika ditemui di sebuah gerai di Jalan Gambang-Kuantan.

Tambahnya, kulat tahun yang dibelinya telah kembang dan nampak begitu segar berbanding yang bapanya beli sebelum ini kerana pada masa bapanya beli, kulat tahun itu belum kembang sepenuhnya.

''Saya harap rasanya lebih sedap berbanding semalam," ujarnya yang merancang untuk membuat sup pada kulat yang dibelinya.

Seorang peneroka, Ahmad Bahari, 50, pula berkata, setiap tahun sejak zaman kanak-kanak lagi, dia sering menunggu ketibaan bulan Mac untuk menikmati kulat tahun.

''Sejak dulu lagi saya akan lihat kulat tahun ini akan tumbuh di kawasan yang sama di lorong-lorong ladang kelapa sawit.''Bukannya apa, tetapi rasa teruja apabila dapat cabut sendiri kulat ini dan boleh pilih sebanyak mana pun sama ada yang kembang atau yang baru berputik," jelasnya.
Katanya, kulat tahun ini akan bertambah sedap sekiranya ia semakin mekar berkembang berbanding yang baru berputik.''Jika selepas lima hari kita tak kutip, tumbuhan ini akan hancur dengan sendirinya. Oleh yang demikian saya akan mengambil peluang ini dengan mengutip sebanyak mungkin selagi terdaya dan memberi kepada jiran-jiran," ujarnya.

Sementara itu, bagi seorang lagi peneroka, Abdul Jabar Abdul Wahab, 45, dalam keadaan hujan yang tidak menentu pada masa sekarang menyebabkan kulat ini hanya mampu hidup dalam beberapa hari sahaja.

''Dulu, apabila tiba sahaja musimnya kita boleh kutip kulat tahun ini dalam tempoh lebih daripada seminggu.''Bagaimanapun, sekarang hanya mampu bertahan dalam masa lima hari," jelasnya.Tambahnya, keluarganya amat menggemari kulat tahun ini kerana rasanya lebih manis berbanding cendawan biasa.''Anak-anak saya cakap rasanya macam sotong," ujarnya yang akan menyajikan hidangan ini dalam bentuk sup.

Kulat Tahun Hidangan Enak

JUMAT Moi menunjukkan kulat tahun yang dijualnya di tepi Jalan Gambang-Kuantan, Pahang.


KUANTAN 23 April – Hidangan berasaskan cendawan atau kulat sememangnya mempunyai keenakan lain daripada sayuran yang lain. Walaupun terdapat pelbagai variasi tumbuhan daripada kumpulan cendawan sama ada ditanam atau tumbuh meliar, ia tetap mendapat tempat di hati penggemarnya.

Sebut sahaja cendawan tiram atau butang, semuanya mudah didapati di mana-mana pasar, kedai atau pasar raya tetapi berlainan dengan cendawan yang tumbuh secara semula jadi yang dipanggil kulat tahun ini.

Sesetengah pendapat mendakwa kulat tahun lazimnya didapati tumbuh beberapa hari kemudian selepas dentuman petir dan hujan lebat di sesuatu kawasan.

Keunikkan yang membezakan kulat tahun dengan cendawan lain ialah kerana ia tumbuh setahun hanya sekali dan sukar untuk memperolehnya kecuali di ladang-ladang kelapa sawit atau getah dan kawasan berbusut di belukar kampung.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini di ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir 6 melihat sendiri kulat tahun ini tumbuh dengan segar sekali dan benarlah seperti perumpamaan pepatah Melayu; ‘seperti cendawan tumbuh selepas hujan.’

Malah, sepanjang jalan menuju ke kawasan gugusan itu terdapat beberapa peneroka mengambil kesempatan menjual tumbuhan tersebut yang dikutip di ladang mereka. Menurut peniaga, Jumat Moi, 53, dia mengambil kesempatan untuk berniaga cendawan yang lebih popular dengan nama kulat tahun ini kerana ingin memperkenalkannya kepada orang ramai. ‘‘Ramai yang tidak tahu akan kewujudan kulat tahun ini kerana ia tumbuh hanya sekali sahaja setahun iaitu sekitar Mac dan April.

‘‘Malah, kulat tahun tidak ditanam dan tiada di pasaran seperti cendawan tiram dan butang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Jumat yang menjual kulat tahun di Jalan Gambang-Kuantan amat bertuah dan teruja kerana ia sangat laris dan diminati oleh setiap lapisan masyarakat.
‘‘Tak sangka ramai yang sukakan cendawan ini. Pada mulanya saya bimbang kulat tahun ini tidak mendapat sambutan kerana ia tidak menjadi sebutan seperti cendawan lain. ‘‘Rupa-rupanya sangkaan saya salah. Ramai yang ternanti-nantikan kulat tahun ini apabila tibanya bulan Mac,” ujarnya.

Difahamkan kulat tahun ini hanya tumbuh di lorong-lorong menuai di ladang kelapa sawit dan mengambil masa lima hari sahaja.

Tambah peneroka Felda Lepar Hilir 2 ini, kulat tahun akan tumbuh di kawasan yang sama setiap tahun terutama di atas busut dan tanah yang subur di ladang kelapa sawit.

‘‘Selalunya kulat tahun akan tumbuh selepas hujan dan akan bertahan dalam tempoh lima hari sahaja.

‘‘Jika selepas lima hari tumbuhan ini tidak dikutip, ia akan layu dan kelopaknya akan hancur dengan sendirinya,” jelasnya sambil memberitahu kebanyakan pelanggannya datang dari Kuantan dan Pekan.

Katanya, seandainya generasi terdahulu tidak memperkenalkan kulat tahun ini kepada generasi sekarang, maka tumbuhan ini akan terbiar begitu sahaja.

‘‘Generasi sekarang terutama golongan remaja tidak tahu bahawa tumbuhan ini boleh dimakan dan lebih sedap berbanding cendawan biasa.

‘‘Selain berniaga menambah pendapatan, saya berusaha memperkenalkan cendawan ini kepada generasi hari ini supaya satu hari nanti apabila mereka terjumpa tumbuhan ini, mereka tidak akan memandang seperti rumput sahaja,” ujarnya.

‘‘Satu masa nanti, jika cendawan ini masih ada pasti mereka tidak akan mensia-siakannya dan memperkenalkan pula kepada anak-anak dan cucu mereka.

‘‘Selain berkhasiat, kulat tahun yang akan lebih subur jika tumbuh di kawasan yang terkena petir ini rasanya lebih sedap jika dibuat sup,” tambahnya.

Jumat yang mengutip sendiri kulat tahun ini sejak hari pertama ia tumbuh menjual dengan harga RM2 seikat iaitu sebanyak sepuluh kuntum.

Sambil mengakhiri perbualan, peneroka ini sempat berpesan kepada mereka yang tidak sempat menikmati kelazatan cendawan ini supaya menunggu pada tahun akan datang. ‘‘Siapa yang tak sempat makan, kenalah tunggu tahun depan ya,” ujarnya sambil tersenyum.



Utusan online

Projek Limau Bali di beri nafas baru

JITRA 23 April - Kerajaan akan memberi nafas baru kepada projek tanaman limau bali yang pernah popular di sekitar daerah ini suatu ketika dahulu dalam usaha menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian tersohor di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharum berkata, projek tanaman itu yang banyak diusahakan di daerah Kubang Pasu kini kurang memberangsangkan jika dibandingkan ketika ia mula-mula diusahakan lebih 10 tahun lalu.

Oleh itu, katanya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian akan digerakkan bagi membantu para pengusaha projek untuk meningkatkan mutu hasil keluaran limau bali mereka.

"Saya lihat buah limau bali yang dikeluarkan di sini semakin hari semakin mengecil dan jumlah pengeluarannya semakin berkurangan.

"Dalam usaha untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian, saya akan memberi tumpuan khusus bagi memulih dan menghidupkan semula projek tanaman limau bali ini supaya hasil yang dikeluarkan berkualiti dan mampu bersaing di pasaran," katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Johari yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengenalpasti tanah-tanah terbiar bagi mengoptimumkan penggunaannya termasuk mengusahakan tanaman berkenaan.

Pada masa yang sama, menurut beliau, projek jagung manis juga akan diberi tumpuan kerana ia berpotensi untuk dimajukan di daerah ini.

Katanya, beliau juga akan melawat semula rancangan pertanian yang telah dilancarkan sebelum ini di seluruh negeri bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat sebelum merangka tindakan lanjut untuk memajukannya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails