Saturday, July 18, 2009

Merchang sesuai jadi hab pengeluaran madu lebah


SERI PADUKA melihat sarang lebah tualang sambil diberi penerangan oleh Prof. Dr. Makhdzir di Hutan Simpan Merchang, Marang.

Hutan geram sumber makanan serangga wajar dipelihara

MARANG: Hutan Simpan Merchang, di sini yang subur dengan pokok gelam yang menjadi sumber makanan lebah tualang, sesuai dijadikan hab pengeluaran madu lebah berkualiti tinggi di Pantai Timur untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Datuk Prof Dr Makhdzir Mardan, berkata hutan gelam yang dikurniakan Allah kepada Terengganu mesti dipelihara dengan baik kerana ia menjadi sumber rezeki kepada penduduk untuk mencari lebah tualang yang hidup dengan memakan debunga tumbuhan itu.


Katanya, jika kawasan hutan seluas 800 hektar itu diwartakan sebagai lokasi pengeluaran madu lebah tualang, ia akan memanfaatkan penduduk setempat terutama lebih 120 ahli Koperasi Pemungut Madu Lebah Terengganu Sdn Bhd (Kopemat) yang menjadi peserta program memungut madu lebah itu.

"Sebatang pokok tualang kebiasaannya boleh menempatkan antara 20 hingga 40 sarang lebah dan hasil pungutan madu lebah dalam tempoh sejam boleh menghasilkan pendapatan sehingga RM7,000. Sebab itu kita berhasrat untuk mewartakan kawasan ini supaya pokok gelam di sini tidak dimusnahkan.

"Kopemat yang ditubuhkan YDSM bertanggungjawab untuk memungut hasil madu lebah daripada peserta dan YDSM dengan peruntukan dana sejumlah RM224,000 akan menguruskan aspek pemprosesan, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran dalam dan luar negara.

"Ketika ini kita sedang dalam proses untuk menyelesaikan rekaan dan pembuatan botol madu lebah yang diimport dari China kerana kosnya lebih murah. Dengan pakej menarik, kita yakin produk madu lebah tualang dari kawasan ini yang akan menjengah pasaran selewat-lewatnya akhir tahun ini akan mendapat sambutan," katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi dan memberi taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli melawat lokasi pengeluaran madu lebah tualang di Hutan Simpang Merchang di Kampung Gong Beris, Seberang Marang di sini, kelmarin.

Turut mengiringi Seri Paduka ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat dan Pengerusi Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad.

Mengulas lanjut, Makhdzir yang juga bertugas di Jabatan Teknologi Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, proses pembungkusan dan pelabelan akan dilakukan di kilang memproses madu lebah di Kedah.

Beliau berkata, madu lebah tualang adalah antara yang terbaik di dunia setanding madu lebah manuka dari New Zealand yang berkualiti tinggi dan kaya khasiat semula jadi dan baik untuk kesihatan.

Sumber:Berita Harian

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails