Sunday, October 5, 2014

ADA APA PADA BENDI ?

‎Kacang Bendi






Kacang Bendi atau Bendi, adalah antara jenis sayuran yang popular dan digemari di Malaysia. Mana-mana pasar, supermarket dan mall ada menjualnya.

Nama sains "Abelmoschus esculentus" dari kelompok pepohonan berbunga Malvaceae. Juga turut dikelasifikasikan dari kelompok pepohonan bunga raya "Hibiscus esculentus."

Bendi dimakan sebagai sayuran oleh warga dunia, dengan berbagai nama. Bhindi, dherosh di Asia Selatan (India dan Pakistan). Bamya atau bamieh di Timur Tengah. Okra, ochro, okoro, ladies' fingers, bhindi, bamia, atau gumbo bagi rata-rata negara Barat. Quimbombo di Cuba. Okura di Jepun. Qiu kui (sebutan cheeoh kway) di Taiwan dan China.

Negara asal bendi tidakdapat ditentukan, dalam pertikaian. Ada mengatakan dari Guatemala, Afrika Barat, Ethiopia, India atau Bangladesh.

Pohon bendi tumbuh subur dinegara-negara beriklim tropika, sub-tropika, dan sederhana panas. Rata-rata, pohonnya meninggi kira-kira 4 kaki (1.2 meter). Boleh mencecah setinggi 6 kaki (1.8 meter). Ada spesis yang meninggi melebihi 7 kaki (2.1 meter). Pohonnya mengeluarkan banyak buah berisikan biji-biji, tidak henti-henti sepanjang tahun. Ia sangat mudah tumbuh. Bahagian yang selalu menjadi sayuran ialah buah muda, lembut dan rapuh.

Bendi yang sering ditemui dirantau ini berwarna hijau. Terdapat juga spesis bendi yang berwarna merah, ungu pekat dsbnya, tetapi jarang ditemui. Warnanya dipengaruhi oleh kadar pigmen yang terkandung didalamnya.

Manfaat Bendi

Bendi adalah antara sayuran yang sangat rendah kalori; membekalkan cuma 30 kalori bagi setiap 100 g. Ia tidak mengandungi lemak tepu atau kolesterol.


Namun demikian, bendi kaya dengan serat makanan, zat gizi, vitamin, dan zat phyto.

Serat dan Lendir. Serat bendi bermutu tinggi bagi memelihara saluran perut dan usus. Ia membantu menyerap kembali air, memerangkap kolesterol yang berlebihan, toksin yang terhasil dari metabolisma, dan lebihan cecair hempedu. Kemudian, keluar semuanya dari tubuh melalui najis.

Bendi kaya dengan lendir yang membantu kesinambungan kembang kuncup perut dan usus bagi menggerak keluar sisa makanan yang telah dihadam.

Lendir dan serat bendi bermanfaat:

membantu mengimbangi gula dalam darah dengan cara menyerap gula dalam usus kecil.
membantu menghindari berlakunya sembelit, melega saluran perut dan usus, mengurang radang usus, dan menyembuh ulser usus.
meransang percambahan bakteria bermanfaat didalam usus kecil dikenali sebagai 'probiotics' sepertimana dilakukan oleh yoghurt dan membantu penghasilan vitamin B-kompleks.
Protein. Protein dan minyak yang terdapat dalam biji-biji bendi merupakan sumber protein sayuran yang terbaik. Ia kaya dengan asid-asid amino yang menyihatkan tubuh.

Vitamin A. Bendi mengandungi sejumlah vitamin A yang menyihatkan, serta anti-oksidan dari jenis flavonoid seperti beta-karotin, xanthin dan lutein. Ia tergolong dari kalangan sayur-sayuran yang tinggi nilai anti-oksidan.

Permakanan sayur-sayuran dan buah-buahan alami yang kaya dengan flavonoid, termasuk bendi, dapat membantu:

melindungi dari kanser pada paru-paru dan rongga mulut.
penting bagi mata dan penglihatan.
memelihara selaput lendir dan kulit agar kekal sihat.
Vitamin C. Bendi juga sumber terbaik kepada anti-oksidan vitamin C, membekalkan kira-kira 36% dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh. Kajian mendapati bahawa permakanan bahan makanan yang kaya dengan vitamin C membantu tubuh mengutuhkan sistem kekebalan tubuh, melindungi dari anasir-anasir berjangkit dan perosak radikal bebas, dan mengurangkan risiko jangkitan selsema dan batuk.

Vitamin B9/folate. Sayuran ini mengandungi vitamin B-kompleks seperti B9/folate, B3/niasin, B5/asid pantothenik, B6/pyridoxine, B2/rivoflavin, dan B1/thiamin.

Bendi kaya dengan folate; membekal kira-kira 22% dari kadar saranan harian bagi setiap 100 g. Folate perlu bagi ibu yang hamil, membantu mengurangkan berlakunya kecacatan pada tabung saraf/neural tube janin. Folate juga sangat penting bagi pembentukan dan pembinaan janin, mengukuhkan tabung saraf/neural tube janin terutama dalam masa 4-12 minggu pertama perkembangan janin dalam rahim ibu.

Vitamin K. Bendi mengandungi vitamin K yang sangat tinggi, 53 mcg iaitu 44% kadar saranan harian harian bagi setiap 100 g. Vitamin K adalah faktor gandingan kepada enzim-enzim pembekuan darah dan juga diperlukan bagi menguatkan tulang.

Zat Gizi Manganese. Bendi juga sumber yang tinggi zat gizi manganese, setiap 100 g membekalkan sebanyak 0.990 mg bersamaan 43% dari kadar saranan harian. Ia juga sumber yang baik kepada beberapa zat gizi yang penting seperti kalsium, tembaga, besi, magnesium, fosforus, selenium dan zinc.

Kajian terkini menyatakan bahawa 'lecithin' yang terkandung dalam bendi berkemungkinan memberi tindak-balas anti-tumor pada sel-sel kanser payudara. Namun, kajian selanjutnya adalah perlu bagi memastikan nilai-nilai perubatan bendi terhadap kanser. (*Lecithin adalah komponen penting pada seluruh sel-sel tubuh dan membantu dalam metabolisma lemak untuk digunakan oleh sel-sel tubuh).

Disamping itu, beberapa kajian lain juga sedang dijalankan keatas ekstrek bendi bagi menanggani penyakit kencing manis.

Tuesday, September 23, 2014

Teras pemodenan sektor pertanian

Kursus kemahiran yang ditawarkan banyak memberi pendedahan kepada aspek praktikal.

Industri pertanian sepatutnya sudah lama menerima pembaharuan bagi memastikan ia dapat berkembang sejajar dengan keperluan bekalan makanan negara.
Bagaimanapun industri tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk persepsi masyarakat bahawa pertanian tidak menjanjikan masa depan yang cerah, lekeh dan tidak berdaya maju.
Isu utama yang membelenggu ialah sukarnya teknologi diguna pakai dalam sektor pertanian kerana kebanyakan petani, penternak dan nelayan rata-ratanya berusia dalam lingkungan 55 tahun.
Sebab itu, jika mahukan sektor pertanian yang berdaya saing maka usaha menggerakkan sektor pertanian sewajarnya bermula daripada golongan muda.
Tanggapan bahawa pertanian adalah industri yang kian suram juga perlu dikikis.
Sebab itu apabila kerajaan membuat keputusan mewujudkan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) pada 2002 telah membuka sinar baharu dalam menggalakkan generasi muda terlibat dalam sektor pertanian.
NATC kini diiktiraf sebagai pusat latihan kemahiran terunggul bagi sektor pertanian menerusi tauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
Pengarah NATC, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, sejak menerajui majlis tersebut, beliau melakukan transformasi menerusi program penstrukturan semula institut latihan pertanian dengan memperkemas, menggabung dan mengecilkannya supaya lebih tersusun daripada segi pengisian dan matlamat
“Saya mahu memperkasa NATC sebagai peneraju latihan kemahiran pertanian kebangsaan sebagai mana yang terkandung dalam memorandum Kabinet pada 24 Julai 2002.
“Selain itu, saya mahu memperkukuhkan struktur organisasi NATC dan bercadang mewujudkan Akta Majlis Latihan Pertanian,’’ katanya.
Ini kerana katanya, meskipun NATC dilantik sebagai badan peneraju industri (ILB) oleh JPK tetapi terdapat kekangan kerana majlis terbabit tidak diberi kuasa mutlak mengawal selia keseluruhan latihan pertanian.
Iltizam Wan Ahmad Uzir itu ternyata tepat pada masanya memandangkan beberapa angka terbaharu berkaitan industri pertanian, selaras dan senada dengan apa beliau hasratkan.
Sebagai contoh, daripada tiga subsektor pertanian iaitu tanaman, ternakan dan perikanan, dua daripadanya, menunjukkan peningkatan permintaan untuk memasuki institut latihan di bawah NATC.
“Malah kita dapati peningkatan permintaan secara mendadak hingga 30 peratus khusus alam latihan veterinar dan akuakultur," katanya .
Berdasarkan keperluan tenaga kerja sektor agromakanan 2012-2020, keperluan tenaga mahir dalam sektor pertanian amat mendesak ekoran daripada kurangnya golongan tersebut dalam sektor ketika ini.
Malaysia telah menyasarkan 35 peratus pekerja mahir pada 2015 dan 50 peratus menjelang 2020 supaya setanding dengan negara maju.
Dalam bidang pertanian pula, di bawah model hala tuju agromakanan sepanjang tempoh tersebut, 11 strategi telah dirancang dengan empat teras utama iaitu pemerkasaan sistem latihan, peluasan akses dan kerjasama, pembangunan usahawan dan keempat pembangunan kreativiti, inovasi dan pengkomersialan.
Sepanjang tempoh tersebut juga, keluaran tenaga mahir dan profesional sektor pertanian diunjurkan kepada 879 , 649 menerusi dua kategori kursus jangka panjang dan jangka pendek.
Di bawah kursus jangka panjang, ia termasuk latihan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk NATC, kolej swasta, Kementerian Pendidikan, serta diploma dan ijazah daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA).
Bagaimanapun tindakan mentransformasi seperti yang dinyatakan Wan Ahmad Uzir amat tepat pada memandangkan keperluan tenaga kerja sektor agromakanan ketika ini amat tinggi.
Apatah lagi jumlah keseluruhan pekerja yang ada bagi ketiga-tiga subsektor tanaman, ternakan dan perikanan hanyalah 669,200 orang berbanding keperluan menjelang 2002 mencecah 840,000 orang.
Menurut beliau di 12 pusat bertauliah NATC, terdapat 11, 428 pelajar sehingga awal tahun ini dengan kemasukan dua kali setahun iaitu Januari dan Julai. Pada tahun ini sahaja pihaknya menerima 3, 304 pelajar baharu.
Bagi Wan Ahmad Uzir, antara yang wajar mendapat perhatian ialah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dimanfaatkan dalam bidang pertanian.
Oleh kerana belia masa kini mesra ICT maka kata beliau, adalah amat wajar untuk menarik golongan tersebut menggunakan kecanggihan teknologi sedia ada.
Menguraikan lebih lanjut beliau berkata, kurikulum latihan yang ditawarkan oleh NATC mendapat kerjasama industri kerana mereka turut dijemput menyumbang idea dan cadangan mengenai pengisian latihan terbabit.
Kurikulum tersebut ditentukan oleh Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) , berdasarkan pengiktirafan Agensi Penarafan Malaysia (MQA) manakala kursus peningkatan kemahiran (upskilling) adalah berdasarkan keperluan semasa.
Katanya, diploma dan sijil kemahiran yang diberikan kepada peserta dikeluarkan oleh JPK manakala sijil pertanian dan veterinar diiktiraf MQA.
Tenaga pengajar pula turut mendapat pengiktirafan JPK dan jabatran serta agensi di bawah kementerian.
“Sebab itu kita dapati pelajar kita yang kadangkala masih di Tahap 1 atau Tahap 2 telah ditempah oleh industri kerana mereka tahu kelayakan pelajar dan turut sama merumuskan kurikulum NATC,’’ ujarnya.
Graduan juga bertuah kerana mendapat latihan praktikal yang lebih sehingga 80 peratus berbanding teori 20 peratus dan ini menjanjikan mereka lebih mahir dalam kerjaya masing-masing.

Sumber artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140922/ag_01/Teras-pemodenan-sektor-pertanian#ixzz3E7rsJrgt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, August 30, 2014

Promosi harga mampu milik Mesin Chopper Rumput Napier /Jagung






Spesifikasi Mesin Chopper

  • Terdapat dalam beberapa jenis motor seperti elektrik, petrol dan diesel
  • Menggunakan 2 atau 4 mata pisau (boleh pilih)
  • Terdapat penutup mata pisau sebagai langkah keselamatan.
  • Harga yang mampu milik.
  • Mata boleh ditukar ganti
  • Alat ganti yang mudah diperolehi

ENJIN PETROL HONDA 5.5 HP RM 2300.00  ( harga biasa rm2500)
ENJIN ELEKTRIK 1.0 HP RM 2000.00             (harga biasa rm2200)
RANGKA SHJ RM 1800.00
*Harga Termasuk Kos Penghantaran di Melaka, N.Sembilan, Selangor, Perak, Pahang shj
 
Promosi sehingga 22 oktober 2014

Hubungi : Hisham 019-2272127

Tuesday, April 15, 2014

Khasiat ikan haruan




IKAN haruan secara umumnya diketahui akan fungsi dan keberkesanannya dalam mengubati luka-luka dalaman terutama kepada wanita selepas bersalin. Sejak turun temurun lagi amalan perubatan menggunakan ikan haruan telah digunakan untuk membantu menyembuhkan luka selain meredakan penyakit berkaitan kulit seperti radang, gatal-gatal dam sebagainya.
Popularitinya meningkat tatkala hasil penyelidikan mendapati dagingnya mengandungi asid Arachidonis yang mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat di samping kaya protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan.
Ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus merupakan spesies air tawar karnivor yang dikategorikan sebagai antara haiwan popular di negara ini khususnya dalam bidang perubatan.
Seorang penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Manan Mat Jais yang tertarik dengan ‘keajaiban’ ikan haruan telah bertindak mengetuai sepasukan penyelidik dalam usaha menggunakan ekstrak ikan tersebut bagi tujuan saintifik dan perubatan.
Mengenengahkan konsep produk semula jadi, Abdul Manan bekerja keras m menghasilkan krim sapuan pelbagai fungsi menggunakan air (water based) sebagai asas intipati krim haruan tersebut.
Mencampurkan beberapa tumbuhan organik, rempah ratus serta pewarna dan bau berasaskan alam semula jadi ke dalam campuran krim, penyelidik itu berjaya menghasilkan formulasi haruan yang boleh digunakan untuk membantu mengubati penyakit kulit.
“Produk berbentuk krim sapuan pelbagai fungsi ini telah menjalani ujian saintifik dan hasil daripada itu, saya mendapati bahawa ia memberi tindak balas yang positif serta progresif dalam proses pemulihan penyakit serta kecederaan di kulit.
“Menerusi analisis protein serta kajian terhadap vitamin lain yang terdapat pada isi dan kulit ikan haruan, maka saya menemukan potensinya sebagai penyembuh penyakit kulit dan luka," katanya ketika ditemui di UPM baru-baru ini.
Dalam usaha memastikan produk ini mendapat kepercayaan masyarakat, krim sapuan ini turut menjalani ujian klinikal bagi menjamin tahap keselamatan serta diperakui sesuai untuk kegunaan semua lapisan masyarakat.
Menyentuh tentang manfaat produk penemuannya itu, Abdul Manan menjelaskan, hampir semua penyakit kulit menunjukkan tanda penyembuhan lebih cepat apabila disapukan krim tersebut.
Antara penyakit kulit yang dikatakan termasuk kurap, kayap dan juga luka kecil serta bengkak.
Selain itu katanya, hasil kajian menunjukkan asid arachidonik yang terkandung dalam isi ikan haruan amat bermanfaat dalam membantu proses penyembuhan penyakit kulit.
Berdasarkan kajian itu, isi ikan haruan turut disahkan mengandungi kesemua asid amino dan asid lemak yang bermanfaat untuk proses perubatan dan penyembuhan penyakit kulit.
“Krim haruan ini dikhususkan kepada pesakit kulit ekzema, psoriasis dan ruam di kalangan kanak-kanak dan dewasa selain mereka yang menghidap penyakit arthritis dan sendi.
“Namun masih banyak kajian yang perlu dilakukan sebelum pengesahan dapat dibuat berhubung khasiat ikan haruan terhadap penyembuhan penyakit kulit.
“Di samping itu turut mengambil kira adalah pandangan masyarakat terhadap produk, sumber bekalan ikan haruan serta langkah mengimport bekalannya sebelum proses mengkomersialkan dilakukan," tambahnya.
Ditanya mengenai pengkomersialan krim haruan itu, Abdul Manan memberitahu, setakat ini pihaknya hanya menjual kepada pesakit atau pengguna yang berminat sahaja.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan krim tersebut, boleh berhubung terus dengan Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM atau hubungi 03-89472334. - NOOR DIANA AZIS


Sumber Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140414/ag_01/Khasiat-ikan-haruan#ixzz2z0rdwV31
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails