PASIR PUTEH 21 Jan. - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan mensasarkan 2,000 hektar tanah beris di jajahan ini dan Bachok ditanam keledek Vitato sebagai tanaman gantian tembakau.
Timbalan Pengarah LPP negeri, Sawalludin Ahmad berkata, penyelidikan MARDI mendapati tanaman itu mampu mengeluarkan hasil sebanyak RM24,000 bagi setiap hektar untuk semusim penanaman dalam tempoh hanya tiga bulan.
Katanya, pendedahan mengenai potensi tanaman, teknologi penanaman dan baka pokok berubi itu perlu disebarkan secara menyeluruh kepada petani agar mereka mengusahakannya secara komersial.
''Jajahan ini dan Bachok pastinya akan menjadi jelapang dan pusat pengeluaran keledek berkualiti dengan kapasiti pengeluaran hasil yang tinggi sekiranya kerja penanaman dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran penanaman keledek Vitato di Kampung Kuala Semerak dekat sini kelmarin.
Sawalludin berkata, LPP sedia membantu petani mengkomersialkan hasil tanaman itu dan setakat ini Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia membelinya dengan kadar 60 sen bagi setiap sekilogram.
Menurutnya, skim intensif pengeluaran turut diperkenalkan iaitu ganjaran RM81 untuk setiap tan keledek Vitato bagi menggalak penyertaan lebih ramai petani menanam tanaman jangka pendek yang boleh diusahakan dua kali setahun.
"Bagi mencapai sasaran dan matlamat berkenaan LPP Kelantan kini memusatkan perhatian terhadap kawasan seluas 47 hektar dengan melibatkan penyertaan 68 petani yang mengusahakan tanaman itu secara sepenuh masa," katanya.
No comments:
Post a Comment