Tuesday, September 23, 2014

Teras pemodenan sektor pertanian

Kursus kemahiran yang ditawarkan banyak memberi pendedahan kepada aspek praktikal.

Industri pertanian sepatutnya sudah lama menerima pembaharuan bagi memastikan ia dapat berkembang sejajar dengan keperluan bekalan makanan negara.
Bagaimanapun industri tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk persepsi masyarakat bahawa pertanian tidak menjanjikan masa depan yang cerah, lekeh dan tidak berdaya maju.
Isu utama yang membelenggu ialah sukarnya teknologi diguna pakai dalam sektor pertanian kerana kebanyakan petani, penternak dan nelayan rata-ratanya berusia dalam lingkungan 55 tahun.
Sebab itu, jika mahukan sektor pertanian yang berdaya saing maka usaha menggerakkan sektor pertanian sewajarnya bermula daripada golongan muda.
Tanggapan bahawa pertanian adalah industri yang kian suram juga perlu dikikis.
Sebab itu apabila kerajaan membuat keputusan mewujudkan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) pada 2002 telah membuka sinar baharu dalam menggalakkan generasi muda terlibat dalam sektor pertanian.
NATC kini diiktiraf sebagai pusat latihan kemahiran terunggul bagi sektor pertanian menerusi tauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
Pengarah NATC, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, sejak menerajui majlis tersebut, beliau melakukan transformasi menerusi program penstrukturan semula institut latihan pertanian dengan memperkemas, menggabung dan mengecilkannya supaya lebih tersusun daripada segi pengisian dan matlamat
“Saya mahu memperkasa NATC sebagai peneraju latihan kemahiran pertanian kebangsaan sebagai mana yang terkandung dalam memorandum Kabinet pada 24 Julai 2002.
“Selain itu, saya mahu memperkukuhkan struktur organisasi NATC dan bercadang mewujudkan Akta Majlis Latihan Pertanian,’’ katanya.
Ini kerana katanya, meskipun NATC dilantik sebagai badan peneraju industri (ILB) oleh JPK tetapi terdapat kekangan kerana majlis terbabit tidak diberi kuasa mutlak mengawal selia keseluruhan latihan pertanian.
Iltizam Wan Ahmad Uzir itu ternyata tepat pada masanya memandangkan beberapa angka terbaharu berkaitan industri pertanian, selaras dan senada dengan apa beliau hasratkan.
Sebagai contoh, daripada tiga subsektor pertanian iaitu tanaman, ternakan dan perikanan, dua daripadanya, menunjukkan peningkatan permintaan untuk memasuki institut latihan di bawah NATC.
“Malah kita dapati peningkatan permintaan secara mendadak hingga 30 peratus khusus alam latihan veterinar dan akuakultur," katanya .
Berdasarkan keperluan tenaga kerja sektor agromakanan 2012-2020, keperluan tenaga mahir dalam sektor pertanian amat mendesak ekoran daripada kurangnya golongan tersebut dalam sektor ketika ini.
Malaysia telah menyasarkan 35 peratus pekerja mahir pada 2015 dan 50 peratus menjelang 2020 supaya setanding dengan negara maju.
Dalam bidang pertanian pula, di bawah model hala tuju agromakanan sepanjang tempoh tersebut, 11 strategi telah dirancang dengan empat teras utama iaitu pemerkasaan sistem latihan, peluasan akses dan kerjasama, pembangunan usahawan dan keempat pembangunan kreativiti, inovasi dan pengkomersialan.
Sepanjang tempoh tersebut juga, keluaran tenaga mahir dan profesional sektor pertanian diunjurkan kepada 879 , 649 menerusi dua kategori kursus jangka panjang dan jangka pendek.
Di bawah kursus jangka panjang, ia termasuk latihan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk NATC, kolej swasta, Kementerian Pendidikan, serta diploma dan ijazah daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA).
Bagaimanapun tindakan mentransformasi seperti yang dinyatakan Wan Ahmad Uzir amat tepat pada memandangkan keperluan tenaga kerja sektor agromakanan ketika ini amat tinggi.
Apatah lagi jumlah keseluruhan pekerja yang ada bagi ketiga-tiga subsektor tanaman, ternakan dan perikanan hanyalah 669,200 orang berbanding keperluan menjelang 2002 mencecah 840,000 orang.
Menurut beliau di 12 pusat bertauliah NATC, terdapat 11, 428 pelajar sehingga awal tahun ini dengan kemasukan dua kali setahun iaitu Januari dan Julai. Pada tahun ini sahaja pihaknya menerima 3, 304 pelajar baharu.
Bagi Wan Ahmad Uzir, antara yang wajar mendapat perhatian ialah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dimanfaatkan dalam bidang pertanian.
Oleh kerana belia masa kini mesra ICT maka kata beliau, adalah amat wajar untuk menarik golongan tersebut menggunakan kecanggihan teknologi sedia ada.
Menguraikan lebih lanjut beliau berkata, kurikulum latihan yang ditawarkan oleh NATC mendapat kerjasama industri kerana mereka turut dijemput menyumbang idea dan cadangan mengenai pengisian latihan terbabit.
Kurikulum tersebut ditentukan oleh Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) , berdasarkan pengiktirafan Agensi Penarafan Malaysia (MQA) manakala kursus peningkatan kemahiran (upskilling) adalah berdasarkan keperluan semasa.
Katanya, diploma dan sijil kemahiran yang diberikan kepada peserta dikeluarkan oleh JPK manakala sijil pertanian dan veterinar diiktiraf MQA.
Tenaga pengajar pula turut mendapat pengiktirafan JPK dan jabatran serta agensi di bawah kementerian.
“Sebab itu kita dapati pelajar kita yang kadangkala masih di Tahap 1 atau Tahap 2 telah ditempah oleh industri kerana mereka tahu kelayakan pelajar dan turut sama merumuskan kurikulum NATC,’’ ujarnya.
Graduan juga bertuah kerana mendapat latihan praktikal yang lebih sehingga 80 peratus berbanding teori 20 peratus dan ini menjanjikan mereka lebih mahir dalam kerjaya masing-masing.

Sumber artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140922/ag_01/Teras-pemodenan-sektor-pertanian#ixzz3E7rsJrgt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, August 30, 2014

Promosi harga mampu milik Mesin Chopper Rumput Napier /Jagung






Spesifikasi Mesin Chopper

  • Terdapat dalam beberapa jenis motor seperti elektrik, petrol dan diesel
  • Menggunakan 2 atau 4 mata pisau (boleh pilih)
  • Terdapat penutup mata pisau sebagai langkah keselamatan.
  • Harga yang mampu milik.
  • Mata boleh ditukar ganti
  • Alat ganti yang mudah diperolehi

ENJIN PETROL HONDA 5.5 HP RM 2300.00  ( harga biasa rm2500)
ENJIN ELEKTRIK 1.0 HP RM 2000.00             (harga biasa rm2200)
RANGKA SHJ RM 1800.00
*Harga Termasuk Kos Penghantaran di Melaka, N.Sembilan, Selangor, Perak, Pahang shj
 
Promosi sehingga 22 oktober 2014

Hubungi : Hisham 019-2272127

Tuesday, April 15, 2014

Khasiat ikan haruan




IKAN haruan secara umumnya diketahui akan fungsi dan keberkesanannya dalam mengubati luka-luka dalaman terutama kepada wanita selepas bersalin. Sejak turun temurun lagi amalan perubatan menggunakan ikan haruan telah digunakan untuk membantu menyembuhkan luka selain meredakan penyakit berkaitan kulit seperti radang, gatal-gatal dam sebagainya.
Popularitinya meningkat tatkala hasil penyelidikan mendapati dagingnya mengandungi asid Arachidonis yang mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat di samping kaya protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan.
Ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus merupakan spesies air tawar karnivor yang dikategorikan sebagai antara haiwan popular di negara ini khususnya dalam bidang perubatan.
Seorang penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Manan Mat Jais yang tertarik dengan ‘keajaiban’ ikan haruan telah bertindak mengetuai sepasukan penyelidik dalam usaha menggunakan ekstrak ikan tersebut bagi tujuan saintifik dan perubatan.
Mengenengahkan konsep produk semula jadi, Abdul Manan bekerja keras m menghasilkan krim sapuan pelbagai fungsi menggunakan air (water based) sebagai asas intipati krim haruan tersebut.
Mencampurkan beberapa tumbuhan organik, rempah ratus serta pewarna dan bau berasaskan alam semula jadi ke dalam campuran krim, penyelidik itu berjaya menghasilkan formulasi haruan yang boleh digunakan untuk membantu mengubati penyakit kulit.
“Produk berbentuk krim sapuan pelbagai fungsi ini telah menjalani ujian saintifik dan hasil daripada itu, saya mendapati bahawa ia memberi tindak balas yang positif serta progresif dalam proses pemulihan penyakit serta kecederaan di kulit.
“Menerusi analisis protein serta kajian terhadap vitamin lain yang terdapat pada isi dan kulit ikan haruan, maka saya menemukan potensinya sebagai penyembuh penyakit kulit dan luka," katanya ketika ditemui di UPM baru-baru ini.
Dalam usaha memastikan produk ini mendapat kepercayaan masyarakat, krim sapuan ini turut menjalani ujian klinikal bagi menjamin tahap keselamatan serta diperakui sesuai untuk kegunaan semua lapisan masyarakat.
Menyentuh tentang manfaat produk penemuannya itu, Abdul Manan menjelaskan, hampir semua penyakit kulit menunjukkan tanda penyembuhan lebih cepat apabila disapukan krim tersebut.
Antara penyakit kulit yang dikatakan termasuk kurap, kayap dan juga luka kecil serta bengkak.
Selain itu katanya, hasil kajian menunjukkan asid arachidonik yang terkandung dalam isi ikan haruan amat bermanfaat dalam membantu proses penyembuhan penyakit kulit.
Berdasarkan kajian itu, isi ikan haruan turut disahkan mengandungi kesemua asid amino dan asid lemak yang bermanfaat untuk proses perubatan dan penyembuhan penyakit kulit.
“Krim haruan ini dikhususkan kepada pesakit kulit ekzema, psoriasis dan ruam di kalangan kanak-kanak dan dewasa selain mereka yang menghidap penyakit arthritis dan sendi.
“Namun masih banyak kajian yang perlu dilakukan sebelum pengesahan dapat dibuat berhubung khasiat ikan haruan terhadap penyembuhan penyakit kulit.
“Di samping itu turut mengambil kira adalah pandangan masyarakat terhadap produk, sumber bekalan ikan haruan serta langkah mengimport bekalannya sebelum proses mengkomersialkan dilakukan," tambahnya.
Ditanya mengenai pengkomersialan krim haruan itu, Abdul Manan memberitahu, setakat ini pihaknya hanya menjual kepada pesakit atau pengguna yang berminat sahaja.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan krim tersebut, boleh berhubung terus dengan Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM atau hubungi 03-89472334. - NOOR DIANA AZIS


Sumber Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140414/ag_01/Khasiat-ikan-haruan#ixzz2z0rdwV31
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, March 27, 2014

Ternak ikan lebih lumayan



Ikan yang mencapai saiz pasaran perlu digredkan dan dijual segar melalui kedai rangkaian My Fish Aquaculture Sdn. Bhd.

Kepakaran asalnya adalah untuk mengenali kayu dan pernah berkhidmat dalam industri perkayuan agak lama. Namun atas dasar minat yang mendalam terhadap hobi memancing akhirnya Mohd. Khari Latif menceburi penternakan ikan air tawar. Segalanya bermula empat tahun lalu apabila, dia dan beberapa lagi rakan kongsinya sering bertukar-tukar pandangan serta maklumat berkenaan industri akuakultur ketika sedang memancing.
Minat yang mendalam dalam aktiviti tersebut mendorongnya mengumpulkan maklumat serta menyertai pelbagai kursus penternakan ikan air tawar sebelum memutuskan untuk menceburi bidang tersebut.
Apa yang pasti, keputusan itu bukan mudah apatah lagi dia dan beberapa lagi rakan kongsinya tidak memiliki pengetahuan dalam industri akuakultur.
Namun, kekurangan tersebut bukan penghalang, malah dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mendalami pelbagai ilmu berkenaan industri akuakultur.
“Industri akuakultur mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat negara ini.
“Apatah lagi sumber ikan di habitat semulajadi terutamanya laut kini semakin berkurangan dan pengguna kini beralih arah kepada ikan tawar yang memiliki nilai protein yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui di Semenyih, Selangor baru-baru ini.
Industri penternakan ikan air tawar bukanlah sesuatu yang baharu, namun My Fish Aquaculture Sdn. Bhd. yang memperkenalkan jenama iKANnFish sedang mengorak langkah ke arah konsep baharu iaitu penjagaan kualiti dari kolam ke meja makan.
“Kebanyakan penternakan ikan air tawar kurang mementingkan aspek kualiti ikan yang diternak kerana permintaan pengguna yang amat tinggi untuk sumber protein ini.
“Malah, sesetengah daripada kita juga tidak mengambil endah keadaan ikan air tawar yang berbau lumpur serta hanyir yang terlalu kuat dengan alasan itu adalah sifat semulajadi ikan air tawar.
“Sebenarnya ikan air tawar tidak begitu hanyir dan tidak berbau jika dipelihara dengan sistem serta persekitaran yang betul," katanya.
Tambah Mohd. Khari, terdapat banyak faktor mempengaruhi kualiti ikan yang diternak antaranya adalah air serta produk makanan.
“Untuk menghasilkan ikan yang berkualiti, sihat dan tidak berbau sumber air yang digunakan perlulah benar-benar bersih dan tidak tercemar.
“Ini kerana, rasa serta bau yang terdapat dalam isi ikan berkait rapat dengan persekitarannya," katanya.
Jelasnya lagi, kandungan oksigen di dalam kolam ternakan juga memainkan peranan penting kerana ikan yang cukup oksigen akan lebih cergas dan cepat membesar.
Ujar Mohd. Khari, usaha mencari kawasan yang sesuai untuk dijadikan kolam ternakan turut memakan masa yang panjang, malah mencecah bertahun lamanya.
Pemilihan kawasan adalah berdasarkan keadaan muka bumi yang sesuai selain sumber air bersih daripada hulu Sungai Batangsi yang bersih.
Di sana, antara ikan utama yang dipelihara adalah tilapia merah yang telah dijenamakan semula sebagai red Pearl.
Lima kolam dengan keluasan hampir satu hingga satu setengah ekar dengan kedalaman hampir 10 kaki tersebut mampu menempatkan hampir 20 tan ikan tilapia merah dalam satu-satu masa.
Selain menggunakan sumber air bersih dari hulu Sungai Batangsi, Mohd. Khari turut menggunakan empat alat pengudaraan (paddle wheel) bagi setiap kolam untuk memastikan kandungan oksigen sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.
“Kami turut bekerjasama dengan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), untuk melakukan beberapa analisis berkaitan air serta kesihatan ikan yang dipelihara.
“Proses ini (analisis air) amat penting bagi memastikan ikan yang dipelihara sentiasa berada di dalam keadaan baik agar tumbesarannya tidak terbantut, berkualiti tinggi sekali gus memberikan pulangan yang lebih lumayan," katanya.
Bagi mendapatkan benih ikan yang berkualiti, pihaknya mengambil inisiatif menghasilkannya sendiri bagi mengurangkan kos.
Bagi menghasilkan benih ikan yang berkualiti, lasak serta memiliki kadar survival yang tinggi beberapa proses asuhan perlu dilaksanakan sebelum dilepaskan ke dalam kolam utama.
“Di sini kami menghasilkan anak benih ikan secara semulajadi di kolam kedua iaitu di Taman Tasik, Semenyih di mana kami ada dua buah kolam simen untuk penetasan dan pembesaran anak ikan dan satu kolam simen untuk asuhan khas sebelum anak ikan dilepaskan ke kolam utama.
“Sehingga kini, hampir 300,000 hingga 500,000 anak ikan dihasilkan dan diasuh selama sebulan sehinggalah saiznya mencecah satu inci panjang.
“Pihak kami ada juga menerima permintaan anak ikan daripada pihak luar namun keperluan di kolam sendiri masih tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa menolak," katanya.
Untuk memastikan kadar pengeluaran ikan sentiasa berjalan, proses pembenihan anak ikan juga turut dilakukan secara berterusan.
Mohd. Khari menambah, ikan tilapia merah merupakan antara ikan yang mampu membiak sepanjang tahun menjadikannya mudah untuk diternak.
Setiap ikan yang diternak mengambil masa selama empat hingga empat bulan setengah untuk membesar pada saiz gred A, dan pengeluaran dilakukan setiap minggu secara berperingkat-peringkat.
Untuk memenuhi kriteria gred A, seekor ikan tilapia merah perlu memiliki berat sekitar 700 gram (g) ke atas dengan bentuk tubuh yang agak gempal dan berisi.
Bagi ikan gred B, beratnya adalah sekitar 500 hingga 650g dan gred C sekitar 350 hingga 450g, namun pihaknya menumpukan pengeluaran ikan pada skala gred A, manakala gred B dan C hanya akan dijual apabila kolam dituai sepenuhnya.- ASHRIQ FAHMY AHMAD.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140324/ag_01/Ternak-ikan-lebih-lumayan#ixzz2xDpW2uDk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails