Thursday, November 24, 2011

Usahawan muda ternak ikan keli

PROSES suntikan penggalak akan memudahkan ikan keli betina menjalani proses bertelur.


KETIKA mula-mula bapanya menyerahkan urusan penternakan kolam ikan keli kepada Mohd. Aminudin Mohd. Zaibani, dia baru berusia 19 tahun.Kepercayaan itu diberikan selepas dia selesai menamatkan pengajian di Institut Skill Tech Mara, Melaka dalam kursus Sijil Kemahiran Perikanan.

Bermula waktu itu, kolam yang telah diusahakan sejak tahun 1991 perlu dikendalikannya secara bersendirian.
''Cabarannya cukup besar kerana bukan mudah untuk menguruskan operasi kolam ternakan di kawasan yang besar ini.

''Tambahan pula, saya langsung tidak mempunyai pengalaman selain hanya ada sedikit ilmu yang diperolehi ketika belajar dahulu,'' katanya ketika ditemui di kolam ternakannya di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.

Bercerita mengenai tempoh masa lima bulan pertama selepas mengambil alih kolam berkenaan, dia berhadapan dengan masalah yang cukup besar.

Waktu itu, operasi ternakannya terbantut disebabkan kehabisan makanan ikan dan ubat-ubatan selain keadaan kewangan yang tidak stabil untuk tujuan pusingan modal.Semuanya gara-gara dia gagal menguruskan perjalanan aktiviti jualan, penternakan dan pembenihan ikan secara konsisten.

''Selepas kejatuhan itu, saya mula berfikir untuk bekerja lebih keras dan memberi fokus terhadap aktiviti penternakan kerana tidak mahu perniagaan yang ayah usahakan selama ini terkubur begitu sahaja.

''Jadi, saya bertekad untuk bangun semula. Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membeli benih ikan daripada pengusaha lain, menternak dan kemudian menjualnya kembali.
''Dalam masa enam bulan, saya berjaya mengumpul modal untuk membina perusahaan ternakan baru,'' jelas anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik itu.

Dia yang ketika ini berusia 21 tahun kemudian mengatur pelbagai strategi penternakannya yang didaftarkan di bawah penjenamaan High Tech Aquaculture.Antara usaha tersebut adalah mencari lebih ramai pelanggan berpotensi selain menimba pengalaman serta ilmu daripada penternak berjaya.

Operasi penternakan dan pembenihan miliknya semakin stabil menjelang Jun 2010. Melihat daripada segi aktiviti pemasaran, Mohd. Aminudin mengambil pendekatan menjual anak benih dan ikan matang pada harga yang rendah.

''Tujuannya untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan penternak. Saya juga akan membantu penternak-penternak ini mencari pemborong bagi membeli hasil ikan mereka. ''Apabila anak benih dijual pada harga rendah di samping mempunyai pasaran tetap, saya yakin para penternak pasti akan lebih seronok dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti penternakan ini.''Secara tidak langsung, saya juga akan dapat mengekalkan lebih 80 peratus pelanggan tetap,'' katanya yang mengusahakan operasi penternakan serta pembenihan ikan keli, puyu, sepat dan tilapia.

Di samping itu, Mohd. Aminudin turut membekalkan spesies ikan lain seperti patin, baung dan jelawat mengikut permintaan.Setakat ini, dia mempunyai 17 buah kolam simen, 14 kolam separuh simen dan enam kolam tanah yang dibina di kawasan seluas satu ekar dengan pengurusan operasi kolam dibantu oleh tiga orang kakitangan.

Pada masa depan, dia bercadang untuk menukar sistem kolamnya kepada yang lebih moden menggunakan permukaan marmar.Sistem tersebut mempunyai kelebihan boleh mengurangkan bau selain ikan dapat membiak dengan lebih selesa, tidak mudah luka dan berkualiti.

Sumber:utusan malaysia

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails