|
|
PERTANIAN antara salah satu pekerjaan yang telah lama dilakukan di seluruh dunia bagi mendapatkan bekalan makanan.
Jika dahulu, pertanian dijalankan secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri tetapi kini pertanian dijadikan satu bisnes atau perniagaan.
Justeru, bagi memperoleh hasil yang tinggi sebagai ladang komersial pelbagai bahan kimia seperti baja dan racun serangga digunakan.
Jika dibanding dengan ladang konvensional yang hasilnya untuk makan sendiri, semua baja yang digunakan adalah terhad manakala racun serangga mungkin tidak digunakan langsung.
Penggunaan racun dan baja kimia yang berleluasa mula menimbulkan kesan sampingan selepas 40 hingga 50 tahun terutama kesannya terhadap alam sekitar .
Kajian juga mendapati sisa racun dan bahan kimia dapat dikesan dalam makanan yang diambil setiap hari.
Di samping itu, penggunaan racun berleluasa menyebabkan populasi serangga perosak bertambah tinggi kerana rintang atau imun terhadap racun yang diberikan selain memusnahkan serangga yang baik dan biasanya berguna sebagai agen polinasi (pendebungaan).
Berbanding dengan dulu, kini penyakit pokok semakin bertambah setiap hari dengan input pertanian yang perlu ditambah.
Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Abd Jamil Zakaria berkata bagi menyaingi masalah berkenaan, petani perlu beralih ke arah pertanian lestari.
Pertanian lestari merupakan satu konsep pertanian mapan yang tidak mencemarkan alam sekitar.
Produk pertanian lestari adalah selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menstabilkan pendapatan petani.
Peralihan daripada pertanian konvensional kepada pertanian lestari mempunyai banyak kelebihan.
Selain menyumbangkan kepada pencemaran, pertanian konvensional juga membebaskan gas rumah hijau - karbon dioksida, metana dan nitros oksida yang menyebabkan pemanasan global.
Penggunaan baja nitrogen secara berterusan menghasilkan nitros oksida sebagai hasil sampingan.
Walaupun sektor pertanian di negara ini hanya menyumbang 10 hingga 15 peratus gas rumah hijau berbanding sektor perindustrian tetapi jika diuruskan dengan baik akan dapat memperlahankan proses pemanasan global.
Dalam semua keadaan terdapat unsur karbon yang menghasilkan gas rumah hijau.
Oleh itu bagi karbon perlu diselamatkan daripada bebas ke udara dan jika karbon berada di dalam bumi, suhu dijangka akan stabil.
Persidangan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai persidangan mengenai pemanasan global serta kesan-kesannya dalam jaminan makanan, sosial dan ekonomi.
Satu cara bagi mengatasi masalah pembebasan gas rumah hijau dan pemanasan global adalah pertanian lestari.
Pertanian lestari banyak bergantung kepada bahan semulajadi menggunakan flora dan fauna yang terdapat dalam tanah.
Misalnya bagi mendapatkan unsur nitrogen dalam baja, gunakan mikrob yang mampu mengambil nitrogen dari udara untuk dipindahkan ke pokok.
Biasanya dalam pertanian lestari, tanah akan subur apabila terdapat banyak karbon di dalamnya.
Pertanian lestari menggunakan bahan kimia yang minimum dan tidak merosakkan alam sekitar.
Contoh pertanian lestari adalah pertanian organik dan pertanian semulajadi.
Kedua-dua pertanian ini menggunakan sumber semula jadi seperti baja organik, arang daripada kayu bagi menambahkan unsur karbon dalam tanah daripada satu kepada empat peratus.
Apa yang tidak ramai ketahui, hujung rerambut akar mengeluarkan karbon bagi menggalakkan pertumbuhan mikrob.
Manakala pokok yang sihat akan mengeluarkan cairan dari hujung akar bagi menggalakkan pertumbuhan mikrob.
"Jika racun atau baja kimia digunakan ia akan mengganggu kitaran flora dan fauna," katanya.
Dalam pertanian lestari, nutrien dalam pokok akan berada dalam keseimbangan dan mengurangkan serangan serangga.
Terdapat teori yang mengatakan serangga kurang menyerang pokok yang mempunyai keseimbangan semula jadi.
Bila menggunakan banyak racun perosak, mikrob pada pokok akan mati dan memudahkan serangan serangga dan penyakit.
Kini permintaan terhadap makanan organik dan semulajadi bertambah tinggi dengan kesedaran terdapat pelbagai penyakit seperti kanser.
Justeru pihak MARDI mengadakan Seminar Kebangsaan Kali ke 2 Agro-Alam Sekitar 2009 yang bertajuk Agro-Alam Sekitar: Penyesuaian pada perubahan cuaca tidak menentu menerusi pertanian lestari
Seminar yang akan diadakan pada 24 hingga 26 Mac ini di Johor dengan tajaan bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (Jabatan Kajicuaca) dan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Seminar ini akan membincangkan mengenai kesedaran awam mengenai kepentingan agro-alam sekitar bagi mengekalkan produktiviti pertanian.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengikuti seminar berkenaan boleh menghubungi sekretariat di 019-3443877, 03-89437390 atau e-mel: agroenv@mardi.gov.my.
Petikan utusan online...
No comments:
Post a Comment