KUCHING, 13 April (Bernama) -- Usahawan Bumiputera di Sarawak digalakkan menceburi industri ternakan ruminan bagi menampung bekalan daging di negeri ini, kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Mohd Naroden Majais. |
Beliau berkata pertambahan populasi dan peningkatan pendapatan penduduk menyebabkan permintaan daging melebihi daripada bekalan. "Prospek indutri ternakan ruminan di negara ini adalah amat cerah memandangkan permintaan daging semasa melebihi daripada bekalan. |
"Pengeluaran daging kambing dan lembu menjadi satu industri yang boleh mendatangkan keuntungan sekiranya peluang ini diceburi dengan serius oleh para usahawan terutamanya kepada usahawan bumiputera," katanya ketika merasmikan Kursus Keusahawanan Penternakan Kambing di Pusat Latihan Sarawak dekat sini Isnin. Teks ucapan Naroden dibaca anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi. |
Untuk mempertingkatkan tahap sara diri terhadap daging kambing dan lembu yang mempunyai nilai tambah, Naroden berkata kerajaan negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) merancang untuk menggalakkan lebih ramai usahawan bumiputera melibatkan diri dalam sektor tersebut. Beliau berkata UPUB akan meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera dalam sektor ternakan berskala besar dan mendapatkan baka yang berkualiti pada harga yang kompetitf. |
Selain itu, beliau berkata UPUB akan meningkatkan sumbangan sektor ternakan bagi mengurangkan import dalam negeri dan mempelbagaikan pengeluaran bahan mentah. Mengenai kursus tiga hari yang bermula pada hari ini akan berakhir pada Khamis ini, Naroden berkata ia memberi pendedahan kepada usahawan di negeri ini untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang ilmu penternakan ruminan dan kaitanya dengan pembangunan produk lain. |
Beliau berkata kursus itu akan membuka satu lagi peluang perniagaan baru berpotensi meningkatkan pendapatan Bumiputera khususnya dan masyarakat Sarawak amnya dapat diwujudkan demi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan negara. "Kursus ini akan membantu usahawan melebarkan pasaran produk khususnya dalam senario ekonomi yang semakin tidak menentu kini," katanya. -- BERNAMA |
Pertanian merupakan satu industri yang amat berpotensi untuk diusahakan. Laman ini mengumpulkan segala maklumat berkaitan agro di Malaysia meliputi bidang pertanian, ternakan dan perikanan. Jadikan Pertanian satu perniagaan yang lumayan. Sebarang pertanyaan dan khidmat nasihat yang berkaitan boleh hubungi saya Hisham 0192272127 (sahabat tani anda)
Sunday, April 19, 2009
Usahawan Bumiputera Sarawak Digalak Ceburi Industri Ternakan Ruminan
FAMA, Gitex Anjur Kempen Celik Herba Hujung Bulan Ini
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bekerjasama dengan Gitex Sdn Bhd untuk menganjurkan kempen "Celik Herba - Belilah Produk Kesihatan Tempatan" pada 30 April hingga 3 Mei ini. Kempen yang dianjurkan sempena Pameran Dagangan Antarabangsa Herba ke-enam (Herbal Asia 2009) itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Persidangan Matrade (MECC) di sini. Satu kenyataan Herbal Asia menyatakan kempen selama empat hari itu merupakan usaha bagi mempergiat program promosi dan pemasaran produk keluaran tempatan khususnya pertanian herba dan produk berasaskan herba. |
Kempen yang menyasarkan Malaysia sebagai hab pengeluar produk pertanian berasaskan herba di rantau Asia Pasifik itu dilihat sebagai satu pendekatan berkesan dalam memberikan pendedahan lebih luas kepada produk herba tempatan dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan dan tentang khasiat seta nilai ubatan herba tempatan, katanya. Sebagai platform penting untuk mempromosi produk berasaskan herba, Herbal Asia menyatakan kempen itu juga dijangka menarik minat ramai penggemar herba dari dalam dan luar negara. Pendedahan besar-besaran semasa kempen dijangka mampu meningkatkan permintaan terhadap produk herba yang sekaligus berupaya melahirkan usahawan baru produk herba di peringkat daerah dan negeri, katanya. Dengan itu import produk kesihatan berasaskan herba dijangka dapat dikurangkan. |
Kempen itu akan melibatkan jelajah ke seluruh negera, yang akan menampilkan pelbagai program, antaranya taklimat peluang perniagaan, pemadanan perniagaan di peringkat usahawan baru, mengenal pasti permasalahan pengusaha di luar bandar, pemilihan produk herba untuk dipasarkan, mengenal pasti program mengikut kelompok dan pewujudan jaringan perniagaan sesama sendiri di peringkat daerah. Kempen itiu, katanya menyasarkan pengusaha pelancongan desa, rumah spa, pusat kesihatan dan rawatan tradisional, pengeluar kosmetik herba, pengeluar dan pengusaha minyak beraroma dan peralatan kesihatan, penanam dan penternak serta penyumber bahan mentah dalam industri perawatan tradisional. Untuk maklumat lanjut, hubungi Gitex Sdn Bhd di talian (03) 6260 3506 atau Hajah Safinah Yaakob di talian (017) 300 7811. -- BERNAMA |
Tanam Tebu Untuk Raih Pendapatan Mewah
Keuntungan peladang akan berlipat ganda menjelang bulan Ramadan apabila permintaan yang meningkat menyebabkan harga sebatang tebu melonjak dari RM1.20 sebatang kepada RM2.50 menjadikan keuntungan boleh mencecah sehingga RM20,000.
Seorang pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkata sebaik-baiknya pemilik ladang mempunyai sekurang-kurangnya 1.6 hektar tanah yang membolehkan sebanyak 8,000 batang tebu ditanam.
Ladang tebu itu akan mengeluarkan hasil selepas lapan bulan.
Selain untuk pasaran tempatan, Fama juga membantu peladang mencari pasaran luar negara kerana tebu kini mempunyai potensi tinggi untuk dieksport ke negara Asia Barat dan juga Singapura.
AIR TEBU DIEKSPORT
Pengarah Fama (Bijirin dan Herba) Abdul Rahman Abdul Rahim memberitahu Bernama bahawa Johor merupakan negeri yang aktif dengan aktiviti penanaman dan pemasaran produk yang berkaitan dengan tebu.
"Di Batu Pahat sahaja kami ada 22.6 hektar dan Muar dengan keluasan 173 hektar ladang tebu. Peladang di sini ada yang inovatif dan berjaya menghasilkan minuman air tebu yang dibotolkan dan dieksport sehingga ke Singapura", katanya.
Jumlah eksport tebu ke Singapura mencecah antara 200 dan 400 ikat sehari malahan pada tahun 2006, eksport tebu mencapai sehingga RM5.4 juta, kemudian meningkat kepada RM5.8 juta pada tahun 2007.
Fama juga telah membina sebuah Pusat Pengumpulan Tebu (PPT) yang berharga RM4.5 juta di Semerah, Batu Pahat untuk pasaran eksport ke Singapura kerana negara itu mempunyai syarat yang ketat berhubung soal kebersihan dan kualiti produk pertanian.
PPT adalah pusat eksport bagi tebu dengan fokusnya adalah kualiti produk pertanian itu. Ia juga bertindak sebagai agen pemangkin pertumbuhan dan pembangunan tanaman itu di negara ini.
Pusat ini yang dilengkapi dua bilik sejuk mempunyai kemudahan penyelidikan untuk meningkatkan lagi kualiti tebu untuk pasaran domestik dan luar negeri.
Pusat itu, yang pertama dibina di Malaysia, merupakan usaha Fama untuk membolehkan tebu Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dengan produk tebu yang berkualiti tinggi, kata Abdul Rahman.
TEBU DIPOTONG DAN DIEKSPORT
Bernama yang mengikuti rombongan Fama ke PPT tersebut mendapati syarikat Purecane Manufacturing Sdn Bhd mengeksport batang-batang tebu yang siap dipotong pendek ke dalam kotak untuk dihantar ke Singapura.
Dalam satu perjanjian dengan Fama, Purecane bersetuju memasarkan tebu dari 79 peladang yang mengerjakan ladang kontrak di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Batang tebu yang telah dipotong pendek dimasukkan ke dalam kotak sebelum dihantar ke Singapura.
Menurut Abdul Rahman, 400 kotak yang mengandungi 5,000 batang tebu di eksport ke Singapura setiap hari. Nilainya adalah RM330,000 sebulan.
Dengan adanya PPT di Semerah, ia membolehkan peladang memproses tebu mereka untuk pasaran eksport secara sistematik dengan dipantau oleh agensi tersebut.
KUALITI DIUTAMAKAN
Menurut Pengarah Pengurusan Purecane Manufacturing Sdn Bhd Loo Woe San, syarikatnya sudah pun menggunakan pusat itu sejak dibuka walaupun mempunyai kilang sendiri.
"Kami bagaimanapun yakin dengan wawasan Fama bahawa untuk mengeksport tebu, produk kita kena bersih dan mendapat pengiktirafan antarabangsa dan Fama memastikan semua ini wujud di pusat ini", katanya.
Selain daripada batang tebu, pengusaha menghasilkan produk tebu seperti minuman air tebu yang dijual dalam botol berharga RM1.10.
Katanya produk ini tidak dijual di tempat lain kerana masalah kesegaran air tebu yang hanya bertahan paling lama seminggu.
Beliau sendiri mengakui syarikatnya tidak mendapat bekalan tebu yang cukup dan terpaksa mendapatkan bekalan dari ladang-ladang tebu di negeri lain.
"Permintaan antarabangsa sangat tinggi. Ini disebabkan tebu Malaysia mempunyai kualiti yang sangat baik dan airnya lebih sedap", katanya.
-- BERNAMA
Baitulmal Perlis Ceburi Tanaman Serai
Projek ini disertai 25 penduduk miskin yang diramal dapat menikmati hasil tuaian pertama Jun ini dan memperolehi pendapatan bersih kira-kira RM7,300 setiap seorang.
"Projek ini diilhamkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, mahu Baitulmal melaksanakan projek ini bagi membantu meningkatkan pendapat golongan miskin yang menyertainya," kata Pengerusi Baitulmal Perlis, Datuk Abu Bakar Ahmad.
Beliau berkata Baitulmal telah membelanjakan sebanyak RM230,000 sebagai modal asas bagi memulakan projek tersebut pada 17 Nov 2008 dengan syarikat ByNet Marketing Sdn Bhd bersedia membeli serai-serai itu melalui kontrak perladangan.
Raja Muda yang melawat projek itu hari ini menasihati para peserta supaya bersungguh-sungguh melaksanakan projek itu bagi meningkatkan pendapatan mereka.
Titah baginda, projek berkenaan adalah sebagai kail yang telah diberikan kepada mereka untuk terus memancing dan mendapat ikan dan berharap ia menjadi projek yang menguntungkan secara berpanjangan.
Ketua projek, Md Nor Dar, 54, yakin tanaman serai wangi tersebut akan meningkatkan pendapatan para peserta.
Pengarah Urusan ByNet Marketing, Ahmad Fauzi Osman berkata, serai paha ayam mendapat permintaan tinggi di negara ini.
Katanya syarikat itu kini membeli serai yang dikeluarkan di negeri ini dan Kedah untuk diproses dijadikan benih, minyak dan serbuk.
-- BERNAMA
15 Hektar Pokok Jarak Ditanam Sebagai Projek R&D
SETIU, 27 Mac (Bernama)-- Lembaga Tembakau Negara (LTN) negeri Terengganu telah mengusahakan tanah seluas 15 hektar bagi projek percubaan tanaman pokok jarak pagar (Jatropha Curcas) bertempat di Taman Industri Tani Terengganu (TITT) di Rhu Tapai, Merang dekat sini.
Pengarah LTN Terengganu/Pahang Mohd Fakri Mohd Noor berkata, projek tersebut dimulakan pada 2006 dan 2007 dengan percubaan di atas tanah seluas lima hektar di bawah program penyelidikan dan pembangunan (R&D) LTN.
"Bagi peringkat pertama LTN cuba menanam sebanyak 3,000 pokok manakala bagi peringkat kedua sebanyak 13,570 pokok antaranya untuk mengetahui kesesuaian tanaman itu di atas tanah bris dengan menggunakan kaedah penanaman bijih benih," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika membuat lawatan bersama beberapa pegawai LTN ke ladang pokok jarak pagar dan jarak api (Jatropha Gossyfilpolia) di TITT Rhu Tapai dekat sini hari ini yang didapati hidup subur dan sesuai untuk memaksimumkan penggunaan tanah bris yang terbiar di kawasan berkenaan.
Mohd Fakri berkata, pada 2008 dan 2009 seluas 10 hektar lagi pokok jarak berskala besar, ditanam menggunakan keratan di mana kajian menunjukkan semaian keratan pada batang lebih ekonomik kerana tidak memerlukan rumah semaian.
Beliau berkata, pada Januari lalu, pihaknya cuba menanam 100 pokok jarak pagar dan jarak api secara bersilang (hibrid asal) untuk menghasilkan satu varieti baru yang mempunyai buah yang lebih besar.
"Penanaman pokok jarak pagar dan jarak api secara bersilang dilakukan untuk menghasilkan saiz buah yang lebih besar bagi meningkatkan kadar perahan minyak sehingga 35 peratus berbanding hanya 33 peratus perahan minyak bagi setiap biji pada masa kini," katanya.
Mohd Fakri berkata, pokok jarak bukan lagi sekadar tumbuhan biasa yang ditanam untuk mencantikkan kawasan, tetapi pokok tumbuhan liar itu menghasilkan penemuan yang mempunyai nilai tinggi sebagai bahan api bio atau biofuel.
Selain menghasilkan biodisesel, katanya, pokok liar yang tumbuh melata itu yang mempunyai ketinggian satu hingga tujuh meter, juga boleh menghasilkan baja organik, bahan membuat sabun, kosmetik dan ubatan-ubatan.
Beliau berkata setelah penanaman percubaan dan segala kajian dibuat menunjukkan hasil yang baik, seramai 93 petani di bawah projek pembangunan rakyat termiskin (PPRT) di sini akan menyertai projek penanamannya secara besar-besaran bagi meningkatkan pendapatan sara hidup mereka.
-- BERNAMA