Friday, May 17, 2019

Bekas wartawan tanam vanila

Jika 12 tahun lepas mata pena menjadi ‘senjata’ utamanya untuk mencari rezeki dan bidang pertanian pula sumber pendapatan sampingan, kini lain pula ceritanya apabila Mohamad Feisal Mohamad Norawi bertekad menjadikan penanaman vanila sebagai punca utama pendapatan.
Pengusaha berusia 37 tahun itu yang pernah bertugas sebagai wartawan sebuah akhbar tempatan memutuskan untuk menukar kerjaya pada tahun lepas setelah lelah melayan kerenah manusia sekali pun terpaksa berjemur di bawah panas terik matahari dan `berperang’ dengan nyamuk serta haiwan liar lain.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dan Diploma Pembangunan Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, minatnya untuk menanam vanila tercetus selepas menamatkan pengajian pada 2006.

“Semasa itu saya menyenaraikan beberapa jenis tanaman yang boleh diusahakan di atas sebidang tanah milik keluarga berkeluasan 1.2 hektar di Kampung Bangau Parit, Temerloh.


“Saya mendapati tanaman vanila berpotensi tinggi untuk diusahakan memandangkan masih belum ada sesiapa mengusahakannya secara komersial di negara ini,” katanya.

Berbekalkan modal RM20,000 hasil simpanan semasa bekerja sambilan di sebuah hotel ketika belajar serta pinjaman daripada keluarga, Mohamad Feisal memulakan projek penanaman vanila dengan bantuan sebuah syarikat swasta.

Walau bagaimanapun katanya, dia diuji apabila syarikat yang menjanjikan 1,000 anak benih vanila lari selepas membekalkan hanya 400 anak benih. Masalah tersebut menyebabkan dia hampir berputus asa dan mendorongnya memohon pekerjaan di sebuah syarikat penerbitan akhbar di ibu negara.

Namun katanya, dia tetap mengkaji potensi vanila yang merupakan spesies keluarga orkid dari Mexico dan memulakan semula projek pada 2010 secara sambilan. Sebelum itu dia mencari ilmu mengenai penanaman vanila menerusi Internet selepas mendapati potensi tinggi tumbuhan tersebut yang mendapat permintaan dari luar negara.

Usahanya tidak sia-sia apabila pokok yang ditanam mengeluarkan hasil pada 2014 dan pembeli dari luar termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Jerman mula menghubunginya untuk mendapatkan bekalan bahan berkenaan.

Katanya, walaupun negara seperti Indonesia, Papua New Guinea dan Madagascar merupakan negara pengeluar utama, tanaman itu tidak dapat diusahakan secara komersial kerana faktor kepakaran, tiada sokongan kerajaan selain sering menghadapi bencana alam.

Berikutan itu, dia nekad berhenti kerja pada awal tahun lepas dan memberi sepenuh perhatian kepada tanaman vanila yang dikomersialkan di bawah jenama Amani Vanilla Temerloh.

“Kini saya mempunyai 2,500 pokok vanila di kebun pertama yang diusahakan secara konvensional.

“ Saya merancang menambah 1,500 pokok dalam masa terdekat yang akan ditanam menggunakan kaedah moden iaitu menggunakan jaring pelindung,” katanya yang menambah ladangnya turut menjadi rujukan agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi.

Mohamad Feisal berkata, pokok vanila hanya memerlukan 30 hingga 40 peratus cahaya matahari dan kelembapan 60 hingga 80 peratus, menjadikannya tanaman yang sesuai di negara ini.

Tempoh matangnya juga singkat dan biasanya pod vanila mula boleh dituai dalam tempoh lapan bulan selepas berbunga dan perlu dikeringkan selama sebulan sebelum boleh dijual.

Walaupun tanamannya belum lagi memberikan hasil penuh, Mohamad Feisal kini boleh tersenyum kerana pulangan jangka panjang yang lumayan berikutan harga vanila di pasaran dunia semakin meningkat dan boleh mencecah RM2,000 sekilogram. – BERNAMA

Bunga kantan beri pendapatan lumayan

Pokok bunga kantan hidup yang ditanam Mohd. Jamil Ahmad hidup

PARIT 12 Feb. - Siapa sangka bermula de­ngan hanya suka-suka mena­nam ulam-ulaman dan herba di belakang rumah, akhirnya ia menjadi punca pendapatan sampingan buat seorang pesara tentera di sini.

Mohd. Jamil Ahmad, 56, mula menanam ulam-ulaman dan herba sejak 1990-an sekitar rumah­nya yang terletak di Kampung Ekor Lambat, Bota, Perak.

Setelah bersara daripada tentera, dia mula serius mengusahakan tanaman bunga kantan di sekitar rumahnya pada 2009.

Menurutnya, pokok bunga kantan atau juga dikenali sebagai bunga siantan merupakan sejenis pokok herba berwarna merah muda boleh juga digunakan sebagai gubahan hiasan.


Katanya, tunas bunga itu boleh dijadikan bahan memasak dalam masakan Melayu seperti laksa dan nasi kerabu selain itu ia juga boleh digunakan dalam masakan asam pedas, nasi ulam serta masakan kari.

Pada mulanya, dia menanam bunga kantan untuk sekadar memenuhi masa lapangnya tetapi setelah menyedari bunga kantan mendapat permintaan dan harga tinggi sehingga mencecah RM2.50 sekuntum ketika itu membuatkan dia lebih serius untuk menanamnya.

Sejak itu, Mohd. Jamil mula giat menanam pokok bunga kantan di sekitar rumahnya dan tanah di kampungnya yang difikirkan sesuai untuk menanam pokok herba tersebut.

“Saya memilih untuk menanam pokok bunga kantan kerana ia tidak memerlukan proses perjagaan yang rapi dan rumit.

“Pokok bunga kantan ini mudah ditanam kerana serangga jarang mendekati pokok ini dan proses menanamnya juga senang, hanya perlukan air dan sedikit baja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, tanaman bunga kantan juga kurang dimusnahkan oleh serangga perosak.

Menurutnya, ini kerana aroma yang terdapat padanya tanaman itu menyebabkan ia kurang musuh tanaman.

Jelasnya, paling utama bunga kantan antara produk agro yang mudah dijaga selain senang ditanam di tanah yang lembap tapi tidak berair.

“Sepokok bunga kantan juga boleh membiak dengan banyak dan ia lebih subur apabila daun yang sudah tua dibuang selain memerlukan cahaya matahari yang mencukupi,” katanya.

Mohd Jamil berkata, apabila perdu sudah besar, ia perlu dipe­cahkan untuk mengelak pelepah pokok bercantum dan perdunya juga akan dipilih mengikut kriteria untuk dijadikan benih.

Menurutnya, bunga kantan boleh dijual pada usia enam ke tujuh bulan namun bergantung kepada benih dan hasil keluaran pula tiga kali seminggu dengan sekali keluaran 300 hingga 400 kuntum.

“Kini saya mampu meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil daripada tuaian bunga kantan,” katanya.

Katanya, permintaan bunga kantan pada masa kini amat menggalakan kerana ia jarang diusahakan secara komersial.

Pasaran bunga kantan, katanya, lebih tertumpu di sekitar Batu Gajah, Perak Tengah serta Manjung selain membekalkannya ke hotel sekitar Bandar Seri Iskdandar, dekat sini.

Jelasnya, ia dijual pada harga RM1 sebatang namun apabila tiba musim kemarau harganya akan melonjak tinggi hingga mencecah RM1.50 sebatang.

“Sebelum ini saya menanam bunga kantan berwarna putih dan merah namun permintaan jenis ini kurang mendapat sambutan dan kini sepenuhnya hasil keluaran adalah berwarna merah jambu sahaja,” katanya.


Katanya, sehingga kini dia mempunyai dua ekar tanaman itu di lokasi berasingan.

Menurutnya, dia sedia ber­kongsi pengalaman mengusahakan kebun tanaman bunga kantan dan menggalakan mereka berminat mencuba tanaman berkenaan kerana tidak memerlukan modal besar selain penjagaannya yang amat mudah.

Katanya, tanaman itu sesuai dibuat secara sambilan kerana tidak memerlukan modal besar sebaliknya memberi keuntu­ngan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan.

“Untuk membantu golongan belia memperoleh pendapatan, saya juga membantu anak muda di kampung ini dalam tanaman bunga kantan,” katanya.

Katanya, kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari cara penanaman dan mahu mendapatkan bunga kantan boleh meng­hubunginya di talian 019-591 5599.

Teknologi Fertigasi Gantung



Industri pertanian di negara kita kini kian selari dengan arus teknologi dari semasa ke semasa. Wujudnya inovasi di dalam industri pertanian mampu memacu ke arah kehidupan yang lestari.

Teknologi fertigasi gantung adalah satu revolusi dalam perusahaan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memastikan kitaran tanaman sentiasa berkualiti serta konsisten.

Kini, dengan teknologi yang dikembangkan Jabatan Pertanian (DOA) mampu mengoptimumkan penggunaan tanah untuk industri berkenaan.




TEKNOLOGI fertigasi gantung banyak manfaat.

Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur), Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Raub, Pahang Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, dulu sistem tanaman di atas tanah berbatas hanya terhad kepada kawasan dan topografi yang sesuai.

“Kelebihan teknologi ini juga dapat meningkatkan pendapatan yang baik disebabkan peningkatan hasil melalui penggunaan baja secara efisien, konsisten dan jangka hayat ekonomik tanaman lebih lama.

“Risiko serangan penyakit daripada ‘soil borne’ dapat dikurangkan kerana antara kelebihan utama sistem ini ialah kedudukan tanaman tidak berada di atas tanah dan sistem pengudaraan yang lancar,” katanya yang ditemui di PPD Raub, Pahang, baru-baru ini.



AHMAD Tarmizi Yunus, 60, memantau hasil timun di ladangnya di Kampung Temau.


Mohd Ali Hanafiah berkata, konsep asas yang membezakan teknologi ini dengan kaedah lain ialah pokok ditanam dalam beg semaian bermedia secara tergantung berasaskan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong.

“Antara tanaman sayur berbuah yang sesuai ialah timun, kacang panjang, petola, terung panjang, cili dan juga sayuran berdaun sebagai kitaran tanaman.

“Kelebihan mengamalkan teknik fertigasi gantung adalah dapat mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut kawalan rumpai, kawalan serangga perosak, penyakit serta kerja memungut hasil.

“Secara keseluruhan kos tenaga kerja dan racun kimia dapat dikurangkan hingga 50 peratus berbanding penanaman secara fertigasi biasa,” katanya.



PENOLONG Pegawai PPD Raub, Nurul Azeela Mohd Nasir (kanan) memantau hasil pengeluaran timun milik Ahmad Tarmizi.

Menurutnya, hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding biasa dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan tujuh hingga 10 hari berbanding penanaman secara konvensional.

“Hasil dapat dipungut dengan mudah, cepat kerana kedudukan beg semaian lebih tinggi dan jangka hayat tanaman lebih lama.

“Sistem ini dapat memberi pulangan maksimum kepada petani apabila jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus,” katanya.

Menerangkan kaedah penggunaan teknologi ini, Mohd Ali berkata, sistem para dipasang dengan kukuh untuk menggantung beg semaian dan sistem pengairan menggunakan PE tubing.



PEMILIK ladang, Fazril Shahiri, 40, (kiri) bersama pekerjanya memeriksa timun yang baru dituai di Kampung Pintu Padang.


“Setiap beg semaian yang diisi media tanaman akan digantung menggunakan kawat duri dan semai benih tanaman di dalam dulang semaian dengan media peat moss.

“Anak benih akan tumbuh dan menjalar pada dawai trellis yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, baja larutan fertigasi (baja fertigasi set A+B) dipam masuk melalui PE tubing yang dipasang bersambungan antara beg semaian dan mempunyai ‘nipper’ pada setiap pokok.



FAZRIL menimbang hasil timun yang diusahakan.



“Kekerapan pembekalan air baja fertigasi mengikut kadar yang disyorkan dan bergantung kepada cuaca semasa. Kebiasaannya pembajaan dibuat tiga hingga enam kali sehari dan diulangi dengan air selepas dua hingga tiga jam pembajaan dibuat.

“Penggunaan baja organik seperti asid amino dan plant booster mampu meningkatkan kualiti tanaman dan pulangan hasil,” katanya.


TIMUN yang sudah digredkan sedia untuk dipasarkan.


Mohd Ali Hanafiah berkata, tunas yang baru keluar perlu dididik untuk menjalar di atas para dawai yang disediakan. Penuaian mudah dijalankan kerana hasil dapat dilihat dengan mudah dan senang untuk mengutip .

“Potensi bagi satu beg semaian untuk tanaman timun boleh mencecah tujuh hingga 10 kilogram (kg) semusim,” katanya.

Rujukan: https://www.hmetro.com.my/agro/2017/10/270253/teknologi-fertigasi-gantung

Sunday, August 27, 2017



Udang berkualiti





MAKANAN serta peralatan untuk memelihara udang antara produk yang dihasilkan oleh Aquaculture (M) Sdn. Bhd. Kota Tinggi, Johor.

Merupakan salah sebuah anak syarikat The Charoen Pokphand Group (CPF) yang ditubuhkan di Thailand sejak 1920an, Asia Aquaculture (M) Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat yang berjaya menghasilkan ladang udang putih (Penaeus vannamei) terkemuka di Johor.



Bermula daripada proses penetasan benih udang sehinggalah kepada penternakan, segalanya dilaksanakan di plot 21, Mukim Pantai Timur, Kota Tinggi, Johor.



Walaupun berasal dari negara jiran, namun kestabilan serta keyakinan Malaysia mampu menjana keuntungan yang lebih baik, mendorong syarikat tersebut melaburkan sebanyak RM70 juta untuk membina kawasan ternakan udang dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan udang.



Projek penternakan udang yang dilaksanakan itu termasuk di bawah perancangan Lembah Makanan Organik BIo Desaru yang mula beroperasi pada Januari tahun lalu melibatkan pekerja seramai 131 orang.



Syarikat terbabit sehingga kini mampu membekalkan empat trilion benih udang spesies bebas patogen (SPF) ke pasaran yang mana mampu menghasilkan hampir 40,000 tan udang setahun.



Malah, syarikat tersebut juga memiliki kapasiti mengeksport 28,000 tan produk sejuk beku berasaskan udang setiap tahun.



Biarpun projek perladangan udang bermula pada tahun lepas, namun syarikat terbabit bermula sebagai pembekal makanan udang yang diimport dari Thailand sejak tahun 1992 lagi.



Kemudian syarikat tersebut mula membekalkan makanan ikan pada tahun 1994 dan mula membangunkan pusat penetasan dan asuhan udang berkualiti tinggi di Butterworth, Pulau Pinang untuk pasaran dalam negara pada 2001.



Seterusnya mula membuka kilang pemprosesan di Pelabuhan Klang, Selangor dan ladang ternakan udang di Johor seterusnya mengembangkan perniagaan pembenihan dan penternakan udang ke Sabah dan Sarawak.



Manakala pada tahun 2006, CPF telah menubuhkan Star Feedmill (M) Sdn. Bhd. untuk menghasilkan makanan hidupan akuatik (makanan udang dan ikan) yang sebelum ini di import dari Thailand.



Antara resipi kejayaan syarikat tersebut mampu menghasilkan benih serta bekalan udang putih yang berkualiti tinggi dan mencukupi adalah adaptasi serta penggunaan teknologi tinggi di samping penjagaan kebersihan kawasan yang amat teliti.



Segala prosedur tersebut dalam dilihat ketika rombongan Kembara Media Perikanan 2013 melakukan lawatan ke kilang serta tapak perladangan udang tersebut baru-baru ini.



Malah kenderaan luar juga tidak dibenarkan memasuki perkarangan kilang sembarangan bagi mengelakkan penyakit berjangkit merebak ke dalam kawasan pembenihan dan penternakan.



Syarikat terbabit juga memiliki enam pusat penetasan di seluruh negara iaitu di Butterworth, Sedili, Mersing. Sri Pantai, Lundu dan Semporna.



Selain , syarikat juga mempunyai tujuh lagi ladang ternakan udang antaranya di Bagan Datoh (Perak), Tanjung Karang dan Kuala Selangor (Selangor) , Sedili (Johor), Bako dan Sempadi (Sarawak) dan Tawau (Sabah).



Pusat pemprosesan utama udang putih hasil ternakan syarikat berkenaan terletak di Pelabuhan Klang dan di Kuching sebelum udang-udang tersebut di eksport ke luar negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.



Selain menghasilkan udang, Asia Aquaculture turut mengeluarkan produk probiotik berasaskan air yang terbahagi kepada lima produk utama iaitu bioteknologi, kualiti air dan mineral, antiseptik dan nyahjangkitan kuman, vitamin dan premix serta alatan ujian.



Antara produk udang putih sejuk beku yang dikeluarkan adalah HOSO, HLSO, HL EZ Peel dan juga CPDTO.



Penggunaan mesin automasi sepenuhnya juga ialah alat sejuk beku, mengupas kulit udang , memasak menggunakan stim menjadikan produk yang dihasilkan menepati standard kualiti antarabangsa.



Untuk maklumat lanjut berkenaan Asia Aquaculture (M) Sdn. Bhd.dan juga syarikat-syarikat yang bernaung di bawah CPF anda boleh melayari laman web syarikat tersebut di www.cp-malaysia.com.







0Share 0Share 0Share 0Share 0Share 0Share 0Share



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20131125/ag_02/Udang-berkualiti#ixzz2ljj0FRly

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, October 7, 2014

Jutawan berkain pelekat

Tumpat: Melihat pada susuk tubuh Mat Ismail Jusoh yang berkain pelekat sepanjang masa, pastinya tidak menyangka bahawa beliau sebenarnya seorang jutawan yang juga pemilik jenama budu terkenal, Budu Cap Ketereh.

Tiada siapa menyangka Pengkalan Kubor mempunyai usahawan berjaya dengan nilai jualannya mencecah RM10 juta setahun.

Mat Ismail, 63, mudah dikenali kerana identitinya yang gemar berkain pelekat tidak kira pada majlis rasmi atau tidak.

“Saya lebih selesa berkain pelekat kerana saya orang kampung,” katanya.

Sehinggakan pada majlis pelancaran kilang budunya di Kampung Ketil oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Sabtu lalu, Mat Ismail yang mesra dipanggil Pok Wil tetap berkain pelekat.

“Saya akan belikan Pok Wil kain pelekat baru apabila ke Dubai nanti untuk mengembangkan perniagaan budu ke peringkat antarabangsa,” kata Mustapa.




MAT Ismail menunjukkan produk pembungkusan terbaru Budu Cap Ketereh di Kampung Ketil, Telaga Lanas dekat Pengkalan Kubor.

Mat Ismail berkata, kilang budu terbabit adalah yang terbesar di negara ini dan memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, baru-baru ini.


Bercerita bagaimana dia mengembangkan bisnesnya, bapa lapan anak itu berkata, dia memulakan perniagaan lebih 30 tahun lalu dengan hanya menggaji empat pekerja tempatan.

Katanya, dia kini mempunyai 80 pekerja yang terdiri daripada penduduk sekitar kampung terbabit.

Menurutnya, pembungkusan makanan tradisional itu turut melalui proses inovasi apabila dikeluarkan dalam dalam bentuk tiub seperti ubat gigi.

Inovasi itu dibangunkan bersama Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana.

“Pembungkusan terkini itu turut menyelesaikan masalah untuk membawanya menaiki kapal terbang memandangkan botol tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, ilham menghasilkan budu dalam bentuk tiub terbit ketika kunjungannya di Vietnam selepas sukar memperoleh makanan halal di negara itu.

Sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/Jutawanberkainpelekat/Article

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails