Thursday, March 27, 2014

Ternak belangkas elak pupus




NAMUN, setelah melihat hasil tangkapan semakin berkurangan berbanding 30 tahun dahulu timbul kesedaran dalam diri Ahmad agar taburan haiwan laut tersebut perlu dipertingkatkan.
"Sebelum ini sebagai nelayan belangkas kami hanya menangkap haiwan ini untuk dijual namun sejak akhir-akhir ini belangkas semakin berkurangan.
"Hasil daripada jualan juga semakin hari semakin merosot kerana sejak dari dahulu saya sendiri tidak pernah terfikir untuk memulihara belangkas agar haiwan ini dapat terus membiak dengan baik," katanya ketika ditemui dalam program Kembara Media Perikanan 2013 anjuran Jabatan Perikanan baru-baru ini.
Bagaimanapun usaha menternak belangkas bukanlah sesuatu yang mudah, banyak usaha serta kos perlu dikeluarkan.
Usaha Ahmad yang bersungguh-sungguh memulihara taburan belangkas telah mendapat perhatian pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi tersebut telah mengeluarkan dana sebanyak RM35,000 untuk membina bilik penetasan belangkas untuknya.
Menerusi kemudahan tersebut, Ahmad kini mampu menetaskan hampir 100,000 ekor anak belangkas setiap tahun dan dilepaskan ke laut.
Anak belangkas yang baharu menetas memiliki saiz lebih kecil daripada syiling 10 sen dan tumbesarannya amat perlahan.
Untuk mencapai saiz syiling 10 sen, belangkas memerlukan jangka masa selama dua tahun.
Di pusat penetasan miliknya, Ahmad menjaga anak belangkas tersebut sehingga berumur dua tahun sebelum dilepaskan ke laut.
Tujuannya untuk memastikan kelangsungan hidup anak belangkas berada pada tahap yang tertinggi.
Bagaimanapun Ahmad tidak berkemampuan memelihara haiwan laut tersebut sehingga dewasa berikutan kekangan kewangan dan cara yang terbaik adalah melepaskan anak-anak belangkas kembali ke laut.
Pada masa yang sama Ahmad tetap meneruskan tangkapan belangkas untuk dieksport ke negara jiran, Thailand.
Akui Ahmad, usahanya menetas dan melepaskan kembali anak belangkas ke laut berbaloi apabila hasil tangkapan kini semakin meningkat.
"Jika kena pada musimnya iaitu pada bulan November sehingga Februari, hasil tangkapan mampu mencecah 1,000 ekor sebulan.
"Malah di Johor dan Melaka pernah dicatatkan hasil tangkapan mencecah lima hingga enam ribu ekor sebulan," katanya.
Ujar Ahmad, belangkas kebiasaannya mengambil masa hampir 15 tahun untuk matang, namun bagi belangkas betina apabila menginjak usia ke sembilan tahun, haiwan marin tersebut mula menghasilkan telur untuk disenyawa.
Saiz belangkas dewasa tidak menentu namun boleh dikategorikan antara berat 700 gram (g) sehingga satu kilogram (g) seekor.
Kini menerusi usaha tersebut, belangkas mampu membiak dengan lebih baik namun berapa ramaikah nelayan yang sanggup untuk melaksanakan usaha seperti Ahmad di negara ini dalam menyelamatkan haiwan prasejarah tersebut daripada diancam kepupusan.
Belangkas merupakan haiwan bercengkerang dan hidup di kawasan berair tetapi dalam keadaan tertentu, akan naik ke darat untuk tujuan bertelur.


Sumber Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140203/ag_01/Ternak-belangkas-elak-pupus#ixzz2xDjNgQ73
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Siakap sangkar terapung


MUSIM tengkujuh juga boleh mengurangkan pendaratan ikan memandangkan cuaca buruk itu mengancam keselamatan nelayan.
Pilihan yang ada ialah mengoptimumkan penggunaan sumber dari darat termasuk mengeluarkan lebih banyak ikan menerusi projek akuakultur.
Sebab itu kerajaan sentiasa memberi peluang kepada mana-mana pihak yang mempunyai cita cita untuk menjadi usahawan akuakultur, kerana bidang tersebut berpotensi besar untuk dimajukan.
Malah menerusi Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA), sektor pertanian telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
NKEA Pertanian memberi fokus kepada subsektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar yang dapat membantu negara untuk turut sama menyertai pasaran global yang semakin berkembang.
Pada masa yang sama, tumpuan akan turut diberikan kepada subsektor strategik dalam usaha menjamin bekalan makanan negara dengan pengenalan 16 Projek Permulaan (EPP) termasuk akuakultur EPP 4 sebagai contoh akan menumpukan kepada Pembangunan Ternakan Dalam Sangkar Secara Bersepadu, sekali gus membuktikan usaha kerajaan memberi anjakan kepada industri akuakultur.
Inisiatif tersebut wajar disahut oleh pengusaha dan meneroka peluang menjadikan akuakultur sebagai penjana kewangan dan meningkatkan taraf hidup.
Seorang daripada usahawan tersebut ialah Raja Zainuddin Raja Omar, 58, yang bermula sebagai penternak ikan sangkar marin secara kecil-kecilan.
Berkat kegigihan dan modal sendiri yang digunakan pada awalnya, dia kini muncul sebagai seorang pengusaha ternakan ikan sangkar marin berjaya.
“Projek saya bermula pada 2002 dan saya seorang mengusahakannya, tetapi tidaklah terlalu besar.
“Pada 2005 apabila Jabatan Perikanan mula memperkenalkan projek ini kepada orang ramai dan baharu ada dua dan tiga orang menyertai projek ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam sesi taklimat kepada peserta lawatan Kembara AgroChallenge ke Projek ternakan Ikan Sangkar Marin di Pekan,Pahang baru-baru ini.
Jelasnya, projek berkenaan dijalankan secara berkelompok pada 2005 yang mana semua pengusaha telah bergotong royong untuk menguruskan projek dengan mengeluarkan modal sendiri. - Maszureen Hadzman


Sumber Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140127/ag_01/Siakap-sangkar-terapung#ixzz2xDihjuSW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, December 12, 2013

Anak beranak saudagar puyuh

Oleh Roselan Abd Malek
Jamaluddin Ali, 57, dari Kampung Baharu, Jerantut, Pahang bukan nama asing dalam industri ternakan burung puyuh di daerah itu.
Bapa lima anak itu me­ngusahakan ternakan puyuh sejak 20 tahun lalu di tanah miliknya seluas 0.8 hektar dan kini pengeluar anak puyuh terbesar di Pahang. 
Dia mengusahakan anak puyuh melalui lima reban induk puyuh yang dibina di sekeliling rumah dan mampu me­ngeluarkan 120,000 anak puyuh sebulan. 

Katanya, jumlah itu belum mencukupi kerana permintaan terhadap anak puyuh kira-kira 300,000 sebulan.
Foto
ANAK dan ayah mengusahakan burung puyuh.

“Saya bukan saja membekalkan anak puyuh kepada pe­ngusaha di Pahang tetapi Johor, Melaka dan Terengganu,” katanya.

Menurut­nya, ketika awal pembabitan, dia bermula secara kecil-kecilan pada 1993 apabila dipilih sebagai peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) daerah Jerantut. 

“Ketika itu saya mendapat ­bantuan 500 anak puyuh dari ­pejabat daerah untuk diternak sebagai puyuh pedaging selepas berkursus selama seminggu di Institut Kemajuan Ternakan Ayam (IKTA) di Johor Bahru,” katanya 

Selepas itu, ternakan puyuhnya mendapat ­permintaan tinggi pelanggan dan berkembang maju. 

Pada 1997, dia dikeluarkan daripada peserta PPRT kerana pendapatannya yang lumayan, malah mampu membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada lima anaknya itu hasil ternakan puyuh. 

Katanya, kesukaran mendapatkan bekalan anak puyuh menyebab­kan dia mengeluarkan anak puyuh sendiri. 

Dia mempelajari dari beberapa usahawan ­puyuh lain. 

“Akhirnya pada 2001, saya membuat pinjaman bank sebanyak RM30,000 untuk membeli ­sebuah ­mesin penetas telur ­terpakai dan mengeluarkan 20,000 anak puyuh 
sebulan untuk kegunaan sendiri. 

“Namun, berikutan ­permintaan tinggi daripada pe­ngusaha daging puyuh, saya hanya mengeluarkan anak puyuh dan tidak lagi menternak puyuh untuk daging,” kata­nya. 

Dia kini mengusahakan projek ternakan itu ­bersama anak sulung­nya, ­Mohammad ­Fahmi, 30, dan menubuhkan Syarikat Jafah.­ 

Mohammad Fahmi yang mendapat latihan di IKTA mempunyai visi ­mengeluarkan baka puyuh dalam kadar lebih banyak bagi menampung permintaan yang semakin mening­kat. 

Dua beranak itu memberanikan diri membeli sebuah mesin penetas terpakai buatan Belanda berharga RM200,000 yang mampu mengeluarkan 200,000 anak puyuh sebulan. 

Katanya, melalui mesin penetas baru ini kadar penetasannya lebih tinggi iaitu 80 hingga 90 peratus. 

Menurutnya, sebaik menetas, anak puyuh boleh dijual dengan harga 60 sen seekor. 

“Dari segi pasaran, kami tidak ada sebarang masalah kerana ramai pengusaha ternakan daging puyuh memerlukan kira-kira 300,000 anak puyuh sebulan. 

“Bagaimanapun, apa yang bimbangkan adalah kami tidak dapat ­menampung permintaan yang semakin tinggi kerana 5,000 induk sedia ada tidak mencukupi,” kata­nya.
Sumber:harian metro online

HijauPlastMAP: Beg semaian mesra alam

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Tidak ramai yang ambil peduli kesan penggunaan beg plastik kepada alam sekitar, meskipun sedar ia mengambil masa beratus-ratus tahun untuk lupus.

Bukan hanya mencemarkan alam, beg plastik terpakai juga mengandungi bahan kimia seperti ‘metalic salt’ yang boleh menyebabkan kanser. 
Biarpun penciptaan plastik mempermudahkan urusan seharian, namun kesan buruk daripada penggunaannya perlu dielakkan. 

Pembakaran sampah mungkin menjadi kaedah pelupusan paling mudah, bagaimanapun ia mencemarkan alam sekitar.
Foto
NURNABILAH menunjukkan dua produk plastik HijauPlastMAP.

Sekumpulan penyelidik muda Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menemui formula dalam menyelesaikan masalah pencemaran sisa buangan beg plastik kepada persekitaran.

Dikenali HijauPlastMAP atau singkatan ‘Hijau Plastik from UniMAP,’ produk inovasi berkenaan hasil ciptaan pelajar Kejuruteraan Polimer, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP. 

Pelajar tahun pertama yang terbabit dalam projek itu ialah Ku Nur Salsabila Ku Osman, Nurnabilah Ibrahim, Nor Diana Rafie, Lokman Hakim Ibrahim dan Ahmad Azrem Azmi. 

Antara keunikan produk plastik berkenaan adalah proses penguraian mengambil masa singkat antara tiga hingga enam bulan. 

Projek itu diselia pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Pusat Kejuruteraan dan Inovasi universiti itu, Dr Nik Noriman Zulkepli. 

Nurnabilah berkata, plastik HijauPlastMAP adalah produk semula jadi pro-oksida yang menggunakan bahan seperti lalang, kunyit dan serai. 

“Ia adalah produk inovasi baru berasaskan bahan semula jadi dengan setiap satunya mempunyai fungsi sendiri, selain berpotensi menggantikan plastik konvensional terdapat di pasaran ketika ini. 

“Kunyit dan serai umpamanya adalah bahan pestisid untuk pertanian yang dapat menghalang serangga daripada merosak tanaman, sementara lalang pula berfungsi untuk menstabil dan meneutralkan tanah,” katanya. 

Kumpulan pelajar berkenaan ditemui selepas menyertai Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2013) di Pusat Konvensyen KLCC di sini, baru-baru ini. 

Menurutnya, selain tiga bahan berkenaan, tambahan lusi (lumpur) yang mengandungi ziolite dan mikro nutrien dapat meningkatkan kesuburan tanah, selain menjadikan tanaman lebih sihat. 

“Ia dapat mengelak akar mereput. Pada musim panas pula, ia membekalkan air kepada tumbuhan. 

“Ziolite itu sendiri boleh membebaskan nitrogen dalam tanah sekali gus menjadikan bahagian berkenaan lebih subur,” katanya projek penyelidikan berkenaan mengambil masa dua bulan bermula Ogos lalu. 

Metodologi yang digunakan dalam penghasilan plastik berkenaan juga amat mudah menggunakan formulasi berdasarkan sukatan diperlukan. 

“Semua bahan semula jadi seperti kunyit, serai dan lalang dikeringkan terlebih dulu. Ia kemudian dimasukkan ke dalam ketuhar dengan suhu antara 150 hingga 160 darjah celsius. 

“Bagaimanapun pada skala pengeluaran kilang, suhu boleh ditingkatkan hingga 200 darjah celsius,” katanya. 

Semua bahan dikisar menggunakan mesin extruder bagi mendapatkan material dikehendaki. 

“Bahan berkenaan kemudian dimampatkan menggunakan mesin blown bagi menghasilkan plastik semula jadi HijauPlastMAP. 

“Penambahan lusi pula sesuai untuk kegunaan pertanian terutama menggantikan beg semaian pokok dan plastik ‘silver shine’ yang tidak mesra alam,” katanya. 

Katanya, kerja pemindahan pokok ke tapak semaian juga lebih mudah dengan penggunaan plastik berkenaan. 

“Beg semaian tidak perlu dibuka sebaliknya dimasukkan terus ke dalam tanah bersama pokok kerana ia boleh lupus dengan sendirinya dalam tempoh singkat. 

“Berbanding kaedah biasa, ia sudah tentu mengambil masa dan tenaga terutama ketika proses menanggalkan plastik dari medium tanaman,” katanya. 

Plastik kitar semula itu amat menarik untuk diketengahkan sebagai produk yang berpotensi untuk menggantikan produk sedia ada di pasaran. 

“Bahan yang digunakan juga memberi banyak faedah kepada manusia kerana ia adalah biologi mudah terurai dan menghasilkan bahan mesra alam, selamat serta kos lebih rendah. 

“Harga plastik ini amat berpatutan iaitu RM5.50 sekilogram, berbanding plastik biasa RM6.20,” katanya. 

Inovasi berkenaan juga amat menjimatkan berbanding penggunaan bahan cobalt stearate yang dianggarkan bernilai RM1,000 hingga RM1,400 sekilogram. 

“Lalang boleh diperoleh di mana-mana kerana tumbuh meliar, sementara kunyit dan serai pula banyak terdapat di kawasan kampung,” katanya. 

Nurnabilah berkata plastik yang terdapat di pasaran ketika ini mengandungi bahan kimia merbahaya seperti metalic salt. 

“Ia (metalic salt) berbahaya kepada kesihatan manusia kerana menyebabkan kanser dan bertoksik. 

“Banyak plastik-plastik yang tidak lupus di laut dan mengakibatkan pencemaran laut, selain terdapat di persekitaran kediaman,” katanya. 

Katanya, haiwan ternakan seperti kambing dan lembu boleh memindahkan toksik berkenaan kepada manusia. 

“Plastik yang mengandungi cobalt stearate tersimpan di dalam tanah. Ia kemudian meresap ke dalam rumput sebelum dimakan kambing dan lembu. 

“Ia kemudian dipindahkan kepada manusia menyebabkan badan kita menjadi pra radikal kepada sisa berkenaan dan pada jangka panjang mengakibatkan kanser,” kata­nya.
Sumber:harian metro online

Wednesday, November 6, 2013

Biak tiram asuhan

TIRAM perlu disterilkan untuk mengelakkan pencemaran.
Demikian luahan pengusaha ternakan benih tiram Allan Wong, 51, yang di temui di kolam asuhan tiram di Balik Pulau,Pulau Pinang baru-baru ini.

Memiliki pengalaman 22 tahun dalam penternakan tiram, uniknya, syarikat mereka dikatakan satu-satunya yang memasarkan tiram menggunakan teknik pembenihan asuhan.

Jelasnya, ternakan tiram dilihat berpotensi untuk dikembangkan memandangkan negara seperti Australia, New Zealand dan negara Eropah mempunyai suatu industri yang besar berbanding Malaysia yang baru berada di peringkat permulaan.

"Kami melihat pembenihan tiram secara asuhan ini dapat membantu pengusaha yang berminat untuk mendapatkan benih tiram berkualiti.

"Kenapa kita tidak boleh bersaing dengan pasaran luar sedangkan kita boleh mengeluarkan hasil tiram hanya dalam masa setahun berbanding mereka empat tahun sekali.

"Lebih-lebih lagi kita mempunyai cuaca yang lebih baik untuk mendapatkan hasil tiram yang cepat dan berkualiti," katanya.

Kolam asuhan tiram yang dikendalikan oleh syarikat SeaHarvest Aquamarine Malaysia itu turut mempunyai keluasan kolam sebanyak lima ekar yang mampu mengeluarkan lima juta benih tiram setahun.

Oleh itu, pemantauan terperinci perlu dilakukan pada setiap hari bagi memastikan proses pembesaran berjalan lancar

"Sebelum ini tiram yang hidup berkelompok perlu dikorek isinya untuk dijual secara dalam kiraan berat (isi sahaja) hanya kerana struktur cangkerang yang tidak menarik,"katanya.

Pembenihan secara asuhan berbeza dengan pembenihan semulajadi kerana tiram semulajadi hanya membiak dua kali setahun pada pertengahan dan akhir tahun.

Jelasnya, bagi mengembangkan industri ternakan tiram, proses pembenihan secara asuhan diperlukan bagi mendapatkan pembekalan benih yang lebih teratur dan kualiti yang terjamin.

Selain itu, proses kacukan benih juga perlu dilakukan bagi mendapatkan benih yang tahan lasak di samping proses tumbesaran tiram yang lebih cepat dengan kualiti yang lebih bagus.

Menurutnya lagi, kaedah pembenihan itu diperkenalkan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang pertanian dimana pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1989 lagi.

Mengenai rasa tiram, katanya, rasa tiram Malaysia mempunyai rasa yang lebih lemak dan sedap berbeza berbanding tiram di import dari pasaran luar kerana ia lebih lembut dan nipis.

"Rasanya yang lebih lemak dan tebal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pelanggan terutamanya chef daripada restoran mewah sekitar kawasan Pulau pinang," katanya.

Wong turut memberitahu, perniagaan yang diusahakan itu juga telah memperoleh status BioNexus daripada Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) sebagai syarikat bioteknologi yang berpotensi di samping mendapat bantuan mesin-mesin berteknologi tinggi.

Ditanya mengenai perancangannya, kita mula mencari syarikat yang mahu bekerjasama di dalam memperkembangkan lagi indutri tiram di Malaysia di samping mahu mencari pasaran untuk menjual hasil ini.

"Setakat ini salah satu syarikat yang akan bekerjasama dengan kami ialah Kejora dan Jcorp.

"Jcorp yang berpangkalan di Johor mempunyai keluasan kawasan sebanyak 1,000 ekar untuk projek pembenihan tiram ini," katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya juga mengharapkan kerajaan dapat memberikan lebih banyak lagi benih kepada orang kampung supaya dapat membuka peluang untuk menambah pendapatan mereka.

"Tiram hanya tidak mengunakan kos yang tinggi malah kurang risiko tetapi dapat hasilkan hasil yang lumayan.

"Ramai orang yang berminat tetapi hanya tidak tahu bagaimana cara untuk mendapatkan benih sebab itulah kami menjadi pengeluar benih kepada mereka.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails