Friday, June 12, 2009

Johor: Tapak semaian jarak 4 beradik jadi tumpuan

Projek di Simpang Renggam antara usaha atasi tanah terbiar

SIMPANG RENGGAM: Tanah terbiar jika diusahakan dengan tanaman jangka pendek dan panjang mampu menjana pendapatan sampingan dan berupaya meningkatkan taraf sosio ekonomi keluarga.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda Umno bahagian Simpang Renggam menganjurkan majlis penerangan dan perasmian Tapak Semaian Pokok Jarak di Kompleks Penghulu Mukim Renggam di sini, baru-baru ini. Tapak semaian yang menempatkan 80,000 anak pokok jarak yang sedia diedarkan itu adalah usaha titik peluh empat beradik pemuda tempatan yang diketuai Abdul Halim Surif, 37; Abdul Khalil, 34; Abdul Rauf, 35 dan Abdul Rashid, 38.

Halim adalah antara 275 pengusaha nurseri benih pokok jarak seluruh negara yang berdaftar dengan Bionas Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat di Malaysia yang terbabit secara langsung dengan penanaman pokok jarak pagar atau nama saintifiknya Jatropha Curcas untuk menghasilkan biodiesel.

Halim berkata, nurserinya adalah antara 15 nurseri di Johor yang dilantik untuk mengendalikan Pusat Pungutan Hasil Bionas bagi memudahkan peserta yang berdaftar menjual hasil tanaman mereka.

Beliau berkata, biodiesel atau minyak yang dihasilkan dari biji pokok jarak adalah bahan bakar alternatif dari tumbuh-tumbuhan sesuai dan bersifat mesra alam untuk kegunaan enjin dan jentera dengan tentera Jepun pernah menggunakan minyak biji jarak sebagai campuran bahan api pesawat semasa Perang Dunia Kedua.

Katanya, negara maju sudah lama mengenal pasti pokok jarak sebagai satu daripada sumber biodiesel tetapi mereka tidak mempunyai sumber tanaman sendiri.

"Di negara luar, penggunaan biodiesel dan biofuel sudah biasa digunakan dan kebanyakan negara maju mengaplikasikan polisi B5 iaitu mewajibkan lima peratus biofuel dicampur dengan diesel," katanya.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bionas, Zurina Amnan turut hadir memberi penerangan skim penanaman pokok jarak bagi penduduk luar bandar.

Zurina berkata, pokok jarak boleh hidup melebihi 45 tahun, tumbuh dengan cepat, amat sesuai ditanam di iklim tropika seperti Malaysia kerana dalam tempoh enam bulan sudah mulai berbuah dan mengeluarkan hasil serta akan berganda selepas dua tahun.

Beliau berkata, seluas 0.4 hektar tanah boleh ditanam dengan 800 pokok jarak dan hasil pengeluaran dalam masa dua tahun pertama kira-kira 3.6 tan buah bagi setiap 0.4 hektar setahun.

Katanya, sebiji buah jarak mengandungi dua hingga empat biji benih yang akan diproses menjadi biodiesel dan bijinya menghasilkan perolehan minyak lebih kurang 33%.

"Penjagaannya mudah, tidak dirosak oleh kebanyakan serangga, ulat atau binatang ternakan, saiz pokok yang rendah dan rendang akan memudahkan proses memetik.

"Bionas secara berperingkat sudah membina kilang perahan bagi mengeluarkan minyak mentah Jarak dan kilang penapis bagi memproses minyak mentah Jarak menjadi biodiesel di beberapa lokasi strategik seluruh negara," katanya.

Zurina berkata, dengan kemudahan itu, Bionas berkemampuan mengeluarkan minyak mentah Jarak sebanyak 730,000 tan dan minyak biodiesel Jarak sebanyak 340,000 tan pada pertengahan tahun ini.

“Untuk rekod, Bionas akan membeli balik biji buah Jarak (kering) ialah RM0.85 sekilogram bersamaan RM850 setan selama 30 tahun," katanya dalam majlis penerangan itu.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web www.bionas.com.my, www.biofuelbionas.com dan www.bionasmalaysia.com

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Simpang Renggam, Ismail Md Nor, berkata skim penanaman pokok jarak di Simpang Renggam adalah salah satu usaha yang dikenal pasti bagi mengatasi tanah terbiar atau kosong dan sumber ekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata, penduduk diberi penerangan potensi tanaman dan jaminan pembelian balik hasil dan terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan sendiri.

Kata Ismail, ia juga bukan bermakna bahawa Pemuda Umno berpeluk tubuh setakat di situ saja tetapi akan meneruskan program lain menjana pendapatan khususnya ekonomi penduduk melalui pelbagai kegiatan pusat pengumpulan hasil pertanian.

Sumber:Berita Harian


Timur: Berbekal semangat ternak ikan keli

Mohd Fadlie dapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga

KUALA TERENGGANU: Pengalaman tersungkur dalam bidang perniagaan ketika kegawatan ekonomi pada 1997 dijadikan batas sempadan oleh Mohd Fadlie Hamzah, 42, dari Kampung Batu Hampar, Manir, di sini supaya lebih berhati-hati dalam gerak kerja pengurusan perniagaan, tambahan pula apabila menceburi bidang baru iaitu penternakan ikan keli dan hiasan.

Tanpa sebarang pengalaman khusus kaedah pengendalian dan penternakan ikan keli, namun berbekalkan semangat yang cekal dan tidak mudah mengalah, Mohd Fadlie meneruskan usahanya.



"Pada awalnya memang perit kerana saya langsung tiada pengalaman dalam bidang ini, namun selepas beberapa kali mengikuti kursus dan belajar daripada pengalaman, perusahaan ini kini menjadi sumber pendapatan utama saya untuk menyara keluarga," katanya yang ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menceritakan pembabitan awalnya, Mohd Fadlie berkata, dia mula bergiat secara serius pada 2006 selepas mendapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sebanyak RM3,000 selepas bancian rakyat termiskin yang dibuat badan itu mendapati dia tergolong daripada kalangan miskin.

Katanya, sebelum itu selepas perniagaan produk tenusu yang diusahakannya selama kira-kira empat tahun terpaksa `gulung tikar' pada 1997, berikutan kegawatan ekonomi negara, dia hampir putus asa dan melakukan pelbagai kerja bagi memastikan semua anak dan isterinya tidak kelaparan di rumah.

Mohd Fadlie berkata, selepas tidak berniaga dia melakukan pelbagai kerja dan usaha mencari benih ikan dan anak ikan untuk dijadikan umpan memancing serta ternakan keli secara kecil-kecilan akhirnya berjaya dibesarkan hasil bantuan dan bimbingan daripada beberapa agensi kerajaan.

Kini dia mampu memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM5,000 sebulan melalui jualan hasil ternakan keli dalam 18 unit kanvas yang diusahakan, selain menjadi pembekal benih haruan dan keli serta menjadi pembekal ikan umpan kepada pemancing di sekitar Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Mohd Fadlie juga mengusahakan ternakan ikan hiasan di halaman rumah yang turut memberikannya pendapatan tambahan dan antara yang diternak adalah ikan dari spesies guppy, molly, ikan laga siam dan ikan pedang.

Katanya, ketika ini dia sedang dalam peringkat percubaan menghasilkan keropok keli dalam mempelbagaikan lagi produk hasil ternakan keli sangkar yang diusahakannya selain merancang untuk membuka kedai ikan hiasan sendiri di kawasan rumah.

Sumber:Berita Harian

Hasil melon glamor capai kualiti

ALOR LINTANG – Peserta tanaman tembikai melon glamor Projek Fertigasi Mega Alor Lintang kini mampu tersenyum apabila sebahagian besar hasil yang dituai musim ini mencapai tahap kualiti buah yang ditetapkan.

Ketua Kelompok, Mohd Rosli Rawi berkata, semua lapan peserta mampu tersenyum puas dengan hasil yang dituai sejak kelmarin apabila lebih 90 peratus buah mencapai gred A sebagai-mana yang ditetapkan syarikat pemborong, Terenganu Agro-tech Development Sdn Bhd (TADC).

TADC adalah anak syarikat kerajaan negeri yang berperanan membeli hasil kebanyakan peserta fertigasi melon glamor di negeri ini untuk dipasarkan.

“Berkat usaha bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa dengan pencapaian musim lepas, nampaknya telah membuahkan hasil membanggakan, malah ia memberi semangat untuk kami bekerja lebih keras lagi.

“Ini adalah tanaman musim keempat yang kami usahakan sejak projek ini dijalankan dan buah pada musim ini juga paling baik dan bermutu kami peroleh,” katanya pada majlis perasmian penuaian yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof.

Kata Mohd Rosli, lebih membanggakan apabila tahap kemanisan buah yang dihasilkan kali ini melebihi tahap minimum yang dikehendaki TADC, iaitu bacaan kemanisan mencapai 14 brix, sedangkan had bacaan kemanisan buah yang diperlukan adalah 12 brix untuk mencapai buah gred A.

Menurutnya, beberapa spesifikasi lain yang ditetapkan untuk dikelaskan gred A antaranya berat buah perlu melebihi 1.2 kilogram, netting penuh (kualiti kulit) dan tidak rosak serta tangkai buah tidak kering.

“Tanaman melon glamor atau lebih dikenali sebagai rock melon boleh dituai setelah 75 hari ditanam dalam polibag yang dikhaskan.

“Kami juga telah belajar daripada kesilapan dan kelemahan lalu termasuk melakukan kajian sendiri bagi mendapatkan hasil yang lebih baik selain mendapat nasihat penggunaan baja dan cara penanaman yang baik daripada pembekal baja dan juga kakitangan Jabatan Pertanian Daerah,” katanya.

Mohd Rosli berkata, setiap peserta menanam sebanyak 2,000 pokok dengan purata hasil tuaian pada musim ini sebanyak tiga metrik tan seorang.

Sementara itu, Muhamad Pehimi menggesa peserta meneruskan usaha agar pertanian mampu menjadi satu sumber pendapatan lumayan kepada mereka.
Sumber:Sinar Harian

Mangga Harum Manis Tembusi Pasaran Jepun Tahun Depan

Mangga Harum Manis yang berasal dari Perlis dijangka memasuki pasaran Jepun tahun depan, kata Duta Besar Jepun Masahiko Horie.

Beliau berkata pengeksport Malaysia akan mengekport Harum Manis ke Jepun dan usaha itu akan menjadi kenyataan tahun depan.

Sambil menyifatkan mangga itu sebagai antara yang terbaik di dunia, Horie berkata pengimport Jepun juga berminat mengimport mangga berkenaan.

"Mangga ini antara yang terbaik di dunia dan sangat lazat. Buahnya sangat tebal dan manis. Walaupun kulitnya hijau, namun isinya ranum dari luar hingga ke bijinya," katanya kepada Bernama pada Pameran dan demonstrasi Tahunan sambutan Ikebana Sapphire ke-45 di sini.

Turut hadir ialah penaung kehormat, Yoko Horie yang juga isteri duta besar Jepun itu.

Duta Besar itu berkata beliau melawat Perlis baru-baru ini atas jemputan Raja Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda, dan dijamu mangga jenis itu.

Harum Manis hanya berbuah dari bulan Mei hingga Jun.

"Hanya dua bulan, itulah kelemahan Harum Manis. Namun, usaha sedang dilakukan (oleh Malaysia) bagi menghasilkan spesies baru supaya ia berbuah, sekurang-kurangnya tiga kali setahun," katanya.

Horie berharap Harum Manis akan mendapat sambutan hangat di Jepun berdasarkan rasanya yang lazat.

Menurutnya memandangkan buah itu hanya tahan selama dua bulan, pengeksport Malaysia perlu menangani isu itu.

Masalah lalat buah juga perlu diatasi segera bagi membolehkan ia dieksport menjelang tahun depan.

-- BERNAMA

Fertigasi modul lengkap pertanian moden

SANA sini orang memperkatakan tentang teknik penanaman moden menggunakan kaedah fertigasi yang semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Kelihatan agak mudah, namun mengaplikasikan teknik penanaman tersebut tanpa mendapat bimbingan lengkap mengenainya mungkin akan memberi kesukaran kepada pengusahanya.

Justeru, bagi memberi peluang kepada individu mempelajari teknik tersebut dengan lebih terperinci, Utusan Malaysia dengan kerjasama Agrobank dan syarikat konsultan, Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (Mayconsult) telah menganjurkan Bengkel Usahawan Fertigasi Bersama MEGA pada 29 Mei lalu.

Seperti sebelum ini, penganjuran bengkel yang masuk kali ketujuh itu terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.

Pengurus Pusat Latihan Agrobank, Abdul Shukor Abdul Jabbar berkata, kursus tersebut sememangnya popular di kalangan mereka yang berminat untuk memulakan projek fertigasi.

''Kursus ini popular kerana memberi fokus kepada penyampaian pengetahuan dan maklumat mengenai teknologi penanaman secara moden.

''Apa yang menarik, para peserta akan didedahkan dengan modul penanaman secara menyeluruh bermula dari peringkat penanaman sehinggalah dipasarkan,'' katanya ketika merasmikan bengkel tersebut di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Selama tiga hari, para peserta akan mendapat bimbingan tanaman secara teknikal dan praktikal, didedahkan dengan perancangan perniagaan, motivasi, khidmat nasihat serta pemasaran.

Menurut Abdul Shukor lagi, pihaknya menerima permohonan di luar jangkaan menerusi medium pendaftaran yang disediakan iaitu dari laman web Utusan Malaysia dan melalui pihak Mayconsult sendiri.

Kesemua mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti golongan profesional, pelajar dan juga petani yang datang bukan sahaja dari Lembah Klang malah dari negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mayconsult, Zainal Abidin Yahya berkata, sambutan menggalakkan yang diterima itu adalah disebabkan orang ramai telah mula menyedari tentang kelebihan teknik tanaman fertigasi.

''Para petani sekarang mahu beralih dari teknik pertanian tradisional kepada fertigasi kerana risikonya dapat dikawal selain memberikan hasil yang tinggi.

''Walaupun peringkat awal projek ini melibatkan kos yang agak tinggi bagi menyiapkan segala infrastruktur, namun ia berbaloi kerana kelengkapan tersebut boleh bertahan untuk tempoh masa 10 hingga 15 tahun,'' katanya.

Dari segi bantuan kewangan pula, pihak Agrobank turut menawarkan pinjaman modal galakan sebagai pembiayaan awal jika para peserta berminat memulakan projek berkenaan.

Bagi mendedahkan peserta dengan teknik penanaman dengan lebih terperinci, mereka juga akan di bawa melawat tapak tanaman fertigasi yang berjaya terletak Jalan Kebun, Klang.

''Selain cili, teknik tanaman ini sesuai digunakan untuk tanaman seperti tomato, rock melon dan terbaru adalah halia,'' jelasnya.

Sejak kali pertama dianjurkan pada 23 Januari 2009, bengkel berkenaan telah berjaya melatih seramai lebih 210 orang peserta.

Daripada jumlah itu, lebih kurang 30 peratus daripada mereka telah pun memulakan projek tanaman secara komersial.

''Mereka yang telah memulakan projek akan dibantu dari semasa ke semasa di mana khidmat nasihat akan diberikan jika mereka menghadapi sebarang masalah,'' katanya.

Sebagai inisiatif membentuk satu komuniti berkaitan bidang fertigasi, para peserta yang bengkel itu telah menubuhkan persatuan mereka sendiri yang diberi nama Persatuan Usahawan Fertigasi Malaysia (PUFM) bagi tujuan berkongsi maklumat dan kemudahan berkaitan projek masing-masing.

Menurut Pengerusinya, Misri Saliman, setakat ini, persatuan tersebut telah mempunyai lebih 90 orang ahli berdaftar yang terdiri daripada pengamal, pembekal dan usahawan fertigasi.

''Kita mahu jadikan persatuan ini sebagai pusat utama mendapatkan maklumat berkaitan fertigasi seperti bekalan baja, benih, peralatan, pemasaran dan sebagainya.

''Kita juga mempunyai saintis yang sentiasa menjalankan penyelidikan terbaru mengenai fertigasi di mana maklumat mengenainya akan di salurkan kepada ahli-ahli dalam usaha membantu mereka mengurangkan kos projek dan meningkatkan hasil,'' katanya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails