Friday, July 22, 2011

Bekas lombong jadi ladang pertanian

Abu Bakar Awang berjaya menukar wajah kawasan lombong di pendang, Kedah kepada ladang penternakan.

DARI luar, kawasan tanah berpagar yang nampak subur dengan persekitarannya yang 'hidup' memang akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang memasuki kawasan Kampung Banggol Besi, Pendang, Kedah.

Mana tidaknya, di kelilingi kawasan sawah bendang yang luas mata memandang, di selang-seli dengan rumah kampung, muncul satu kawasan berpagar yang nampak berbeza berbanding persekitarannya.

Tarikan utama tentunya kepada dua buah kolam memancing yang tertera namanya Iron Lake Fishing Centre Agro Farm.

Ladang agro seluas 1.2 hektar itu menjadi lebih istimewa.

Lebih-lebih lagi setelah mengetahui kesungguhan pemiliknya Abu Bakar Awang, 54, mengusahakan tanah yang asalnya terbiar.

Menurut beliau yang lebih selesa dipanggil Pak Abu, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

''Tanah ini dulu tempat lombong bijih besi. Lepas bijih besi habis, terbiar macam tu saja. Jadi saya dapatkan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk usahakan tempat ini. Masih baru, tapi perlahan-lahan saya cuba usahakan hingga menjadi seperti sekarang," cerita Pak Abu.

Di atas tanah bekas lombong itu, selain kolam memancing, Pak Abu mengusahakan ternakan kambing Boer dan Jamnapari. Beliau turut mengusahakan tanaman mempelam madu bersebelahan dengan kolam memancing.

Sebelum memulakan projek ladang agro itu, Pak Abu juga pernah menternak lembu dan mengusahakan tanah bendang.

Bagaimanapun kerana minat ingin mencuba yang tinggi, fokusnya dialihkan kepada projek berkenaan.

Pengalaman berpuluh tahun sebagai petani digunakan sepenuhnya membangunkan kawasan itu.

Mendapat nasihat daripada Jabatan Haiwan, kambing-kambing ternakannya membiak dengan cepat daripada 20 ekor menjadi 200 ekor.

Daripada menjadi pembekal daging kambing, usaha gigihnya dikembangkan kepada membekal susu segar untuk kawasan di sekitar Pendang.

Malah beliau juga sudah mampu menyuntik sendiri ternakannya itu. Selain membuka pintu ladangnya untuk penuntut kolej dan universiti membuat latihan amali di situ.

Namun, ketika usahanya mula berhasil, Pak Abu dilanda musibah. Oktober lepas, dia dikejutkan dengan berita ladang ternakannya diceroboh pencuri sehingga kira-kira 60 ekor kambing peliharaannya dicuri hanya dalam satu malam.

Kesan tayar lori di atas tanah merah menjawab persoalan bagaimana kambing-kambingnya dilarikan.Kecurian hampir separuh daripada kambing-kambing yang sedang membiak itu menyebabkan beliau kerugian hampir RM40,000.

''Masa itu, terduduk juga saya. Hilang sekejap semangat bila tengok kandang yang penuh sebelumnya, nampak kosong. Nak bagi naik balik semangat, saya letak kambing-kambing ni sekali dalam satu kandang, biar nampak penuh. Secara psikologinya, nampak macam banyak, terubatlah sikit kesedihan tu. Alhamdulillah, sekarang dah mula membiak kembali,'' katanya.

Masalah utama Pak Abu ialah sukar mencari pekerja tetap dari kalangan anak muda tempatan untuk bekerja terutama menjaga kawasan tersebut pada malam hari.

Ramai yang lebih tertumpu mencari pekerjaan di kilang-kilang atau pun bandar.

Memikirkan masalah sukar mendapat pekerja, Pak Abu mencari jalan bagaimana mahu menghidupkan kawasan yang terpencil itu.

Akhirnya, lahirlah idea mengusahakan kolam pancing 24 jam yang semakin dikunjungi pelbagai pihak baik individu mahupun syarikat korporat.

Bagaimanapun, menurutnya, walaupun ladang itu tidak sebesar mana, beliau masih cuba membuka ruang rezeki kepada anak muda di kampungnya.

Mereka diambil membantu beliau secara sambilan terutama jika ladang tersebut menganjurkan pertandingan memancing.

Tanaman mempelamnya daripada 200 batang pokok mempelam madu juga sudah mula membuahkan hasil.

Menariknya, baja yang digunakan adalah daripada najis kambing. Bimbingan yang diperoleh banyak membantu beliau menggunakan sumber yang ada semaksimumnya.

Sikap berani mencubanya memang boleh dicontohi. Selain mempelam, Pak Abu pernah menanam pokok naga, sayangnya pokok tersebut mati akibat tidak sesuai dengan baja dari sawah yang diusahakan di sekitar ladang berkenaan.

Tidak menyalahkan sesiapa kerana berpendapat, sawah bendang tersebut sudah lama diusahakan berbanding tanaman pokok naga.

Racun yang digunakan untuk sawah padi itu meresap ke dalam tanah dan tidak sesuai dengan tanaman yang baru diusahakannya.

Dia tidak berputus asa dan kini berusaha memikirkan tanaman lain yang bersesuaian ditanam di kawasan itu.

Mengenai perancangan masa depan, Pak Abu bercadang membina inap desa atau homestay di atas tanah itu. Tujuannya supaya pengunjung yang jauh dapat bermalam.

"Kalau difikirkan, memanglah banyak yang boleh dibuat. Tapi perlahan-lahanlah. Modal pun kena ada juga.Umur pun dah tua, nak buat pinjaman mungkin sukar. Buat masa ini tumpu kepada kolam pancing dululah," kata Pak Abu.

Kebetulan pada hari kunjungan itu, Pak Abu sedang membuat persiapan terakhir untuk satu pertandingan memancing.

Khabarnya pertandingan itu mendapat sambutan bukan sahaja dari penduduk sekitar malahan dari luar daerah Pendang.

Melihat kepada kegigihan dan usahanya, pemilik ladang agro ini ternyata berani menghadapi risiko. Keyakinan dan keberaniannya menyahut seruan kerajaan agar memajukan bidang pertanian dan berbudi kepada tanah bukanlah sia-sia.

Bagi Pak Abu, ladangnya tidaklah setanding ladang agro besar yang lain. Namun beliau tetap berbangga dengan usaha gigih dan kerja kuatnya itu walaupun diuji berkali-kali.

Pihaknya sentiasa menyambut baik mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengannya atau kepada kaki pancing yang mahu melakukan aktiviti di pusat memancing miliknya itu.

Bagi yang berminat, Pak Abu boleh dihubungi di talian 013-2968627 atau datang sahaja ke Iron Lake Fishing Centre Agro Farm, Kampung Banggol Besi.
Sumber:utusan malaysia 

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails