Thursday, May 21, 2009

UPP rampas kayu gaharu RM400,000



BUKIT KAYU HITAM- Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam berjaya menumpaskan kes penyeludupan kayu karas (gaharu) bernilai lebih RM400,000 dalam satu serbuan hasil maklumat orang awam di sebuah rumah di Changlun, kelmarin.

Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh sembilan anggota UPP diketuai S M Tajudin pada 19 Mei kira-kira jam 6.10 petang.

Menurutnya, dalam serbuan itu anggota UPP turut menahan dua lelaki, seorang warga tempatan dan seorang lagi warga Thailand masing-masing berumur 38 dan 40 tahun.

“Kes ini dipercayai didalangi sindiket kerana melibatkan barangan yang bernilai tinggi. Kayu yang dirampas iaitu kayu karas atau lebih dikenali oleh warga tempatan sebagai gaharu adalah jenis kayu yang dilindungi dan mempunyai nilai di pasaran.

“Sebanyak 73.73 kilogram kayu karas dirampas dalam operasi tersebut yang dianggarkan bernilai RM5,000 hingga RM6,000 bagi gred A setiap sekilogram yang digunakan untuk membuat minyak wangi manakala gred B sekitar RM1,500 sekilogram digunakan untuk membuat gaharu,” katanya pada sidang media, semalam.

Katanya, kayu-kayu tersebut dipercayai berasal dari Malaysia dan dibawa masuk ke Thailand untuk tujuan pemprosesan sebelum dibawa masuk semula ke Malaysia untuk dieksport ke luar negara.

Mohd Noor berkata, ketika serbuan dilakukan, dua lelaki tersebut sedang memunggah kayu-kayu itu dari kereta bernombor pendaftaran Thailand ke sebuah lagi kereta bernombor pendaftaran Malaysia.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, anggota UPP menjumpai kayu tersebut di dalam kenderaan terbabit.

Sementara itu, seorang warga Thailand yang ditahan dalam operasi tersebut didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Katanya, semua kayu yang dirampas mempunyai gred-gred tertentu dan dipercayai kayu berwarna gelap mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding warna yang lebih muda malah mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada anggaran apabila dieksport ke luar negara seperti Timur Tengah.

Menurutnya, rampasan tersebut adalah kes kedua yang berjaya ditumpaskan pihak UPP Bukit Kayu Hitam membabitkan kayu.

“Berdasarkan pemeriksaan terhadap dua lelaki terbabit, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit import eksport yang dikeluarkan pihak Kastam.

“Pada masa sama ia adalah bahan terlarang dan kes boleh disiasat bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan 313 1984 pindaan 1993 kerana memindahkan barang tersebut tanpa permit.

“Jika disabitkan kesalahan mahkamah akan menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan seterusnya.

Penternak lembu rugi RM15,000



JENGKA – Seorang penternak lembu di Felda Jengka 19 di sini mengalami kerugian kira-kira RM15,000 dalam satu kejadian ribut dan angin kuat yang menyebabkan kandang ternakannya rosak teruk, Ahad lalu.

Mangsa, Ahmad Omar, 69, berkata, pada kejadian jam 9 malam itu, dia di pekarangan masjid tanah rancangan tersebut bagi menghadiri majlis agama.

Menurutnya, tiupan angin kuat merentasi masjid dan beberapa rumah penduduk namun difahamkan tiada sebarang kecelakaan berlaku.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa namun keesokannya paginya, saya terkejut melihat salah satu kandang lembu rosak dengan 100 keping atap dan tiang kayu diterbangkan sejauh 800 meter.

“Saya beranggapan bahawa angin itu hanya melalui kandang tersebut sahaja kerana satu kandang lagi dan bilik pejabat tidak terjejas,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ahmad berkata, kandang yang rosak itu baru siap empat bulan lalu dan turut dijadikan tempat memproses baja dari najis lembu dan penternakan cacing.

Menurutnya, bencana itu mengakibatkan diri terpaksa menanggung kerugian besar kerana hanya yang tinggal adalah tapak dan tangan konkrit.

“Buat sementara waktu, 250 lembu terpaksa berhimpit dalam satu kandang sementara saya berusaha mendapatkan bantuan kewangan.

“Saya menceburi bidang ternakan lembu ini sejak dua tahun lalu dengan bermodalkan pinjaman Skim Usahawan Felda (SUF),” katanya.

Ahmad berkata, dia menerima ujian Yang Maha Esa dengan hati terbuka, namun berbesar hati mendapatkan perhatian pemimpin setempat bagi meringankan bebannya.

Langkawi bakal pengeluar mempelam chokanan



MOHD RAWI (kiri) bersama Omar (tengah) dan Ahmad tertarik melihat mempelam chokanan di Kampung Simpang Datai, Langkawi, semalam.

LANGKAWI: Pulau ini berpotensi besar menjadi pengeluar mempelam jenis chokanan di Kedah jika ia diusahakan dalam skala besar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid.

Beliau berkata, ketika ini 9,000 pokok mempelam jenis itu sudah ditanam kawasan seluas 34.33 hektar di Kampung Simpang Datai di sini, sejak tiga tahun lalu.

"Faktor cuaca yang sesuai iaitu suhu panas tidak keterlaluan, membolehkan pulau ini melonjak nama sebagai pengeluar mempelam chokanan utama di Kedah dalam tempoh terdekat.

"Untuk itu, kita akan membuat promosi bersama Jabatan Pertanian bagi menggalak lebih ramai petani tempatan mengusahakan tanaman itu," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis menandatangani ladang kontrak projek berkelompok mangga chokanan antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan peserta projek itu di kampung berkenaan.

Pada majlis itu, Fama diwakili Pengarah Wilayah Utaranya, Mohd Ariffin Awang, manakala peserta projek oleh Pengerusinya, Omar Putih. Hadir sama, Pengarah Kanan Urusniaga Segar Fama, Ahmad Ishak.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya bersetuju membeli dan memasarkan 60 tan mempelam chokanan dari Langkawi sepanjang tahun ini.

"Sejak sebulan lalu, kami membeli 17.05 tan. Berdasarkan rekod pula, sebanyak 106.674 kilogram mempelam chokanan dari projek ini dibeli Fama sejak dua tahun lalu dengan nilai hampir RM190,000," katanya.

Saturday, May 16, 2009

Siswazah ternak lintah


BANGSAL panjang yang menempatkan kolam ternakan lintah yang diusahakan oleh Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha dan rakannya, Sulaiman Syah Ab. Rahman di Padang Temu, Melaka.


MELAKA Mei - Bidang pertanian bukanlah satu kerjaya yang glamor namun ia tetap menjadi pilihan dua mahasiswa yang melihatnya sebagai satu cabang pendapatan lumayan sekiranya dikomersialkan.

Bagi mereka, bidang ternakan lintah yang dianggap baru di Malaysia dilihat mempunyai prospek yang cukup besar sebagai satu rawatan alternatif yang mula mendapat permintaan ramai.

Atas kesedaran peluang itu, dua sahabat lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Multimedia, Bukit Beruang di sini, Sulaiman Shah Ab. Rahman, 25, dan Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha, 24, mula menceburi bidang itu sejak awal tahun lalu.

Sulaiman yang memegang ijazah Kejuruteraan Komputer dan Shahrul, ijazah Pengurusan Teknologi Maklumat, kelulusan yang digenggam itu bukanlah bermakna mereka harus melupakan terus bidang pertanian.

Dengan sedikit pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki, dua sahabat ini nekad membuat pelaburan sebanyak RM80,000 menubuhkan syarikat MNS Marketing and Management pada awal tahun lalu.

Sulaiman yang merupakan Ketua Eksekutif syarikat tersebut berkata, mereka memilih untuk menceburkan diri dalam penternakan lintah kerana melihat bidang itu masih baru di negara dan berpotensi untuk pergi lebih jauh.

''Alhamdulillah, setelah kira-kira empat bulan menjalankan perniagaan ini, kami mempunyai 23 kolam lintah yang diusahakan di Taman Padang Temu Indah, Padang Temu, Melaka.

''Hasilnya, kami mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, hasil kerja kerasnya itu juga, mereka telah berjaya membuka sebuah pusat rawatan kesihatan yang dikenali D'Winz Healthcare di Taman Senggarang, Batu Pahat, Johor.

Jelasnya lagi, syarikat juga telah berjaya membekalkan produk-produk berasaskan lintah keluarannya ke seluruh pasaran tempatan termasuk Brunei.

''Kami juga membekalkan lintah untuk tujuan rawatan bekam termasuk menganjurkan kursus lintah seperti ternakan, produk lintah dan juga rawatan bekam," katanya.

Sulaiman berkata, masa depan ternakan lintah amat cerah kerana ia sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.

''Lintah mendapat permintaan yang tinggi kerana ia boleh merawat penyakit kronik seperi sakit jantung melalui enzim yang dinamakan hirudin yang dikeluarkan oleh haiwan ini,'' katanya.

Tambahnya, di pasaran tempatan, lintah menerima permintaan yang tinggi dengan harganya dikatakan antara RM1.50 hingga RM3 seekor.

''Berbanding di luar negara seperti di United Kingdom contohnya, harga seekor lintah mencapai sehingga RM53.

''Ia mungkin kerana permintaannya yang tinggi untuk kegunaan dalam bidang perubatan mereka," katanya.

Atas kesedaran nilai pasaran yang tinggi itu, menurut Sulaiman, syarikatnya juga telah mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat lain untuk mengembangkan lagi perniagaanya.

Melalui usahasama itu, syarikatnya juga merupakan pemilik bersama 210 lagi kolam lintah di seluruh negara termasuk 50 buah kolam di Pontian, Johor, Batu Pahat (50) Seremban (30), Bukit Merah, Perak (40) dan Terengganu sebanyak 40 buah kolam.

''Jika dikira secara keseluruhannya, kami mempunyai stok lintah melebihi 100 juta ekor di 233 kolam ternakan lintah,'' katanya.

Menurut Sulaiman, dengan keupayaan yang ada, mereka merancang untuk mengeksport lintah ke luar negara memandangkan pasarannya yang lebih tinggi di sana.

Orang ramai yang berminat dan ingin mendapatkan keterangan lanjut, boleh hubungi mereka di nombor 019-7775242 (Sulaiman) dan 013-2060057(Shahrul). katanya.

Petani disaran tanam halia, limau bali

KOTA KINABALU Mei - Golongan petani di negeri ini digesa mengusahakan tanaman halia dan limau bali bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap produk berkenaan di pasaran antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Yahya Hussin berkata, pengeluaran sedia ada tidak mampu menampung permintaan eksport dari Semenanjung, Brunei, Indonesia dan Belanda.

Katanya, adalah merugikan jika peluang besar untuk meningkatkan produktiviti itu tidak dimanfaatkan oleh petani negeri ini.

''Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan seperti insentif, baja, subsidi dan semua yang diperlukan khususnya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

''Jangan risau tentang pasaran kerana FAMA memberi jaminan tentang perkara ini. Apa yang perlu dilakukan ialah membangunkan tanaman tersebut dan menjaga kualitiinya,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kursus Induksi Modul Khusus dan Umum Kakitangan Baru FAMA Sabah dan Sarawak di Kampus Intan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz dan Pengarah FAMA negeri, Ibrahim Mahmood.

Yahya berkata, pada ketika ini, pengusaha tanaman halia kebanyakannya menanam tanaman tersebut di Tambunan manakala limau bali pula di kawasan-kawasan pedalaman.

Selain tanaman tersebut, kulit kayu manis dan rumpai laut juga berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Mohamed Shariff memberitahu, Pusat Sehenti FAMA kini sedang dalam fasa akhir pembinaan berdekatan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), dekat sini.

Menurutnya, pusat tersebut dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini dan akan beroperasi sebagai tempat pembungkusan dan pemasaran produk FAMA dari negeri ini.

Sumber:Utusan M alaysia


Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails