Sunday, December 12, 2010

MAHA 2010 menakjubkan

Pencapaian luar biasa! Itu ungkapan mudah bagi menerangkan kejayaan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MAHA International) 2010 yang berakhir semalam.

Dianggarkan dua juta orang mengunjunginya, melangkaui 1.5 juta yang disasarkan sebelum ini.

Sehingga rencana ini ditulis, orang ramai masih berpusu-pusu mengunjunginya. Apa juga data terakhir yang dikumpul sehingga pameran tersebut berakhir semalam, ia hanya melengkapkan kejayaan MAHA 2010 yang diadakan serentak dengan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) pada tahun ini.

MAHA 2010 yang bercirikan antarabangsa diadakan dua tahun sekali manakala HPPNK diadakan setiap tahun bukan lagi setakat menghargai usaha dan jerih perih tiga golongan tersebut untuk bekerja menghasilkan makanan untuk negara.

MAHA kini dianggap sebagai strategi atau platform paling berkesan untuk menerangkan hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan.

Slogan mudahnya Pertanian Adalah Perniagaan dapat diterjemahkan dengan penglibatan usahawan yang menggunakan teknologi dalam setiap rantaian bekalan.

Pameran pertanian tersebut dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), diuruskan oleh MARDITECH Corporation Sdn Bhd. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula memainkan peranan sebagai nadi penggerak utama bagi memastikan pameran berjalan lancar.

Siri MAHA International 2010 kali ini menampakkan minta orang ramai kepada sektor pertanian semakin meningkat. Malah aktiviti padanan perniagaan semakin memberangsangkan manakala seminar-seminar semasa yang manakala mendapat sambutan.

Justeru, tidak hairanlah apabila MAHA 2010 International ini menerima kunjungan mencecah kira-kira dua juta orang. Ia ibarat gedung ilmu pertanian dan sesuai bagi mereka yang mahu mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan sektor pertanian negara sama perkembangan teknologi, produk terbaru daripada agensi kerajaan dan swasta.

Kenyataan Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin mengenai hasrat tersebut memang jelas. Kerajaan mahukan rakyat memahami aspirasi murni dalam sektor pertanian dan menjadikannya perniagaan yang menuntungkan.

''Saya bersetuju ini (MAHA) merupakan strategi kerajaan hendak membuktikan kepada masyarakat bahawa pertanian adalah perniagaan.

''Kalau tidak, masakan rakyat akan terima slogan tersebut. Hari ini kita dapat lihat apakah hasil pertanian kita,'' katanya.

Dengan penganjuran MAHA, orang ramai dapat memahami melihat dan mengetahui maksud pertanian adalah satu perniagaan, tegas beliau.

Malah katanya, FAMA yang menerajui usaha pemasaran dalam sektor pertanian telah berjaya membimbing 433 usahawan melibatkan 2,300 produk dengan membawa jenama 1Malaysia Best.

Beliau berkata, sambutan orang ramai itu membuktikan mereka berminat dengan pertanian manakala pengusaha dapat menonjolkan produk masing-masing sebagai kaedah pemasaran berkesan.

Minat orang ramai itu juga terarah kepada pelbagai pameran yang diadakan seperti produk pertanian, teknologi, haiwan ternakan dan haiwan peliharaan serta industri baru seperti burung walit, rumpai laut dan ikan hiasan.

Orang ramai sentiasa berpusu-pusu ke Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang menjadi tapak MAHA, meskipun laluan keluar masuk sentiasa sesak dan tram yang disediakan sentiasa penuh. Cuaca panas dan hujan silih berganti sepanjang pameran diadakan selama 10 hari itu tetapi tidak merencatkan minat pengunjung.

Siri MAHA International 2010 kali ini bertemakan Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan sejajar dengan saranan kerajaan menjadikan tahun 2010 sebagai tahun inovasi.

MAHA International 2010 telah mendapat minat penyertaan daripada pempamer antarabangsa daripada pelbagai rantau termasuk beberapa negara Eropah, Amerika Latin, China, India, Asia Tenggara, Australia dan negara Liga Arab dan Asia Barat.

Iktiraf ayam serama ikon negara

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Kerajaan disaran supaya mengangkat dan mengiktiraf ayam serama Malaysia sebagai ikon unggas negara kerana secara eksklusif ia hanya boleh didapati di negara ini sahaja.

Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, ayam serama Malaysia merupakan unggas yang istimewa kerana ciri fizikalnya yang cantik berbeza dengan unggas dalam kategori yang sama dan tidak wujud di negara lain.

"Ayam serama Malaysia bukan sahaja diminati oleh orang Melayu malah turut mendapat perhatian kaum lain kerana bentuknya yang berlainan dan istimewa berbanding ayam biasa.

"Selain itu, ayam serama Malaysia juga harus dipromosikan dengan lebih giat lagi kerana ia menampilkan konsep 1Malaysia apabila semua bangsa mula meminati unggas tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Sejuta Tandatangan Rakyat Malaysia dan pelancaran Buku Serama Malaysia Ayam Terkecil Dunia pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persekutuan Ayam Serama Sedunia Malaysia, Ahmad Fauzi Mohamed.

Kempen itu bermatlamat untuk mendapatkan sebanyak satu juta tandatangan rakyat sebagai tanda sokongan supaya ayam serama Malaysia diiktiraf sebagai ikon unggas warisan negara dan sesiapa yang menurunkan tanda tangan akan menjadi ahli persatuan itu secara rasmi.

Mereka yang berminat untuk menurunkan tanda tangan boleh mengunjungi lokasi yang dikhaskan iaitu di Galeri Serama Malaysia dan Kedai Serama Malaysia di Ampang, Pusat Kraf Serama Malaysia di Jalan Conlay dan Galeri Seni Kraf Serama Malaysia di Damansara selain di Dewan B, Maeps sempena MAHA 2010.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, ayam serama turut mempunyai khasiat dalam bidang perubatan tradisional selain mampu menghasilkan 25 biji telur setiap bulan.

"Petua orang tua-tua di Kelantan dan Terengganu akan memakan ayam serama terutamanya pada setiap malam Jumaat kerana percaya pada khasiatnya yang tersendiri," jelasnya.

Sunday, November 28, 2010

Rezeki lumayan projek cendawan

KOTA TINGGI 26 Nov. – Siapa yang tidak mengakui keenakan cendawan goreng yang dicicah dengan kicap pedas, malah rugi jika berkunjung ke Johor tanpa menjamah makanan kegemaran ramai itu.

Bagi memenuhi permintaan tinggi pasaran, sebanyak tujuh kampung tradisional di tiga kawasan Parlimen di daerah ini terpilih untuk mengikuti projek penanaman cendawan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Kampung tersebut adalah Kampung Lukut, Kampung Sri Jaya dan Kampung Semanggar dalam Parlimen Tenggara, Kampung Mawai Baru dan Kampung Sembayong di Parlimen Kota Tinggi, manakala Kampung Serindit dan Kampung Teluk Ramunia di Parlimen Pengerang.

Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Asman Aman berkata, penanaman cendawan mudah diusahakan dan memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Menurutnya, tanaman itu tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua atau tiga jam sehari untuk mengendalikannya dan mampu menambah pendapatan sampingan keluarga.

‘‘Peserta SPKR amat bertuah kerana semua peruntukan disediakan dan mereka hanya perlu menunjukkan semangat serta keyakinan diri untuk terus maju mengusahakan tanaman berkenaan,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di tapak projek cendawan SPKR di Kampung Semanggar di sini baru-baru ini.

Asman memberitahu, peruntukan yang diberi meliputi sebuah bangsal cendawan berkeluasan 12.4 meter panjang dan 6.09 meter lebar yang boleh memuatkan 8,000 bungkal cendawan dan rak-rak tanaman itu.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Pertanian Daerah sentiasa membantu memantau dan memberi khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada peserta supaya cendawan yang dihasilkan berkualiti.

Sementara itu, Pengerusi Projek Cendawan SPKR Kampung Semanggar, Jasmani Satar, 49, berkata, projek tersebut bukan sahaja mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat miskin malah dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Menurutnya, program berkenaan juga dapat melatih peserta dan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Katanya, seramai tujuh keluarga miskin di kampung itu menyertai projek yang diusahakan bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.

“Kampung ini bertuah kerana terpilih serta diberi peluang mengikuti projek ini. Hasil pengeluaran cendawan ini akan dibahagi sama rata oleh peserta,” katanya.
Sumber:utusan malaysia

KPSP bekal sumber udang galah

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


RAZALI Osman (tiga dari kanan) bersama Musa Ali (kiri) meneliti kolam pembiakan anak udang galah di Pusat Pembenihan Udang Galah KPSP di Sungai Chenaam, Nibong Tebal, Pulau Pinang. - utusan/ Sazali Che Din


NIBONG TEBAL 26 Nov. - Sungai Kerian di sini pernah menjadi syurga pemancing yang sering mendapat hasil lumayan dengan menangkap udang galah.

Namun akibat kerakusan manusia, bekalan sumber udang galah di sungai itu semakin berkurangan berikutan airnya yang tercemar kerana aktiviti perkilangan.

Selain itu, pemancing yang tidak prihatin juga sanggup menangkap udang yang sedang bertelur sehingga mengakibatkan kepupusan benih udang galah.

Lebih mengecewakan ada yang bertindak lebih kejam sehingga sanggup menuba mengakibatkan bekalan ikan dan udang musnah sama sekali.

Peka dan prihatin dengan keadaan itu, lapan nelayan sungai di Kampung Tanjung Berembang dekat Sungai Acheh di sini menubuhkan sebuah pusat pembenihan udang galah di Sungai Chenaam di bawah Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP), Jabatan Perikanan.

KPSP Tanjung Berembang Enterprise ditubuhkan pada 31 Ogos 2007 bermula dengan 15 ekor induk udang yang dipelihara di dalam enam tangki dengan modal yang dikutip sebanyak RM1,500 setiap orang.

Menurut Pengerusinya, Razali Osman, idea penubuhan pusat itu timbul ketika beliau dan rakannya, Musa Ali mengikuti kursus anjuran Jabatan Perikanan Pulau Pinang di Jawi Golf Resort di sini.

"Pada awalnya kami kutip sedikit seorang untuk dijadikan modal malah ada yang bagi RM50, RM100 dan hanya menggunakan papan terpakai untuk membina bangunan pusat ini.

"Berkat kesabaran kami, sebanyak 243,600 ekor anak udang berjaya dibenihkan pada peringkat awal dan dilepaskan ke Sungai Kerian," katanya ketika ditemui di pusat itu, baru-baru ini.

Selain Razali dan Musa, KPSP itu turut dianggotai Ilias Shafie selaku Timbalan Pengerusi, Mohd. Suhairi Abd. Rahman (Bendahari) serta Aziwan Ali, Abdul Hadi Edar, Mat Saad Sulaiman dan Mohd. Salim Yaakob sebagai ahli jawatankuasa.

Tambah Razali, banyak perubahan yang berlaku kepada pendapatan nelayan sungai selepas tertubuhnya pusat pembenihan itu terutama hasil tangkapan mereka.

"Kalau dulu nelayan hanya dapat RM40 sehari dengan menangkap udang namun kini boleh mencecah sehingga enam atau tujuh kilogram udang sehari yang dijual dengan harga RM35 sekilo.

"Malah pendapatan nelayan boleh mencecah hampir RM3,000 sebulan dengan hanya menangkap udang galah dan ia cukup lumayan buat mereka," ujarnya.

Pusat pembenihan udang KPSP Tanjung Berembang dirasmikan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood 17 Oktober lalu yang turut dihadiri Pengarah Perikanan negeri, Awangku Isa Pengiran Amjah.

Pada majlis itu, Ahamad Sabki turut melepaskan kira-kira 15,000 benih udang galah ke Sungai Kerian bersama pegawai Jabatan Perikanan.

Ditanya tentang proses pembenihan udang itu, Razali berkata, induk matang dibawa masuk ke pusat pembenihan untuk bertelur dan benih udang diasingkan di dalam tangki khas selama 45 hari.

"Benih udang ini dipantau rapi dengan kadar kemasinan air serta makanannya disukat agar ia mampu mencapai saiz yang sesuai untuk dilepaskan ke sungai.

"Setiap induk mampu menghasilkan 60,000 benih udang dan peratusan untuk hidup adalah 80 peratus sebelum dilepaskan dan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk mencapai saiz matang," ujarnya.

Sementara itu, Musa menjelaskan, selain dijual dengan harga lima atau enam sen seekor, mereka turut membuat program pelepasan benih udang secara berkala yang dipantau Jabatan Perikanan.

Jelasnya, pihaknya mengamalkan prinsip menang-menang bersama nelayan dan penternak udang kerana lebih banyak benih yang mampu dikeluarkan lebih banyak hasil udang akan diperolehi.

"Pasaran benih udang kami menjangkau sehingga ke Kedah dan Perak malah kadangkala permintaan melebihi pengeluaran yang mampu kami keluarkan.

"Oleh sebab itu kami merancang untuk menambah 16 lagi tangki sebagai tambahan kepada 24 tangki sedia ada," katanya sambil melahirkan rasa syukur kerana pusat milik KPSP itu kini setanding dengan pusat pembenihan swasta.

Apa yang penting tegasnya, pemancing dan nelayan perlu ada rasa tanggungjawab untuk hanya menangkap udang galah yang menepati saiz iaitu 150 gram seekor dan elakkan daripada menangkap udang yang sedang bertelur supaya hidupan sungai ini tidak akan pupus sampai bila-bila.

Kos makanan ikan melambung

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my



ROSLAN Omar memberi makan ikan ternakannya yang dibuatnya sendiri di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh.

PASIR PUTEH 26 Nov. - Kira-kira 10 pengusaha ternakan ikan air tawar di jajahan ini terpaksa menceburi perusahaan lain disebabkan kos makanan ikan yang melambung secara mendadak sejak awal musim tengkujuh.

Kebanyakan mereka yang menternak ikan keli, tilapia, puyu dan patin terpaksa membelanjakan lebih RM500 sebulan untuk membeli makanan bagi setiap 10,000 ekor ikan tersebut.

Di samping itu, mereka juga memerlukan perbelanjaan tambahan untuk makanan campuran perut ayam dan beras yang disediakan sendiri.

Bagi mereka yang kebanyakannya menternak ikan dalam kolam terpaksa pula menghadapi risiko ternakan ditenggelami air akibat hujan.

Seorang penternak, Rashid Isa, 45, berkata, dia tidak lagi meneruskan ternakan ikan sejak tiga bulan lalu kerana tidak dapat menampung kos makanan serta pengurusan yang meningkat secara mendadak.

"Jika saya meneruskan juga ternakan ini, saya akan mengalami kerugian yang besar kerana kos yang terlalu tinggi di samping ancaman banjir. Saya terpaksa berhenti walaupun sudah dua tahun menjalankan aktiviti ini.

"Kalau keadaan mengizinkan, saya mungkin kembali menternak ikan pada tahun depan, itu pun kalau harga makanan dan benih turun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penternak di Kampung Banir Belikong di sini, Roslan Omar 31, berkata, dia terpaksa mengambil langkah awal dengan menternak secara berperingkat bagi mengelakkan kekurangan bekalan pada musim tengkujuh.

Dia yang menternak ikan dalam sangkar di tali air di kampung itu berkata, catuan juga terpaksa dibuat untuk menyerap kos makanan ikan yang meningkat.

"Sebelum masalah ini timbul, saya mampu memasarkan kira-kira 400 kilogram ikan seminggu tetapi sekarang terpaksa mengurangkan sehingga 200 kilogram sahaja seminggu.

"Saya terpaksa memilih ikan tersebut mengikut ukurannya sebelum menjualnya pada setiap minggu," katanya.

Katanya, dia terpaksa menggunakan pengalaman sebelum ini bagi mengatasi masalah tersebut termasuk menyediakan sendiri makanan ikan dengan menggunakan kreativiti disebabkan harga makanan ikan meningkat sehingga RM60 seguni.

"Disebabkan masalah ini, saya juga terpaksa mengurangkan jumlah ternakan benih ikan untuk dibekalkan kepada penternak yang lain," katanya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails