Wednesday, April 29, 2009

TEKNIK PENYEDIAAN SILAJ JAGUNG

Silaj jagung ialah sejenis makanan alternatif yang murah bagi ternakan lembu dan biri-biri. Ia dibuat daripada sisa-sisa tanaman jagung manis seperti batang, daun dan putik jagung.

Pengeluaran dan penggunaan silaj jagung dapat mengurangkan perbelanjaan membeli bahan makanan ternakan seperti Palm Kernel Concentrate dan sangat sesuai dalam perladangan intergrasi seperti menternak lembu cara fidlot dengan menanam jagung manis.

Dari segi kandungan nutrien, silaj mengandungi protin mentah dan 'metabolizable energy' setanding dengan rumput lain (kandungan nutrien bagi sisa tanaman jagung manis dikutip hasil 75 hari selepas ditanam berbanding dengan rumput P. purpureum yang dikutip pada waktu yang sama).

Peralatan untuk membuat silaj jagung

Untuk memungut sisa pokok jagung manis di ladang, ia boleh dilakukan secara manual atau mengguna jentera seperti forage harvester dan treler. Sisa-sisa pokok jagung perlu dihancurkan atau dicincang halus mengguna mesin shredder untuk membungkus sisa tanaman jagung yang telah dihancurkan, alat-alat yang diperlukan ialah seperti berikut:-

1.Beg plastik polletilina hitam berukuran 213 cm x 275 cm (84" x 108"),
tebal 0.18 mm dan muatan 600 kg.
2.Rangka kayu berukuran 113 cm lebar empat segi x 122 cm tinggi.
3.Tali atau tiub basikal untuk mengikat.

Tempat untuk menyusun dan menyimpan beg silaj hendaklah dekat dengan kandang lembu supaya senang diambil untuk diberi makan kepada lembu setiap hari.

Teknik membuat silaj jagung

1.Pokok-pokok jagung dipotong pada umur 75 hari selepas menanam dan dikumpulkan. Pastikan pokok jagung tidak kering di ladang supaya kandungan kelembapan batang jagung dapat dikekalkan. Batang jagung dipotong dan diangkat secara manual dan dihancurkan dengan mesin shredder atau dipotong dan dihancurkan dengan mesin forage haverster, kemudian diangkut dengan treler.

2.Pokok jagung yang telah dihancurkan dimasukkan ke dalam beg plastik yang diletakkan pada rangka kayu mudahalih yang mudah dipasang dan mudah dibuka.

3.Pokok jagung yang telah dihancur ini dipadatkan dengan cara memijak untuk mengurangkan ruang udara di dalam beg.

4.Selepas beg plastik diisi dengan penuh, beg diikatkan dengan tali atau tiub plastik dengan sempurna dan disimpan sekurang-kurangnya 30 hari dalam keadaan tanpa oksigen.

5.Pastikan beg plastik tidak berlubang bagi mengelakkan udara masuk dan ini boleh menyebabkan silaj rosak dan menjadi kompos. Silaj boleh disimpan lama selagi udara tidak masuk. Setiap kali beg pembungkus silaj dibuka, udara yang terdapat dalam perlu dikeluarkan dengan menekan beg sebelum diikat.

Hasil silaj jagung

Satu hektar jagung manis boleh mengeluarkan 15-20 metrik tan silaj semusim pada kelembapan 70%. Jumlah tersebut dapat menampung sebanyak 10 ekor lembu bagi tempoh dua hingga tiga bulan. Berat silaj yang harus dibekalkan kepada seekor lembu setiap hari ialah 10% daripada berat badan. Pemakanan daripada silaj biasa ditambah dengan PKC tetapi kurang daripada biasa, iaitu 3% daripada berat badan.

Kos pengeluaran silaj

Kos pengeluaran silaj dengan menggunakan beg plastik hitam polietilena ialah RM43.00 setan atau 43 sen sekilogram.

Thursday, April 23, 2009

'Rasa macam sotong, ayam goreng'

KUANTAN 23 April - ''Sedap rasanya macam sotong kalau buat sup atau rasa ayam goreng," itulah antara komen yang diberi oleh penggemar kulat tahun yang ditemui di Jalan Kuantan-Gambang dan ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir di sini baru-baru ini.

Seorang remaja, Azlinda Anuar, 23, dari Pekan berkata, dia yang sememangnya menggemari cendawan terutama cendawan goreng tidak menyangka kulat tahun yang juga dari tumbuhan cendawan begitu enak rasanya.

''Semalam kebetulan bapa saya lalu di sini dan ternampak orang menjual kulat tahun dan membelinya untuk makan malam.

''Disebabkan tak puas makan semalam, hari ini saya datang semula untuk membelinya dalam jumlah yang lebih banyak," katanya ketika ditemui di sebuah gerai di Jalan Gambang-Kuantan.

Tambahnya, kulat tahun yang dibelinya telah kembang dan nampak begitu segar berbanding yang bapanya beli sebelum ini kerana pada masa bapanya beli, kulat tahun itu belum kembang sepenuhnya.

''Saya harap rasanya lebih sedap berbanding semalam," ujarnya yang merancang untuk membuat sup pada kulat yang dibelinya.

Seorang peneroka, Ahmad Bahari, 50, pula berkata, setiap tahun sejak zaman kanak-kanak lagi, dia sering menunggu ketibaan bulan Mac untuk menikmati kulat tahun.

''Sejak dulu lagi saya akan lihat kulat tahun ini akan tumbuh di kawasan yang sama di lorong-lorong ladang kelapa sawit.''Bukannya apa, tetapi rasa teruja apabila dapat cabut sendiri kulat ini dan boleh pilih sebanyak mana pun sama ada yang kembang atau yang baru berputik," jelasnya.
Katanya, kulat tahun ini akan bertambah sedap sekiranya ia semakin mekar berkembang berbanding yang baru berputik.''Jika selepas lima hari kita tak kutip, tumbuhan ini akan hancur dengan sendirinya. Oleh yang demikian saya akan mengambil peluang ini dengan mengutip sebanyak mungkin selagi terdaya dan memberi kepada jiran-jiran," ujarnya.

Sementara itu, bagi seorang lagi peneroka, Abdul Jabar Abdul Wahab, 45, dalam keadaan hujan yang tidak menentu pada masa sekarang menyebabkan kulat ini hanya mampu hidup dalam beberapa hari sahaja.

''Dulu, apabila tiba sahaja musimnya kita boleh kutip kulat tahun ini dalam tempoh lebih daripada seminggu.''Bagaimanapun, sekarang hanya mampu bertahan dalam masa lima hari," jelasnya.Tambahnya, keluarganya amat menggemari kulat tahun ini kerana rasanya lebih manis berbanding cendawan biasa.''Anak-anak saya cakap rasanya macam sotong," ujarnya yang akan menyajikan hidangan ini dalam bentuk sup.

Kulat Tahun Hidangan Enak

JUMAT Moi menunjukkan kulat tahun yang dijualnya di tepi Jalan Gambang-Kuantan, Pahang.


KUANTAN 23 April – Hidangan berasaskan cendawan atau kulat sememangnya mempunyai keenakan lain daripada sayuran yang lain. Walaupun terdapat pelbagai variasi tumbuhan daripada kumpulan cendawan sama ada ditanam atau tumbuh meliar, ia tetap mendapat tempat di hati penggemarnya.

Sebut sahaja cendawan tiram atau butang, semuanya mudah didapati di mana-mana pasar, kedai atau pasar raya tetapi berlainan dengan cendawan yang tumbuh secara semula jadi yang dipanggil kulat tahun ini.

Sesetengah pendapat mendakwa kulat tahun lazimnya didapati tumbuh beberapa hari kemudian selepas dentuman petir dan hujan lebat di sesuatu kawasan.

Keunikkan yang membezakan kulat tahun dengan cendawan lain ialah kerana ia tumbuh setahun hanya sekali dan sukar untuk memperolehnya kecuali di ladang-ladang kelapa sawit atau getah dan kawasan berbusut di belukar kampung.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini di ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir 6 melihat sendiri kulat tahun ini tumbuh dengan segar sekali dan benarlah seperti perumpamaan pepatah Melayu; ‘seperti cendawan tumbuh selepas hujan.’

Malah, sepanjang jalan menuju ke kawasan gugusan itu terdapat beberapa peneroka mengambil kesempatan menjual tumbuhan tersebut yang dikutip di ladang mereka. Menurut peniaga, Jumat Moi, 53, dia mengambil kesempatan untuk berniaga cendawan yang lebih popular dengan nama kulat tahun ini kerana ingin memperkenalkannya kepada orang ramai. ‘‘Ramai yang tidak tahu akan kewujudan kulat tahun ini kerana ia tumbuh hanya sekali sahaja setahun iaitu sekitar Mac dan April.

‘‘Malah, kulat tahun tidak ditanam dan tiada di pasaran seperti cendawan tiram dan butang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Jumat yang menjual kulat tahun di Jalan Gambang-Kuantan amat bertuah dan teruja kerana ia sangat laris dan diminati oleh setiap lapisan masyarakat.
‘‘Tak sangka ramai yang sukakan cendawan ini. Pada mulanya saya bimbang kulat tahun ini tidak mendapat sambutan kerana ia tidak menjadi sebutan seperti cendawan lain. ‘‘Rupa-rupanya sangkaan saya salah. Ramai yang ternanti-nantikan kulat tahun ini apabila tibanya bulan Mac,” ujarnya.

Difahamkan kulat tahun ini hanya tumbuh di lorong-lorong menuai di ladang kelapa sawit dan mengambil masa lima hari sahaja.

Tambah peneroka Felda Lepar Hilir 2 ini, kulat tahun akan tumbuh di kawasan yang sama setiap tahun terutama di atas busut dan tanah yang subur di ladang kelapa sawit.

‘‘Selalunya kulat tahun akan tumbuh selepas hujan dan akan bertahan dalam tempoh lima hari sahaja.

‘‘Jika selepas lima hari tumbuhan ini tidak dikutip, ia akan layu dan kelopaknya akan hancur dengan sendirinya,” jelasnya sambil memberitahu kebanyakan pelanggannya datang dari Kuantan dan Pekan.

Katanya, seandainya generasi terdahulu tidak memperkenalkan kulat tahun ini kepada generasi sekarang, maka tumbuhan ini akan terbiar begitu sahaja.

‘‘Generasi sekarang terutama golongan remaja tidak tahu bahawa tumbuhan ini boleh dimakan dan lebih sedap berbanding cendawan biasa.

‘‘Selain berniaga menambah pendapatan, saya berusaha memperkenalkan cendawan ini kepada generasi hari ini supaya satu hari nanti apabila mereka terjumpa tumbuhan ini, mereka tidak akan memandang seperti rumput sahaja,” ujarnya.

‘‘Satu masa nanti, jika cendawan ini masih ada pasti mereka tidak akan mensia-siakannya dan memperkenalkan pula kepada anak-anak dan cucu mereka.

‘‘Selain berkhasiat, kulat tahun yang akan lebih subur jika tumbuh di kawasan yang terkena petir ini rasanya lebih sedap jika dibuat sup,” tambahnya.

Jumat yang mengutip sendiri kulat tahun ini sejak hari pertama ia tumbuh menjual dengan harga RM2 seikat iaitu sebanyak sepuluh kuntum.

Sambil mengakhiri perbualan, peneroka ini sempat berpesan kepada mereka yang tidak sempat menikmati kelazatan cendawan ini supaya menunggu pada tahun akan datang. ‘‘Siapa yang tak sempat makan, kenalah tunggu tahun depan ya,” ujarnya sambil tersenyum.



Utusan online

Projek Limau Bali di beri nafas baru

JITRA 23 April - Kerajaan akan memberi nafas baru kepada projek tanaman limau bali yang pernah popular di sekitar daerah ini suatu ketika dahulu dalam usaha menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian tersohor di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharum berkata, projek tanaman itu yang banyak diusahakan di daerah Kubang Pasu kini kurang memberangsangkan jika dibandingkan ketika ia mula-mula diusahakan lebih 10 tahun lalu.

Oleh itu, katanya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian akan digerakkan bagi membantu para pengusaha projek untuk meningkatkan mutu hasil keluaran limau bali mereka.

"Saya lihat buah limau bali yang dikeluarkan di sini semakin hari semakin mengecil dan jumlah pengeluarannya semakin berkurangan.

"Dalam usaha untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian, saya akan memberi tumpuan khusus bagi memulih dan menghidupkan semula projek tanaman limau bali ini supaya hasil yang dikeluarkan berkualiti dan mampu bersaing di pasaran," katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Johari yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengenalpasti tanah-tanah terbiar bagi mengoptimumkan penggunaannya termasuk mengusahakan tanaman berkenaan.

Pada masa yang sama, menurut beliau, projek jagung manis juga akan diberi tumpuan kerana ia berpotensi untuk dimajukan di daerah ini.

Katanya, beliau juga akan melawat semula rancangan pertanian yang telah dilancarkan sebelum ini di seluruh negeri bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat sebelum merangka tindakan lanjut untuk memajukannya.

Pakar Bidang IT terjun Ke Kolam Ternakan


Ikan keli yang diternak oleh syarikat Dimensi Rebana sentiasa mendapat permintaan.
Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

''Saya sudah bosan," katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu. Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.
Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang. Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain. Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali. Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan. ''Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, '' katanya.
Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.
Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam. Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg). Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan. Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak. Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad. Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.
Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya. Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

''Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,"ujarnya.

Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya. Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

''Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan," ujar Hanafiah.
Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.
Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03- 77833111 ( pejabat jualan di 53, PJS 1/48, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya) atau emel : puntius@streamyx.com atau layari http://dimensirebana.blogspot.com atau http://oxymarmoratus.blogspot.com. Mereka juga boleh datang terus ke pusat pembenihan di Kg. Bukit Kecil, Jalan Sg Pasir-Batu LIntang, Sg Petani Selatan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails