Monday, August 2, 2010

Terbaik dari Malaysia


Badruddin Amiruldin (tengah) tertarik dengan produk minuman jus rosel selepas merasmikan Siri Jelajah Kempen Pembangunan Jenama 1Malaysia Best di Kuala Lumpur baru-baru ini.


INDUSTRI asas tani dan sektor pengeluaran agro makanan kini semakin mendapat penyertaan meluas dari kalangan masyarakat.

Melihat potensinya yang mampu memberi pulangan lumayan, ramai usahawan dan pengusaha perniagaan telah mula mencuba nasib dalam bidang tersebut.

Tambahan pula, bumi Malaysia yang mempunyai kelebihan dikurniakan pelbagai produk tani bermutu tinggi membuka lebih banyak peluang untuk mereka melaksanakannya dalam skala lebih besar.

Perkembangan positif itu sebenarnya bukan sahaja dapat memajukan bidang pertanian, tetapi juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Justeru, bagi menggalakkan usaha tersebut, kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sentiasa komited menyokong sektor berkenaan melalui penyediaan khidmat nasihat dan penggalakan.

Selain bantuan teknikal, kajian dan penyelidikan (R&D) serta kewangan, fokus turut diberikan kepada mekanisme aktiviti pemasaran dan promosi.

Ini kerana, ketika ini terlalu banyak produk asas tani dan agro makanan yang dihasilkan tidak mendapat ruang pasaran meluas dan stabil.

Antara puncanya adalah, produk-produk ini dikeluarkan dalam pelbagai jenama yang menyukarkan proses pemasaran.

Mencari penyelesaian permasalahan itu, MOA baru-baru ini telah melancarkan jenama pengiktirafan produk asas tani negara yang dikenali sebagai 1Malaysia Best.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan identiti perakuan jenama bagi produk-produk pertanian selain meningkatkan profil dan aktiviti jualannya menerusi pelaksanaan serta pemantauan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurut menterinya, Datuk Seri Noh Omar, penjenamaan tersebut merupakan lambang penyatuan produk-produk asas tani yang membawa imej kualiti terbaik.

''Ia bakal menjadi jenama unggul yang berperanan sebagai ikon identiti Malaysia di pasaran global dengan jaminan penghasilan produk-produk yang halal, berkualiti dan selamat.

''Selama ini terlalu banyak jenama yang digunakan oleh pengusaha-pengusaha kita. Jadi, menerusi 1Malaysia Best, ia diharap dapat memudahkan operasi pemasaran.

''1Malaysia Best merupakan satu pengiktirafan kepada produk-produk tempatan di mana para pengusaha masih boleh menggunakan jenama asal mereka,'' katanya ketika merasmikan jenama 1Malaysia Best di Subang Jaya baru-baru ini.

Idea penjenamaan tersebut sebenarnya diambil daripada pelaksanaan gagasan 1Malaysia yang mementingkan budaya cemerlang dalam pencapaian dan kemajuan.

Menerusi medium itu, ia akan memberi gambaran kepada umum bahawa produk dengan jenama 1Malaysia Best adalah yang terbaik dan memenuhi piawaian antarabangsa terutama dalam sistem perdagangan berteraskan eksport.

''Dengan adanya keyakinan ini, ia akan memantapkan lagi produktiviti pembangunan kluster sub agro makanan sekali gus melengkapkan rantaian bekalan, mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan penglibatan sektor awam.

''Justeru, kementerian berserta agensi dan jabatan di bawahnya akan sentiasa berusaha membangunkan sektor ini dari segi peningkatan keupayaan dan pengetahuan usahawan tani,'' jelasnya.

Sumber:Utusan Malaysia

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails