Thursday, September 3, 2009

Sasaran RM500j taman halal

PETALING JAYA 3 Sept. – Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) menjangka dapat menarik pelaburan asing langsung berjumlah RM500 juta melalui Taman Halal yang diadakan di seluruh negara pada tahun depan.

Naib Presiden Pembangunan Industrinya, Nicholas Shariff Collins berkata, HDC sedang berbincang dengan pihak asing terutama syarikat multinasional yang berminat melabur di Taman Halal tersebut.

‘‘Pada tahun ini, lima Taman Halal yang beroperasi berjaya menarik pelaburan melebihi sasaran RM100 juta dan untuk mencapai RM500 juta adalah tidak mustahil.

‘‘Dengan pembukaan dua lagi Taman Halal di Pengkalan Chepa, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah sasaran tersebut akan dapat dicapai,’’ katanya selepas taklimat media mengenai garis panduan pembangunan Taman Halal HDC disini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pembangunan Taman Halal, Dr. Nor Azman Ngah.

Lima Taman Halal yang beroperasi setakat ini adalah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pusat Halal Selangor di Pulau Indah, Selangor, Taman Halal Pedas, Negeri Sembilan, Taman Makanan Halal Serkam, Melaka dan Pusat Halal Tanjung Manis, Sarawak.

Setakat ini, dua syarikat utama F&N dan Concept Amenities dari Australia akan memulakan operasi di Taman Halal yang terletak di Selangor pada tahun hadapan.

‘‘HDC akan terus menggiatkan aktiviti pemasaran dan promosi untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan luar datang dan beroperasi di Taman Halal negara ini.

‘‘Selain itu, melalui Taman Halal ini HDC akan melatih perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menyediakan zon istimewa kepada PKS serta pelbagai insentif kepada mereka,’’ jelasnya.

Sementara itu, pengendali Taman Halal digalakkan mendapatkan status halal Malaysia (HALMAS) bagi membolehkan mereka menerima insentif yang disediakan HDC seperti pengecualian cukai dan sebagainya.

Collins berkata, status HALMAS itu akan diberikan kepada pengendali Taman Halal yang mengikut garis panduan yang ditetapkan HDC.

Potensi pasaran produk halal semakin meningkat dengan kebanyakan mereka memerlukan produk dengan piawaian kualiti tinggi, bersih dan selamat sejajar dengan pensijilan halal.

Pasaran halal global bernilai AS$1.3 trilion (RM4.57 trilion) dan dijangka mengalami pertumbuhan digit berganda setiap lima tahun.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails