Pertanian merupakan satu industri yang amat berpotensi untuk diusahakan. Laman ini mengumpulkan segala maklumat berkaitan agro di Malaysia meliputi bidang pertanian, ternakan dan perikanan. Jadikan Pertanian satu perniagaan yang lumayan. Sebarang pertanyaan dan khidmat nasihat yang berkaitan boleh hubungi saya Hisham 0192272127 (sahabat tani anda)
Sunday, July 13, 2014
Tuesday, April 15, 2014
Khasiat ikan haruan
IKAN haruan secara umumnya diketahui akan fungsi dan keberkesanannya dalam mengubati luka-luka dalaman terutama kepada wanita selepas bersalin. Sejak turun temurun lagi amalan perubatan menggunakan ikan haruan telah digunakan untuk membantu menyembuhkan luka selain meredakan penyakit berkaitan kulit seperti radang, gatal-gatal dam sebagainya.
Popularitinya meningkat tatkala hasil penyelidikan mendapati dagingnya mengandungi asid Arachidonis yang mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat di samping kaya protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan.
Ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus merupakan spesies air tawar karnivor yang dikategorikan sebagai antara haiwan popular di negara ini khususnya dalam bidang perubatan.
Seorang penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Manan Mat Jais yang tertarik dengan keajaiban ikan haruan telah bertindak mengetuai sepasukan penyelidik dalam usaha menggunakan ekstrak ikan tersebut bagi tujuan saintifik dan perubatan.
Mengenengahkan konsep produk semula jadi, Abdul Manan bekerja keras m menghasilkan krim sapuan pelbagai fungsi menggunakan air (water based) sebagai asas intipati krim haruan tersebut.
Mencampurkan beberapa tumbuhan organik, rempah ratus serta pewarna dan bau berasaskan alam semula jadi ke dalam campuran krim, penyelidik itu berjaya menghasilkan formulasi haruan yang boleh digunakan untuk membantu mengubati penyakit kulit.
Produk berbentuk krim sapuan pelbagai fungsi ini telah menjalani ujian saintifik dan hasil daripada itu, saya mendapati bahawa ia memberi tindak balas yang positif serta progresif dalam proses pemulihan penyakit serta kecederaan di kulit.
Menerusi analisis protein serta kajian terhadap vitamin lain yang terdapat pada isi dan kulit ikan haruan, maka saya menemukan potensinya sebagai penyembuh penyakit kulit dan luka," katanya ketika ditemui di UPM baru-baru ini.
Dalam usaha memastikan produk ini mendapat kepercayaan masyarakat, krim sapuan ini turut menjalani ujian klinikal bagi menjamin tahap keselamatan serta diperakui sesuai untuk kegunaan semua lapisan masyarakat.
Menyentuh tentang manfaat produk penemuannya itu, Abdul Manan menjelaskan, hampir semua penyakit kulit menunjukkan tanda penyembuhan lebih cepat apabila disapukan krim tersebut.
Antara penyakit kulit yang dikatakan termasuk kurap, kayap dan juga luka kecil serta bengkak.
Selain itu katanya, hasil kajian menunjukkan asid arachidonik yang terkandung dalam isi ikan haruan amat bermanfaat dalam membantu proses penyembuhan penyakit kulit.
Berdasarkan kajian itu, isi ikan haruan turut disahkan mengandungi kesemua asid amino dan asid lemak yang bermanfaat untuk proses perubatan dan penyembuhan penyakit kulit.
Krim haruan ini dikhususkan kepada pesakit kulit ekzema, psoriasis dan ruam di kalangan kanak-kanak dan dewasa selain mereka yang menghidap penyakit arthritis dan sendi.
Namun masih banyak kajian yang perlu dilakukan sebelum pengesahan dapat dibuat berhubung khasiat ikan haruan terhadap penyembuhan penyakit kulit.
Di samping itu turut mengambil kira adalah pandangan masyarakat terhadap produk, sumber bekalan ikan haruan serta langkah mengimport bekalannya sebelum proses mengkomersialkan dilakukan," tambahnya.
Ditanya mengenai pengkomersialan krim haruan itu, Abdul Manan memberitahu, setakat ini pihaknya hanya menjual kepada pesakit atau pengguna yang berminat sahaja.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan krim tersebut, boleh berhubung terus dengan Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM atau hubungi 03-89472334. - NOOR DIANA AZIS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Thursday, March 27, 2014
Ternak ikan lebih lumayan
Kepakaran asalnya adalah untuk mengenali kayu dan pernah berkhidmat dalam industri perkayuan agak lama. Namun atas dasar minat yang mendalam terhadap hobi memancing akhirnya Mohd. Khari Latif menceburi penternakan ikan air tawar. Segalanya bermula empat tahun lalu apabila, dia dan beberapa lagi rakan kongsinya sering bertukar-tukar pandangan serta maklumat berkenaan industri akuakultur ketika sedang memancing.
Minat yang mendalam dalam aktiviti tersebut mendorongnya mengumpulkan maklumat serta menyertai pelbagai kursus penternakan ikan air tawar sebelum memutuskan untuk menceburi bidang tersebut.
Apa yang pasti, keputusan itu bukan mudah apatah lagi dia dan beberapa lagi rakan kongsinya tidak memiliki pengetahuan dalam industri akuakultur.
Namun, kekurangan tersebut bukan penghalang, malah dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mendalami pelbagai ilmu berkenaan industri akuakultur.
Industri akuakultur mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat negara ini.
Apatah lagi sumber ikan di habitat semulajadi terutamanya laut kini semakin berkurangan dan pengguna kini beralih arah kepada ikan tawar yang memiliki nilai protein yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui di Semenyih, Selangor baru-baru ini.
Industri penternakan ikan air tawar bukanlah sesuatu yang baharu, namun My Fish Aquaculture Sdn. Bhd. yang memperkenalkan jenama iKANnFish sedang mengorak langkah ke arah konsep baharu iaitu penjagaan kualiti dari kolam ke meja makan.
Kebanyakan penternakan ikan air tawar kurang mementingkan aspek kualiti ikan yang diternak kerana permintaan pengguna yang amat tinggi untuk sumber protein ini.
Malah, sesetengah daripada kita juga tidak mengambil endah keadaan ikan air tawar yang berbau lumpur serta hanyir yang terlalu kuat dengan alasan itu adalah sifat semulajadi ikan air tawar.
Sebenarnya ikan air tawar tidak begitu hanyir dan tidak berbau jika dipelihara dengan sistem serta persekitaran yang betul," katanya.
Tambah Mohd. Khari, terdapat banyak faktor mempengaruhi kualiti ikan yang diternak antaranya adalah air serta produk makanan.
Untuk menghasilkan ikan yang berkualiti, sihat dan tidak berbau sumber air yang digunakan perlulah benar-benar bersih dan tidak tercemar.
Ini kerana, rasa serta bau yang terdapat dalam isi ikan berkait rapat dengan persekitarannya," katanya.
Jelasnya lagi, kandungan oksigen di dalam kolam ternakan juga memainkan peranan penting kerana ikan yang cukup oksigen akan lebih cergas dan cepat membesar.
Ujar Mohd. Khari, usaha mencari kawasan yang sesuai untuk dijadikan kolam ternakan turut memakan masa yang panjang, malah mencecah bertahun lamanya.
Pemilihan kawasan adalah berdasarkan keadaan muka bumi yang sesuai selain sumber air bersih daripada hulu Sungai Batangsi yang bersih.
Di sana, antara ikan utama yang dipelihara adalah tilapia merah yang telah dijenamakan semula sebagai red Pearl.
Lima kolam dengan keluasan hampir satu hingga satu setengah ekar dengan kedalaman hampir 10 kaki tersebut mampu menempatkan hampir 20 tan ikan tilapia merah dalam satu-satu masa.
Selain menggunakan sumber air bersih dari hulu Sungai Batangsi, Mohd. Khari turut menggunakan empat alat pengudaraan (paddle wheel) bagi setiap kolam untuk memastikan kandungan oksigen sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.
Kami turut bekerjasama dengan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), untuk melakukan beberapa analisis berkaitan air serta kesihatan ikan yang dipelihara.
Proses ini (analisis air) amat penting bagi memastikan ikan yang dipelihara sentiasa berada di dalam keadaan baik agar tumbesarannya tidak terbantut, berkualiti tinggi sekali gus memberikan pulangan yang lebih lumayan," katanya.
Bagi mendapatkan benih ikan yang berkualiti, pihaknya mengambil inisiatif menghasilkannya sendiri bagi mengurangkan kos.
Bagi menghasilkan benih ikan yang berkualiti, lasak serta memiliki kadar survival yang tinggi beberapa proses asuhan perlu dilaksanakan sebelum dilepaskan ke dalam kolam utama.
Di sini kami menghasilkan anak benih ikan secara semulajadi di kolam kedua iaitu di Taman Tasik, Semenyih di mana kami ada dua buah kolam simen untuk penetasan dan pembesaran anak ikan dan satu kolam simen untuk asuhan khas sebelum anak ikan dilepaskan ke kolam utama.
Sehingga kini, hampir 300,000 hingga 500,000 anak ikan dihasilkan dan diasuh selama sebulan sehinggalah saiznya mencecah satu inci panjang.
Pihak kami ada juga menerima permintaan anak ikan daripada pihak luar namun keperluan di kolam sendiri masih tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa menolak," katanya.
Untuk memastikan kadar pengeluaran ikan sentiasa berjalan, proses pembenihan anak ikan juga turut dilakukan secara berterusan.
Mohd. Khari menambah, ikan tilapia merah merupakan antara ikan yang mampu membiak sepanjang tahun menjadikannya mudah untuk diternak.
Setiap ikan yang diternak mengambil masa selama empat hingga empat bulan setengah untuk membesar pada saiz gred A, dan pengeluaran dilakukan setiap minggu secara berperingkat-peringkat.
Untuk memenuhi kriteria gred A, seekor ikan tilapia merah perlu memiliki berat sekitar 700 gram (g) ke atas dengan bentuk tubuh yang agak gempal dan berisi.
Bagi ikan gred B, beratnya adalah sekitar 500 hingga 650g dan gred C sekitar 350 hingga 450g, namun pihaknya menumpukan pengeluaran ikan pada skala gred A, manakala gred B dan C hanya akan dijual apabila kolam dituai sepenuhnya.- ASHRIQ FAHMY AHMAD.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140324/ag_01/Ternak-ikan-lebih-lumayan#ixzz2xDpW2uDk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Apollo melon sumber rezeki
BERBEKALKAN sedikit azam untuk mengubah taraf ekonomi keluarga, seorang petani Mohd. Yaakub Nuri tekad menyahut saranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mencuba tanaman baru iaitu Apollo melon.
Petani dari Sekinchan, Selangor itu berazam mengusahakan tanaman baru tersebut kerana yakin akan mendapat bantuan secara berterusan daripada badan bertanggungjawab tersebut.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam tanaman appollo melon, petani berusia 49 tahun ini memberitahu, projek tanaman buah tersebut diperkenalkan ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2012.
Ketika menyertai pameran MAHA, saya didatangi oleh seorang pegawai FAMA yang menawarkan tanaman apollo melon bagi diperkenalkan ketika pameran itu berlangsung.
Ketika itu, pihaknya berjanji untuk membeli hasil tuaian buah dengan harga RM1.80 sekilogram (kg) jika tanaman itu berhasil," katanya.
Pada awalnya, Mohd. Yaakub menolak tawaran tersebut kerana harga yang dijanjikan terlalu rendah dan murah.
Namun berbekalkan prinsip rezeki ada di mana sahaja dengan syarat usaha dan tawakal, keyakinannya untuk menyahut tawaran FAMA semakin tinggi.
Ujarnya, sebaik sahaja bersetuju untuk membangunkan tanaman apollo melon, pihak FAMA turut memberi jaminan terhadap harga bagi setiap keluaran buah tersebut.
Mereka bersetuju untuk membayar balik hasil sekiranya saya tidak dapat jualan dalam RM2,000.
Lagi pun apollo melon sememangnya projek khusus sempena MAHA 2012," katanya yang turut ditemani rakan, Sabri Harun.
Di awal pembabitan, dia dibekalkan dengan dua paket biji benih apollo melon oleh FAMA secara percuma.
Dengan bekal yang disediakan, Mohd. Yaakub menanam apollo melon atas tanah seluas 0.6 hektar di Parit 9, Sungai Leman, Sekinchan, Kuala Selangor pada September 2012 dan mula menuai dua bulan kemudiannya.
Berkongsi cerita mengenai hasil yang diperoleh semenjak menanam buah tersebut, Mohd. Yaakub memberitahu, dia mendapat hasil tuaian kira-kira dua hingga tiga tan dalam sekali tuaian.
Katanya, apollo melon hanya mengambil masa selama 55 hari sebelum dituai berbanding tembikai susu yang mengambil masa 65 hari dan rock melon iaitu 75 hari.
Penanaman apollo melon memerlukan tanah lempung berpasir yang mengandungi bahan organik serta pancaran sinar matahari sepanjang tahun.
Tanah jenis itu berfungsi sebagai pemudah untuk akar berkembang dan menyerap haba dari tanah selain ia turut memerlukan bekalan air yang banyak dan mencukupi," ujarnya.
Mengenai modal dalam mengusahakan tanaman apollo melon, dia memberitahu, setiap biji benih agak mahal sehingga mencecah 40 sen sebiji manakala satu peket berharga RM200 untuk 600 butir benih.
Namun kini dia mampu menjual sehingga RM3.50 sekilo kepada peraih dan harga pasaran mencecah RM5 sekilo.
Apollo melon mempunyai warna kulit yang kuning keemasan dan tidak berjala sekali gus membuatkan isi buahnya renyah, manis dan tebal selain saiznya mampu mencapai sehingga dua kilogram berat.
Tidak menolak andaian bahawa tumbuhan tersebut turut berhadapan dengan ancaman makhluk perosak seperti lalat buah, semburan racun serangga akan dilakukan sebanyak dua kali seminggu.
Katanya, apollo melon yang telah busuk dapat dikenal pasti apabila buah ini digoncang dan ia berair seperti buah kelapa dan di dalamnya berair. - NOOR DIANA AZIS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Rezeki Nanas
Kejayaan pengusaha tanaman nanas Salehudin Pangilon yang mencuba nasib menjadi peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan akhirnya memperoleh pendapatan lumayan wajar dicontohi. Dia berusaha gigih membuktikan kesungguhan meskipun permohonannya menjadi peserta pada mulanya tidak diterima.
Saya diberi kawasan contoh atau tapak demontrasi yang tidak diusahakan dan apabila melihat kesungguhan mengusahakan pertanian, saya diterima masuk, katanya yang menjadi peserta di TKPM Kundang, Kuala Langat, Selangor.
Sejak mencuba nasib di TKPM tersebut, Salehudin, 50, cuba menanam nanas varieti Yankee atau juga dikenali Selangor Sweet dengan projek permulaan melibatkan 3,000 pokok di kawasan berkeluasan satu setengah ekar.
Sebagai permulaan, dia hanya mampu mengusahakan seluas 0.6 hektar (ha) atau satu setengah ekar berbanding dua ha (lima ekar) diperuntukkan kerana masalah kekurangan modal.
Bagi melunaskan impiannya menjadi usahawan pertanian yang berjaya, mahu tidak mahu dia bertekad memulakan projek dengan modal sendiri sebanyak RM5, 000 yang yang mana setiap anak benih dibeli pada harga 33 sen ketika itu tanpa pinjaman bank.
Dalam tempoh lima tahun sahaja, kawasan penanaman nanas baka Selangor Sweet berkembang dan kini dan mengusahakan seluas 14 ha (35 ekar) yang mana seekar kawasan penanaman melibatkan 8,000 pokok.
Salehuddin juga mengusahakan nanas josapine seluas satu ekar dengan jumlah 15,000 pokok dan turut memantau projek tanaman nanas varieti MD2 milik orang lain seluas dua ha bagi tujuan pembelajaran.
Mengenai masalah utama tanaman nanas, Salehuddin berkata, risikonya agak rendah kerana tidak terlalu diancam penyakit sebaliknya dia kekurangan pekerja yang membantunya di ladang.
Nanas Yankee matang dalam tempoh 18 bulan manakala varieti josapine boleh dituai dalam tempoh 10 bulan.
Dengan keluasan tanaman yang dimiliki, Salehudin mampu mengeluarkan secara purata 5,000 biji nanas sebulan.
Saya hanya mempunyai dua pekerja yang membantu kerja-kerja ladang seperti mencabut rumput, membuat semburan hormon kepada tanaman nanas selepas berumur lima bulan serta menuai hasil, katanya.
Dia tidak menghadapi masalah mengenai pasaran kerana peraih datang ke ladangnya di TKPM Kundang.Harga nanas varieti Yankee boleh mencecah RM2.85 sebiji manakala josapine lebih rendah daripada itu.
Dengan kejayaan tersebut, Salehudin pernah menerima Anugerah Peladang Jaya Kuala Langat pada tahun lalu dan juga Anugerah Nanas Jaya Peringkat Selangor pada tahun yang sama.
Hari ini, dia bukan sahaja mengeluarkan nanas menerusi projek di TKPM itu tetapi turut membekalkan benih nanas varieti Yankee kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Dia juga masih mempelajari kaedah penanaman terbaik bagi varieti MD2 yang dianggap lumayan kerana harganya agak mahal. Malah anak pokok MD2 sahaja berharga RM2 di pasaran.
Pencapaian Salehudin bagaimanapun tidak datang sekelip mata memandangkan sejarah penglibatannya dalam pertanian menyaksikan dia tersungkur, jatuh bankrap dan kemudian bangkit kembali.
Malah sebelum menceburi bidang pertanian, dia melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan.
Anak jati Kampung Kundang ini menuntut di Yayasan Anda pada 1981 dan kemudian menjadi pembantu pustakawan di Klang Selangor.
Selepas tidak lagi berkhidmat, dia melakukan kerja-kerja kontrak pembinaan dan juga berkaitan dengan besi selama tiga tahun.
Salehudin terpaksa meninggalkan perniagaan tersebut selepas menanggung kerugiandan kemudian kembali semula ke kampung halamannya.
Pada 1990, dia mula terfikir menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan ternakan udang harimau seluas 0.8 ha.
Oleh kerana projek tidak begitu memberangsangkan akibat masalah penyakit, dia beralih kepada ternakan udang putih di kampungnya.
Menurut Salehuddin, satu ketika udang yang diternaknya mati perlahan-lahan dan ini menjadikannya hampir berputus asa.
Saya memikirkan masalah penyakit begitu mengancam projek udang, sebab itu mencuba tanaman nanas di TKPM kerana risikonya rendah, ujarnya.
Bagaimanapun, dia menjadikan pengalaman tersebut sebagai satu cabaran yang biasa dalam bidang pertanian.
Dia juga mengakui konsep melahirkan usahawan pertanian berpendapat RM3,000 minimum sebulan menerusi TKPM yang diperkenalkan Jabatan Pertanian satu pendekatan yang baik dan wajar diteruskan.
Saya juga ingin menasihati golongan muda supaya menyertai bidang pertanian kerana berpeluang meraih pendapatan yang menguntungkan cerah.
Soal rugi dan jatuh perkara biasa dalam perniagaan (pertanian) ujarnya lagi.Dia juga boleh berbangga projek pertanian tersebut telah menerima Sijil Amalan Ladang Malaysia (SALM) atau MyGAP.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Posts (Atom)