Friday, March 19, 2010

ladang pertanian moden diwujudkan

KEPALA BATAS - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek pembinaan dua ladang satelit pertanian berteknologi tinggi di negeri ini.

MoU itu melibatkan NCIA, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Malaysian Agrifood Corporation (Mafc) bagi menjayakan projek pertanian tersebut yang akan dilaksanakan di Kampung Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang hadir menyaksikan majlis itu berkata, program pembangunan pertanian itu melibatkan peruntukan sebanyak RM23.8 juta dan akan dilaksanakan di atas tanah seluas 110 hektar milik Perda.

Program itu, katanya, membabitkan dua fasa dan mempunyai empat komponen utama termasuk pembinaan ladang satelit berkeluasan 20 hektar bagi penanaman rock melon di dalam 20 rumah hijau tertutup yang dilengkapi sistem fertigasi automatik.

"Ia juga melibatkan ladang satelit bagi penanaman betik dan nenas secara terbuka dengan keluasan 80 hektar selain pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU berkenaan antara NCIA yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq dengan wakil Perda, Datuk Azmi Lateh dan Pengarah Eksekutif MAFC, Mohd. Pahmi Mokhtar di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim.

Nor Mohamed berkata, melalui fasa pertama program tersebut, 40 peserta akan dipilih bagi menyertai pembangunan konsep ladang kontrak.

"Program ini dijangka dapat menggalakkan penglibatan petani dalam penghasilan produk pertanian bermutu tinggi selain mendorong penyertaan swasta dalam rantaian pengeluaran hasil pertanian.

"Selain dapat mengurangkan import hasil pertanian, program ini juga akan meningkatkan kadar pendapatan petani dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," tambahnya.

Menurut beliau, NCIA akan terlibat dalam pemilihan peserta latihan usahawan tani manakala Perda bertanggungjawab menyediakan kawasan yang sesuai selain memenuhi keperluan sumber tenaga kerja.

Peranan MAFC pula, jelasnya, tertumpu kepada pelaksanaan program pengurusan ladang selain memastikan jaminan jual beli ke atas hasil pertanian yang akan dikeluarkan kelak.

Sumber:Utusan Malaysia

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails