Seorang pengamal undang-undang, Mohammad Hifdzi Hamzah yang mempunyai firma guamannya sendiri telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu. "Saya menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu kerana minat yang mendalam," katanya semasa ditemui di tempat ternakan ikan keli di Batu Caves, Selangor.
Sebagai seorang peguam, beliau sentiasa menjalankan penyelidikan dan kajian bagi meningkatkan lagi bidang pertanian. Justeru beliau menubuhkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan yang dinamakan Perintis Agrotech Centre.
Selama bergiat dalam bidang pertanian, beliau telah menjadi mentor atau pakar rujuk bagi mereka yang berminat dalam pertanian. Walaupun sibuk dengan kerjaya dan pertanian, Mohammad Hifdzi berkata, dalam dunia yang canggih, seseorang memerlukan beberapa kemahiran dan boleh melakukan beberapa kerja dalam satu masa. "Itulah yang saya amalkan selama ini," katanya. Justeru pemerhatian dan kajian yang dilakukan selama tiga tahun ke atas dalam ternakan ikan keli membawa kepada makanan ikan keli yang dinamakan pro asli.
Kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu:
1. Kos makanan palet yang terlalu tinggi dan membebankan
2. Tumbesaran ikan keli yang lambat dan tak sekata
3. Kualiti ikan keli tidak asli
Mohammad Hifdzi menambah, makanan ikan keli atau pro asli lebih dikenali sebagai magic grow dalam kalangan pengguna memandangkan ikan mendapat makanan setiap masa dengan penjimatan kos.
Beliau mendapat idea menghasilkan magic grow bagi mengurangkan kos makanan dan operasi antara 80 hingga 90 peratus. Justeru beliau menggabungkan teknologi dua negara iaitu Jepun dan Thailand.
Teknologi probiotik dari Jepun dapat mempercepatkan tumbesaran dan tempoh tuaian ikan selain mengawal kualiti air.
Manakala kaedah asli diadaptasi dari Thailand bagi menjimatkan kos melalui makanan semula jadi di dalam air seperti mineral, lumut, plankton, alga, dan protein bagi menghasilkan kualiti dan rasa seperti ikan sungai.
"Kit lengkap Pro Asli terdiri daripada tiga produk iaitu permulaan Bio-Mineral, Bio-Vita digunakan seminggu sekali dan Bio-Aqua diletakkan dua minggu sekali," katanya.
Bio-Mineral yang digunakan pada permulaan akan mengaktifkan perkembangan makanan asli untuk ikan seperti zooplankton, fitoplankton, protin dan alga.
Makanan tambahan seperti vitamin diberikan bersama-sama makanan lain seperti roti, lebihan nasi atau hampas kelapa seminggu sekali bagi mempercepatkan tumbesaran dan tuaian. "Ini bagi memastikan tumbesaran sesuai untuk tujuan komersial iaitu 75 hingga 100 hari," katanya.
Bagi mengawal bau, kualiti air dan paling penting menukarkan najis ikan kepada lumut bagi makanan ikan, Bio-Aqua digunakan dua hingga tiga minggu sekali.
Hifdzi berkata, penggunaan magic grow amat sesuai bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan ternakannya.
"Penternak hanya perlu memantau kolam ternakannya seminggu sekali dan pengredan hanya dilakukan pada peringkat awal.
"Ia amat sesuai digunakan bagi semua kolam ternakan seperti kolam tanah, simen, kanvas, gentian kaca, tangki poli dan HDPE," katanya.
Mohammad Hifdzi berkata, produk yang diciptanya bagi memberikan peluang kepada penternak mendapatkan keuntungan maksimum walaupun harga ikan tidak meningkat. Produk ini juga bakal memberikan nafas baru kepada usahawan tani atau penternak yang telah putus asa disebabkan kos makanan terlalu tinggi.
"Saya juga berharap dalam melahirkan lebih ramai pengusaha atau penternak secara kecil-kecilan atau komersial melalui kaedah ternakan mudah dan menjimatkan.
"Produk ini juga dapat menghasilkan ikan super organik kualiti tinggi dan sedap, selain memperkenalkan sistem ternakan yang mudah dan mesra sebagai aktiviti sekeluarga dan sara diri," katanya.
Justeru, Mohammad Hifdzi berkata, pihaknya percaya magic grow merupakan salah satu projek dalam konsep Bumi Hijau yang boleh dijalankan oleh sesiapa saja. Beliau menjelaskan dengan kos yang rendah, semua orang berpeluang menternak ikan keli sebagai aktiviti sekeluarga. Buat masa ini jelas Hifdzi berkata, konsep ini lebih berpusat di Lembah Kelang tetapi beliau bercadang untuk memperkenalkan magic grow ke seluruh negara. "Saya percaya program ini dapat menambah unsur positif kepada penternak selain menambah pendapatan.
"Ini merupakan suatu peluang yang baik lebih-lebih lagi semasa keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya. Hifdzi menambah, pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat Perintis Dagang Sdn. Bhd. untuk memasarkan Pro-Asli atau Kit Pro-Asli.
Pro Asli disasarkan bagi penternak baru manakala Kit Pro Asli pula bagi penternak sedia ada. Ditanya mengenai perbezaan antara makanan organik, keli makan tanah, protein keli dan Pro Asli, Hifdzi berkata, Pro Asli merupakan satu kaedah makanan baru di negara ini tetapi telah lama digunakan di negara jiran, Thailand.
"Di sana mereka memberikan campuran tanah liat, tahi lembu kering, tanah hitam dan baja cacing sebelum ditambah ke dalam air.
"Ini dapat memastikan ikan mendapat makanan dan terus hidup tanpa makanan lain dan tidak mengambil kira jangka masa tuaian komersial 75 hingga 100 hari," katanya.
Bagaimanapun magic grow telah melangkah lebih jauh kerana bukan saja membuat makanan asli tetapi mengambil kira faktor tumbesaran yang menepati standard komersial. Selain itu pengurusan kualiti air dan najis ikan, vitamin untuk tumbesaran dan antibodi, memperbaiki kualiti dan mutu ikan ke arah standard super organik iaitu 100 peratus makanan asli, bersih dan berteknologi tinggi pada harga yang rendah.
Bagi mengiktirafkan produk magic grow, Mohammad Hifdzi senang memohon Sijil Amalan Organik dan mendapatkan status bioteknologi. Selain magic grow, Hifdzi telah menghasilkan empat produk lain:
1. Sistem akuakultur kitar semula (RAS) dan gabungan tujuh unsur alam.
2. Rawatan kolam takungan dan pelupusan sampah menggunakan rawatan 100 peratus organik dan mesra alam.
3. Rawatan sisa makanan menjadi baja organik.
4. Ternakan cacing bioteknologi.