Tuesday, September 8, 2009

Fama Johor Beli 100 Metrik Tan Pulasan Menerusi Kontrak Ladang

JOHOR BAHARU, (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor membeli 100 metrik tan buah pulasan daripada 52 pekebun di Pekan Nenas, dekat Pontian, sebagai usaha meningkatkan bekalan buah tempatan itu di pasaran.


Pengarah Fama Johor Faridulatrash Md Mokri berkata pembelian itu dibuat menerusi program kontrak ladang yang bermatlamat meningkatkan pendapatan pekebun selain meningkatkan jumlah peserta kontrak ladang yang kini mencecah 6,000 orang di negeri ini.

"Perjanjian bersama 52 pekebun pulasan jenis "Hock 69" ini dilakukan pada 30 Jun lepas dengan Fama mensasarkan pulangan sebanyak RM250,000 melalui belian ini," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Beliau berkata terdapat 30 hektar tanaman pokok pulasan di empat kampung iaitu Kampung Bakar Arang, Kampung Air Putih, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sawah.

Faridulatrash berkata pulasan mendapat permintaan menggalakkan di pasaran tempatan selain turut dieksport ke Singapura.

Selain Pekan Nenas, pulasan turut ditanam di kawasan seluas 10 hektar di Simpang Renggam dan Layang-Layang dekat Kluang serta 50 hektar di Muar, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails